14 Disember 2011

Cuaca baik, 1,000 mangsa banjir pulang

18 Muharram 1433H. [MOD] -

Lapan pusat pemindahan di dua daerah ditutup

KUANTAN: Jumlah mangsa banjir di dua daerah di negeri ini berkurangan kepada 1,735 orang dengan lapan pusat pemindahan di sini, ditutup berikutan cuaca panas sejak pagi semalam.

Keadaan cuaca baik itu juga membolehkan lebih 1,000 mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sehingga lewat petang semalam.

Pusat pemindahan banjir yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Fakih Abu Samad, Dewan Orang Ramai Seri Damai, Pusat Bina Insan Jaya Gading, Dewan Orang Ramai Indera Mahkota Jaya, SK Bukit Rangin, Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan, Dewan Orang Ramai dan Tabika di Cenderawasih.

Jurucakap bilik gerakan banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, berkata sehingga jam 6 petang, jumlah mangsa banjir di dua daerah iaitu Kuantan dan Rompin berkurangan, dengan 1,735 orang masih ditempatkan di sembilan pusat pemindahan berbanding 2,773 mangsa pada tengahari semalam.

Mangsa banjir di Kuantan kini berkurangan kepada 1,255 mangsa membabitkan 287 keluarga selepas lapan pusat pemindahan ditutup dan hanya lima saja masih dibuka.

Sehingga kini, mangsa banjir paling ramai ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Besar iaitu sejumlah 1,022 mangsa daripada 234 keluarga dari Kampung Batu 3 dan 4 dekat Kampung Belukar, di sini dan diikuti SMK Gudang Rasau membabitkan sejumlah 158 mangsa dari 38 keluarga dari Kampung Gudang Rasau.

Pusat penempatan banjir Balai Raya Kampung Pahang pula menempatkan 45 mangsa daripada sembilan keluarga, diikuti 26 mangsa membabitkan lima keluarga di Balai Raya Kampung Soi manakala Dewan Orang Ramai Panching seramai empat mangsa daripada satu keluarga.

Sementara itu, sebahagian rumah papan didiami lima beranak, termasuk seorang warga tua berusia 70 tahun runtuh akibat runtuhan tanah di Kampung Sungai Charu, Jalan Sungai Lembing, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, sebahagian ruang tamu, bilik utama dan bilik air rumah terbabit menggelungsur kira-kira 10 meter akibat runtuhan tanah.

Menceritakan semula kejadian berkenaan berlaku, Taufik Mohd Shafie, 11, berkata beliau menyedari runtuhan ketika mahu ke tandas sebelum memaklumkan kepada neneknya, Wan Mah Wan Ali, 70, yang kebetulan tiba di rumah selepas menyelesaikan urusan di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Katanya, beliau terdengar bunyi bising dan menyangkakan ada monyet bergayut di tepi rumah sebelum menyedari hakisan tanah menyebabkan ruang tamu rumah runtuh perlahan-lahan.

berita harian/-

Tiada ulasan: