07 Mac 2013

'Kami terpinggir'

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

JENGKA 11 - “Mereka memotong yuran penyelenggaraan setiap bulan namun kami tidak terima manfaat daripada pemotongan itu. Jadi, apakah tujuan pemotongan yuran itu sekiranya kawasan ini tidak termasuk dalam kawasan untuk diselenggarakan?,”.

Demikian luahan penduduk, Hamid Mat, 64, berikutan empat keluarga terdiri daripada 50 isi rumah di tanah rancangan ini berasa terpinggir kerana tidak menerima kemudahan penyelenggaraan yang disediakan pengurusan tanah rancangan terbabit.

Penduduk mendakwa, mereka tidak menerima peruntukan untuk membaiki jalan masuk ke rumah masing-masing dan tiada kemudahan lampu jalan.

Hamid berkata, penduduk perlu membayar yuran penyelenggaraan selain yuran pengawasan Rela masing-masing RM5 yang dipotong melalui slip pembayaran hasil sawit.

Menurutnya, dia berasa terkilan kerana permintaannya supaya pihak berkaitan menebang pokok kelapa di hadapan rumahnya yang terletak di lorong Merbok, di sini tidak diendahkan.

“Sudah beberapa kali saya minta mereka menebang pokok itu demi keselamatan kami sekeluarga, namun tidak diendahkan dengan alasan kawasan kami tidak termasuk dalam kawasan yang perlu diselenggara,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Tajuddin Ismail, 62, berkata, sudah 46 tahun dia menetap di kawasan itu namun sehingga kini laluan masuk ke rumahnya masih belum dinaik taraf.

“Keadaan jalan dipenuhi batu kerikil dan tidak berturap. Apabila hal ini diajukan kepada pihak berwajib, mereka memaklumkan kawasan kami tidak termasuk dalam kawasan yang layak terima kemudahan itu.

“Hal ini menimbulkan tanda tanya kerana kami juga peneroka dalam tanah rancangan dan menetap di sini. Sepatutnya kami layak terima kemudahan itu,” katanya.

Ahmad Hussin, 64, pula berkata, biarpun tidak menetap di lorong Merbok yang dikenali sebagai jalan mati, namun dia turut bersimpati dengan nasib empat keluarga yang terpinggir itu.

“Saya terkilan dengan sistem penyelenggaraan di tanah rancangan ini terutama dari sudut perparitan. Longkang tidak di naik taraf menyebabkan aliran air tidak lancar,” katanya.

Penduduk menggesa pihak berwajib agar prihatin dengan masalah ini dan berharap tindakan sewajarnya diambil bagi membolehkan mereka menerima kemudahan tersebut.

sinar/-

Tiada ulasan: