26 Mac 2013

DUN Negeri Sembilan bubar esok

14 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

DUN Negeri Sembilan bubar esok  
Mohamad menunjukkan buku Penyata Rasmi Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-12 Negeri Sembilan di kediaman rasmi beliau di Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman
 
Seremban: Kerajaan sementara negeri ini akan terbentuk secara automatik Khamis ini mengikut Undang-Undang Tubuh kerajaan Negeri Sembilan selepas penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) tamat esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata permohonan tidak perlu dibuat untuk menubuhkan kerajaan sementara kepada mana-mana pihak kerana proses itu berlaku secara automatik.
Mulai Khamis, saya bukan lagi wakil rakyat kerana DUN sudah terbubar. Namun, saya masih Menteri Besar mengetuai kerajaan sementara untuk menguruskan perjalanan harian pentadbiran negeri, termasuk hal ehwal masyarakat, membayar gaji kakitangan dan sebagainya.


Kita seboleh mungkin tidak akan menggubal dasar baru atau membuat keputusan besar seperti meluluskan tanah beribu ekar... tidak boleh kerana itu tidak bermoral dan tidak beretika walaupun kita mempunyai kuasa, katanya selepas majlis penyampaian pinjaman dan bantuan zakat pelajar Asia Barat tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di sini, semalam.

Maksimum 60 hari

Beliau yang juga Pengerusi MAINS turut menyampaikan bantuan perkapita sekolah menengah agama negeri (SMAN), sekolah agama bantuan rakyat (SABK), sekolah agama rakyat (SAR), Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), sekolah tahfiz dan Tadika Islam 2013.

Mohamad berkata, selepas DUN terbubar, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk mengadakan pilihan raya semula.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Razak Mansor, pula berkata semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk beliau tidak lagi bergelar ADUN mulai Khamis ini.

Tidak payah lagi panggil Yang Berhormat, panggil nama pun tidak apa, katanya ketika merasmikan kempen penggunaan bahan rangsangan lateks anjuran RISDA di Kampung Kerangai, Jelebu, semalam.

Katanya, tiada yang pelik berhubung pembentukan kerajaan sementara kerana negeri ini yang diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN) bertindak selaras dengan Kerajaan Pusat.

SPR umum tarikh

Apabila sudah sampai masa penggal DUN tamat, sudah tentu kerajaan negeri sementara akan terbentuk, katanya.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan yang juga ADUN Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani, berpendapat DUN negeri ini sepatutnya dibubarkan tanpa menunggu hingga terbubar sendiri.

Cara DUN dibubarkan seperti terpaksa. Bagaimanapun, saya yakin dalam tempoh 60 hari ini, SPR pasti akan mengumumkan tarikh pilihan raya, katanya.

Sementara itu, Mohamad yang juga Pengerusi BN negeri, berkata bilangan kerusi dan kawasan ditandingi parti komponen BN dalam PRU-13 adalah sama seperti PRU lalu.

Tiada perubahan atau pertukaran kerusi. Semua parti komponen sudah berbincang dan bersetuju mengenainya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, juga dimaklumkan mengenai perkara ini ketika pertemuan dengan semua Pengerusi Badan Perhubungan BN negeri, baru-baru ini, katanya. 
 
Berita Harian/-

Tiada ulasan: