29 Januari 2012

S'jaya diraja NFC jika Pakatan rampas Putrajaya

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

Pakatan Rakyat akan membentuk suruhanjaya diraja bagi menyiasat kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC) yang melibatkan dana kerajaan sebanyak RM250 juta sekiranya berjaya membentuk kerajaan persekutuan, kata Lim Kit Siang.

"Saya sudah berbincang dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau setuju apabila merampas Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13, Pakatan akan membentuk suruhanjaya diraja bagi menyiasat skandal NFC jika masih tiada ketelusan memuaskan seputar kontroversi itu," kata penasihat DAP itu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, pembentukan badan itu tidak diperlukan memandangkan langkah-langkah sedang diambil kerajaan melalui beberapa agensi penguatkuasaan sudah memadai.

Muhyiddin dilaporkan berkata, selain penjelasan dan laporan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berhubung isu itu, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terperinci.

Malaysiakini/-

Aung San Suu Kyi mula kempen pilihan raya Parlimen Myanmar

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

DAWEI: Pemimpin pembangkang, Aung San Suu Kyi muncul julung kali dalam kempen pilihan raya Parlimen Myanmar di kawasan pedalaman negara itu.

Pemenang Hadiah Nobel Keamanan berusia 66 tahun itu menghabiskan sebahagian besar hidupnya menentang pemerintahan tentera tetapi 15 tahun daripada 23 tahun diletakkan dalam tahanan rumah dan tidak pernah menjadi Ahli Parlimen.

Jika Suu Kyi menang, beliau hanya mempunyai kuasa terhad dalam dewan perwakilan yang masih dikuasai tentera dan parti pemerintah tetapi kemenangan akan menjadi simbol serta memberi peluang beliau untuk bersuara dalam kerajaan buat kali pertama. - AP

Pensyarah Korea bimbang tulisan jawi semakin dilupakan

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Pakar tulisan jawi berbangsa Korea melahirkan kebimbangan tulisan itu semakin dilupakan terutama di kalangan generasi muda di negara ini.

Prof Dr Kang Kyoung Seok, dari Pusan University of Foreign Studies, mula mengkaji tulisan jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia.

Katanya, tulisan jawi sedang "tenat" dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti.

"Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?," katanya yang fasih berbahasa Melayu kepada Bernama.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, menegaskan media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas.

Beliau berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat di negara ini membacanya. - BERNAMA

26 maut dalam kebakaran di pusat pemulihan di Peru

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LIMA: Sekurang-kurangnya 26 maut dalam kebakaran di pusat pemulihan penagih dadah swasta setinggi dua tingkat ketika bomba memecahkan dinding untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap di dalam.

Pusat pemulihan untuk penagih dadah dan kaki botol itu tidak mempunyai lesen dan terlalu padat serta penghuninya tinggal "seperti banduan", kata Menteri Kesihatan Peru, Alberto Tejada.

Seramai enam orang diselamatkan dikejarkan ke hospital dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Kebanyakan yang maut disebabkan sesak nafas. - AP

Gempa bumi 5.7 magnitud gegar New Zealand

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

WELLINGTON: Gempa bumi sederhana berukuran 5.7 magnitud menggegarkan Pulau Kermadec, New Zealand pagi tadi tetapi tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gegaran itu melanda pada kira-kira jam 1.42 pagi waktu tempatan pada kedalaman 32 kilometer, 65 kilometer timur Pulau Raoul dan 926 kilometer selatan barat daya Tonga.

