14 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
BAGAN SERAI: Pelakon Abdul Kadir Abdul Manap (Man Kadir) merayu agar anak muda berani membuat perubahan untuk memilih Pakatan Rakyat pada pilihanraya nanti.
Katanya, rakyat tidak perlu takut dengan ugutan 'terputus rezeki jika tidak mengundi BN' kerana soal rezeki datang dari Allah bukannya dari parti pemerintah.
Man Kadir atau dalam filem 'Hantu Kak Limah' itu turut menegaskan rezeki datang dari Allah bukannya Barisan Nasional (BN).
"Saya yang sudah berumur ini pun mahukan perubahan jadi bukan masalah untuk anak muda membuat perubahan.
"Istilah bila BN tidak memerintah maka susah hendak makan itu tidak betul sama sekali, kita kena ingat rezeki semuanya dari Allah," kata beliau kepada Harakahdaily.
Beliau yang lebih di kenali sebagai Pak Jabit turut merasa kecewa dengan BN yang telah mendidik sesetengah anak muda dengan budaya samseng sehinggakan anak muda hilang perasaan hormat antara satu sama lain.
"BN mendidik anak muda dengan budaya samseng tetapi Pakatan mendidik anak mudah apa itu istilah hormat dan bersabar.
"Kita dapat melihat dengan sendiri perbezaan anak muda didikan BN dan juga Pakatan, banyak sikap samseng dilakukan oleh mereka yang mendapat restu BN," sambung beliau lagi.
Man Kadir yang turut mempersoalkan peranan kerajaan yang sepatutnya membantu dan menjaga rakyat serta mendidik rakyat dengan budaya akhlak yang baik.
Namun, kerajaan sekarang ini dakwanya mengabaikan tanggungjawab sebenar mereka dengan mengutamakan penayangan video lucah mahupun budaya fitnah untuk kepentingan politik mereka.
"Kita mahukan suatu suasana yang terbaik untuk rakyat khususnya golongan muda dengan suasana budaya dan akhlak yang baik.
"Tindakan BN yang lebih mengutamakan fitnah serta penayangan video lucah akan menjadikan peningkatan permasalah gejala sosial di kalangan remaja," katanya lagi.
Beliau berkeyakinan pada pilihanraya nanti anak muda Pakatan Rakyat akan menjadi benteng untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Pak Jabit turut bersama dengan konvoi jelajah Negara Berkebajikan sepanjang program di Perak.
Harakahdaily/-