07 Mac 2013

Hasrat Hijjaz bantu Gaza tercapai

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


Hasrat Hijjaz bantu Gaza tercapai

Hasrat Hijjaz bantu Gaza tercapai
SEMENJAK bumi Gaza, Palestin, menjadi mangsa kekejaman rejim Israel, makin ramai insan-insan berhati mulia yang sudi bertandang ke sana bagi memberi bantuan seadanya, termasuk golongan selebriti Malaysia.

Terbaru, kumpulan nasyid terkenal, Hijjaz berpeluang menziarahi saudara Islam di sana pada Februari lalu, bersama wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan wakil Persatuan Persaudaraan Muslimah Negeri Kedah (SALIMAH).

Turut serta dalam rombongan tersebut adalah wakil kelab motosikal Alternative Riding Club (ARC), media dari Sinar Harian dan team produksi KIYAI yang merakamkan perjalanan dan sepanjang mereka berada di sana, untuk siaran dokumentari 13 episod.

Menceritakan detik penglibatan Hijjaz dalam rombongan tersebut, Munif Ahmad selaku wakil kumpulan berkata, keinginan mereka menjejakkan kaki ke bumi Gaza mula terasa selepas sering mendengar cerita daripada Husni Zaim.

"Sekitar Disember 2012, kami sering mengikuti Ustaz Husni yang berdakwah di sekitar pedalaman Sabah. Menerusi ceramah-ceramah yang disampaikan ustaz sering banyak menceritakan pengalaman beliau ketika berada di bumi Gaza. Kemudian terlintas di hati kami untuk turut serta mengikuti rombongannya.

"Alhamdulillah, sebaik menyatakan hasrat kami, ustaz berbesar hati untuk melibatkan Hijjaz dalam misi tersebut," ujarnya kepada Zass.

Tidak terhenti di situ sahaja, Munif berkata, Husni seterusnya memaklumkan perkara tersebut kepada pihak atasan Mapim dan pihak Mapim bersetuju untuk membawa Hijjaz dan turut dilantik sebagai duta anak-anak yatim syuhada Gaza di bawah Mapim.

Terharu dengan sambutan

Bercerita dengan lebih lanjut pengalaman sepanjang berada di sana, Munif berkata, 1001 telahan bermain di fikiran sebelum bertolak ke Gaza.

"Ramai yang membayangkan bila ke Gaza, kita akan ditembak dan dibom, kehidupan di sana daif, ramai yang meminta-minta, rumahnya berlubang-lubang ditembak, hotel-hotel mungkin ala kadar sahaja dan lain-lain.

"Tapi sebaik menjejakkan kaki di sana, Masya-ALLAH, ia ternyata berbeza dari apa yang kami bayangkan. Masuk sahaja di kastam Gaza kami dilayan seperti tetamu kenamaan, terus dibawa ke hotel yang sangat cantik, disambut di hotel oleh menteri," ujarnya yang turut kagum dengan akhlak penduduk Gaza.

Munif berkata, selain menyampaikan sumbangan dan melakukan ziarah, Hijjaz juga telah membuat persembahan buat julung-julung kalinya di dalam dewan parlimen dan mendapat pujian daripada anak saudara as-syahid Ahmad Yassin (pengasas Hamas).

Tidak sekadar melalui pengalaman yang menggembirakan, Munif berkata, mereka juga berpeluang mendengar cerita pilu dari penduduk di sana.

Antaranya kisah bagaimana pemimpin tertinggi Hamas dibunuh oleh seorang tali barut di kalangan orang kanan yang sangat dipercayai oleh gerakan Hamas.

Selain itu, mengenai kisah seorang ibu yang redha dengan kematian empat orang anak lelaki dan suaminya yang gugur di medan perang.

Kumpul sumbangan

Munif berkata, mereka kini sedang giat melakukan kerja kutipan dana secara berterusan ke mana sahaja lokasi yang mereka lawati dan sumbangan setakat ini sangat memberangsangkan.

Selain itu, Hijjaz dengan kerjasama Mapim akan menerbitkan sebuah album nasyid Hijjaz yang bertemakan perjuangan.

"Keuntungannya akan diberikan untuk tabung bantuan Mapim. Pembeli juga dapat dengar hiburan yang beri semangat perjuangan dan kesedaran kepada perjuangan Islam.

"Selain itu, bagi mereka yang ingin menyumbang untuk tabung Stand Up For Gaza boleh berbuat demikian menerusi akaun Dana Kompleks Al-Itisam menerusi akaun Bank Islam 12038010108647 atau Tabung Gaza Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) melalui Bank Islam 08013010075820. Insya-ALLAH kami akan ke
sana semula pada Mei ini untuk menyampaikan sumbangan," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Munif berkata, Hijjaz akan tampil dengan album terbaru, Janji, yang merupakan album yang ke-16 Hijjaz.


Sinar Harian/-

Tiada ulasan: