18 Muharram 1433H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 14 Dis: PAS menaruh harapan yang tinggi agar Mahkamah Tinggi di sini memberikan kebenaran kepada pihaknya untuk melakukan semakan kehakiman terhadap Rang Undang-undang Perhimpunan Aman dalam keputusannya esok.
Pihak mahkamah diharap dapat mengambil dan mempertimbangkan dengan sewajarnya segala hujah-hujah yang dikemukakan oleh parti itu berhubung permohonan yang difailkan pada 2 Disember lalu, bagi membolehkan keputusan yang adil dibuat berhubung perkara itu.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, semakan kehakiman terhadap rang undang-undang tersebut amat perlu memandangkan ia ternyata bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 10 (1) (b) dan 10 (2) (b).
Menurutnya, rang undang-undang tersebut jika diluluskan pasti akan menyekat kebebasan dan hak rakyat negara ini untuk berhimpun meskipun secara aman dan tanpa senjata.
Katanya, rakyat negara ini sememangnya tidak boleh menerima rang undang-undang seperti itu untuk dikuatkuasakan, sebaliknya masing-masing berhasrat agar dikembalikan semula kebebasan dan hak mereka untuk berhimpun secara aman.
"Kami sentiasa menaruh harapan yang tinggi kepada mahkamah, sebab itulah kami memfailkan permohonan semakan itu. Jadi kami harap mahkamah akan membuat keputusan yang sewajarnya esok," katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) pada pagi kelmarin, 12 Disember 2011 telah menangguhkan keputusan bagi permohonan PAS mencabar Akta Perhimpunan Aman 2011 kepada esok.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Rohana Yusof atas permintaan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Muzila Mohamed Arsad, setelah dimaklumkan oleh Muzila bahawa responden tidak bersedia kerana beberapa timbalan pendakwa raya persekutuan terpaksa menghadiri sebuah persidangan dari 7 hingga 10 Disember lalu.
Pada 2 Disember lalu, PAS melalui Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu, Dr Mohd Hatta Ramli dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad telah memfailkan saman bagi memohon semakan kehakiman terhadap rang undang-undang tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas).
Mereka diwakili oleh peguam Mohamad Hanipa Maidin yang dibantu oleh Aminuddin Zulkifli dan Ahmad Zambri As'ad Khuzami, dengan menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai responden pertama manakala Kerajaan Malaysia dinamakan responden kedua.
Mohamad Hanipa sebelum ini memaklumkan, tujuan saman itu difailkan adalah untuk melakukan semakan kehakiman terhadap rang undang-undang tersebut dan bagi mendapatkan tiga perintah dari mahkamah.
Pertama adalah perintah deklarasi bahawa responden-responden telah bertindak melebihi kuasa mereka dan telah menyalahgunakan kuasa mereka apabila memperkenalkan dan membentangkan rang undang itu di Parlimen bagi menjadikannya sebagai undang-undang atau akta, meskipun bercanggah dengan Perkara 10 (1) (b) dan 10 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan.
Perintah kedua, bagi melarang responden-responden daripada terus bertindak melebihi kuasa mereka dan menyalahgunakan kuasa mereka dengan melarang responden-responden meneruskan segala proses bagi menjadikan rang undang-undang itu sebagai akta yang boleh dikuatkuasakan.
Ketiga, secara alternatif, perintah mandamus bagi memaksa responden-responden mengambil langkah-langkah yang perlu dan wajar untuk sama ada menarik balik semula rang undang-undang itu atau membuat pindaan-pindaan yang perlu agar selaras dengan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Mohd Hatta, permohonan semakan kehakiman terhadap rang undang-undang tersebut dibuat bukan sahaja kerana ia menyekat kebebasan rakyat, tetapi juga disediakan tidak dengan kaedah yang sewajarnya.
"Sepatutnya sebelum rang undang-undang itu dibuat dan dibentangkan, Perdana Menteri mestilah menubuhkan jawatankuasa khas terlebih dahulu untuk membincangkannya dengan mereka yang berkepakaran, seperti yang dilakukan untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
"Ini tidak, tiba-tiba sahaja rang undang-undang itu dibentangkan tanpa dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak-pihak terbabit. Sudahnya, dengan rupa bentuk seperti itu, siapa yang boleh terima rang-undang tersebut?" tegasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Harakah Daily