07 Mac 2013

Bantah hukuman mati, demo di kedutaan Bangladesh esok

24 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk keputusan mahkamah Pengadilan Internasional Bangladesh yang diasaskan oleh Sheikh Hasina Wajed, Perdana Menteri Bangladesh yang telah menjatuhkan hukuman mati terhadap pemimpin tertinggi parti Jamaat El Islami, Syeikh Abi al Kalam, manakala Prof Dr Ghulam Azam (gambar), Syeikh Abdul Kadir Malaa dan beberapa pemimpin tertinggi yang lain dihukum penjara seumur hidup.
“DPPM berpendapat keputusan Mahkamah Internasional Bangladesh tersebut amat tidak wajar, berat sebelah  dan bersifat politik kerana menjadikan lawan politik Perdana MEnteri, Sheikh Hasina Wajed sebagai mangsa dan sasaran,” ujar Setiausaha DPPM, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.

Bagi DPPM, katanya tuduhan kerajaan Bangladesh bahawa pemimpin Jamaat El Islami yang ditangkap adalah tali barut kerajaan Pakistan untuk menjatuhkan negaranya sendiri kerana tidak bersetuju dengan proses pemisahan Pakistan-Bangladesh adalah suatu tuduhan tidak benar dan suatu fitnah sama sekali.

Menurutnya, DPPM bersama umat Islam seluruh dunia menganggap perbicaraan di Bangladesh terhadap tujuh pemimpin kumpulan Islam (Jamaat-I-Islami) tersebut melanggar hak keadilan sejagat dan merupakan tuduhan bersifat politik (tuduhan kerajaan pemerintah terhadap parti Islam), bukannya tuduhan jenayah.

Justeru, katanya DPPM mendesak supaya mereka diberikan ruang perbicaraan yang adil di mahkamah sebelum hukuman dijatuhkan.

Selain itu, kata beliau prosedur mahkamah terbabit juga dipertikaikan banyak pihak kerana ia beroperasi tanpa melibatkan pengawasan PBB.

Tambahan pula, katanya Human Rights Watch yang berpusat di New York turut berpandangan prosedur hukuman yang digunakan oleh mahkamah itu tidak memenuhi standard internasional.

Katanya lagi, keputusan itu telah memarakkan api kemarahan umat Islam seluruh dunia khususnya di Bangladesh.

“Umat Islam melihat Sheikh Hasina sengaja mahu memadamkan kebangkitan Jamaat El Islami Bangladesh yang berjaya memberikan pengaruh yang besar dalam memimpin rakyat di negara tersebut,” ujarnya.

Katanya, DPPM difahamkan ribuan umat Islam Bangladesh telah bangkit membela pemimpin mereka yang dipenjara atau dihukum mati dan dilaporkan beberapa puluh aktivis gerakan Islam itu telah terbunuh dalam himpunan aman.

Sehubungan itu, ujarnya sebagai suatu solidariti umat Islam seluruh dunia, DPPM bersama masyarakat Islam melalui badan bukan kerajaan (NGO) Islam serta orang awam seluruhnya akan mengadakan suatu himpunan aman esok bermula selepas solat Jumaat bertempat di depan kedutaan Bangladesh, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Menurutnya, memorandum bantahan juga akan diserahkan oleh Ustaz Nasrudin Hassan, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia bersama pimpinan DPPM serta pemimpin-pemimpin NGO yang lain.

Katanya, himpunan aman itu akan dimulakan dari Masjid Tabung Haji, Jalan Ampang dan seterusnya perarakan aman menuju ke kedutaan Bangladesh.

Sehubungan itu, ujar beliau umat Islam dan pencinta keadilan seluruh negara dijemput hadir.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: