07 Mac 2013

M'sia tolak gencatan senjata kecuali serah diri

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Malaysia menolak gencatan senjata unilateral Sultan Jamalul Kiram III dan menuntut supaya pengikutnya di Kampung Tanduo, Lahad Datu menyerah diri tanpa syarat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.




NONE
"Presiden Filipina Benigno Aquino bertanya kepada saya apakah 
respons Malaysia terhadap tawaran untuk mengadakan gencatan senjata.

"Pendirian kita ialah mereka mesti meletakkan senjata tanpa syarat dan menyerah diri kepada kita," katanya dalam sidang akhbar di Felda Sahabat Residence, selepas mendengar taklimat mengenai situasi di Lahad Datu petang ini.

Beliau menggesa kumpulan yang masuk melalui sempadan Sabah dan mengambil alih Kampung Tanduo pada 12 Februari lalu, supaya segera berbuat demikian.

Sehingga itu, Najib berkata Ops Daulat - operasi bersama polis dan tentera polis untuk memburu militan tersebut, akan terus selama yang diperlukan.

ahmad zahid hamidi
"Ia akan diteruskan selagi diperlukan sehingga kita menghapuskan mereka atau mereka menyerah diri," katanya.

Sebelum itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dalam twitternya, juga berkata Malaysia menolak gencatan senjata itu dan mahu pengikut penceroboh itu menyerahkan diri.

"Gencatan senjata satu pihak tidak diterima oleh Malaysia kecuali kalau militan menyerah diri tanpa syarat.

"Jangan percaya tawaran gencatan senjata oleh Jamalul Kiram. Dalam kepentingan rakyat Sabah dan seluruh rakyat Malaysia, hapuskan dulu semua militan," tulis Ahmad Zahid dalam Twitter.

NONE
'Sultan Sulu' mengisytiharkan gencatan senjata unilateral untuk jam 12.30 tengahari dan menggesa Malaysia menerimanya, demikian kenyataan yang dibacakan oleh jurucakapnya di Manila.

"Mereka tidak akan mengambil apa-apa tindakan. Mereka akan kekal 
di tempat di mana mereka berada sekarang.

"Mereka tidak akan memperluskan operasi," jurucakap itu dipetik sebagai berkata, merujuk kepada militan, dipercayai berjumlah antara 100 dan 300, orang di negeri Sabah.

Malaysiakini/-

Sultan Sulu minta genjatan senjata

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


MANILA: Sultan Sulu, Jamalul Kiram III memohon diadakan genjatan senjatan berikutan kematian ramai pengikutnya di Lahad Datu.

Pengumuman ini dibuat beliau di  Astanah Kiram, Kampung Maharlika, Taguig City, jam 12:26 tengahari tadi.

Di samping meminta pengikutanya mematuhi genjatan senjata itu beliau juga meminta kerajaan Malaysia juga mengisytiharkan genjatan senjata bagi mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih besar.

Sehingga kini, sudah 10 tenteranya meninggal ekoran serangan yang dibuat oleh tentera dan polis Malaysia ke atas pengikutnya.

Jurucakapnya, Abraham Idjirani (gambar) pula berkata, kira-kira 10 lagi orang mereka kini ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Idjirani berkata, walaupun Sultan mereka mengisytiharkan genjatan senjata, pasukan berada dalam mood bertahan.

Genjatan senjata ini diisytiharkani ketika pasukan tentera dan polis Malaysia melancarkan serangan lagi pagi ini.

Jamalul juga mengalu-alukan permintaan dari Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon yang meminta agar pertumpahan darah dihentikan dan diadakan perbincangan.

harakahdaily/-

PAS harap Najib ke Sabah dapat amankan negara

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS terus mendoakan keselamatan pihak polis dan tentera yang sedang mempertaruhkan nyawa di Sabah demi menjaga kedaulatan negara, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, PAS amat berharap isu pencerobohan di Sabah oleh kumpulan yang mendakwa pengikut Sultan Sulu itu dapat ditangani dengan bijak dan bertanggungjawab.

"PAS sentiasa mendoakan keselamatan pasukan keselamatan kita dan berharap mereka sabar hadapi tugas berat ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Namun beliau bimbang kejadian tembak-tembak yang terus berlaku hari ini akan menimbulkan keresahan rakyat dan spekulasi yang boleh memburukkan lagi keadaan.

"Kita bimbang jika keadaan tembak-menembak ini berterusan ia akan menimbulkan keresahan dan spekulasi yang tak dapat dielakkan di kalangan rakyat," katanya.

Akhbar pagi tadi melaporkan, kejadian tembak-menembak kembali meletus di kawasan operasi Kampung Tanduo ketika pasukan keselamatan Malaysia meneruskan operasi mencari saki baki kumpulan penceroboh.

Justeru Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian sekali lagi mengulangi gesaan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil sidang tergempar parlimen bagi membincangkan isu yang telah melibatkan pertumpahan darah ini.

"Saya ulangi gesaan agar Perdana Menteri mengadakan sidang khas parlimen untuk terangkan kepada Ahli Parlimen dan rakyat tahap keselamatan negara kita, apa yang sedang berlaku di sana," tegasnya.

Beliau juga berharap Najib dapat melakukan sesuatu dengan kehadirannya ke Sabah hari ini.

"Saya harap dengan kehadiran Najib ke Sabah, beliau dapat lakukan sesuatu untuk keamanan di sana," katanya.

HARAKAHDAILY/-

Contoh terbaik perang siber dimenangi Pakatan

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -



Isu konflik di Sabah antara tentera kesultanan Sulu dengan pasukan keselamatan Malaysia biarlah diselesaikan oleh kerajaan yang memerintah hari ini. Itu tanggungjawab mereka. Tak perlu semua pihak nak bincang strategi pertahanan dan keselamatan negara. Kecuali kalau Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri rasa tidak mampu lagi untuk mengawal kedaulatan negara, maka bolehlah beliau bercadang untuk menggunakan khidmat Unit Amal atau kumpulan samseng pro Umno yang sangat gagah mengawal Felda. Selagi kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat dalam PRU12 lalu rasa mampu mengendalikan isu tersebut, biarkan mereka. Jangankan pihak pembangkang, Tun Mahathir selaku bekas Perdana Menteri pun sepatutnya diam. Tak payahlah nak mengajar Najib itu dan ini. Zaman Tun melingkupkan negara sudah berlalu, sekarang zaman Najib.

Apa yang penulis lebih tertarik dalam konflik di Sabah ini bukannya cerita pertempuran atau ‘peperangan’ fizikal pihak terbabit (kerana itu urusan kerajaan Pusat bukan urusan rakyat biasa) tetapi ialah peperangan siber atau peperangan alam maya yang melatari peristiwa tersebut. Ia menjadi sampel terbaik bahawa; inilah bentuk peperangan penting yang akan mengubah ‘kecenderungan membuat keputusan’ rakyat dalam PRU13 ini.
Sejurus selepas kumpulan tentera Sulu dilaporkan mendarat di Lahad Datu, pelbagai kenyataan keluar dari pihak tertentu. Seperti biasa BN tidak akan membiarkan apa saja perkara sensasi berlalu tanpa mengaitkannya dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media asing, Inquirer News mendedahkan kononnya berlaku pertemuan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Anwar Ibrahim dengan kerabat Sultan Sulu.

Kononnya, menurut laporan perisik Filipina, pemimpin berkenaan merupakan individu yang sedang mengintai ruang untuk menjadi Ketua Menteri Sabah seandainya Pakatan mampu menawan negeri tersebut selepas PRU13 nanti.

Lalu dikaitkan kononnya, Pasukan Perisik Filipina juga mendedahkan tentang janji pemimpin Pakatan berkenaan untuk memberikan Sabah kepada kerabat Sultan Sulu jika mereka berjaya menumbangkan kerajaan yang ada sekarang dan menyokong Sultan Sulu di dalam usaha untuk mengambil balik Sabah dari Malaysia.

Pelbagai lagi tuduhan yang direndangkan terhadap Anwar termasuk menyiarkan gambar eksklusif kononnya pertemuan sulit beliau dengan pemimpin MINF, Nur Misuari walaupun sebenarnya itu foto lama yang dikitar semula.
Rentetan itu berlakulah babak propaganda serangan peribadi terhadap Anwar oleh semua media utama negara, demonstratsi dan laporan polis.

Sejurus selepas itu, aktivis maya pro pakatan mendedahkan perbuatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengupah media Amerika Syarikat untuk memburuk-burukkan reputasi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka memetik portal berita portal BuzzFeed bahawa, bayaran dibuat kepada beberapa wartawan konservatif Amerika yang bekerja di Huffington Post, San Francisco Examiner, Washington Times, Natinal Review dan Red State.

Kempen itu dikatakan bermula Mei 2008 hingga April 2011 dan ia diketuai oleh Joshua Trevino. Trevino didakwa menerima bayaran USD389,724,70.

Mengikut portal itu, antara 10 nama yang terlibat memburuk-burukkan nama Anwar ialah Ben Domenech; Pengarah Pusat Demokrasi Amerika, Rachel Ehrenfeld; Editor majalah Commentary, Seth Mandel; Penulis Red State, Brad Jackson dan beberapa nama lagi. Maknya, projek mengaitkan Anwar dalam isu pencerobohan tentera Sulu dan lain-lain fitnah jahat adalah berbayar.

Fitnah itu ‘berjawab’. Berikutnya media maya pro Pakatan menyiarkan pula laporan media Manila Buletin Publishing Corporation (mb.com.ph), pengasas MNLF Nur Misuari mendakwa tentera Sulu ke Sabah selepas mendengar janji dari Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut laporan bertarikh 21 Februari 2013 bertajuk "Don’t Harm Sultan’s Men, Nur Warns Malaysia", Misuari berkata, ketika beliau di Jolo, Sulu beliau terdengar bahawa adik kepada Sultan Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram telah merentas lautan kerana mereka telah dijanjikan untuk ditempatkan di Sabah.

Ia dikaitkan pula dengan projek pemberian kad pengenalan terhadap warga Filipina yang diakui sendiri oleh Tun Mahathir. Ia dilakukan untuk membolehkan rakyat Malaysia segera itu mengundi BN dalam PRU.

Tidak cukup dengan itu belambak koleksi foto Najib, Tun Abdullah Badawi serta lain-lain pemimpin Umno diraikan oleh Sultan Sulu Jamalul Kiram dimuatnaik ke laman maya untuk menguatkan bukti hubungan Najib dengan Sultan Sulu. Seterusnya foto delegasi yang dikatakan keturunan Sulu diraikan di Perhimpunan Agung Umno turut dipaparkan.
Pendedahan yang lebih memeritkan Umno ialah beberapa pemimpin utama kesultanan Sulu diberi kerakyatan di negara ini, malah pernah menjadi orang penting Umno dan Pekida. Semua pendedahan itu dipaparkan dengan bukti sehingga media-media utama Umno pun tidak mampu menolaknya. Seorang waris Sultan Sulu didedahkan diberi sijil kelahiran Malaysia, kad pengenalan dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Sementara itu pemegang akaun FB dan Twitter terus membelasah kerajaan BN yang gagal mengawal kedaulatan negara apabila dengan mudah saja sempadan negara dibolosi. Senjata api boleh dibawa masuk dengan begitu mudah. Apa yang Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri buat? Sibuk dengan urusan politik sajakah?

Begitulah meriahnya alam maya Malaysia. Sebutir peluru yang ditembak oleh BN, berdozen peluru dari aktivis maya Pakatan dibalas hingga BN tak terkata apa-apa.

Hakikatnya itulah gambaran peperangan untuk PRU13 ini, peperangan sengit di alam maya. Dan isu konflik berkaitan Sulu di Sabah adalah contoh terbaik di mana Pakatan Rakyat memenangi peperangan siber. Ia dapat membantu rakyat membuat keputusan di peti undi nanti. - http://kedahla.blogspot.com

Yayasan Selangor sasar taja 5,000 pelajar tahun ini

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Jumlah pelajar negeri Selangor yang mendapat penajaan pendidikan oleh Yayasan Selangor (YS), meningkat mendadak sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri 2008 lalu.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Yayasan Selangor iaitu sebuah organisasi yang ditubuhkan untuk memajukan pendidikan anak-anak negeri Selangor telah menunjukkan perkhidmatan cemerlang di bawah Pakatan Rakyat.

Sejak 2008 katanya, penajaan pendidikan terus menunjukkan trend peningkatan ketara dari tahun ke tahun di bawah Program Rancangan Khas Pendidikan YS (RKPYS).

Pada 2007, jumlah pelajar yang ditawar penajaan adalah 1,385 dan meningkat kepada 1,409 pada 2008.

Kemudian pada tahun 2009, jumlah itu terus ditingkatkan kepada 1,554 orang dan melonjak kepada 3,288 orang pada 2012.

Pada tahun ini pula katanya, Yayasan Selangor mensasarkan peningkatan kepada kepada 5,000 orang.

“Peningkatan ini menunjukkan YS berjaya memberikan perkhidmatan pendidikan kepada lebih ramai pelajar berbanding sebelum tahun 2008 dengan gandaan yang besar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bangunan SUK semalam, yang dipetik Selangorku.

Dalam pada itu katanya, Yayasan Selangor juga telah menambah peruntukkan biasiswa dari tahun ke tahun bermula tahun 2008.

Pada 2007, hanya 518 pelajar mendapat Biasiswa Kecil, 159 mendapat Biasiswa Khas dan 36 pelajar mendapat Dermasiswa.

Namun pada 2012, YS menawarkan 1,783 pelajar mendapat Biasiswa Kecil, 1,140 pelajar mendapat Biasiswa Khas dan 96 pelajar mendapat Dermasiswa.

Bagi pinjaman pula katanya, Yayasan Selangor berjaya membuat kutipan bayaran balik dengan lebih efisien.

Ianya telah menyaksikan peningkata kutipan RM2.1 juta pada 2008 kepada RM2.2 juta pada 2009, ke,udian RM2.9 juta pada 2010 dan terus meningkat kepada RM3.8 juta pada tahun 2011 serta RM3.9 juta pada 2012.

“Ia membabitkan peningkatan sebanyak 186 peratus prestasi kutipan itu.

"Malah, bilangan sekolah tajaannya juga meningkat daripada 27 buah pada 2008 kepada 53 buah pada 2012 dan 63 buah pada tahun 2013,” katanya.

HARAKAHDAILY/-

Harga minyak naik lagi

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Naik senyap senya , naik diam diam..

Semua rakyat tengah leka dengan kisah gelora di Lahad Datu.

Hingga tak sedar bahawa minyak RON97 naik..ha ha ha

Berkuatkuasa tengah malam tadi, 7 Mac 2013, harga RON97 dinaikkan harga kepada RM2.90 seliter. Naik 20 sen je..

Kenaikan mengejut ini tak ada kena mengena dengan kematian Presiden Venezuela, Encik Hugo Chaves, tetapi ini adalah salah Anwar Ibrahim ha ha ha ha..

harakahdaily/-

'Kami terpinggir'

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

JENGKA 11 - “Mereka memotong yuran penyelenggaraan setiap bulan namun kami tidak terima manfaat daripada pemotongan itu. Jadi, apakah tujuan pemotongan yuran itu sekiranya kawasan ini tidak termasuk dalam kawasan untuk diselenggarakan?,”.

Demikian luahan penduduk, Hamid Mat, 64, berikutan empat keluarga terdiri daripada 50 isi rumah di tanah rancangan ini berasa terpinggir kerana tidak menerima kemudahan penyelenggaraan yang disediakan pengurusan tanah rancangan terbabit.

Penduduk mendakwa, mereka tidak menerima peruntukan untuk membaiki jalan masuk ke rumah masing-masing dan tiada kemudahan lampu jalan.

Hamid berkata, penduduk perlu membayar yuran penyelenggaraan selain yuran pengawasan Rela masing-masing RM5 yang dipotong melalui slip pembayaran hasil sawit.

Menurutnya, dia berasa terkilan kerana permintaannya supaya pihak berkaitan menebang pokok kelapa di hadapan rumahnya yang terletak di lorong Merbok, di sini tidak diendahkan.

“Sudah beberapa kali saya minta mereka menebang pokok itu demi keselamatan kami sekeluarga, namun tidak diendahkan dengan alasan kawasan kami tidak termasuk dalam kawasan yang perlu diselenggara,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Tajuddin Ismail, 62, berkata, sudah 46 tahun dia menetap di kawasan itu namun sehingga kini laluan masuk ke rumahnya masih belum dinaik taraf.

“Keadaan jalan dipenuhi batu kerikil dan tidak berturap. Apabila hal ini diajukan kepada pihak berwajib, mereka memaklumkan kawasan kami tidak termasuk dalam kawasan yang layak terima kemudahan itu.

“Hal ini menimbulkan tanda tanya kerana kami juga peneroka dalam tanah rancangan dan menetap di sini. Sepatutnya kami layak terima kemudahan itu,” katanya.

Ahmad Hussin, 64, pula berkata, biarpun tidak menetap di lorong Merbok yang dikenali sebagai jalan mati, namun dia turut bersimpati dengan nasib empat keluarga yang terpinggir itu.

“Saya terkilan dengan sistem penyelenggaraan di tanah rancangan ini terutama dari sudut perparitan. Longkang tidak di naik taraf menyebabkan aliran air tidak lancar,” katanya.

Penduduk menggesa pihak berwajib agar prihatin dengan masalah ini dan berharap tindakan sewajarnya diambil bagi membolehkan mereka menerima kemudahan tersebut.

sinar/-

Gelombang Biru Johor Dirasmikan Muhyiddin Jadi Gelombang Haru Biru!

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


ANAK-ANAK MUDA JOHOR SUDAH MULA TOLAK UMNO!!!!!!

Rakaman gambar sebagai bukti berbicara bukan cerita pakai air liur basi punya.

Utusan dok kelentong satu dunia kata melebehi 5,000 anak muda hadir hakikatnya... sekitar 500 orang saja walau pun siap ada kugiran dan konsert lagi...Baju T percuma dengan disediakan makanan nasi bungkus dan minuman air mineral.


Parlimen Pasir Gudang Ins'ya Allah bakal tumbang ketangan Pakatan rakyat... Ini disebabkan janji MB Johor pasal nak beri geran tanah dah 25 tahun masih tergantung tidak bertali.

Ini kali rakyat Johor akan ajar para pemimpin UMNO yang kurang ajar kepada rakyat Johor. Layan rakyat Johor macam warga bangsat.

Jangan UMNO ingat dan berangan-angan Johor sebagai kubu kuat UMNO dan deposit tetap pada PRU 13 akan datang.

Rakyat sudah bijak menilai... UMNO bakal berlayar jauh dari Johor. -omakkau


Bantah hukuman mati, demo di kedutaan Bangladesh esok

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk keputusan mahkamah Pengadilan Internasional Bangladesh yang diasaskan oleh Sheikh Hasina Wajed, Perdana Menteri Bangladesh yang telah menjatuhkan hukuman mati terhadap pemimpin tertinggi parti Jamaat El Islami, Syeikh Abi al Kalam, manakala Prof Dr Ghulam Azam (gambar), Syeikh Abdul Kadir Malaa dan beberapa pemimpin tertinggi yang lain dihukum penjara seumur hidup.
“DPPM berpendapat keputusan Mahkamah Internasional Bangladesh tersebut amat tidak wajar, berat sebelah  dan bersifat politik kerana menjadikan lawan politik Perdana MEnteri, Sheikh Hasina Wajed sebagai mangsa dan sasaran,” ujar Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.

Bagi DPPM, katanya tuduhan kerajaan Bangladesh bahawa pemimpin Jamaat El Islami yang ditangkap adalah tali barut kerajaan Pakistan untuk menjatuhkan negaranya sendiri kerana tidak bersetuju dengan proses pemisahan Pakistan-Bangladesh adalah suatu tuduhan tidak benar dan suatu fitnah sama sekali.

Menurutnya, DPPM bersama umat Islam seluruh dunia menganggap perbicaraan di Bangladesh terhadap tujuh pemimpin kumpulan Islam (Jamaat-I-Islami) tersebut melanggar hak keadilan sejagat dan merupakan tuduhan bersifat politik (tuduhan kerajaan pemerintah terhadap parti Islam), bukannya tuduhan jenayah.

Justeru, katanya DPPM mendesak supaya mereka diberikan ruang perbicaraan yang adil di mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan.

Selain itu, kata beliau prosedur mahkamah terbabit juga dipertikaikan banyak pihak kerana ia beroperasi tanpa melibatkan pengawasan PBB.

Tambahan pula, katanya Human Rights Watch yang berpusat di New York turut berpandangan prosedur hukuman yang digunakan oleh mahkamah itu tidak memenuhi standard internasional.

Katanya lagi, keputusan itu telah memarakkan api kemarahan umat Islam seluruh dunia khususnya di Bangladesh.

“Umat Islam melihat Sheikh Hasina sengaja mahu memadamkan kebangkitan Jamaat El Islami Bangladesh yang berjaya memberikan pengaruh yang besar dalam memimpin rakyat di negara tersebut,” ujarnya.

Katanya, DPPM difahamkan ribuan umat Islam Bangladesh telah bangkit membela pemimpin mereka yang dipenjara atau dihukum mati dan dilaporkan beberapa puluh aktivis gerakan Islam itu telah terbunuh dalam himpunan aman.

Sehubungan itu, ujarnya sebagai suatu solidariti umat Islam seluruh dunia, DPPM bersama masyarakat Islam melalui badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta orang awam seluruhnya akan mengadakan suatu himpunan aman esok bermula selepas solat Jumaat bertempat di depan kedutaan Bangladesh, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, memorandum bantahan juga akan diserahkan oleh Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama pimpinan DPPM serta pemimpin-pemimpin NGO yang lain.

Katanya, himpunan aman itu akan dimulakan dari Masjid Tabung Haji, Jalan Ampang dan seterusnya perarakan aman menuju ke kedutaan Bangladesh.

Sehubungan itu, ujar beliau umat Islam dan pencinta keadilan seluruh negara dijemput hadir.

harakahdaily/-

Keisha kanak-kanak berbulu

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Keisha kanak-kanak berbulu
Abdul Manan melihat keadaan badan Keisha Syahinda yang ditumbuhi bulu akibat kesan pengambilan ubat untuk penyakit yang dihidapinya.
KUANTAN – Usianya baru menjangkau setahun 10 bulan, namun penderitaan yang terpaksa dilalui oleh Keisha Syahinda Khairul Anuar terlalu berat untuknya apabila ditumbuhi bulu di seluruh badanya.
Ibu Keisha Syahinda, Suhaini Ismail, 30, berkata, sindrom bulu yang tumbuh di badan anaknya itu adalah disebabkan kesan pengambilan ubat selepas disahkan menghidap penyakit kurang gula dalam darah.

Menurut Suhaini, anaknya itu hanya bergantung kepada susu dan ubat yang dimasukkan menerusi hidung untuk meneruskan hidup.

Akibat penyakit yang dihidapnya itu, Keisha Syahinda tidak mampu menelan makanan mahupun minum air melalui mulut.

“Setiap tiga jam, anak saya akan diberi minum susu melalui saluran tiub  yang disambungkan melalui hidungnya.

“Begitu juga dengan dua jenis ubat yang terpaksa diambilnya bagi membantu tumbesaran dan mengelakkan dia diserang sawan,” katanya yang tinggal di Felda Bukit Goh, di sini.

Menceritakan mengenai perubahan anaknya itu, Suhaini berkata, sebaik sahaja selamat melahirkan anak keduanya itu di Hospital Sungai Buluh (HSB), Selangor, dia mendapati anaknya itu tidak aktif sebagaimana bayi lain.

Katanya, doktor yang memeriksa anaknya itu mengesahkan bayi yang dilahirkan menghidap  penyakit kurang gula dalam darah.

"Sejak disahkan menghidap penyakit itu Keisha Syahinda terpaksa diberikan  tiga suntikan setiap hari sehingga ke hari ini untuk menstabilkan kesihatannya.

“Luluh hati saya setiap kali terpaksa menyuntik anak sendiri setiap hari di kedua-dua belah paha, apatah lagi apabila mendengar tangisannya," katanya.

Namun kini, kata Suhaini, anaknya itu tidak lagi menangis kerana sudah lali dengan kesakitan yang dialami.

“Jika Keisha Syahinda  tidak menerima suntikan itu, dia boleh menjadi sawan selain mudah dijangkiti penyakit.

“Walaupun sudah setahun namun Keisha Syahinda masih tidak boleh berdiri dengan seimbang termasuk merangkak seperti bayi lain," katanya.
Bagaimanapun ubat yang diambil menyebabkan seluruh badannya ditumbuhi bulu.

“Kadang kala saya terpaksa mencukur bulu di badannya supaya anak saya tidak rasa rimas dengan keadaan dirinya itu,” katanya.

Kata Suhaini, setiap enam bulan dia dan suaminya, Khairul Anuar Rosli, 35, akan membawa anaknya ke Hospital Putarajaya (HP) untuk mendapar rawatan daripada doktor pakar bagi memeriksa tahap kesihatan Keisha Syahinda.

"Kami hanya berharap dengan kuasa ALLAH SWT untuk menyembuhkannya, kata doktor setahun lagi badan Keisha Syahinda akan dipenuhi bulu sepenuhnya," katanya.

Suhaini menceritakan penderitaan anaknya itu ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail di rumahnya, di sini, semalam.

sinar/-

Media perdana hanyalah 'political bouncers'

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

Pihak pimpinan UMNO dan BN semakin terhimpit dengan krisis keyakinan yang mereka sedang hadapi. UMNO sekarang mungkin telah sedar tiada apa yang kita sembunyikan selama ini akan kekal tersembunyi buat selama-lamanya. Perkembangan dan pembangunan industri media dan maklumat dalam dunia tanpa sempadan ini sangat menyusahkan UMNO. Tiada apa yang buruk mereka lakukan tidak dapat disorokkan dan dengan sekelip mata sahaja akan diketahui umum.

Apabila sampai sahaja maklumat ke satu-satu tempat maka dengan pantas UMNO akan menghadapi kejatuhan tahap keyakinan rakyat terhadapnya. Tetapi UMNO masih ada sedikit saki-baki kawasan yang belum ditempuhi oleh maklumat dan di sinilah UMNO mengharapkan pergantungan sokongan dari kawasan itu untuk mengharapkan dukungan.

Sejak dua tiga hari ini pimpinan tertinggi UMNO meminta supaya rakyat jangan percaya dengan media baru yang sedang berkembang dengan pesat sekarang. Isu ini di jadikan isu harian oleh pimpinan UMNO kerana mereka tahu yang rakyat lebih percaya kepada kredibiliti media alternatif jika dibandingkan dengan media arus perdana. Bagaimana mungkin UMNO terus-terusan bertahan dengan menjadikan media arus perdana sebagai alat propaganda mereka

Sekarang pimpinan UMNO amat gusar dengan media baru ini kerana mereka (UMNO) tidak dapat menutupi kerja-kerja mereka yang tidak semenggah selama ini. Jika tiada media baru ini bagaimana rakyat hendak tahu tentang isu NFC dengan betul misalnya. Tidak mungkin media perdana akan melambakkan apa yang sebenarnya berlaku dalam isu lembu dan pinjaman kewangan terhadap seorang keluarga  Ahli Jemaah Menteri yang terlibat itu.

Tanpa media baru tidak mungkin rakyat tahu bagaimana pimpinan UMNO menjual harta benda Kementerian Pertahanan yang melibatkan Senator Raja Ropiah berhubung dengan transaksi tanah Kementah seluas 200 ekar itu? Jika media baru tidak wujud kita tidak mungkin tahu yang akuan bersumpah kedua PI Bala itu adalah akuan bersumpah palsu. Rakyat tidak akan tahu tentang Rosmah berlumba-lumba dengan suaminya dalam pembahagian bisnes dan kontrak kepada kawan dan sahabat masing-masing.

Semua ini tidak akan diketahui oleh ramai jika tiada media baru kerana media arus perdana dikuasai oleh UMNO dan semua ketidak telusan UMNO itu tidak akan disiarkan oleh mereka (media perdana). Bagi orang ramai media baru ini merupakan saluran alternatif kepada media perdana dan banyak telah merubah keadaan di negara kita ke arah perubahan yang baik.

Media baru ini penting kerana ia boleh membuat ‘check and balance’ terhadap laporan media arus perdana. Media baru telah merungkai banyak hal dalam UMNO. Mereka (UMNO) tidak suka dengan ‘check and balance’ kerana media baru akan menyusahkan mereka untuk mendapatkan ‘cheque and all the balances’ yang ada dalam perbendaharaan negara untuk pimpinan mereka.

UMNO sendiri telah mengupah ramai penulis-penulis dalam media baru tetapi UMNO masih lagi takut menghadapi media baru ini. UMNO telah mengupah dan membariskan penulis yang handal-handal dan mempunyai pengalaman yang luas dalam penulisan dan kewartawanan sedangkan di pihak pembangkang mereka terdiri dari penulis yang amatur dan mereka menulis dengan sukarela tanpa apa-apa bayaran dan imbuhan.

Saya sendiri bukannya seorang penulis pun tetapi saya mula menulis di atas desakan keadaan untuk memberikan pandangan yang berbeza dengan media perdana yang tidak mempunyai laporan yang seimbang. Saya tidak mahu melihat orang ramai termakan dengan dakyah lapuk UMNO yang tertanam dalam parti itu sekian lama. Saya begitu sensitif terhadap tindakan mana-mana pihak memperbodohkan pihak yang lain yang telah berluas-luasa dalam masyarakat media kita.

Tetapi pihak pembangkang mendapat banyak sokongan dalam media baru bukan kerana mereka yang berpihak kepada pembangkang itu orang pandai-pandai, tetapi mereka lebih telus dan jujur serta mempunyai pemikiran yang jelas dan telus. Orang ramai bukan hendak membaca betapa hebatnya penulisan dalam media baru itu tetapi mereka memilih untuk memberikan sokongan kepada berita dan penulisan yang lebih jujur dan boleh diyakini.

Jika benar apa yang di siarkan oleh media arus perdana itu tidak dikotori dengan pembohongan masakan rakyat memilih untuk membandingkan kualiti laporan serta penulisan pihak media baru itu. Pihak UMNO tidak mungkin dapat mengekang rakyat dari mendekati media baru kerana rakyat bijak memilih yang mana satu yang telus dan yang mana satu yang bertujuan untuk mengelirukan mereka sahaja.

Rakyat telah sedar tentang peranan yang berguna yang dimainkan oleh media baru itu adalah untuk memberikan pandangan yang berbeza dengan pandangan media perdana yang penuh dengan elemen dakyah yang merosakkan pemikiran rakyat yang ramai.

Saya pernah dicerca oleh pihak penyokong UMNO dalam media baru ini yang mengatakan saya mempunyai penulisan yang kurang ‘standard’ nya, dan tidak seperti ‘standard’ mereka. Saya akui saya bukan seorang penulis dan saya menumpukan kepada pemikiran dan bukannya kepada nahu dan tata bahasa yang baik. Saya lebihkan untuk memberikan pandangan dan pemikiran saya dan saya tidak mahu masuk pertandingan menulis untuk mendapat hadiah yang besar.

Walau bagaimanapun saya dapat merasakan respons dari masyarakat sangat baik terhadap pandangan dan kritikan saya terhadap isu yang mengelilingi UMNO dan BN. Saya tahu kelemahan saya dan itulah sebabnya saya tidak menggunakan perkataan-perkataan yang kotor seperti ‘bangang’, ‘bodoh’ ‘babi’ dan superlatives yang buruk-buruk dalam penulisan saya. Saya tahu yang penggunaan istilah kasar dan kotor itu adalah satu pancaran jelas sama ada seseorang itu terdidik oleh ibu bapa dan keluarga yang baik-baik.

Kata-kata yang keluar dari mulut seseorang itu melambangkan tahap darjat seseorang itu. Darjat kita bukan terletak kepada wang ringgit dan kekayaan kita sebaliknya darjat itu merupakan bayangan kepada darjat diri kita yang sebenar-benarnya. Semasa saya mula membuat kritikan terhadap kerajaan melalui penulisan di media baru dahulu, saya pernah dilemparkan dengan kata-kata kesat seperti bodoh, sial, dan berbagai-bagai lagi panggilan yang buruk-buruk oleh penyokong UMNO dan BN.

Tetapi saya memilih untuk berdiam diri sahaja kerana yang mengatakan saya dan yang lain itu sebagai bodoh itu, adalah orang bodoh yang sebenar-benarnya. Saya tidak perlu memberikan respons terhadap tindakan mereka yang tidak mempunyai keperibadian itu. Saya berdiam diri dan hanya menyandarkan segala-galanya kepada kebenaran tentang apa yang saya tulis itu. Saya masih mempunyai masa untuk membuktikan segala ketelusan penulisan saya, malah setengah dari apa yang saya jangkakan itu telah pun terbukti kebenarannya.

Saya berkeyakinan media baru itu juga mampu untuk memberikan pelajaran kepada masyarakat tentang perkara baik walaupun tidak semua boleh memahami nilai sebenar seorang manusia itu. Seseorang yang tahu membuat penilaian itu hanya lah dari mereka yang terdidik dari keluarga yang baik.

Dalam media baru ini kita dapat belajar bermacam-macam perkara. Pengalaman saya selama beberapa tahun ini membuatkan kita lebih memahami manusia. Kita sudah boleh memahami yang sesiapa yang jiwanya kotor dan gundah gulana tanpa ketenangan akan dipaparkan oleh mereka sendiri melalui penulisan dan komen mereka terhadap sesuatu isu itu.

Bahasa mereka akan lebih kasar dan tidak akan membahaskan sesuatu isu itu secara terbuka malah mereka terus sahaja melepaskan kata-kata kesat yang tidak selayaknya keluar dari insan yang secantik-cantik kejadian Tuhan itu.

UMNO sememangnya dalam keadaan terdesak sekarang ini. Sekarang media baru pula yang mengancam mereka. Bagaimana UMNO boleh bersandar kepada media arus perdana lagi? Sudah terbukti media perdana sudah menjadi bahan sindiran akhir-akhir ini kerana terlalu kerap gagal mempertahankan kewibawaan mereka di mahkamah.

Utusan misalnya telah terbukti sebagai salah satu punca fitnah dengan kegagalan mereka dalam beberapa saman yang difailkan oleh beberapa orang pimpinan Pakatan Rakyat sejak akhir-akhir ini. Mahkamah telah membuktikan yang media perdana telah melakukan banyak fitnah yang tidak ada batasnya terhadap pimpinan pihak alternatif. Mereka ini (media arus perdana) hanyalah merupakan ‘political bouncers’ untuk mengekang kebenaran dari di ketahui umum.

Utusan sahaja terpaksa membayar jutaan ringgit kepada mereka yang telah menjadi mangsa fitnahnya sejak akhir-akhir ini. Itu sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa media arus perdana itu merupakan sumber besar fitnah yang berkeliaran di mana-mana sekarang. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

MNLF belayar ke Sabah, M'sia perketat kawalan

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Belumpun selesai operasi menghapuskan kumpulan penceroboh di Sabah, Pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dari Filipina pula mendakwa sedang menuju ke Lahad Datu untuk mengukuhkan kedudukan pengikut Sultan Sulu itu.

Media Filipina semalam melaporkan, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Agama Islam MNLF, Habib Hashim Mudjabab mendakwa, kira-kira 10,000 kumpulan gerila kaum Tausung dari Basilan, Sulu dan Tawi-Tawi sudah belayar ke Sabah.

Menurutnya, kumpulan gerila itu menyertai kumpulan pengikut Sultan Sulu dan mereka kini bersembunyi di sebuah kampung di Sabah melalui sebuah laluan di Filipina dikenali sebagai Southern backdoor (jalan belakang Selatan), laluan yang biasa digunakan pedagang kecil.

Laporan itu turut memetik, beliau tidak mendedahkan jumlah sebenar kumpulan yang telah berjaya membolosi sempadan Sabah tetapi hanya menegaskan ia mencecah ribuan.

Kehadiran mereka itu dipercayai sebagai tindakan balas selepas Malaysia bertindak melancarkan serangan ofensif besar-besaran terhadap kumpulan pengikut sultan Sulu Jamalul Kiram III itu di Lahad Datu kelmarin.

Kumpulan itu sudah tiga minggu berkubu di situ sehingga keganasan meletus minggu lalu yang mengakibatkan lapan anggota polis Malaysia terbunuh.

Kawalan diperketat

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dilaporkan berkata, pasukan keselamatan Malaysia sudah memperketat kawalan sama ada di periaran mahupun daratan menuju ke Sabah.

Menurutnya, pihak keselamatan kini membuat kepungan di laut dan darat bagi mengekang kemasukan bekalan makanan dan persenjataan kepada kumpulan penceroboh tersebut.

Katanya, pihak polis telah telah mengadakan kerjasama erat dengan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi tujuan itu.

Dalam pada itu, terdapat juga maklumat bahawa pasukan polis Filipina juga megadakan kawalan ketat di perairan mereka bagi menghalang pasukan MNLF belayar menuju ke Sabah.

harakahdaily/-

Tiga sekolah di Lahad Datu dibuka semula

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

LAHAD DATU: Tiga sekolah di daerah Lahad Datu yang ditutup sejak 1 Mac, dibuka semua hari ini selepas polis mengesahkan keadaan di daerah ini selamat dan terkawal.

Menurut laman web Jabatan Pelajaran Negeri Sabah lapan sekolah lagi masih tertakluk kepada arahan Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Lapan sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Lok Buani, SK Fajar Harapan, SK Tanjung Labian, SK Sahabat 16, SK Sahabat 4, SK Cenderawasih dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana.

Sebelum ini, 11 sekolah di Lahad Datu diarah ditutup sementara susulan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, dekat sini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di bandar Lahad Datu mendapati keadaan tenang dan terkawal dengan kedai-kedai beroperasi seperti biasa manakala orang ramai keluar menyelesaikan urusan masing-masing. - Bernama

Anwar: Manifesto untuk semua, mari debat demi rakyat

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim ketika ditemui pada satu wawancara eksklusif di pejabatnya. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
MANIFESTO Rakyat yang diluncurkan minggu lepas zahir kepada iltizam Pakatan Rakyat demi melaksanakan agenda perubahan di negara ini.

Peluncuran manifesto tersebut adalah tuntas dengan ikhtiar Pakatan Rakyat selama ini yang senantiasa mengemukakan saranan serta kebijakan segar dan cergas.

Alhamdulillah maklum balas yang kita terima sangat memberangsangkan. Saya menerima secara terbuka cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak untuk memperkemaskan lagi manifesto itu, selagi ia tidak mengubah prinsip dasar Pakatan Rakyat yang menolak politik perkauman dan mengangkat tata kelola, amanah dan keadilan untuk rakyat.

Saya mengambil inisiatif untuk mendengar sendiri pelbagai pandangan yang diutarakan, di samping menjelaskan beberapa perkara. Misalnya, pertemuan dengan wakil-wakil badan yang mewakili orang berbeza upaya menguatkan persefahaman bersama mengenai program-program khusus untuk mengangkat martabat dan menjaga kebajikan mereka.

Saya juga banyak berbincang dengan pimpinan masyarakat India sejak seminggu lalu untuk mengambil kira pandangan mereka. Saya telah mengulangi pendirian mengenai perkara-perkara besar yang melibatkan masyarakat India seperti berikut:

1. Masalah kerakyatan yang kebanyakannya melibatkan rakyat Malaysia dari kaum India di samping kaum-kaum lain di seluruh Malaysia akan diselesaikan dalam tempoh 100 pertama pentadbiran Pakatan Rakyat di Putrajaya.

2. Program khusus untuk menyediakan latihan teknikal yang digabungkan dengan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda lepasan sekolah dengan sasaran utama kepada anak-anak miskin. Masyarakat India akan mendapat manfaat utama dari program ini untuk membasmi kemiskinan dan menaik taraf kedudukan sosioekonomi

3. Pakatan Rakyat akan memastikan semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil menjadi sekolah bantuan penuh agar kemudahan infrastrukturnya setanding dengan piawai pendidikan nasional. Pengiktirafan ini dimuatkan secara jelas di dalam Manifesto Rakyat

4. Reformasi institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disebut di dalam Manifesto Rakyat turut melibatkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Pengurusan dan Perlakuan Polis (IPCMC); dan

5. Peranan Perbadanan Perumahan Negara yang bakal ditubuhkan oleh Pakatan Rakyat untuk membina rumah rakyat akan mengambil kira keperluan mendesak rumah-rumah mampu milik bagi bekas-bekas pekerja estet di seluruh negara.

Kesemua perkara ini sudah pun terkandung dalam Manifesto Rakyat yang dibina di atas semua dasar-dasar dan pengumuman yang pernah dibuat oleh Pakatan Rakyat.

Pun begitu, untuk menguatkan lagi komitmen Pakatan Rakyat, perkara-perkara ini akan disebut secara jelas di dalam Manifesto Rakyat edaran umum, seperti mana juga beberapa perkara melibatkan kumpulan lain yang mengutarakan pandangan kepada Pakatan Rakyat.

Saya mempertahankan pendekatan berdasarkan keperluan (needs based approach) kerana setiap program perlulah dilaksanakan kelak secara berkesan. Demi menjamin keberkesanan dan kejayaan program-program rekayasa nasional yang digariskan di dalam Manifesto Rakyat, kita memerlukan sokongan setiap kumpulan masyarakat.

Contohnya, pelaksanaan Skim Perantis Rakyat akan melibatkan puluhan ribu majikan di seluruh Malaysia yang dijemput kerajaan menyertai skim penempatan anak muda lepasan sekolah bagi tujuan latihan teknikal di premis milik mereka.

Majikan ini akan bekerjasama dengan kerajaan melatih anak-anak muda mengikut piawaian kemahiran teknikal kebangsaan.

Perkongsian pintar ini membolehkan majikan mendapat khidmat tenaga kerja tempatan pada kadar yang lebih murah kerana kerajaan menyumbang sebahagian besar dari kos penggajian sepanjang tempoh latihan.

Kerajaan pula mempunyai platform untuk melatih puluhan ribu anak muda sebagai program teras memperbaiki kedudukan sosioekonomi keluarga berpendapatan rendah, di samping meningkatkan guna tenaga anak muda di dalam ekonomi.

Program sebegini memerlukan majikan dari pelbagai sektor dan pelbagai kaum menyertai skim secara terbuka dan berlapang hati menyumbang atas semangat khidmat nasional. Jika program-program seperti ini dirangka mengikut perspektif perkauman, ia akan serta-merta mengetepikan penyertaan kumpulan-kumpulan tertentu kerana ia dilihat khusus untuk kaum tertentu sahaja.

Kegagalan banyak program yang dijalankan oleh Barisan Nasional ialah kerana ia tidak mendapat sambutan dan kerjasama yang meluas apabila setiap program dikhususkan mengikut kaum.

Sebab itu, saya pertahankan pendekatan berdasarkan keperluan kerana hanya program-program seperti itu yang akan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Serangan dari Barisan Nasional masih berkisar kepada propaganda lapok yang menghamburkan angka-angka tidak tepat untuk mengelirukan rakyat. Misalnya, Barisan Nasional mempersoalkan kewajaran mengambil alih lebuhraya untuk membatalkan tol, sedangkan peruntukan yang mereka telah gunakan setakat ini untuk BR1M1 dan BR1M2 telah melepasi jumlah RM6 bilion setahun yang diperlukan.

Saya mengingatkan Barisan Nasional bahawa Pakatan Rakyat telah membentangkan secara telus analisis kira-kira kewangan yang diperlukan sebanyak RM45.75 bilion untuk membiayai kesemua program Manifesto Rakyat.

Makanya, wajarlah Barisan Nasional juga memperincikan analisa kira-kira yang mereka gunapakai untuk menyokong tuduhan mereka, supaya rakyat dapat membandingkan kedua-duanya.

Saya sedia maklum bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan memberikan bidasan-bidasan beliau terhadap Manifesto Rakyat. Saya percaya rakyat lebih gemar jika bidasan-bidasan ini diberikan secara langsung dalam satu perdebatan dasar, bukannya bidasan bersembunyi seperti yang selalu dibuat oleh beliau sebelum ini.

sinar/-

Kerajaan Persekutuan BN berakhir Sabtu ini

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Walaupun Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional akan meneruskan hayatnya Jumaat ini, genap lima tahun selepas Pilihan raya Umum 2008 diadakan, kesahihannya dari segi politik boleh dipersoal, kata pakar perlembagaan.

“BN berada di dalam kerajaan dari 9 Mac hingga 28 Jun, 2013 adalah mengikut Perlembagaan dan sah di sisi undang-undang, tapi dari segi kesahihan politik dan autoriti moral di dalam persoalan.

"Pengundi boleh secara sah berkata mereka mengundi untuk kerajaan BN pada 8 Mac, 2008 untuk memerintah selama 5 tahun, dan jika kerajaan tersebut memilih untuk mendapatkan mandat baru dalam tempoh tersebut, ia akan menjadi caretaker government (kerajaan sementara),” kata peguam Tommy Thomas dalam satu artikel beliau yang disiarkan Malaysiakini.

Menurut Tommy, sesi parlimen kali ini akan berakhir pada 28 April, dan pilihanraya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, iaitu sebelum 28 Jun berakhir.

Namun demikan, beliau berkata sekiranya pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ingin mengekalkan tradisi untuk mengadakan pilihanraya Dun dan parlimen serentak, maka parlimen perlu dibubarkan awal sebelum 26 Mei.

Ini kerana 26 Mei ialah hari terakhir untuk Negeri Sembilan mengadakan pilihanraya, kerana sesi Dewan Undangan Negerinya akan terbubar sendiri pada 26 Mac.

Tommy berkata sistem ala-Westminster yang digunakan di Malaysia bermaksud Perda Mneteri boleh menentukan tarikh pilihanraya, termasuk ingin mengadakan pilihanraya lebih awal.

Beliau mengimbas kembali kuasa istimewa ini di mana semua bekas Perdana Menteri termasuk Tun Abdullah Badawi telah membubarkan parlimen lebih awal.

“Jadi mengapa Najib masih tidak menggunakan hak istimewa ini untuk menasihati Agong untuk membubarkan parlimen sebelum tarikh luputnya, dan kemudiannya diikuti dengan pilihanraya umum ke 13? Hanya satu jawapan untuk itu, BN takut ditewaskan,” kata Tommy.


Beliau turut berkata hubungan antara politik dan perniagaan mungkin memperkukuhkan kepercayaan kepada teori bahawa kerajaan ingin untuk memasuki kontrak yang memberi manfaat kepada tabung politik mereka menjelang pilihan raya.

Harakahdaily/-

Raja Nazrin bertitah jujur tentang PAS

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

PEMANGKU Sultan Perak/Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah telah bercakap jujur tentang PAS dalam titah baginda di Majlis Wacana Perpaduan Ummah di Dewan Bahasa dan Pustaka 19 Februari lalu.

Saya peturunkan petikan titah baginda seperti berikut:  PAS telah melalui pahit maung perjuangan, era jatuh dan bangun, bermula dar sebuah organisasi, terdiri dari kumpulan ulama di dalam UMNO, kemudiannya keluar dari UMNO memilih untuk mewujudkan entiti politik  sendiri.

“PAS telah melakukan pelbagai anjakan unuk kelangsungan perjuangan dan menerokai pelbagai titik perimbangan untuk mengembangkan pengaruhnya.

“Dari organisasi yang amat daif, menumbanag ihsan berteduh di bawah bumbung madrasah milik ulama UMNO, dengan berbekalkan mesin taip buruk, PAS hari ini  telah muncul sebagai kabilah politik yang menguasai pelbagai teknologi komunikasi moden.

“PAS didokong bukan lagi oleh tok guru dan lebai kampung, tetapi oleh barisan profesional dan teknokrat dari pelbagai lapisan dengan pemikiran semakin terbuka, berdaya usahawan tinggi, mengikhtiarkan sumber rezeki secara berdikari."

Titah itu adalah merangkum tentang PAS yang sebenarnya, mencerminkan gambaran sejarah wadah kelahiran dan penampilan gerakan Islam yang  terpenting sejak merdeka.

Ia satu pandangan bebas tidak dipengaruhi dan tidak terpengaruh dengan sesiapa, adalah satu penghormatan yang  amat berharga dari seorang waris takhta di negara ini.

PAS wajar bersyukur atas pandangan tinggi dari istana itu. PAS tidak ada sebarang peranan bagi  mendorong baginda membuat rangsangan yang sangat bermakna itu. Bolah dikatakan PAS memilki jambatan yang ajaib bagi sampai kepada baginda hingga penghomatan terpuji itu datang dari pandangan dan  fikiran bebas baginda.

Apa yang disampaikan itu adalah pengamatan dan kajian seorang Raja yang berminat dengan rakyatnya, memerhatikan segala gerakan pekerti masyarakat. Siapa yang ada dalam masyarakat, apa yang difikir dan dibuat oleh rakyat dan apa kecenderungan penududk dan ke arah mana mereka tuju?

Rakyat dan negeri berbangga beroleh seorang warga istana yang memahami dan bersedia memikul peranan wali negeri sesuai dengan tanggungjawab ulil  amri yang diamanah Allah.

Dekat-dekat  awal kemunculan dan khidmat PAS dalam masyarakat dan politik negara bahawa PAS berhadapan dengan fitnah dari seteru politiknya betapa jamaah Islam itu adalah mewakili kumpulan orang yang sedia setia kepada pemerintahan beraja, ia cenderang kepada khilafah bercorak republik.

Fitnah itu bukan saja mengabui fikiran setengah masyarakat, malah ia menjalar membelenggu benak penghuni istana. Ia telah menjarakkan hubungan dengan istana, sehingga mengelirukan antara kerabat istana.

Sekalipun berulang kali PAS merapakkan bukan pandangan  PAS yang mengira parti itu anti raja, tetapi ia adalah angkara mainan politik sempit seterunya yang cemburu dengan potensi pengaruh Islam yang berkembang itu.

Apapun segala perkembangan dan sangka baik yang digambarkan oleh Raja Musa Perak itu adalah tanda jelas betapa  PAS sudah melepasi semua tembok yang memisahkan PAS dengan semua lapisan masyarakat termasuk kayakinan penghuni  istana betapa PAS bukan pihak yang wajar dicurigai kerana dalam khilafah Islamiyah itu tidaklah menentukan bahawa ulil amri itu berlaku dalam pentadbiran republik, maka sepanjang sejarah Islam ulil amri banyak diwakili oleh pemegang dinasti.

Selain dari Nabi Sulaiman a.s. adalah seorang monarki, khalifah  Islam yang terakhir dari Turki adalah Raja yang bergelar Sultan.

Atas kesyukuran ini, PAS telah bebas dari anggapan tidak mahu beraja  dan adalah wajar bagi PAS memberikan respons dan reaksi sejajar dengan pandangan jauh orang waris takhta yang menarik perhatian  semua pihak.

harakahdaily/-

Kekurangan Diri

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

“Semoga Allah memberi rahmat kepada orang yang menunjukkan kepada kami kekurangan-kekurangan kami” (Umar bin Khattab r.a.).

Sangat jarang di antara kita yang rela menunjukkan kekurangan diri. Bahkan, ada orang yang kalau diberitahukan kekurangan dirinya, akan marah. Menjelang pemilihan wakil rakyat seperti sekarang ini, contohnya, banyak orang yang mencalonkan dirinya berlomba-lomba menunjukkan kelebihan-kelebihan diri, tetapi menolak membeberkan kekurangannya. Padahal setiap manusia ada lebih kurangnya. Yang kerap dibeberkan adalah kekurangan orang lain, agar rakyat memihak kepadanya.

Padahal mengetahui kekurangan diri bukanlah hal yang tidak bermanfaat dalam hidup ini. Bila kekurangan diri diibaratkan dengan penyakit, maka proses mengetahuinya merupakan proses mendiagnosa penyakit apa yang sedang diderita. Hasil diagnosa ini akan menentukan tindakan apa saja yang sesuai untuk dilakukan dalam rangka mengobatinya. Sehingga pengobatannya tidak asal tebak.

Namun, tentunya tidak semua kekurangan diri bisa diketahui oleh diri sendiri. Sebahagiannya membutuhkan pertolongan orang lain untuk memastikannya. Untuk alasan ini juga Amirul Mukminin Umar bin Khattab r.a. mendoakan orang-orang yang bersungguh-sungguh menunjukkan kekurangan-kekurangan dalam pemerintahannya. Berbeda yang umumnya kita sekaran, yang memusuhi orang-orang yang memberitahukannya. Akibatnya, kekurangan diri tak pernah terobati bahkan hingga mati.

Serambi Indonesia/-