05 Mac 2013

Benarkah negara kita selamat?

22 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



Kalau difikirkan sedalam-dalam apa yang berlaku di Sabah sejak tiga minggu yang lepas dan hasilnya (kematian lapan orang anggota keselamatan) yang kita terima, kita sedang berada di dalam keadaan yang begitu ‘crucial’. Masalah bagi kita pula dalam menghadapi isu seperti ini, kita tidak dapat memberikan komen kerana pihak kerajaan akan menjawab yang isu keselamatan seperti ini bukannya orang awam seperti kita untuk membuat komen.
Tetapi dalam keadaan sekarang rakyat berhak untuk memberikan komen-komen kerana negara ini adalah hak rakyat dan merasakan keresahan dengan tahap keselamatan negara kita yang tercinta ini. Rakyat yang begitu lantang mengkritik tentang kelalaian kerajaan tentang pendatang asing ini tidak digemari oleh mereka yang membawa masuk mereka (pendatang asing) ini dahulu.

Rakyat merasakan tindakan membawa masuk pendatang asing itu sebagai satu pengkhianatan kepada negara tidak disukai oleh pihak yang mahukan pendatang asing itu berada di sini kerana politik dan kepentingan peribadi mereka. Bak kata perpatah ‘sudah terantuk baru hendak mengadah’ itu benar-benar terjadi. Tidak salah lagi pandangan orang ramai yang tindakan pimpinan negara memberikan kad pengenalan kepada ratusan ribu rakyat asing di Sabah dahulu merupakan satu isu keselamatan kepada negara kita.

Pencerobohan yang dilakukan oleh pengikut Sultan Sulu itu adalah pencerobohan yang dilakukan oleh mereka yang kita kenali. Malahan ketua kumpulan penceroboh itu adalah anak menantu kepada salah seorang ketua cawangan UMNO di Sabah dan seorang lagi penceroboh itu adalah besan kepada seorang lagi ketua cawangan UMNO di Negeri Bawah Bayu itu.

Pasukan polis kita tidak pula kemampuan untuk berhadapan dengan kumpulan bersenjata ini mungkin kerana tidak ada pengalaman berhadapan dengan situasi sebegini. Setakat ini PDRM hanya berpengalaman berhadapan dengan rakyat sendiri yang tidak berenjata seperti peserta rally Bersih dahulu sahaja. Kalau dengan rakyat sendiri yang lemah dan tidak bersenjata Polis kita menunjukan garang mereka yang hebat-hebat.

Penceroboh ini mungkin mempunyai kad pengenalan negara kita juga dan tempat mereka mendarat itu merupakan tempat yang mereka begitu ‘familiar’ dan bukannya tempat yang asing bagi mereka. Mereka begitu mengenali selok belok Lahat Datu, Kunak mahupun Semporna dan tidak menjadi masalah bagi mereka untuk bergerak secara mudah jika mereka melakukan pencerobohan.

Apabila ‘incursion’ ini berlaku satu perkara yang menjadi kehairanan bagi banyak orang awam yang memerlukan perlindungan pihak keselamatan kita bertanya, ‘kenapa Polis pula yang mengendalikan isu ini, kenapa tidak tentera kerana ini melibatkan ‘invasion’ orang asing dan kenapa begitu mudah nyawa anggota keselamatan kita melayang?’ Rakyat bertanya lagi kenapa tunggu sampai hampir tiga minggu untuk bertindak?

Apakah sebabnya begitu ramai anggota kita yang mati untuk berhadapan dengan hanya 200 orang penceroboh ke negara kita ini? Berapakah jumlah korban yang terpaksa kita alami jika seribu orang yang menceroboh? Secara matematiknya jika dua ratus orang penceroboh kita terpaksa mengorbankan 8 orang maka jika seribu orang yang menceroboh adakah kita terpaksa mengorbankan 40 orang?

