KUALA LUMPUR: Individu menggunakan pesawat untuk melancong ke Pulau Langkawi, Kedah bermula 16 September ini tidak perlu mendapatkan surat kebenaran polis, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Dalam ciapan di laman Twitter, beliau berkata, hanya mereka yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri terbabit perlu berbuat demikian.
"Bagi program perintis pelancongan 'travel bubble' Langkawi, surat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan rentas negeri dan sekatan jalan raya diperlukan sekiranya pelancong melalui jalan darat," katanya.
Pada 9 September lalu, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestik dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Kunjungan ke pulau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu bagaimanapun terhad kepada individu yang lengkap dos vaksin COVID-19. – BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan