16 Oktober 2008

Program pendidikan China mencapai kemajuan besar

Sejak dimulakan pada tahun 1978, program pendidikan di China telah mencapai kemajuan yang cemerlang dan berjaya merealisasikan matlamatnya dalam tempoh 30 tahun sahaja. Biasanya matlamat begini hanya dicapai oleh negara-negara lain dalam masa 100 tahun. Kini, matlamat yang mempopularkan pendidikan wajib 9 tahun dan membasmikan buta huruf dalam kalangan remaja sudah dicapai. Di samping itu, semakin ramai rakyat dapat menikmati hasil daripada pendidikan peringkat tinggi yang dipopularkan secara meluas sejak sekian lama.

Kerajaan China sentiasa mengutamakan pendidikan dan pembinaan sumber tenaga manusia untuk membangunkan negara. Seiring dengan perkembangan ekonomi selepas dasar pembaharuan dan dasar pintu terbuka dilaksanakan, kerajaan China memberikan tumpuan kepada peningkatan pembangunan program pendidikan.

Ketua Pertubuhan Ilmu Pendidikan China , Encik Gu Mingyuan ketika menyebut proses pembangunan pendidikan China selepas pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka menyatakan:

"Dalam 30 tahun sahaja, China telah berubah menjadi negara yang kaya dengan sumber tenaga manusia dan menyelesaikan dua program bersejarah, iaitu mempopularkan pendidikan wajib 9 tahun dan pendidikan peringkat tinggi secara menyeluruh. Ini merupakan keajaiban."

Ketika Republik Rakyat China ditubuhkan pada tahun 1949, kadar penduduk yang buta huruf mewakili 80% daripada seluruh penduduk China. Kadar yang memasuki sekolah rendah hanya 20%, manakala kadar pelajar memasuki sekolah menengah hanya 60% daripada jumlah tersebut. "Undang-undang pendidikan wajib" yang bertujuan untuk menjamin kanak-kanak dan golongan remaja dapat menerima pendidikan sekolah rendah dan menengah telah dilaksanakan pada tahun 1986.

Naib ketua Jabatan Pertama Pendidikan Asas Kementerian Pendidikan China, Encik Wang Dinghua menyatakan bahawa matlamat mempopularkan pendidikan wajib yang sentiasa direalisasikan oleh negara-negara maju seperti A.S. dan Jepun dengan menggunakan 100 tahun itu sudah pun dicapai oleh China dalam masa kurang daripada 30 tahun.

"Pendidikan wajib 9 tahun yang dipopularkan di seluruh negara telah pun dicapai 99.3% pada penghujung tahun 2007."

Menurut "undang-undang pendidikan wajib" yang baru dilaksanakan pada tahun 2006, pendidikan wajib perlu mendapat jaminan kewangan negara supaya tekanan ekonomi dari segi pendidikan dalam kalangan keluarga miskin dapat dikurangkan. Pada tahun 2006 hingga 2010, peruntukan bagi sektor pendidikan wajib di desa daripada pelbagai peringkat kerajaan China mencapai 270 bilion yuan RMB. Encik Wang Dinghua berkata:

"Pada tahun lalu, yuran sekolah dan buku bagi pelajar-pelajar di peringkat pendidikan wajib telah dibatalkan di kawasan desa di seluruh negara. Lebih 150 juta orang pelajar di sekolah rendah dan menengah di desa telah menikmati dasar keutamaan tersebut. Kemudian, yuran sekolah peringkat pendidikan wajib di bandar juga dibatalkan secara menyeluruh pada bulan September ini."

Dari tahun 1978 hingga penghujung tahun 2007, jumlah pelajar yang melanjutkan pelajaran di institusi di luar negara mencatat angka 1.21 juta orang. Sementara itu, jumlah pelajar asing di China pula mencecah 1.2 juta orang secara kumulatif. Dalam konteks ini, China telah menjalinkan hubungan kerjasama dan pertukaran dengan 188 buah negara dan wilayah di seluruh dunia dalam bidang pendidikan.

Jepun akan melabur di Perak

Duta Besar Jepun Ke Malaysia , Masahiko Horie dan isteri Mrs. Yoko Horie telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Perak baru-baru ini.

Duta tersebut dalam pertemuan dengan Menteri Besar dan Exco telah menyatakan hasrat untuk melabur di negeri Perak.


Pertemuan tersebut dipercayai akan lebih mengeratkan lagi hubungan dagangan antara Jepun dan negeri Perak di masa hadapan.

Beliau mengharapkan agar Perak akan terus dimajukan dengan terbinanya LRT dan hotel-hotel mewah yang masih belum ada di bandaraya Ipoh.


Beliau turut menjemput Menteri Besar ke negara Jepun bagi mengukuhkan lagi hubungan antara dua hala.

http://misabah.blogspot.com/


Kerajaan Perak mahu Kem Tahanan Kemunting dipindah - MB

KETEREH, 15 Okt (Hrkh) - Kerajaan Perak sekali lagi mengulangi gesaan supaya Kem Tahanan Kemunting dipindahkan ke negeri lain memandangkan pusat tahanan itu mendatangkan nostalgia negetif bagi rakyat Perak.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin berkata, cadangan itu pernah disebut kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pada satu pertemuan selepas pilihan raya umum lalu.

"Namun Perdana Menteri buat tidak endah. Kami tidak rela kem tahanan itu terus dibiarkan berada Perak kerana setiap tahun isteri tahanan menangis ketika datang menziarahi suami di kem tersebut.

"Saya tidak sampai hati melihat kesedihan keluarga tahanan ISA dan lebih baik kem itu dipindahkan ke negeri lain termasuk Johor yang menjadi darul Umno. Johor sesuai menjadi muzium bagi ISA," katanya pada ceramah di padang Majlis Daerah Ketereh di sini, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah, Ketua Penerangan PAS negeri, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah, Yang Dipertua PAS Ketereh, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh dan Senator Dato' Ahmad Rusli Ibrahim.

Padang tempat berlangsung ceramah penuh sesak dengan kehadiran orang ramai yang pertama kali dapat melihat dari dekat wajah Menteri Besar Perak.

Beliau sejak dua hari lalu menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Besar di Kuala Terengganu. Dan hari ini pula berlangsung Majlis Mesyuarat Raja-Raja Melayu. Selepas ceramah beliau bergegas semula ke Kuala Terengganu.

Mohd Nizar juga berkata, anak-anak Perak di kalangan penduduk miskin yang berjaya melanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi tahun ini diberi bayaran saguhati sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Katanya, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi tujuan itu.

"Ekoran itu ada ibu bapa datang menemui saya menyatakan perasaan gembira kerana mereka tidak pernah menerima apa-apa sumbangan daripada kerajaan negeri sebelum ini," katanya.

Menurutnya juga ketika harga minyak dinaikkan Jun lalu kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk memberi bantuan kepada penduduk miskin.

"Saya minta setiap Adun membawa bantuan makanan dan wang tunai ke kawasan masing-masing untuk disampaikan kepada rakyat mereka," ujarnya.

Menurut beliau sejak menerajui kerajaan Perak Mac lalu banyak perubahan ke arah kebajikan rakyat diberi perhatian, sedangkan perkara itu tidak diselesaikan kerajaan negeri sebelum ini termasuk hak pemilikan tanah di kampung-kampung baru.

Bantah IFC, mahkamah denda 3 aktivis Islam

PULAU PINANG, 15 Okt :- Tiga aktivis gerakan Islam yang dituduh menyertai perhimpunan haram di hadapan Hotel Cititel pada 14 Mei 2006 lalu didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam dan dikenakan hukuman RM2,000 seorang atau penjara 14 hari.

Mereka yang terbabit ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Hafiz Nordin; Timbalan Yang Dipertua PAS Bukit Bendera, Abdul Rahim Ismail dan pendakwah bebas, Ustaz Shahul Hamid.

Kesemuanya dituduh di bawah seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 Akta 344 boleh dihukum di bawah seksyen 27 (8) akta yang sama.

Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Ainul Shahrin dalam keputusanya jam 10.30 pagi semalam berkata, setelah mendengar keterangan kedua-dua belah pihak beliau telah membuat keputusan berikut kerana perhimpunan itu tidak mempunyai permit polis.

Setelah keputusan diperolehi orang ramai yang datang memberi sokongan moral terus mengadakan kutipan jihad sehingga terkumpul RM6,000.00.

Akhirnya kesemua yang dituduh dibebaskan setelah wang denda diberikan.

Mereka didapati bersalah kerana membantah kutipan tandatangan oleh sebuah Badan Bukan Kerajaan (NG0), Aliran Kesedaran Rakyat (Aliran) untuk menyokong penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Turut hadir memberikan sokongan moral semalam ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Takiudin Hamzah, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Ustaz Husni Mat Piah, Yang Dipertua PAS Permatang Pauh, Omar Hasan dan Presiden Teras Pengupayaan Melaya (TERAS), Haji Azmi Abdul Hamid.

HARGA MINYAK TURUN

Kerajaan mengumumkan pengumuman penurunan harga bahan api sebanyak 15 sen bagi petrol dan 20 sen bagi diesel. Ianya bermakna harga runcit petrol RON97 dikurangkan 15 sen iaitu daripada RM2.45 seliter kepada RM2.30 seliter. Harga diesel pula diturunkan sebanyak 20 sen seliter daripada RM2.40 seliter kepada RM2.20 seliter manakala, harga petrol RON92 pula dikurangkan sebanyak 10 sen seliter daripada RM2.30 seliter kepada RM2.20 seliter.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memaklumkan penurunan itu adalah disebabkan harga minyak dunia telah turun dengan ketara. Harga minyak di pasaran dunia kini berlegar sekitar AS$77 dan AS$80 setong berbanding hampir AS$140 setong pada Mei lalu. Sementara itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad memaklumkan harga petrol boleh diturunkan ke paras RM1.92 seliter jika harga minyak di pasaran dunia jatuh di bawah paras AS$72 setong.
sumber Malaysia Today