14 Disember 2011

Tunjuk Perasaan Senjata Orang Miskin, Yang Ditipu dan Yang Ditindas

18 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM 14 DIS : Sekiranya Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman dilulus dan diwartakan, Umno-Barisan Nasional akan menggunakan aparatus kerajaan untuk menahan rakyat yang berhimpun, selain dari mengambil wang mereka dengan mengenakan denda yang tinggi.

Sekiranya perhimpunan dan ceramah dibenarkan sekalipun ia mungkin hanya dibenarkan dibuat di lokasi-lokasi terpencil terpisah dari masyarakat umum.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua berkata tidak semua rakyat dibenarkan untuk menghadiri perhimpunan, terutamanya kaum ibu kerana mereka berdepan dengan tindakan undang-undang sekiranya membawa anak-anak kecil.

"Katalah ada sekumpulan pembeli rumah, yang telah ditipu oleh pemaju. Mereka tidak akan dibenarkan untuk berkumpul di taman perumahan berarak ke pejabat pemaju. Tidak munasabah sekiranya penduduk diminta untuk menyewa stadium untuk meluahkan perasaan mereka."

Beliau berkata demikian dalam satu sesi bual-bicara Fokus Berita, terbitan TV Selangor, 10 Disember lalu.

"Jangan kita fikir bantahan ini datang dari parti politik atau gerakan seperti Bersih, tetapi setiap hari kita berhadapan dengan tunjuk perasaan yang tidak bersifat politik, tetapi penting kepada masyarakat,"jelasnya.

Turut menyatakan pandangan yang sama, Presiden Majlis Peguam Malaysia Lim Chee Wee berkata larangan untuk berhimpun dalam lingkungan 50 meter di 21 jenis tempat seperti stesen minyak, jambatan, sekolah dan rumah ibadat secara langsung menghalang perhimpunan diadakan di dalam bandar.

"Minggu yang lepas pada hari Sabtu saya pergi ke Kompleks Hock Lee dimana penduduk Bukit Damansara berhimpun membantah sikap pemaju. Tetapi dibawah undang-undang baru ini, kumpulan orang-orang ini telah berhimpun secara haram kerana mereka berhimpun dalam jarak 50 meter sebuah tadika,"kata Lim.

Kerajaan Negeri Selangor dibawah Pakatan Rakyat membenarkan perhimpunan aman dibuat oleh mana-mana pihak termasuk parti pembangkang atau gerakan-gerakan yang bersekutu dengan parti pembangkang di mana-mana lokasi di Selangor.

Ini selaras dengan jaminan Pakatan Rakyat menghormati hak rakyat Selangor yang diperuntukkan Perlembagaan Negara.

"Sebenarnya Seksyen 27 Akta Polis ditulis dengan lebih teliti daripada rang undang-undang Perhimpunan Awam. Dalam Seksyen 27 itu, polis perlu membuktikan individu terlibat dalam perhimpunan itu mengancam keselamatan negara.

"Sungguhpun Seksyen 27 sangat menekan, tetapi pra-syaratnya polis hanya boleh bertindak dalam situasi ekstrem yang benar-benar menggugat keselamatan negara. Sebaliknya dalam rang undang-undang baru ini, ia langsung tidak memberi ruang kepada perarakan," kata Tian.

Menyambut kenyataan Tian Chua, Lim berkata syarat-syarat yang dikenakan dalam rang undang-undang baru ini memberi polis pelbagai sebab untuk menahan peserta perhimpunan, termasuk memakai warna yang salah.

"Apa maksud perilaku penunjuk perasaan yang disebut dalam rang undang-undang baru ini? Adakah ia bermaksud peserta tidak boleh membunyikan wisel? Adakah ia bermaksud peserta tidak boleh memakai seluar berwarna kuning?," Lim berkata.

tv news/-

Tiada ulasan: