11 Disember 2011

Projek lembu: Ghapur pula gesa Shahrizat letak jawatan

16 Muharram 1433H. [MOD] -

Seorang lagi pemimpin BN hari ini menggesa Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya melepaskan jawatan parti dan kerajaan yang disandanganya berikutan kontroversi projek ternakan lembu, Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Ahli parlimen Kalabakan Datuk Abdul Ghapur Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kalabakan berkata Shahrizat perlu berbuat demikian demi kepentingan BN dan Umno, salah sebuah parti komponen, yang bakal berdepan pilihan raya umum ke-13.

“Ini adalah isu paling besar yang berlaku dalam sejarah kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia cukup memalukan dan kita tidak mahu isu ini menjejaskan BN dan Umno. Kalau isu ini sampai pada waktu pilihan raya, saya rasa undi kita akan kurang," katanya.

Ghapur diminta mengulas mengenai isu itu selepas merasmikan majlis berkhatan beramai-ramai kanak-kanak kawasan Dewan Undangan Negeri Merotai di Kg Pasir Putih, di Tawau.

Ditanya jika Shahrizat masih mendapat sokongan Pergerakan Wanita Umno, Ghapur berkata, "Ini bukan soal sokong-menyokong tetapi ini soal keseluruhan parti. Bila kita buat salah, kita mesti bertanggungjawab".

Menurut Ghapur di negara maju seperti Amerika Syarikat jika sesuatu isu atau skandal menimpa seseorang pemimpin, pemimpin yang terlibat akan segera meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab.

"Kita juga perlu tahu bahawa bukan pembangkang yang bongkar isu ini tetapi ia didedahkan oleh Ketua Audit Negara,” tambah Ghapur.

- Bernama

Mangsa banjir di Kuantan meningkat kepada 77 orang

15 Muharram 1433H. [MOD] -

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan di daerah ini meningkat kepada 77 orang sehingga jam 5 petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, peningkatan itu susulan pemindahan mangsa banjir terbaru seramai 13 orang di Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, kira-kira jam 4 petang tadi.

Selain itu, masih ada 19 mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Indera Mahkota dan 45 orang di Tadika Perpaduan Cenderawasih, katanya kepada Bernama, di sini.
Penduduk di daerah itu juga diminta berjaga-jaga kerana hujan masih berterusan.

"Paras sungai utama di Pahang iaitu Sungai Pahang dan Sungai Kuantan masih berada pada paras berjaga-jaga," katanya.

Tiada kejadian banjir di daerah lain di Pahang dilaporkan setakat ini, katanya. - BERNAMA

Hanya 800 orang mangsa telefon digodam akhbar Murdoch

15 Muharram 1433H. [MOD] -

LONDON 11 Dis. – Polis Britain semalam menyatakan jumlah mangsa yang pernah digodam telefon oleh akhbar milik Rupert Murdoch, News of the World adalah seramai 800 orang, jauh kurang daripada andaian awal.

Menurut pegawai polis yang menyiasat skandal akhbar tersebut, polis telah menghubungi semua orang yang telefon peti simpanan suaranya digodam.

Bulan lalu, polis telah mengenal pasti 5,800 orang yang berpotensi menjadi mangsa telefon mereka digodam berdasarkan nama-nama yang ditemui dalam nota milik Glenn Mulcaire, penyiasat persendirian yang dipenjarakan kerana menggodam telefon pada tahun 2007. - AFP

3 rakyat China kongsi bilik hotel dengan 100 ular ditahan

15 Muharram 1433H. [MOD] -

COLOGNE, Jerman 11 Dis. – Seramai tiga orang yang berkongsi bilik hotel di Cologne bersama-sama 100 ekor ular, hampir 70 ekor kura-kura dan 20 ekor katak warna terang telah ditahan polis tempatan semalam.

Seorang pekerja hotel menelefon polis dan melaporkan tiga orang dari China yang menginap di hotel tersebut berada dalam keadaan meragukan.

Polis kemudian memeriksa beg-beg mereka dan menemui haiwan reptilia itu di dalamnya,

Jurucakap polis berkata, haiwan-haiwan tersebut belum diasingkan mengikut spesiesnya lagi membuatkan mereka masih tidak dapat mengenal pasti sama ada ia merupakan haiwan yang hampir pupus, beracun atau kedua-duanya sekali.

Mereka bertiga kemudian dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak $1,300 (RM4,000). - dpa

Agong, Raja Permaisuri hadiri jamuan menjunjung kasih

15 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Tuanku Mizan Zainal Abidin malam ini berangkat menghadiri majlis santapan menjunjung kasih sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13, di Istana Negara di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong, Raja Tuanku Nur Zahirah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Acara Tamat Tempoh Pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-13, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Tuanku Mizan bertitah, kerajaan di bawah pentadbiran Najib telah memberikan kerjasama cemerlang sepanjang tempoh pemerintahan baginda.

"Ia secara langsung membolehkan beta melunaskan amanah selaku Ketua Negara dengan sebaik-baiknya demi negara kita yang tercinta ini,” titah baginda. – Bernama

0 maut, bas dan trak bertembung di Afrika Selatan

15 Muharram 1433H. [MOD] -

DURBAN (Afrika Selatan): Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh apabila bas mini yang sarat dengan penumpang bertembung dengan sebuah trak di wilayah Free State, Afrika Selatan, semalam.

Pihak berkuasa tempatan berkata, kemalangan tersebut turut mengorbankan 10 kanak-kanak manakala tujuh lagi dilaporkan cedera parah.

Bas mini di Afrika Selatan secara rasminya mempunyai ruang untuk 16 penumpang saja, tetapi pemandu membawa sehingga 35 orang.

Polis berkata, pemandu bas itu disyaki hilang kawalan mengendalikan bas mini berkenaan ketika melalui selekoh. - AFP

Pahang kembali dilanda banjir

15 Muharram 1433H-

Pahang kembali dilanda banjir apabila seramai 10 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan di daerah Kuantan sejak malam tadi.

Mereka yang dipindahkan terdiri daripada penduduk Kampung Sungai Isap Damai, ungai Isap Perdana, Kampung Tiram, Kampung Segantang Lada, Kampung Razali, anah Putih serta Cenderawasih.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, semua angsa dipindahkan sejak tengah malam tadi berikutan hujan lebat sejak semalam ang menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air antara 0.5 hingga 1.5 meter.

"Daripada jumlah itu, seramai 42 orang dipindahkan ke Sekolah Menengah ebangsaan Bukit Rangin; dewan orang ramai Kampung Tiram (19), Sekolah ebangsaan Galing (4) dan Tadika Perpaduan Cenderawasih (45)," katanya di Kuantan, hari ini.

Tiada kejadian banjir dilaporkan di daerah lain setakat ini, katanya.

Namun katanya, orang ramai terutama yang berada di kawasan berisiko banjir iminta berhati-hati berikutan hujan lebat masih berterusan pada hari ini.

"Orang ramai perlulah  segera berpindah jika diminta berbuat demikian oleh pihak keselamatan," katanya.- Bernama

Nik Aziz bidas Umno guna istilah ‘jihad’ hadapi PRU-13

15 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyelar penggunaan istilah jihad oleh Umno, dalam perhimpunan agungnya minggu lalu, bagi mengajak lebih tiga juta ahlinya menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Menurut Nik Aziz (gambar), istilah jihad itu berasal daripada al-Quran dan hanya sesuai digunakan untuk tujuan menegakkan Islam.

Justeru, beliau mempersoal jihad yang dimaksudkan Umno sedangkan parti itu terpalit dengan salah guna kuasa dan rasuah.

“Jihad ini istilah al-Quran. Kerana apa mereka curi perkataan jihad dan tafsir mengikut kefahaman sendiri?

“Mereka sifatkan jihad untuk mempertahankan orang Melayu. Islam bukan untuk orang Melayu, bukan untuk Arab, bukan untuk Cina tapi untuk manusia,” katanya dipetik Harakahdaily.

Ketika berucap merasmikan secara serentak Persidangan Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno minggu lalu, Timbalan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa ahli-ahli Umno berjihad untuk mempertahankan kuasa orang Melayu dengan mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 yang menurunya merupakan “ibu segala pilihan raya.”

Susulan tsunami politik tiga tahun lalu, Muhyididn menegaskan, pilihan raya umum ke-13 akan menentukan jatuh bangun umat Melayu dan kelangsungan mereka.

“Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13 adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?” kata beliau.

Malah dalam ucapannya, sambil menyifatkan PAS berhadapan dengan pilihan raya “setiap hari”, Nik Aziz ibaratkan Umno sebagai bas ekspres yang singgah di tengah jalan untuk makan buah-buahan tetapi tidak sampai ke destinasi disasarkan.

“Umno atau golongan sekular kalau kita andaikan, seperti bas ekspres dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Tapi berhenti di Gua Musang, terliur tengok buah-buahan banyak, maka berhenti di situ sahaja, tak sampai ke Kuala Lumpur,” kata beliau menyampaikan ucaptama pada Ijtimak Tarbawi Pilihan Raya di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad dekat sini, hari ini.

“Samalah dengan Umno, nak ke syurga tapi tersekat separuh jalan kerana terpedaya dengan segala pembangunan dan kekayaan di dunia,” kata beliau yang juga Menteri Besar Kelantan.

Sehubungan itu, Nik Aziz mengingatkan ahli agar memanfaatkan sistem pilihan raya yang ada untuk memenangkan PAS agar dapat berjihad menegakkan Islam.

Ini kerana menurut Nik Aziz, tanpa kuasa amat sukar untuk PAS membanteras segala kemungkaran di muka bumi, khususnya yang dilakukan orang Islam sendiri.

“Tanpa kuasa, kita boleh menyatakan haramnya judi, arak, hiburan melampau batas dan sebagainya, namun ia hanya akan terbatas di mimbar masjid dan helaian kitab sahaja tanpa ditegakkan dalan sistem pemerintahan,” katanya lagi.

Nik Aziz juga berkata perjuangan PAS bukan semata-mata menentang Umno BN, tetapi yang lebih utama menentang ajaran sekular yang didukung parti itu.

Katanya, akibat memperjuangkan sekular, orang Umno tidak diingatkan mengenai kewajipan melawan hawa nafsu dan menolak pujuk rayu syaitan.

“Perjuangan PAS bukan perjuangan menentang Umno semata-mata tapi yang lebih besar mengajar manusia mengikat hawa nafsu.

“Pilihan raya bukan hanya lima tahun sekali, tapi orang Islam melakukan pilihan raya setiap hari, sepanjang masa.

“Umno tidak pernah didengarkan oleh pemimpin mereka untuk menjauhkan diri dari syaitan,” kata beliau lagi.

themalaysianinsider/-


Pengarah Besar Felda Dzulkifli diarah cuti lapan bulan

15 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Felda yang menjadi perhatian sejak beberapa bulan lalu disebabkan isu kepimpinan dan penyenaraian, dijangka berhadapan dengan kontroversi baru ekoran arahan agar Pengarah Besarnya Datuk Dzulkifli Abd Wahab bercuti selama lapan bulan.

Dzulkifli menerima surat berkenaan keputusan itu petang semalam.

The Malaysian Insider difahamkan arahan itu dikeluarkan di sebalik dakwaan bahawa Dzulkifli, yang dilantik ke jawatan itu dua tahun lalu, tidak sehaluan dengan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dalam banyak perkara kontroversi, yang mendapat protes peneroka.

Antara perkara itu termasuklah proses penyenaraian Felda Global Ventures yang akan dilaksanakan tahun depan, isu perjanjian pajakan tanah dan kepimpinan Isa sebagai pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF) sendiri.

Beberapa sumber rapat dengan Felda mengesahkan perkara tersebut sambil mendakwa ia memang mengejutkan banyak pihak.

Kata mereka, perkembangan itu akan merumitkan lagi dilema yang menyelubungi para peneroka.

“Saya dimaklumkan malam tadi bahawa Datuk Dzulkifli telah diarah bercuti selama lapan bulan, Datuk Dzulkifli terima surat petang semalam,” kata sumber itu.

“Saya juga ada bercakap dengan Datuk Dzulkifli, saya pun dapat maklumat yang sama,” kata satu lagi sumber yang percaya ia satu langkah awal mahu menyingkirkan beliau dari Felda selain menyisihkan peranannya dalam proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings.

Penyenaraian itu akan menyebabkan 360,000 hektar tanah milik Felda Plantations dipajakkan. Proses itu juga akan melibatkan peranan KPF.

Bagaimanapun Dzulkifli yang dihubungi pagi ini enggan mengulas mengenai perkara itu.

“Tiada komen,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Beliau memberi jawapan yang sama apabila ditanya mengenai tindakan susulannya ekoran perkembangan tersebut.

“Saya tidak mahu komen,” katanya lagi.

Dzulkifli yang telah 30 tahun berkhidmat di Felda sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Besar (Perusahaan Perladangan dan Pembangunan Kebun) agensi pusat itu.

Sumber juga memberitahu, Isa yang mengetuai Felda sejak awal tahun ini telah meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar campur tangan dalam ‘kontroversi’ semasa agensi berkenaan dan permintaan itu telah diluluskan.

“Maklumat yang saya terima menunjukkan surat mengenai arahan bercuti dikeluarkan menerusi setiausaha sulit kanan perdana menteri, sebab Felda terletak di bawah penyeliaan Jabatan Perdana Menteri,” kata sumber itu dan menambah bahawa surat arahan itu walaupun dikeluarkan semalam tetapi bertarikh 21 November lalu.

“Bermakna tarikh kuat kuasa surat telah dipercepatkan, proses penyenaraian akan dijalankan semasa beliau bercuti” katanya lagi.

Proses penyenaraian di Bursa Saham dijadual akan dilaksanakan pertengahan tahun depan.

Isu terbaru ini muncul kira-kira dua minggu selepas Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Shamsuddin Othman meminta Isa memohon maaf atas alasan telah menghina beliau pada satu majlis terbuka.

Isa menegaskan beliau tidak akan meminta maaf.

Shamsudin, 59, yang juga Naib Pengerusi Jawatankuasa Perunding Peneroka Wilayah Johor Bahru, merupakan satu-satunya wakil peneroka yang berada dalam Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Konfrontasi antara peneroka dengan Pengerusi Felda bermula apabila Isa didakwa dilantik secara ‘kontroversi’ menjadi pengerusi KPF dengan mengetepikan Zulkifli dan perkembangan itu menyebabkan kepimpinan Felda terpecah dua kepada dua kelompok.

Sebelum ini, Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) melancarkan kempen mendakwa Isa sebenarnya tidak layak menjadi ahli KPF dan keahliannya dalam koperasi adalah bertentangan dengan undang-undang disebabkan jawatan beliau sebagai pengerusi koperasi hanya bertaraf kontrak.

Undang-Undang Kecil KPF mensyaratkan bahawa mereka yang layak menjadi ahli KPF ialah peneroka Felda, isteri dan anak-anak dan juga kakitangan Felda yang berstatus tetap.

Anak telah membawa kes berkenaan ke Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

themalaysianinsider/-

Gerhana bulan penuh


15 Muharram 1433H. [MOD] - 10 DIS 2011: Gerhana bulan penuh yang berlaku pada pukul 9.29 malam dapat disaksi di Planetarium Negara, Kuala Lumpur. -

Kapal selam: Jangan percaya putar belit media BN

15 Muharram 1433H. [MOD] -
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 10 Dis: Menyelam dalam Kapal Selam KD Tun Razak 21 buan selepas cabaran dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak dapat menyembunyikan hakikat bahawa kapal selam itu tidak dapat menyelam semasa penyerahan dan juga sama ada ia berbaloi berdasarkan harga pembeliannya RM3.68 bilion untuk dua kapal selam.

“Bagaimanapun, dua fakta penantian 21 bulan dan keperluan pembelian dengan harga yang tinggi tidak diketengahkan oleh media utama dari Utusan Malaysia hingga ke Bernama, sebaliknya, pihak tersebut tidak malu memfokuskan kenyataan saya yang ingin mengesahkan pembelian dua kapal selam yang mahal,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Katanya, rakyat Malaysia tidak seharusnya percaya laporan media BN yang mana diputarbelit dan dirosakkan untuk membetulkan fakta penipuan bagi membantu BN berhadapan dengan pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang juga ingin mengulangi soalan sebelum ini berhubung pemberian kontrak perkhidmatan atau “komisyen” kepada Perimekar Sdn Bhd.

“Zahid telah mencabar saya di Parlimen pada 17 Mac 2010 untuk menyelam di dalam kapal selam tersebut bagi membuktikan bahawa ia (kapal selam) dapat menyelam apabila beliau tidak dapat memberikan jawapan terhadap desakan saya bahawa Kerajaan telah memulangkan kapal selam tersebut kepada pengeluar untuk digantikan dengan yang baru,” katanya.

Hakikatnya, kata beliau apabila seseorang membeli kereta baru dan mendapati ia terdapat kecacatan, anda akan bawa kereta tersebut ke pusat pembelian dan pohon yang baru.

Bagaimanapun, jelasnya Zahid enggan menerima cadangannya dan mencabar untuk menyelam bersama kapal selam berkenaan.

Katanya, beliau dengan segera menerima jemputan tersebut tetapi tanpa disedari ia perlu mengambil masa 21 bulan untuk Zahid memenuhi cabarannya.

Menurutnya, sama ada kelewatan 21 bulan tersebut adalah disebabkan oleh kecacatan teknikal yang tidak dimaklumkan.

Tambahnya, tiada pertikaian profesionalisme, kepakaran dan pengorbanan pasukan tentera laut kita di sini, termasuk pasukan kapal selam Malaysia.

“Semua ketidakgembiraan kami adalah mengenai harga, PR dan rakyat Malaysia inginkan yang terbaik untuk pasukan tentera laut kita dan tidak pernah mempersoalkan perkhidmatan cemerlang pasukan terbabit kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, Zahid tidak menyelam bersamanya sebagaimana dijanjikan ekoran beliau menyatakan bahawa terdapat tugas rasmi lain bersama Sultan Johor.

Guan Eng dimaklumkan bahawa tiada blogger lain yang dibawa bersama.

Pada awalnya, kata beliau blogger Papagomo sepatutnya dibawa bersama, tetapi beliau membantah.

Ini, katanya kerana beliau tidak ingin berada di dalam kapal selam sama bersama seorang penipu yang membuli anak-anak muda, yang mana membuat kenyataan palsu seksual terhadap anak lelakinya berusia 15 tahun mencabuli rakan sekelasnya.

“Saya tidak pernah berjumpa papagomo dan Zahid telah berjanji bahawa Papagomo akan dikeluarkan. Semasa menyelam, saya ternampak dua krew TV3 dan seorang wartawan Bernama," ujarnya.

Tambahnya lagi, Zahid sepatutnya menjelaskan bahawa tidak menipunya dan juga pihak media.

Bagaimanapun, katanya ekoran penglibatan wang awam sebanyak RM4.23 bilion di dalam pembelian dan penyelenggaraan 2 kapal selam tersebut, persoalan terus kekal berhubung kos pembelian tinggi dan pemberian kontrak perkhidmatan kepada syarikat yang tidak mempunyai rekod ataupun pengalaman di dalam membaiki dan menyelenggara kapal selam.

Katanya, kerajaan BN perlu sedar bahawa ia bukan hanya membabitkan wang awam yang banyak berjumlah RM4.23 bilion, sebaliknya, keselamatan kelasi adalah amat penting bagi memastikan standard tertinggi atau keselamatan dan kawalan adalah diselenggara oleh pakar syarikat perpengalaman dengan trek rekod terbukti.

1,160 pemimpin PAS lafaz ikrar bai'ah hari ini

15 Muharram 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 10 Dis: Seramai 1,160 orang pemimpin PAS dari seluruh negara melafazkan ikrar bai'ah memikul tanggungjawab kepada perjuangan parti untuk menegakkan perintah Allah di negara ini, di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Mereka terdiri daripada Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat; Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat; Ahli-ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihanraya PAS Pusat; Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat.

Selain itu termasuk Yang Dipertua dan Setiausaha PAS kawasan-kawasan: Pengarah dan Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS negeri-negeri; Pengarah, Setiausaha dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pilihanraya PAS kawasan-kawasan; Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah PAS negeri-negeri.

Turut serta Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah PAS kawasan-kawasan; Pengerusi dan Setiusaha Lajnah Tarbiyah Dewan Ulama negeri, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS negeri; Pengerusi dan Setiausaha Lajnah Tarbiyah Urusan Ulama kawasan, Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat kawasan dan 10 orang wakil Nisa' negeri-negeri.

Bacaan ikrar bai'ah diketuai oleh Pengarah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dengan diikuti Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Naib-Naib Presiden dan pemimpin-pemimpin utama PAS lain bersama-sama pemimpin-pemimpin terbabit.

Lafaz baiah tersebut dibacakan sekitar jam 3.30 petang yang berbunyi: "Alhamdulillahi hirabbil alamin, wassalatu wassalam ala asrafil ambiai warmusalin, waala alihi wa sohbihi ajmain, am ma bad ......

"Dengan nama Allah yang telah mengutuskan rasul-Nya Muhammad sallallahu alaihi wasallam, saya dengan ini berikrar dan berbai'ah bahawa saya akan memikul amanah dan tanggungjawab dalam mengikhlaskan diri kepada perjuangan PAS untuk menegakkan agama/perintah Allah subhanahu wataala dan rasul-Nya.

"Saya juga akan sentiasa menjaga dan memelihara semua perkara yang menjadi kerahsiaan urusan dan perjalanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS)".

Ikrar bai'ah itu dilafaz dengan Idris, Abdul Hadi, kepimpinan utama parti dan kesemua pemimpin terbabit berdiri sambil tangan memegang kertas yang bercetak kata-kata tersebut, tetapi tidak dengan mengangkat tangan seperti ikrar-ikrar yang dibuat oleh sesetengah pihak.

Lafaz ikrar bai'ah itu dibuat sempena program Ijtimak Tarbawi Pilihanraya anjuran Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat dengan kerjasama Lajnah Politik PAS Pusat di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor di KUIZM bermula jam 8.00 pagi tadi.

Ijtimak tersebut dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 9.15 pagi yang turut menyampaikan ucapannya atas tajuk "Teguhkan Jamaah Teruskan Jihad".

Selepas itu, program diteruskan dengan pembentangan kertas kerja pertama oleh Ustaz Idris Ahmad yang bertajuk "Peranan Tarbiyah Kepada Petugas Pilihan Raya".

Kertas kerja kedua pula dibentangkan oleh Bendahari PAS Pusat yang juga dari Majlis Syura, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang bertajuk "Jihad dan Penghayatannya - Bertekad Memenangi PRU 13".

Manakala majlis penutupnya disempurnakan oleh Abdul Hadi dengan ucapannya yang berkisar atas tajuk "Kesepaduan Fikrah dan Amal Jamaie Dalam Menghadapi PRU 13".

Sebaik sahaja Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang selesai menyampaikan ucapannya yang juga amanatnya selaku Presiden parti, pengerusi majlis terus menjemput Idris untuk memulakan majlis bai'ah yang dibacakan dengan penuh keikhlasan oleh beliau, Abdul Hadi, kepimpinan utama parti dan kesemua pemimpin terbabit.

Perpaduan suara mereka membuatkan Dewan Datuk Fadzil Noor bukan sekadar bergema dengan janji para pemimpin PAS untuk terus berbakti di jalan Allah, tetapi turut menjadi saksi tentang kesepaduan semangat mereka untuk menempuhi pelbagai halangan dalam usaha mendaulatkan agama Allah di tanah air ini.

Harakahdaily/-