ALLAH SWT berfirman:
﴿لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَنْ يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِنْ بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى لَا انْفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ٢٥٦ اللَّهُ وَلِيُّ الَّذِينَ آمَنُوا يُخْرِجُهُمْ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَوْلِيَاؤُهُمُ الطَّاغُوتُ يُخْرِجُونَهُمْ مِنَ النُّورِ إِلَى الظُّلُمَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ٢٥٧﴾
“Tiada paksaan dalam agama (Islam); kerana sesungguhnya telah jelas jalan kebenaran (Islam) daripada jalan kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang mengingkari taghut (kalangan yang melampaui sempadan Allah), dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang amat kuat dan tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (256); Allah ialah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, pelindung-pelindung mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka daripada cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah penghuni neraka, dan mereka kekal di dalamnya. (257).” (Surah al-Baqarah: 256-257)
Allah SWT menegaskan dalam ayat di atas bahawa tiada paksaan terhadap seseorang untuk menganut Islam, satu-satunya agama yang diterima oleh-Nya dari dunia sehingga akhirat. Ini bermaksud manusia yang berakal tidak dipaksa untuk membuat pilihan agar mereka menganut mana-mana agama dengan rela hati dalam kehidupan di dunia ini.