Berapa ramai rakyat Sabah yang mengetahui sejarah Sultan
Sulu? Berapa ramai penduduk Lahad Datu yang tahu sejarah bumi mereka? Berapa ramai
rakyat Malaysia yang tahu sejarah hubungan kesultanan Sulu dengan Sabah? Ya,
ramai yang tidak tahu, namun saya pasti orang politik terutama UMNO tahu kisah
di sebalik Lahad Datu.
Sebenarnya Sabah sebelum menjadi milik Malaysia adalah hak
milik kesultanan Sulu. Tetapi, kerajaan Sulu ketika itu memandang remeh kepada
Sabah kerana negeri tersebut tidak membawa hasil kepada kerajaan Sulu. Oleh sebab
itu, sultan menyerahkan bumi bertuah itu kepada British pada tahun 1878. Atas pemberian
itu British berjanji untuk membayar sewa tahunan kepada pewaris tahta
Kesultanan Sulu.
Semasa Sabah dimasukkan ke dalam Malaysia dan kemudiannya menjadi
merdeka pada tahun 1963, sewa Sabah itu dialihkan daripada pemerintah Inggeris
ke Malaysia. Maka sejak itu disepakati, Kuala Lumpur perlu membayar sewa
tahunan sebesar 5,300 ringgit atau setara 69.700 peso kepada pewaris tahta
Kesultanan Sulu.
Pada 16 April 2003 terdapat satu pembayaran senilai
73,040.77 peso yang diserahkan kepada Kiram sebagai pembayaran sewa pada
pewaris Kesultanan Sulu untuk tahun 2002. Sebenarnya Kesultanan Sulu sejak itu
telah beberapa kali mohon ditambah jumlah sewaan itu. Pemintaan itu ditolak
tetapi bagi menutup isu ini kerajaan bersetuju menempatkan mereka di Lahad
Datu. Felda di Lahad Datu itu hakikatnya adalah hak milik mereka.
Kini tahun 2013, jumlah sewaannya masih sama. Oleh sebab keadaan
itu masih belum stabil, Kesultanan Sulu sekali lagi menuntut bayaran sewa itu
ditambah sesuai dengan perkembangan zaman ini. Namun kerajaan Malaysia tetap tidak
menerima tuntutan itu kerana pada pandangan Malaysia pembayaran itu bukan
sewaan tetapi disebut ‘cession money‘.
Logiknya oleh sebab waris Sultan Sulu telah menerima
‘cession money‘ sebanyak USD5,000 setiap tahun sehingga ke hari ini, ini bermakna waris Sultan Sulu mengakui bahawa
Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased), kepada British
North Borneo Company.
Atas keengganan itu Kesultanan Sulu menuntut Sabah
dikembalikan kepada mereka. Di sinilah punca ketegangan lalu tercetusnya perperangan
antara tentera kesultanan Sulu dengan polis dan tentera Malaysia. Di manakah
kebijaksaan Malaysia dalam berunding sehingga tercetusnya keadaan yang tidak
diingini? Bukankah Malaysia terkenal dalam soal rundingan perdamaian.
Sebagai rakyat Malaysia kita bersimpati kepada anggota polis
yang terkorban dan takziah kita ucapkan kepada keluarga mereka, namun kita juga
rasa simpati kepada Kesultanan Sulu kerana mendapat sumbangan yang tidak
berbaloi dengan zaman ini. Apakah kita miskin harta sehingga tidak mampu
mempertimbangkan kenaikannya, atau adakah kita miskin jiwa sehingga tidak
bersimpati kepada anggota kita dan tentera Sulu yang terkorban?
Demi keamanan negara apa salahnya kita mendengar sedikit permohonan
mereka. Mengusir mereka keluar tanpa apa-apa keputusan yang menguntungkan dan
melapangkan dada mereka adalah satu kezaliman. Allah berfirman, “Dan hendaklah
kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan
janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka.” (Surah al-Maaidah: 49).
Rasulullah bersabda, “Tidaklah seorang pemimpin mempunyai jaminan
kecuali ia akan datang dengannya pada hari kiamat dengan kedudukan yang
terikat, entah ia akan diselamatkan oleh keadilan, atau akan dijerumuskan oleh
kezalimannya.” (Riwayat Baihaqi dari Abu Hurairah dalam kitab Al-Kabir).
Saya percaya dengan paparan ini ramai yang baru menyedari
bahawa Sabah masih ada misteri di sebalik kemerdekaannya. Walaupun kita tidak
menganggap bumi Sabah ini sebagai sewaan, tetapi kita harus hargai pemberian
Sultan Sulu. Kerajaan tidak seharusnya menyembunyikan fakta sebenar kepada
rakyat kerana rakyat perlu tahu isu yang ditimbulkan.
Rasulullah bersabda, “Jika seorang pemimpin menyebarkan
keraguan dalam masyarakat, ia akan merusak mereka.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu
Dawud, dan Al-hakim).
Hari ini kita sudah tahu kedudukan Sabah, sudah tentu kita
sayangkan Sabah. Kita juga tidak sanggup menyerahkan negeri itu kepada kerajaan
Sulu yang masih di bawah Filipina. Oleh sebab itu kita perlu pertahankan Sabah
di bawah kepimpinan yang boleh memberi kemajuan dan kebaikan Sabah. Anda tahu
peranan anda pada pilihan raya ke 13 nanti. Selamat mengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan