22 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -
Seperti sudah menjadi tradisi bagi Umno BN apabila berlaku sahaja
sesuatu perkara buruk, maka yang dituding mereka sebagai dalang atau
penyebab adalah seorang individu bernama Anwar Ibrahim.
Lihat
sahaja sebelum ini, bermacam-macam tuduhan dikaitkan dengan Ketua
Pembangkang yang pernah mencetuskan reformasi ketika dipecat dari
jawatan timbalan perdana menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun
1998.
Tuduhan "Anwar agen yahudi", "Anwar pro-Israel", "Anwar
petualang bangsa", "Anwar......" bukan baru setahun dua di dengar, malah
sejak beliau dipecat dari kerajaan dan dianggap musuh utama oleh Umno
BN.
Dan terbaru dalam insiden pencerobohan tentera bersenjata
Filipina di Sabah sejak 22 hari lalu, yang telah menyebabkan lapan
anggota polis meninggal dunia, sekali lagi Anwar menjadi mangsa tuduhan.
Kali ini, Anwar yang juga Ketua Umum PKR itu dituduh 'dalang' kepada pencerobohan.
Dikatakan kumpulan penceroboh yang juga pengikut Sultan Sulu itu datang kononnya 'atas ajakan' Anwar Ibrahim.
Kumpulan
yang diketuai Raja Muda Azzimudie Kiram, adik kepada Sultan Sulu,
Jamalul Kiram III didakwa datang kerana menuntut janji dari sekutu Anwar
ke atas tanah Sabah.
Malah dituduh bahawa Anwar juga rapat
dengan pemimpin MNLF Nur Misuari, kumpulan yang dikaitkan dengan
pencerobohan di Sabah pada waktu ini.
Seperti biasa, fitnah
terancang dari blog-blog Umno ini dijaja pula oleh media Umno, Utusan
Malaysia dan TV3 yang dianggap sebagai penyebar maklumat mereka.
Lalu
di kampung-kampung khususnya, bertebaranlah fitnah ini dengan Anwar
dijadikan sasaran kebencian dan melupakan kelemahan dua menteri yang
menjaga soal keselamatan negara bertindak tegas dalam menangani isu ini.
Difahamkan
juga, ada beberapa tempat di Kelantan sehingga membuat majlis
penjelasan khas oleh penceramah Umno kepada masyarakat dengan menuduh
Anwar dalang disebalik semua yang berlaku.
Ianya tidak lain, bagi menanam kebencian rakyat kepada Anwar demi keuntungan politik mereka menjelang Pilihan Raya Umum ke-13.
Bagi
Anwar, segala tohmahan yang dilemparkan hanya cubaan menutup kelemahan
kerajaan menangani soal keselamatan negara sehingga menyebabkan beberapa
anggota polis menjadi mangsa korban.
(Kilik untuk menonton penjelasan Anwar)
"Agak aneh menteri dalam negeri dan menteri pertahanan lambat sekali
memberi reaksi. Seolah-olah Lahad Datu, Sabah boleh dikepong kelompok
asing dan kita tidak berupaya berbuat apa-apa kecuali berunding. Ini
menunjukkan kelemahan kita.
"Untuk mengalih pandangan (dari kelemahan kerajaan), blog-blog Umno mengatakan ini satu lagi kerja Anwar.
"Dengan
kelompok extrimis Islam pun Anwar, dengan Israel pun Anwar, dengan
Amerika pun Anwar, dengan India pun Anwar dengan Cina pun Anwar.
"Ini
hanya momok politik. Ini isu keselematan negara. Mereka gagal mengawal
keamaan gagal selesai isu ini dengan baik, lalu menyindir saya," kata
Anwar dalam satu rakaman video menjelaskan perkara itu.
Selain
menafikan tuduhan karut itu, Anwar melalui peguamnya hari ini telah
menghantar notis tuntutan maaf kepada Utusan dan TV3, memohon kedua-dua
media pro Umno itu menarik balik tuduhan dan menyiarkan permohonan maaf
kepadanya dalam masa 24 jam.
Gagal bebuat demikian dalam tempoh ditetapkan, TV3 dan Utusan masing-masing berdepan saman RM100 juta.
Di
tengah-tengah kekecohan tuduhan kepada Anwar itu, tersebar laporan dari
media Filipina bahawa kedatangan tentera Sulu ke Lahad Datu adalah
untuk menuntut janji Najib kepada mereka.
Gambar hubungan rapat antara pemimpin mereka dengan Najib juga disebarkan.
Inilah akibatnya kalau mulut kita terlalu deras untuk mencari kambing hitam ke atas segala kelemahan kita.
Akibatnya badan binasa, krebiliti kita tercalar.
harakahdaily/-