Kajian Geografi Amerika Syarikat berkata, pada mulanya gegaran dilaporkan berukuran 62. magnitud tetapi kemudiannya dikurangkan. - AFP

Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Amerika Syarikat


5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] - PELARI Jamaica, Asafa Powell (kiri) melintasi garisan penamat acara pecut 50 meter menewaskan rakan senegaranya, Justin Gatlin (kanan) dan pelari tuan rumah, Nesta Carter pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Amerika Syarikat di Madison Square Garden, New York, hari ini. - Foto REUTERS

Kenapa Melayu tak lagi takutkan DAP

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -
Zairil Khir Johari

Isu penyertaan beberapa orang Melayu ke dalam DAP baru-baru ini sedang hangat dibicarakan, terutama sekali di kalangan pemimpin-pemimpin Umno yang seolah-olah teruja dengan perkara yang sebenarnya tidaklah luar biasa sangat.

Yang terbaru, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri telah menyindir bahawa DAP tidak pernah membela kepentingan orang Melayu, manakala ketua Puteri Umno pula menuduh kerajaan negeri Pulau Pinang menganaktirikan masyarakat Melayu di sana.

Tuduhan pemimpin-pemimpin Umno ini jelas palsu kerana sejarah jelas membuktikan bahawa DAP adalah parti yang membela sesiapa sahaja yang ditindas, tanpa mengira warna kulit atau agama.

Lebih sedekad lalu setiausaha agung DAP yang kini merangkap ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak teragak-agak untuk membela seorang anak gadis Melayu yang tercabul, sehingga beliau sendiri terpaksa meringkuk dalam penjara akibat dimangsakan oleh undang-undang yang berat sebelah.

Mungkin pemimpin-pemimpin Umno, terutamanya yang bertaraf Puteri atau Putera, malah Pemuda, tidak tahu atau tidak mengingati akan insiden ini. Atau pun pemimpin-pemimpin Umno sengaja tidak mahu ingat kerana yang terlibat itu adalah seorang pemimpin daripada kalangan parti mereka.

Di Pulau Pinang pula, kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan Lim Guan Eng giat melaksanakan program-program kebajikan sosial yang disasarkan kepada pelbagai golongan seperti warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya, keluarga-keluarga muda serta pelajar-pelajar sekolah dan universiti adalah contoh-contoh dasar yang membantu golongan masyarakat yang paling memerlukannya.

Dasar yang dilaksanakan ini jelas tidak bersifat perkauman. Namun, rata-rata golongan yang paling banyak menerima bantuan adalah masyarakat Melayu yang selama ini dipinggirkan dan disia-siakan oleh Kerajaan Umno yang kononnya memperjuangkan kepentingan mereka.

Bagi hal-ehwal agama Islam pula, kerajaan Umno-BN hanya memperuntukkan RM12 juta setahun. Di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, jumlah ini telah dinaikkan setiap tahun sehingga peruntukan untuk tahun 2012 sudah pun mencecah RM64 juta, iaitu lima kali ganda lebih.

Peruntukan besar ini merangkumi usaha-usaha untuk, antara lainnya, pembesaran tapak perkuburan Islam, pembangunan sekolah agama rakyat, elaun-elaun untuk pegawai masjid, guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), para huffaz serta progam-program sambutan kebesaran Islam (yang mengikut fitnah Umno tidak disambut sama sekali di Pulau Pinang). Tidakkah ini membantu masyarakat Islam yang rata-ratanya orang Melayu?

Tambahan pula, sistem tender terbuka yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri telah menampakkan kejayaan kontraktor-kontraktor Melayu yang selama empat tahun sejak perlangsungannya telah memenangi lebih 70 peratus daripada semua tender kerajaan Negeri. Lebih penting sekali, mereka telah berjaya secara sah dan tanpa bantuan atau pengaruh politik.

Dalam erti kata lain, bukan sahaja usahawan-usahawan Melayu telah berjaya dalam suasana persaingan, mereka juga dimartabatkan kerana berjaya atas daya usaha mereka sendiri.

Sekiranya pemimpin-pemimpin Umno merasa bahawa warga Melayu di Pulau Pinang berada dalam keadaan tertindas dan tidak maju, bukankah itu salah kerajaan BN yang telah memerintah selama lebih 50 tahun di Pulau Pinang?

Umno sudah tidak layak untuk membela nasib orang Melayu. Ini kerana mereka hanya tahu satu jalan penyelesaian, iaitu dalam bentuk skim cepat kaya yakni Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan syarikat-syarikat penjana tenaga elektrik bebas (IPP), konsesi-konsesi berat sebelah dengan syarikat-syarikat pengendali tol lebuh raya, skandal RM250 juta National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarga seorang menteri dan juga penyenaraian Felda Global Ventures yang bakal menguntungkan segelintir kroni elit.

Kerajaan tidak pernah menganaktirikan sesiapa pun. Yang melemahkan orang Melayu adalah pucuk pimpinan Umno yang mahu mengekalkan kuasa melalui kebergantungan orang Melayu kepada Umno. Dalam erti kata lain, kuasa Umno adalah kemudaratan orang Melayu.

Kerana itu, tidak hairanlah kenapa orang Melayu yang makin celik dan sedar akan kemungkaran Umno dan sekutu-sekutunya tidak akan takut lagi untuk memilih DAP yang mengutamakan rakyat Malaysia dan menawarkan siasah baru yang berteraskan demokrasi, hak asasi dan peluang saksama.

Penulis bertugas sebagai setiausaha politik kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Kucing dapat lutut palsu

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -


CYRANO duduk di atas meja pada satu sidang akhbar di Universiti Negeri Carolina Utara di Raleigh, Carolina Utara Rabu lepas.

RALEIGH, Amerika Syarikat - Kerana Cyrano memiliki berat lebih 9 kilogram, ia akan lumpuh jika satu kakinya yang lemah akibat kanser dipotong.

Cyrano atau nama penuhnya, Cyrano L. Catte II menjalani rawatan Universiti Colorado pada tahun lalu selepas satu kaki belakangnya diserang kanser. Cyrano semakin sembuh selepas dirawat tetapi kaki tersebut hampir tidak dapat berfungsi.

Justeru, pemilik kucing jantan itu, Sandra Lerner dan pasangannya, Len Bosack merayu bantuan sekumpulan doktor dan jurutera Universiti Carolina Utara supaya haiwan kesayangan mereka dapat bergerak kembali.

Pada Khamis lalu, kucing berusia 10 tahun itu yang tinggal di sebuah rumah agam di sini menerima implan lutut prosthetik kucing pertama di AS.

"Ini adalah lutut palsu paling sukar yang pernah dibina di negeri ini," kata pakar bedah haiwan, Denis Marcellin-Little.

Kucing berkenaan kini semakin sihat selepas menjalani pembedahan untuk memasukkan implan sepanjang 5 sentimeter diperbuat daripada plastik dan aloi itu pada kos sekitar AS$20,000 (RM60,820). - Agensi

Syarikat penerbangan Spanair muflis

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

GAMBAR fail pada 20 Ogos 2008 menunjukkan sebuah pesawat Spanair berlepas dari lapangan terbang Barajas di Madrid.


MADRID, Sepanyo - Berpuluh ribu penumpang di lapangan-lapangan terbang Sepanyol terkandas semalam selepas syarikat penerbangan tempatan, Spanair membatalkan semua penerbangannya secara mendadak.

Spanair menutup operasinya kelmarin sebelum ia memfailkan perintah perlindungan muflis.

"Berdepan masalah kewangan yang sukar untuk beberapa bulan akan datang, syarikat ini memutuskan untuk menutup operasinya sebagai langkah berjaga-jaga dan keselamatan," kata pihak pengurusan Spanair dalam satu kenyataan petang kelmarin.

Penerbangan terakhir Spanair mendarat pada malam kelmarin manakala pesaingnya seperti syarikat penerbangan Iberia, Vueling dan Easyjet ditugaskan mengangkut penumpang yang terkandas.

Media Sepanyol melaporkan sekurang-kurangnya 22,000 penumpang terjejas akibat penutupan tersebut.

Pihak berkuasa lapangan terbang Sepanyol, AENA pula memberitahu, sebanyak 55 penerbangan Spanair di lapangan terbang Madrid dibatalkan manakala 54 lagi penerbangan di Barcelona menerima nasib sama selain beberapa lagi penerbangan di Palma de Mallorca dan Gran Canaria.

Spanair yang ditubuhkan pada 1986 pernah cuba untuk bergabung dengan Qatar Airways bagi menyelesaikan masalah kewangannya tetapi penggabungan tersebut tidak berhasil.

Pihak berkuasa wilayah Catalan yang memiliki kepentingan dalam Spanair memberitahu, ia tidak lagi mampu untuk menampung kos operasi syarikat berkenaan berikutan pemotongan bajet oleh kerajaan selepas banyak negara Eropah dibebani krisis hutang.

Spanair memiliki 36 buah pesawat dan terbang ke 19 destinasi domestik dan 24 destinasi antarabangsa termasuk Algiers di Algeria serta Warsaw di Poland.

Pada 2008, sebuah pesawat Spanair terhempas sejurus selepas ia berlepas dari lapangan terbang Madrid dengan menyebabkan 154 orang terbunuh. - AFP

Piala FA : Liverpool 2, United 1


5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -PENYERANG Liverpool dari Belanda, Dirk Kuyt menggunakan peluang merembat kencang gol kemenangan pasukannya ketika pertahanan Manchester United sudah tertewas bagi membolehkan kelab Merseyside itu menempah tiket ke kelompok 16 pasukan terakhir saingan Piala FA pada perlawanan di Anfield, Liverpool, malam tadi. Keputusan Liverpool 2, United 1. - Foto AFP

Skandal tabloid Britain, polis tahan lima suspek

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

LONDON 29 Jan. – Polis Britain semalam menahan lima orang suspek termasuk tiga staf syarikat tabloid Sun, seorang bekas staf dan seorang anggota polis atas tuduhan memberi dan menerima rasuah untuk mendapatkan maklumat.

Polis turut menggeledah pejabat syarikat itu dalam meneruskan siasatan berhubung kes penggodaman telefon yang menyebabkan syarikat tabloid minggu News of the World milik jutawan media, Rupert Murdoch ditamatkan operasinya pada Ogos tahun lalu.

Tiga staf tersebut ditahan di rumah masing-masing, manakala bekas staf Murdoch menyerah diri di balai polis dan anggota polis terbabit ditahan di tempat kerjanya. – REUTERS

Majlis Kebangsaan Syria mohon perlindungan PBB

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

ISTANBUL 29 Jan. – Majlis Kebangsaan Syria (SNC) akan memohon perlindungan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu daripada rejim Presiden Bashar al-Assad, kata jurucakap majlis itu semalam.

Ahli eksekutif SNC di Turki, Samir Neshar berkata, Burhan Ghaliun akan mengetuai kumpulan pembangkang itu untuk membuat permohonan itu hari ini bagi membincangkan krisis di Syria serta meminta perlindungan Majlis Keselamatan.

Turki, yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Damsyik, sebelum ini menjadi orang tengah dalam pertemuan antara kumpulan pembangkang dan askar Syria yang membelot. – AFP

Presiden Yemen tiba di Britain

5 Rabi'ul Awal 1433H. [MOD] -

SANAA 29 Jan. - Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh (Gambar) yang dalam penerbangannya dari Oman ke Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan rawatan perubatan, tiba di Britain, semalam.

Jurucakap Kementerian Luar Britain berkata, pesawat yang membawa Saleh mendarat di lapangan terbang Stansted untuk mengisi minyak sebelum berlepas ke AS.

"Ini merupakan rutin biasa penerbangan. Presiden (Saleh) atau wakil kerajaan Yemen tidak menjangka pesawat mereka memasuki Britian," kata jurucakap terbabit. - AFP