14 Mei 2013

‘Saya berjaya tebas hutan belantara di Johor’

4 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: “Saya berjaya menebas hutan belantara di Johor,” begitulah ungkapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Ustaz Abdullah Hussin (gambar) yang pertama kali bertanding di Johor kira-kira 27 tahun lalu.


Sewaktu diamanahkan calon PAS di Tanjung Puteri pada Pilihan raya Umum 1986 dahulu, Abdullah berkata beliau telah hilang deposit gara-gara bertanding di suatu tempat yang asing bagi PAS.


“Saya bertanding banyak kali. 5 kali sama dengan Pak Ungku (calon PAS Pulai Sebatang). Apa ada hal. Orang kata tempat saya (Puteri Wangsa) tempat selamat. Mana ada jamin selamat, harapan menang ada sebab Pakatan Harapan Rakyat.


“Saya pernah hilang deposit tahun 1986, pertama kali bertanding di Dun Tanjung Puteri. Hanya dapat 400 undi, lebih sikit daripada tentera Badar. Wartawan datang jumpa saya, apa perasaan. Dalam hati, sabar aje lah.

“Saya kata, saya amat puas. Semua terkejut sebab apa? Saya amat berpuas hati masuk (bertanding). Ini ibarat berjaya ‘tebas hutan belantara di Johor,” katanya lagi dipetik Selatan Online.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di hadapan lebih 1,000 orang dari pelbagai kaum pada majlis kesyukuran di pekarangan Markas Tarbiyyah Parit Markom Benut, Pontian dekat sini semalam.

Hadir sama Yang Dipertua PAS Pontian dan Tanjung Piai, Raden Sarobo Pono, dan Ustaz Ahmad Sani serta bekas calon PAS Pulai Sebatang dan Machap, Dr Ungku Mohd Noor Ungku Mahmood dan Ustaz Mohd Khalid Salikan.

Kemenangannya kini, kata beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Johor adalah kemenangan bersama.


Ujarnya, hutan yang tebal dengan frasa keramat ‘Tiang Seri Umno’ sudah ditebas dan petanda lonjakan sokongan PAS naik 100 peratus di negeri Johor.

“Masa dulu Cina takut (dengan PAS). Sekarang tidak. Ini yang Umno tak boleh tidur.

“Tahun 1999 saya bertanding di Serom, Tempat Abdul Ghani Othman, lawan Menteri Besar. ingat hilang deposit tapi saya dapat undi 7,000 dia dapat 15,000, kata orang not bad.

“Tahun 2004, saya bertanding di Machap. Dulu banyak kali kalah. Alhamdulillah, sekarang menang dengan majoriti lebih 3,000. Ini kemenangan semua, bukan saya seorang. Saya wakil rakyat semua orang di Johor,” jelas beliau lagi.


Pada PRU13 ini, beliau yang mendapat 20,357 undi menewaskan calon BN dan Bebas dengan majoriti 3,469 undi. Pada PRU12, calon BN menang dengan majoriti 5,721 undi.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau atas jalan Allah perjuangan diteruskan walau pun seorang diri manusia akhirnya cari jalan menuju kepada Allah juga itulah hebatnya jalan yang diredoi Allah.