Kenapa Najib tunjukkan sangat kenaifan beliau semasa memberikan sidang media tentang kematian anggota kita sedangkan beliau telah menjadi Menteri Pertahanan selama banyak tahun dulu? Kenapa Najib boleh berani bercakap yang anggota kita telah tertipu oleh musuh yang telah mengangkat bendera putih (menyerah) dan menembak anggota kita semasa anggota kita menghampiri mereka yang sudah mengangkat bendera putih itu?

Kata-kata Najib itu menampakkan sangat kenaifan beliau dan kata-kata beliau itu didengar oleh orang ramai, samada orang tempatan atau masyarakat antarabangsa. Tahukah Najib jika musuh itu yang mengangkat bendera putih adalah satu SOP (Standard Operation Procedure) yang pihak yang mengangkat bendera putih itu meletakkan senjata dan bergerak kepada pihak kita, bukannya kita yang bergerak kepada mereka?

Tetapi dalam kes ini Najib mengatakan yang anggota kita yang pergi menghampiri mereka yang mengangkat bendera putih itu. Bukankah ini membayangkan yang kita tidak mampu untuk memahami perkara yang mudah dan persoalannya bagaimana kita hendak mempertahankan negara kita jika kita diserang oleh musuh yang mempunyai senjata yang banyak dan bersama dengan persenjataan yang canggih?

Salahkah kita rakyat awam ini merasakan yang kita akan ‘crash even before taking off’ jika kita diserang oleh negara jiran yang mempunyai persenjataan yang canggih? Jika kita tidak tahu untuk mengendalikan kumpulan musuh yang menyerah diri bagaimanakah pihak kita hendak berperang dalam peperangan yang besar jika ia berlaku kepada negara kita?

Sekarang baru kita sedar yang selama ini pihak musuh telah bersedia untuk melakukan serangan terhadap negara kita dan kelalaian kita selama ini tidak membolehkan kita menyalahkan pihak mana-mana selain dari menyalahkan diri kita sendiri. Walaupun ramai rakyat merasakan yang mereka tidak mempunyai tahap keselamatan yang kukuh, tetapi kita setiap hari dijanjikan dengan jaminan untuk mendapatkan tahap keselamatan yang baik oleh pimpinan kita.

Sesungguhnya apa yang dirasakan oleh ramai rakyat kita selama ini sudah kita rasakan sekarang ini. Kita tidak mempunyai tahap keselamatan yang sebenarnya. Itulah sebabnya jika orang ramai mengkritik tentang bahayanya di sempadan negara itu jangan dituduh rakyat dipergunakan oleh pihak lain kerana politik. Sekarang jelas isu rakyat Sabah yang mempunyai dua kad pengenalan ini benar-benar memakan diri kita sendiri. Jika rakyat asal sendiri mempunyau perasaan tidak sayang kepada negara kita masakan kita boleh menyandar harapan kita kepada pendatang yang kita berikan kad pengenalan itu?

Sekarang semua pihak yang bertanggungjawab cuba mengelak dari mengambil ‘accountability’ terhadap kelalaian pimpinan selama ini. Mereka yang bertanggungjawab hanya bermain politik dan menuduh Ketua Pembangkang yang mendalangi pencerobohan ini dengan mengambil kononnya ada laporan yang diterima dari pihak asing, khususnya di Filipina.

Pihak kerajaan hari ini menggunakan kesalahan sendiri untuk mengalihkan kesalahan mereka kepada pihak pembangkang dan mereka masih ada masa untuk bermain politik kotor semasa kita sedang menunggu kedatangan pilihanraya umum ini.

Itulah sebabnya kita sepatutnya tidak memberikan keyakinan kepada mereka yang bercakap bergegar-gegar dan mereka yang siang malam mencium keris untuk menunjukkan kepahlawanan mereka sedangkan sekarang terbukti yang selama ini kita ditadbir oleh ‘faked leadership’ yang penuh dengan kepalsuan dan kekeliruan.

Sesungguhnya apa yang berlaku di Sabah sekarang ini akan membawa implikasi yang besar jika kita tidak mengendalikannya dengan betul. Kita tidak boleh lagi leka mendengar janji-janji keselamatan untuk kita lagi. Kita sendiri wajar melakukan usaha keselamatan ini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan: