14 Disember 2011

Iran enggan serah pesawat kawalan jauh

18 Muharram 1433H. [MOD] -

HASSAN Nasrallah bertemu penyokongnya di Beirut, 6 Disember lalu.
Tehran, pergerakan Hizbullah dedah perisik Amerika, Israel

TEHRAN: Iran menolak permintaan Presiden Barack Obama supaya menyerahkan pesawat pengintip kawalan jauh Amerika Syarikat yang dirampas kerana ia kini hak miliknya.

Amerika juga mendapat tamparan hebat dari musuhnya selepas Tehran dan Hizbullah mendedahkan sekumpulan orang termasuk diplomat Washington yang melakukan perisikan di Iran dan Lubnan.

Menteri Pertahanan Iran, Ahmad Vahidi memberitahu agensi berita ISNA dan Mehr: “Pesawat milik Amerika itu kini milik Iran dan kami akan menentukan apa perlu diambil berhubung perkara itu.

“Amerika sepatutnya meminta maaf kerana menceroboh ruang udara Iran tetapi mereka tidak berbuat demikian sebaliknya tanpa malu meminta pesawat itu dipulangkan,” katanya.

Ketika mengakui Iran memiliki pesawat Amerika dipanggil RQ-170, Obama turut berkata: “Kami meminta ia dipulangkan. Kami akan lihat bagaimana reaksi Iran.”

Tehran minggu lalu menyiarkan menerusi televisyen apa yang dikatakan pesawat pengintip berkenaan. Seorang ahli perundangan berkata, republik Islam itu berjaya membuka perisian pesawat berkenaan dan akan menelitinya.

Sementara itu, Iran mendakwa 15 orang atas tuduhan mengintip untuk Amerika dan Israel, kata ketua pendakwa raya Tehran, lapor agensi berita Fars.

“Satu pendakwaan dikeluarkan pejabat pendakwa raya ke atas 15 orang terbabit. Mereka mengintip untuk Amerika dan Israel,” kata Jafari Dolatabi yang tidak mendedahkan identiti suspek atau memberi sebarang perincian bila mereka ditahan dan sebab-sebabnya.

Pergerakan Hizbullah mendedahkan identiti pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Lubnan.

Hizbullah mendedahkan nama itu secara umum dalam satu siaran malam Jumaat lalu di stesen televisyen Lubnan, al-Manar. Menggunakan video animasi, stesen itu melakonkan semula pertemuan antara pegawai CIA dan pemberi maklumat berbayar di Starbucks dan Pizza Hut.

Pendedahan dibuat selepas Hizbullah membongkar rangkaian agensi perisikan di Lubnan selepas mengesan seorang ejen talam dua muka anti CIA, kata bekas perisik Amerika yang enggan dikenali.

Jun lalu, pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah mendakwa kumpulannya sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua perisik CIA. – AP/AFP


Tiada ulasan: