10 November 2010

Taib: Saya ada wang lebih daripada apa boleh dibelanja

03 Zulhijjah 1431 H

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah dirakamkan sebagai berkata beliau memiliki sejumlah kekayaan yang keterlaluan dan juga menawarkan ratusan ringgit kepada setiap rumah panjang di video yang dipercayai dirakamkan semasa kempen pilihan raya kecil Sibu pada 16 Mei lalu.

Menurut sari-kata di laman sesawang Youtube yang memuat-naikkan video berkenaan, kenyataan Taib dibuat semasa ucapannya pada 13 Mei ini kepada penduduk rumah panjang di Sungai Aup, kira-kira 20 minit perjalanan dengan kereta dari pusat bandar Sibu.

Laman sesawang anti-Taib Sarawak Report, yang menterjemahkan ucapan ahli politik veteran BN itu menaburkan janji-janji pilihan raya tanpa menyedari bahawa masa dan teknologi sudah berubah.

Menurut Sarawak Report transkrip ucapan Taib di mana beliau menggunakan bahasa Melayu dan juga Inggeris, ketua menteri itu cuba memujuk penduduk bahawa beliau tidak memperdulikan hal lain kecuali kepentingan rakyat.

Malah, beliau juga sanggup mengorbankan kekayaannya demi rakyat, memandangkan beliau mempunyai kekayaan yang melebihi keperluan dirinya, di samping berada di bawah jagaan anak-anaknya.

“Tujuan saya hanyalah untuk rakyat. Saya ada wang melebihi daripada apa yang saya boleh belanja. Saya tidak peduli pasal wang. Semua anak saya sudah dijaga, jadi saya memberikan kamu sesuatu yang baik,” kata Taib.

Malaysiakini/-

15 Anugerah Allah pada Wanita

02 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Mohd Yusof Hadhari Bin Saidon

Pada suatu ketika di Madinah, Rasulullah s.a.w. Keluar mengiringi jenazah. Baginda dapati beberapa orang wanita dalam majlis tersebut. Lalu Baginda bertanya, “Adakah kamu menyembahyangkan mayat?

” Jawab mereka,”Tidak” Sabda Baginda “Seeloknya kamu sekalian tidak perlu ziarah Dan tidak Ada pahala bagi kamu. Tetapi tinggallah di rumah Dan berkhidmatlah kepada suami nescaya pahalanya sama dengan ibadat kaum orang lelaki.

2. Wanita yang memerah susu binatang dengan ‘Bismillah’ akan didoakan oleh binatang itu dengan DOA keberkatan.

3. Wanita yang menguli tepung gandum dengan ‘Bismillah’, Allah akan berkatkan rezekinya.

4. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti menyapu lantai di Baitullah ( Kaabah).

5. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang mengeluarkan peluh ketika membuat roti, Allah akan membinakan 7 parit di antara dirinya dengan api neraka, jarak di antara parit itu ialah sejauh langit Dan bumi.”

6. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang, Allah akan mencatatkan untuknya perbuatan baik sebanyak utas benang yang dibuat Dan memadamkan seratus perbuatan jahat.”

7. “Wahai Fatimah, untuk setiap wanita yang menganyam akan benang dibuatnya, Allah telah menentukan satu tempat khas untuknya di atas tahta di Hari akhirat.”

8. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang memintal benang Dan kemudian dibuat pakaian untuk anak-anaknya maka Allah akan mencatit baginya ganjaran sama seperti orang yang memberi makan kepada 1000 orang lapar Dan memberi pakaian kepada 1000 orang yang tidak berpakaian.”

9. “Wahai Fatimah, bagi setiap wanita yang meminyakkan rambut anaknya, menyikatnya, mencuci pakaian mereka Dan mencuci akan diri anaknya itu, Allah akan mencatatkan untuknya pekerjaan baik sebanyak helai rambut mereka Dan memadamkan sebanyak itu pula pekerjaan jahat Dan menjadikan dirinya kelihatan berseri di Mata orang-orang yang memerhatikannya.”

10. Sabda Nabi s.a.w. : ” Ya Fatimah setiap wanita meminyakkan rambut Dan janggut suaminya, memotong misai Dan mengerat kukunya, Allah akan memberi minum kepadanya dari sungai-sungai serta diringankan Allah baginya sakaratul maut Dan akan didapatinya kuburnya menjadi sebuah taman daripada taman-taman syurga Dan dicatatkan Allah baginya kelepasan dari api neraka Dan selamatlah IA melintas Titian Shiratul Mustaqim.”

11. Jika suami mengajarkan atau menerangkan kepada isterinya satu masalah agama atau dunia dia akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

12. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar Dan berjuang ke jalan Allah Dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat Dan bidadari Dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga Dan menunggu kedatangan suaminya dengan menunggang kuda yang diperbuat daripada permata yakut.

13. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memberati auratnya iaitu memakai purdah di dunia ini dengan istiqamah. Dunia ini adalah perhiasan Dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah.

14. Salah satu tanda keberkatan wanita itu ialah cepat perkahwinannya, cepat pula kehamilannya Dan ringan pula maharnya (mas kahwin).

15. Sebaik-baik wanita ialah wanita (isteri) yang apabila engkau memandang kepadanya IA menggembirakan kamu, jika engkau memerintahnya IA mentaati perintah tersebut Dan jika engkau bermusafir dia menjaga harta engkau Dan dirinya. Maksud hadis: Dunia yang paling aku sukai ialah wanita solehah.

Mangsa bah kian kurang

02 Zulhijjah 1431 H

PEKERJA melonggokkan sebahagian daripada 40,000 bangkai ayam yang mati akibat banjir di Jalan Bukit Pinang, Alor Setar, semalam.
Penghuni pusat pemindahan di Kedah 22,829; Perlis 7,947

ALOR SETAR: Keadaan banjir di dua negeri utara Semenanjung semakin baik apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan berkurangan kepada 22,829 orang di Kedah dan 7,947 orang di Perlis.

Di Kedah, daripada 22,829 orang yang masih menghuni 56 pusat pemindahan membabitkan 5,761 keluarga adalah dari daerah Kota Setar dan Kubang Pasu, manakala semua tiga pusat pemindahan di Pokok Sena dan Pendang sudah ditutup selepas 1,245 mangsa sudah dibenarkan pulang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Majlis Keselamatan Negara (Kedah) berkata, daerah Kota Setar mencatat penurunan jumlah mangsa apabila hanya 16,760 daripada 4,112 keluarga masih menghuni 39 pusat pemindahan sementara berbanding 21,116 orang kelmarin.

Di daerah Kubang Pasu pula, katanya, hanya tinggal 6,069 mangsa yang masih ditempatkan di 17 pusat pemindahan dan banjir di daerah itu kini beransur pulih.

Tinjauan di beberapa lokasi di bandar raya ini semalam mendapati ramai mangsa banjir sibuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur berikutan air bah turut membawa selut tanah merah.

Sementara itu, Malaysia Airports Berhad (MAB) belum memutuskan tarikh operasi Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas, di sini sehingga kerja pembersihan dilakukan terutama di landasan dan jalan termasuk sistem pencahayaan landasan.

Pengurus MAB Kedah, Azmi Darus berkata, pihaknya dalam proses mendapatkan kontraktor untuk kerja pembersihan.

“Kini Unit Bomba MAB membersihkan sekitar terminal yang tidak membabitkan kawasan luas,” katanya.

Di KANGAR, jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata, sehingga semalam, 7,947 mangsa membabitkan 1,666 keluarga masih ditempatkan di semua 20 pusat pemindahan di Perlis, iaitu semuanya di Kangar.

Katanya, 13 lagi pusat pemindahan ditutup semalam selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Tinjauan mendapati kebanyakan mangsa sibuk membersihkan kediaman masing-masing, terutama di beberapa lokasi sekitar bandar ini yang dilaporkan baru pulih mulai semalam.

Berita Harian/-

Terapi lubang hidung

02 Zulhijjah 1431 H
Oleh : roslan mohd

Kita memiliki hidung berlubang di sebelah kiri dan di sebelah kanan. Apakah fungsinya sama untuk menarik dan membuang nafas? Sebenarnya fungsinya tidak sama dan dapat kita rasakan bezanya, sebelah kanan mewakili matahari (mengeluarkan panas) dan sebelah kiri mewakili bulan (mengeluarkan dingin).

Jika sakit kepala, cubalah menutup lubang hidung sebelah kanan dan bernafaslah melalui hidung sebelah kiri dan lakukan kira-kira 5 menit, sakit kepala akan sembuh.

Jika anda merasa penat, tutuplah lubang hidung sebelah kiri dan bernafaslah melalui hidung sebelah kanan. Lakukan bergili-gilir. Tak lama kemudian, anda akan merasakan segar kembali. Sebab lubang hidung sebelah kanan mengeluarkan panas, sehingga paling panas, lubang hidung sebelah kiri mengeluarkan dingin.

Perempuan bernafas lebih dengan hidung sebelah kiri, sehingga hatinya mudah sekali dingin. Laki-laki bernafas lebih dengan hidung sebelah kanan, sehingga mudah sekali marah.

Apakah anda pernah memperhatikan pada saat bangun, lubang hidung sebelah mana yang bernafas lebih cepat? Sebelah kiri atau kanan? Jika lubang hidung sebelah kiri bernafas lebih cepat, anda akan merasa sangat lelah.

Tutuplah lubang hidung sebelah kiri dan gunakan lubang hidung sebelah kanan untuk bernafas, anda akan merasa segar kembali dengan cepat.

Cara tersebut boleh diajarkan kepada anak-anak, tetapi efeknya akan lebih sesuai kepada orang dewasa.

PAS Batu masih terima penyertaan ibadah korban

02 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Tarmizi Mohd Jam

KUALA LUMPUR: Hanya empat atau lima hari sahaja lagi, PAS Kawasan Batu akan menutup penyertaan ibadah korban anjurannya kepada ummat Islam. Bagaimanapun, sebarang penyertaan masih dibuka sehingga 12 Nov ini bagi membolehkan mereka menyertai ibadah ini.

PAS Kawasan Batu dengan kerjasama Bilik Berita Harakah mempelawa umat Islam di negara ini untuk menyertai ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha tahun ini dengan harga hanya RM320 untuk satu bahagian.

Demikian dimaklumkan Bendahari PAS Batu, Rosden Yassin yang mengalu-ngalukan sesiapa yang berminat untuk menyertainya bolehlah menghubungi atau SMS beliau pada talian 019-2310109 bagi tujuan pendaftaran atau mendapatkan maklumat lanjut.

Katanya, harga tersebut adalah yang termurah berbanding kadar biasa RM350 malah ada yang mencecah RM400 untuk satu bahagian. Bayaran hendaklah dimasukkan ke akaun PAS Kawasan Batu (12113010000551).

Tarikh tutup penyertaan selewat-lewatnya 12 November ini bagi memudahkan urusan. Nyatakan jumlah wang yang dimasukkan beserta maklumat lanjut peserta yang terlibat - nama, nombor kad pengenalan, emel atau no telefon untuk tujuan audit.

Sebelum ini PAS Kawasan Batu mensasarkan 50 ekor lembu untuk sambutan Korban Perdana Aidiladha 2010 dengan memperkenalkan Skim Ansuran Mudah Korban 2010 atau 'SAMIK2010' kepada ahli-ahli dan orang ramai yang ingin melakukan ibadat tersebut.

Bagaimanapun percubaan kali pertama ini agak lembab sambutannya. Sasaran hanya 10 ekor baru dicapai. Anda yang berminat boleh hantarkan penyertaan segera melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada talian 019-2310109 untuk direkodkan.

Keterangan lanjut hubungi Yang Dipertua, Haji Ishak Surin (013-3291966) Timbalan Yang Dipertua, Haji Suhaimi Abd Rahman (019-3648805) Naib Yang Dipertua, Tarmizi Mohd Jam (019-2051419) Setiausaha, Haji Ismail Yahya (013-3847899) dan Bendahari, Haji Rosden Yassin (019-2310109).

Peringatan untuk diri yang lalai

02 Zulhijjah 1431 H
Oleh : AKHISALMAN

Hai Diri semakin lupa dengan dengan kehidupan akhirat dan sentiasa terpedaya dengan kehidupan dunia yang semantara sedangkan hakikat kehidupan dunia adalah seperti apa yang digambarkan oleh Allah swt:

“ Dan kehidupan dunia adalah semata-mata keseronokan dan bermain-main. Dan sesungguhnya kehidupan yang sebenar adalah kehidupan akhirat. Ini sekiranya mereka benar-benar mengetahui”

Orang yang benar-benar mengetahui tentang kehidupan akhirat tidak tertipu kehidupan dunia yang melekakan. Orang yang jahil adalah yang tertipu dengan kehidupan dunia, ini menunjukkan diri ini amat jahil oh tuhan.

Saat-saat kematian semakin menghampiri tetapi diri ini sentiasa lalai untuk mendapat amal akhirat. Apabila mendapat nikmat dunia, rasa seronok sehingga terlanggar perintahnya dan meninggalkann ketaatan sedikit demi sedikit. Apabila Allah menguji dan menarik nikmat tersebut, amat sedih dengan kehilangan nikmat dunia tetapi sebenarnya Allah hendak mengembalikan diri ini kepadanya.

Bersedihlah dengan kehilangan amal akhirat bukannya kehilangan dunia. Ingatlah Allah ingin member I peluang untuk kembali kepadanya sebelum datangnya saat kematian. Rebutla peluang ini sebaik-baiknya sebelum terlambat. Nabi saw bersabda:

“Bersegeralah kamu beramal sebelum datangnya tujuh perkara:

1. Adakah kamu menanti sehingga kamu fakir yang menyebabkan kamu lupa.

2. Adakah kamu menanti sehingga kamu kaya sangat yang menyebabkan kamu melampaui batas.

3. Adakah kamu menanti sehingga kamu sakit yang merosakkan badan kamu.

4. Adakah kamu menanti sehingga kamu tua yang melemahkan kamu.

5. Adakah kamu menanti sehingga mati yang semakin menghampiri kamu.

6. Adakah kamu menanti sehingga tibanya dajal. Dajal adalah seburuk2 benda gaib yang dinanti.

7. Adakah kamu menanti sehingga datangnya kiamat. Kiamat adalah perkara yang menakutkan dan amat pahit.”

Hadis riwayat imam Tirmizi.

Ingatlah wahai diri bahawa setiap apa yang kamu buat akan dihisab oleh tuhan. Jangan seronok dan leka melakukan apa saja tanpa sedar Allah murka dengan dirimu. Firman Allah swt:

“Adakah manusia meyangka dia akan dibiarkan begitu sahaja (tanpa dihisab dan dibalas)?”

Ayat 36 surah al-Qiamah

Ingatlah kematian sentiasa mengekori mu. Setiap saat masa berlalu semakin hampir i dan akhirnya kamu pasti akan bertemu dengannya. Firman Allah swt:

“ Katakanlah hai Muhammad, sesungguhnya kematian yang mana kamu lari daripadanya , ia pasti akan menemuimu.”

Ayat 8 surah al-Jumaah

Walaupun diri sentiasa melihat kematian tetapi mengapa tidak menambahkan keimanan kamu dan mendekatkan diri dengan akhirat. Ini adalah hati yang keras dan hati yang lalai dalam ibadah. Firman Allah swt:

“ Maka celakalah bagi orang-orang yang keras hatinya daripada mengingati Allah. Mereka itu berada dalam kesesatan yang nyata.”

Ayat 22 surah az-Zumar.

Hati yang keras ini adalah hanya layak untuk neraka sahaja. Allah sentiasa bertanya bilakah hati ini hendak khusyuk kepada tuhan dan patuh segala perintahnya. Firman Allah swt:

“ Bukankah sudah sampai masa bagi orang-orang beriman untuk tunduk khusyuk mereka kepada mengingati Allah dan patuh dengan kebenaran yang Allah telah turunkan…”

Ayat 16 surah al-Hadid

Adakah setelah malaikat mencabut nyawa baru hendak menyesali terhadap perbuatan-perbuatan yang melampau di dunia. Ketika itu tidak ada gunanya. Nasi sudah busuk (jadi bubur sedap lagi). Firman Allah swt:

“ Sehinggalah datang kematian kepada salah seorang mereka. Dia berkata : Hai tuhanku kembalikan aku ke dunia, supaya aku dapat beramal soleh yang mana telah aku tinggalkan. (jawapan tuhan) Tidak sama sekali, itu hanya ucapan yang diucapkan (tidak ada gunanya) dan mereka akan melalui alam barzakh sehinggalah hari mereka dibangkitkan.”

Ayat 99,100 surah al-Mukminun

Ingatlah wahai diri sehebat mana ilmu, sebesar mana mahligai mu, setingga mana pangkat mu, sebanyak mana pengawal mu; itu semua tidak menghalang malaikat maut untuk mencabutn nyawamu. Firman Allah swt:

“ Dimana sahaja kamu berada, pasti kematian akan menemuimu sekalipun kamu berada di dalam bangunan-bangunan yang kukuh dan terkawal.”

Ayat 78 surah an-Nisa

Bila mana kamu sudah ingat mati dan menyesal terhadap perbuatan-perbuatan yang lampau; Ingat penyesalan sahaja tidak berguna, diri ini kena bangun beramal dan tidak hanya berazam tanpa ada perlaksanaan. Nabi saw bersabda:

“ Orang yang cerdik adalah orang yang sentiasa bermuhasabah dirinya dan beramal untuk kehidupan selepas mati. Orang yang lemah adalah orang yang sentiasa mengikut hawa nafsunya dan hanya berangan-angan Allah akan membalasnya dengan syurga (sedangkan tidak beramal).”

Hadis riwayat Imam al-Hakim

Ya Allah banyaknya dosa hamba mu ini dan sedikit amalan akhirat.

Amalan yang sedikit entah mencakupi syarat ikhlas atau tidak,

Hati ini semakin jauh dari mu, oleh itu bersihkanlah hati ini dan isilah dengan cahaya-cahaya iman,

Aku tidak peduli samada manusia mengasihi atau membenci, asalkan engkau menerimaku kembali.

Ya Allah sekiranya mati ini lebih baik untuk mengelakkan fitnah dunia dan baik untuk agamaku cabutlah nyawa ini dalam keadaan engkau reda kepadanya.

Sekiranya hidup ini lebih baik untuk menyumbang terhadap agamamu dan menambahkan amal baikku panjangkanlah umurku dalam keredaanmu.

Pencapaian Tamadun Islam di China

02 Zulhijjah 1431 H

Islam mempunyai warisan yang kaya di China. Islam mula sampai di China dari negara-negara Arab pada zaman Dinasti Tang iaitu dalam tahun 651 Masihi. Walaupun umat Islam terbahagi kepada dua puak yang besar, iaitu puak Sunnah dan Syiah, namun, umat Islam di China kebanyakannya tergolong dalam puak Syiah.

Setelah tersebar sekian lama dan mengalami perkembangan dan perubahan dalam suatu jangka masa yang panjang, Islam yang bercirikan China telah terbentuk. Melaluinya wujudlah jambatan yang menghubungkan ekonomi, budaya dan persahabatan antara China dengan negara-negara Arab.

Penyebaran agama Islam yang paling luas dalam sejarah China telah berlangsung pada zaman Dinasti Tang (tahun 618 hingga 907), Dinasti Song (tahun 960 hingga 1279) dan Dinasti Yuan (tahun 1271 hingga 1368). Sehingga zaman Dinasti Ming (tahun 1368 hingga 1644),

10 etnik minoriti China telah menganut beragama Islam, iaitu etnik Uygur, etnik Hui, etnik Kazak, etnik Tajik, etnik Uzbek, etnik Kirgiz, etnik Tatar, etnik Salar, etnik Dongxiang dan etnik Bonan. Agama Islam memberikan pengaruh yang besar kepada etnik-etnik tersebut, khususnya dalam bidang sejarah, budaya, etika, moral, gaya hidup dan adat resam.

Pertembungan Islam dan budaya tradisi China telah menambah kandungan khazanah yang amat berharga kepada budaya dan sejarah China.

Persatuan Islam China ditubuhkan di Beijing pada tahun 1953. Persatuan ini merupakan pertubuhan kebangsaan yang berfungsi untuk memastikan pelaksanaan dasar bebas beragama kerajaan dipatuhi, memupuk semangat patriotik di kalangan umat Islam, menyebarkan ajaran dan amalan agama Islam,

melindungi hak dan kepentingan umat Islam yang sah, mengukuhkan perpaduan bangsa, dan mengekalkan kestabilan sosial, penyatuan negara dan kedamaian dunia. Namun, dalam tempoh Revolusi Kebudayaan yang dimulakan pada tahun 1966,

semua aktiviti keagamaan terpaksa dihentikan, masjid-masjid di merata tempat juga menghadapi ancaman yang teruk. Setelah Revolusi Kebudayaan berakhir pada tahun 1976, kerajaan China bukan sahaja menyusun semula dasar yang berkaitan dengan isu-isu etnik minoriti dan keagamaan, malah menjalankan semula dasar bebas beragama untuk menggalakkan perkembangan pelbagai agama.

Jumlah umat Islam meningkat dengan pesat di China bermula pada hujung tahun 1960-an. Menurut banci penduduk yang dijalankan di seluruh negara pada tahun 2006, jumlah umat Islam di Tanah Besar China lebih daripada 20 juta orang. Sekarang ini, di mana sahaja ada kawasan kediaman masyarakat Islam,

di situ terdapatlah masjid yang berbeza-beza saiznya. Menurut statistik rasmi, di China sekarang ini terdapat lebih daripada 17 ribu buah kuil dan biara agama Buddha, lebih daripada 1500 buah kuil pengikut fahaman Tao,

lebih daripada 4600 buah gereja Katholik dan lebih daripada 12 ribu gereja Kristian, manakala jumlah masjid mencatat lebih daripada 30 ribu buah. Selain membina masjid yang baru,

kerajaan China juga memperuntukkan dana untuk membina semula atau membesarkan masjid yang sedia ada di pelbagai tempat untuk menampung lebih ramai penganut yang melaksanakan ibadat bersama-sama.

Dengan ekonomi yang berkembang pesat di China, taraf hidup rakyat semakin meningkat. Begitu juga dengan taraf hidup umat Islam. Kini ada penganut Islam yang sudah mampu berbelanja untuk membina masjid.

Contohnya, Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat Kumpulan Farmaseutikal Xiuzheng, Xiu Laigui dan isterinya, iaitu pasangan penganut agama Islam yang telah melabur lebih 4 juta Yuan RMB untuk membina Masjid Tonghua di provinsi Jilin. Masjid yang luasnya lebih daripada 1400 meter persegi itu siap dibina pada tahun 2006.

Pada tahun-tahun kebelakangan ini, jumlah umat Islam China yang mampu menunaikan fardu haji ke Mekah juga terus meningkat. Jumlah tersebut mencecah 10 ribu orang buat kali pertamanya pada tahun 2007.

Menurut pegawai dari Jabatan Agama Provinsi Gansu, umat Islam di sana yang menunaikan fardu haji ke Mekah dengan menyertai jemaah haji dari China pada tahun 1985 hanya berjumlah lebih 10 orang sahaja.

Manakala pada tahun ini, jumlah mereka telah mencecah hampir 2500 orang, mencipta rekod baru dalam sejarah provinsi itu. Persatuan Islam China telah menubuhkan jabatan khas pada bulan Mei lalu untuk menguruskan hal ehwal jemaah haji demi memberikan bantuan kepada umat Islam China yang menunaikan fardu haji ke Mekah.

Persatuan itu bukan sahaja menyediakan penterjemah dan doktor untuk mengiringi jemaah haji, malah menghantar petugasnya ke Mekah lebih dulu untuk mengatur penginapan dan kemudahan pengangkutan untuk memastikan umat Islam China dapat menunaikan fardu haji dengan lancar di sana.

Selain itu, budaya Islam juga berkembang dengan baik di China pada masa ini. Muzium Etnik Hui China—muzium pertama yang mempamerkan budaya Islam di China telah dibuka di Wilayah Autonomi Hui Ningxia pada bulan September lalu.

Sejarah etnik Hui, agama, budaya, adat resam, tokoh dalam sejarah dan perkembangan etnik Hui serta maklumat tentang sejarah dan budaya agama Islam di dunia dipamerkan di muzium itu menerusi gambar, tulisan, artifak, arca, audio dan video.

CRI/-

Guangzhou—Tuan Rumah Sukan Asia Ke-16

02 Zulhijjah 1431 H

Sukan Asia Ke-16 akan dirasmikan di bandar Guangzhou, selatan China pada 12 November ini. Nama bandar ini mungkin tidak asing bagi kebanyakan orang kerana ia disifatkan sebagai bandar yang paling penting di kawasan selatan negara ini.

Untuk membantu saudara lebih mengetahui bandar ini, baik dari segi sejarahnya, ataupun peranannya pada zaman yang moden ini, marilah ikuti kami berkunjung ke Guangzhou sebelum Sukan Asia Ke-16 berlangsung.

Guangzhou, ibu kota provinsi Guangdong, merupakan bandar terbesar di kawasan selatan negara ini. Guangzhou terletak di bahagian tengah selatan provinsi Guangdong, dan utara kawasan Delta Sungai Mutiara.

Bandar ini dikenali sebagai pusat pengangkutan dan perdagangan di kawasan selatan China, kerana kedudukan geografinya yang penting: ia berjiran dengan Hong Kong serta Macau dan Laut China Selatan di selatannya. Ini sebabnya Guangzhou digelar sebagai "pintu selatan China".

Keluasan bandar Guangzhou mencecah kira-kira 7,000 kilometer persegi. Penduduk tetap di bandar ini lebih kurang 10 juta orang. Iklim di bandar ini dipengaruhi oleh monsun tenggara. Cuacanya panas pada musim panas dan nyaman pada musim sejuk. Sungai Mutiara, iaitu sungai ketiga terbesar di negara China, mengalir melalui bandar Guangzhou.

Bandar Guangzhou juga digelar sebagai "bandar kambing" dan "bandar bulir". Menurut legenda ini, bencana alam yang hebat telah berlaku pada zaman Dinasti Zhou, yang wujud pada tahun 1046 sebelum Masihi hingga tahun 256 sebelum Masihi, sehingga rakyat tempatan menghadapi kesukaran yang serius dalam kehidupan.

Pada suatu hari, lima kepulan awan yang berwarna-warni telah berarak ke sana dari Laut Selatan. Awan yang berwarna-warni itu membawa lima orang dewa yang menunggang lima ekor kambing. Kambing-kambing tersebut pula membawa bulir padi sakti yang berwarna-warni di mulut masing-masing.

Sesampainya di tempat itu, kesemua dewa tersebut telah mengurniakan bulir padi sakti itu kepada rakyat di sana untuk membantu mereka mengatasi kesukaran akibat bancana alam.

Lima orang dewa itu, kemudian meninggalkan tempat itu, manakala lima ekor kambing tersebut telah tinggal menetap di sana untuk melindungi rakyat tempatan daripada bencana alam dan menjamin hasil pertanian yang baik dicapai setiap tahun. Rakyat tempatan telah membina sebuah rumah berhala untuk memuja lima orang dewa itu.

Dalam rumah berhala itu, terdapat pahatan lima orang dewa dan lima ekor kambing tersebut. Pahatan lima ekor kambing setinggi 11 meter yang diperbuat daripada lebih 130 ketulan batu granit yang dihasilkan pada tahun 1959 pula tersergam di puncak Bukit Mukegang dalam Taman Yuexiu di bandar Guangzhou. Pahatan ini ialah lambang bandar Guangzhou.

Guangzhou juga mempunyai satu gelaran, iaitu "bandar bunga" kerana orang Guangzhou amat suka pada bunga. Mereka suka menghiasi rumah, kawasan kediaman, malahan bandar ini dihias dengan menggunakan bunga, khususnya pada hari perayaan Tahun Baru China. Sempena hari raya itu,

pesta atau pasar bunga diadakan di merata-rata tempat di Guangzhou. Pada malam sebelum Tahun Baru China pula, sekeluarga bersama-sama melawat pasar bunga selepas makan malam. Ini telah menjadi tradisi orang Guangzhou.

Guangzhou merupakan sebuah bandar yang bersejarah. Dalam tempoh lebih dua ribu tahun, lokasi pusat bandar ini tidak pernah berpindah. Pada masa ini, hanya Rome, Itali yang sama seperti Guangzhou, iaitu dibina terus di tapak asalnya.

Guangzhou juga mempunyai sejarah perhubungan luar yang lama. Ia sekarang tetap merupakan pusat perdagangan luar bagi negara China. Guangzhou ialah tempat bermulanya Laluan Sutera Laut pada zaman purbakala.

Pada ketika itu, ia dianggap pelabuhan yang paling terkenal. Melalui Laluan Sutera Laut itu, dunia Timur disambung dengan dunia Barat, perdagangan dan pertukaran lawatan dapat dijalankan melalui laluan ini.

Guangzhou ialah kampung halaman ramai orang keturunan Cina di luar negara. Menurut statistik, seramai 520 ribu orang keturunan orang Guangzhou yang menetap di 116 buah negara pada masa ini.

Pameran Barangan Import dan Eksport China dianjurkan dua kali setahun di Guangzhou, iaitu pada musim bunga dan musim gugur, semenjak tahun 1957. Hingga kini, pameran tersebut telah dianjurkan sebanyak lebih daripada 100 kali. Pameran ini merupakan pameran yang paling besar skopnya di China.

Pameran ini memainkan peranan yang amat besar untuk menggalakkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara Tanah Besar China dengan pelbagai negara dan kawasan di dunia, baik sebelum ataupun selepas dasar pembaharuan dan pintu terbuka dilaksanakan di China.

Terdapat beberapa banyak destinasi pelancongan di Bandar Guangzhou, antaranya Taman Yuexiu, Bukit Baiyun, tebing Sungai Mutiara, Dewan Peringatan Dr. Sun Yat-sen, Akademi Pelajaran Klasik Keluarga Chen, Makam 72 Pahlawan Huanghuagang, Muzium Provinsi Guangdong dan Sumber Air Panas Conghua.

Masjid Huaisheng Guangzhou yang juga dikenali sebagai Masjid Pagoda Guangzhou telah dibina pada awal zaman Dinasti Tang, yang wujud pada tahun 618 hingga tahun 907 Masihi. Masjid ini merupakan salah sebuah daripada 4 buah masjid yang paling awal dibina di China selepas agama Islam diperkenalkan ke negara ini.

Taman Yuexiu yang indah, Sungai Mutiara yang merentasi kawasan pusat bandar, pokok yang merimbun dan bunga yang berwarna-warni, jalan lama dengan kaki lima di kedua-dua tepinya,

kawasan komersial moden dan bangunan pencakar langit, kesemuanya ini telah menjadikan bandar Guangzhou yang indah, yang kini merupakan metropolitan antarabangsa yang terkenal di dunia.

CRI/-

Minum Pagi di Guangzhou

02 Zulhijjah 1431 H

China merupakan tempat asalnya teh. Orang China, terutamanya orang Guangzhou amat suka minum teh. Di Guangzhou, kalau sebut "minum teh", ini bukan sahaja bermaksud betul-betul minum teh, tetapi juga makan pelbagai jenis dim sum, sambil berborak-borak dengan sahabat atau keluarga. Ini telah menjadi budaya dan tradisi orang Guangzhou.

Kebanyakan restoran di Guangzhou dibuka pagi-pagi lagi. Ramai pelanggan berbaris dan menunggu di depan restoran pada kira-kira pukul 5.30, untuk "minum pagi". Setelah mendapat tempat duduk, mereka memesan teh dahulu, seperti teh hijau, teh Oolong, atau teh kekwa.

Pak Cik Cao kini berumur 60, sejak berumur belasan tahun lagi, beliau sudah mula minum pagi dengan bapanya. Minum pagi telah menjadi tabiat beliau. Katanya, ketika menghidangkan teh untuk orang lain, jangan hidangkan cawan yang terlalu penuh, hanya kira-kira 80 peratus isi cawan. Tetapi apabila menghidangkan arak untuk orang lain, kita perlu hidangkan dengan penuh. Selain itu, penerima juga perlu mengetuk meja dengan menggunakan jari telunjuk dan jari tengah sebagai menyatakan terima kasih.

Setelah teh dihidangkan, mereka biasanya membaca surat khabar sambil minum. Sebentar kemudian, mereka memesan dim sum, seperti wantan, kuih lobak, mi dan sebagainya. Ramai pelanggan yang sentiasa minum pagi di restoran yang sama, beransur-ansur menjadi sahabat.

Bagi pelanggan-pelanggan lama, mereka duduk di tempat yang sama setiap hari. Kalau sesiapa yang tidak hadir suatu hari, pelayan di restoran itu dan pelanggan lama yang lain akan bertanya: apakah dia sakit? Mengapa dia tidak muncul hari ini?

Selain berjumpa dengan sahabat-sahabat di restoran, ramai keluarga yang datang dan minum pagi bersama-sama.

Puan Chen kini berusia 80 tahun. Beliau minum pagi di sebuah restoran setiap hari. Beliau bangun pada jam 5.30 pagi, setelah main silat Taiji, beliau terus pergi ke restoran. Anaknya, Puan Guan menyatakan bahawa minum pagi merupakan tabiat orang Guangzhou, tambahan pula, minum pagi amat baik untuk kesihatan. Oleh sebab ibunya sudah lanjut usia, maka Puan Guan dan adik-beradiknya selalu menemani ibu mereka ke restoran itu.

Walau bagaimanapun, orang muda sekarang jarang minum pagi di restoran. Ini kerana mereka sibuk bekerja dan malas bangun pagi-pagi untuk minum. Dengan itu, banyak restoran telah menawarkan perkhidmatan "minum petang" dan "minum malam", khusus untuk mereka yang tidak ada masa untuk minum pagi.

CRI/-

Letusan susulan Gunung

02 Zulhijjah 1431 H

YOGYAKARTA - Corak letusan Gunung Merapi yang berubah-ubah menyebabkan pakar-pakar vulkanologi sukar untuk meramalkan aktiviti gunung berapi itu di masa hadapan.

Mereka percaya gunung berapi paling aktif di dunia itu masih menyimpan tenaga besar dan letusan susulan mungkin akan berlaku.

Kejadian letusan terbaru itu dianggap paling dahsyat dalam tempoh satu abad kerana ia turut membebaskan abu panas vulkanik setinggi 8,000 meter ke udara dan hujan abu kerikil ke kawasan yang terletak sejauh 32 kilometer dari puncak gunung itu pada 5 November lalu.

Sebanyak 26 perkampungan yang terletak di lereng Gunung Merapi turut musnah dalam kejadian terbaru itu, sekali gus, menyebabkan pusat-pusat pemindahan terpaksa menampung lebih 200,000 penduduk dalam satu masa.

Lapangan Terbang Adisucipto juga membatalkan operasi berpuluh-puluh penerbangan sebanyak beberapa kali akibat landasan yang dipenuhi abu vulkanik yang dikhuatiri akan menjejaskan jarak penglihatan.

Sinar Harian/-

Bersahabat dengan DAP bukan beban

02 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Abd Shukur Harun shukurharun

Walaupun calon kedua-dua parti dalam Pakatan Rakyat di Batu Sapi, Sabah dan Galas, Kelantan kalah, namun ada sesuatu yang sangat memberansangkan bahawa ketiga-tiga parti dalam Pakatan tersebut terus berpadu erat bahkan semakin kukuh.

Tidak ada sebarang perpecahan di kalangan mereka, walaupun pihak musuh politik Pakatan Rakyat berhempas pulas melaga-lagakan antara PAS dan DAP serta PKR dengan melancarkan kempen berterusan bahawa kononnya PAS diperalat oleh DAP dengan tujuan mereka supaya orang Melayu tidak menyokong PAS.

Ternyata kempen fitnah ini tidak berjaya, bahkan terbukti ketiga-tiga parti ini berpadu tenaga, bersama-sama berkempen baik di Galas mahupun di Batu Sapi.

Ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat telah membanjiri sekitar Galas dan Batu Sapi di hari penamaan calon - menjadikan jumlah penyokong Pakatan Rakyat di kedua-dua tempat itu mencecah lebih 10,000 orang.

Kerjasama erat penyokong ketiga-tiga parti berterusan sepanjang kempen hingga menjelang hari mengundi, bahkan pada hari mengundi pendukung ketiga-tiga parti ikut sama dalam gelombang memberikan semangat, bahkan bersama merayu undi dengan penuh riang ceria.

Walaupun BN menang di dua kawasan itu, namun sudah tentu ada rasa kekecewaan di kalangan pemimpin Barisan Nasional apabila melihat tidak ada perpecahan di kalangan Pakatan Rakyat.

Inilah sebenarnya kekuatan Pakatan Rakyat yang tidak mudah tergugat walaupun menghadapi pelbagai cabaran berat. Kekuatan ini dibina hasil dari semangat setiakawan di kalangan warga Pakatan Rakyat sendiri.

Di semua pentas kempen ceramah, baik di Batu Sapi mahupun di Galas, sentiasa disertai oleh pemimpin PAS, DAP dan PKR, sementara di peringkat lapangan – di ground lavel – petugas ketiga-tiga parti saling bekerjasama erat, mengambil peranan dan tugas masing-masing.

Ini bermakna tahaluf-siasi – kesepakatan parti politik dalam Pakatan Rakyat -benar-benar terlaksana bukan saja di peringkat pimpinan bahkan di semua peringkat. Justru jika momentum kesepakatan ini dapat dikekalkan maka ia akan benar-benar menjadi kekuatan Pakatan Rakyat untuk menghadapi PRU Ke-13 nanti.

Dengan adanya persepakatan dalam Pakatan Rakyat ini tentu sekali menjadi bukti bahawa Pakatan Rakyat telah berjaya meruntuhkan tembok perkauman, sekurang-kurangnya di kalangan penyokong Pakatan Rakyat.

Di peti undi di mana majoriti kalangan pengundi Cin, umpamanya di kampung baru Cina, DAP ke depan dalam berkempen dengan dibantu oleh petugas PAS dan PKR. Mereka bertugas dengan penuh gigih dan ceria dengan sambutan meriah dari rakyat.

Begitu juga di kawasan penduduk Melayu, PAS dan PKR ke depan dengan dibantu oleh petugas DAP di mana sambutan begitu menggalakkan. Benar ada terdapat di mana pengundi Cina memberi sokongan lebih kepada BN disebabkan isu tertentu, tetapi hal ini hanya berlaku di tempat tertentu, tidak pada keseluruhan kawasan pengundi Cina.

Demikian juga di kawasan Orang Asli di mana isu pengambilan tanah mereka menyebabkan ramai Orang Asli menyokong BN.

Namun begitu, pada keseluruhannya sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat tetap utuh. Dengan kukuhnya kesepakatan PAS, PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat maka tidak benar dakwaan musuh Pakatan Rakyat bahawa kononnya PAS menanggung beban berat kerana bersahabat dengan DAP.

Dakwaan ini semata-mata dengan niat politik mereka supaya PAS menarik diri dari Pakatan Rakyat dan berjuang sendiri yang akhirnya membuka peluang untuk bekerjasama dengan Umno.

Saya yakin, dengan keputusan tiga Muktamar Tahunan PAS – di Ipoh, Shah Alam dan Kota Bharu tidak lama dulu - PAS tidak akan berjuang bersendirian, bahkan akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Dengan itu, cita-cita pihak musuh Pakatan Rakyat dan golongan yang sealiran fikiran dengan mereka untuk melihat perpecahan dalam Pakatan Rakyat, tidak akan berlaku dengan izin Allah s.w.t.

Ternyata persahabatan PAS dengan DAP dan PKR memberi peluang luas kepada PAS untuk menerangkan dasar Islam, khususnya mengenai keadilan Islam kepada orang bukan Islam umumnya, khususnya di kalangan DAP.

Dengan keterbukaan PAS ini orang bukan Islam, khususnya di dalam DAP, tidak lagi menganggap PAS sebagai ‘musuh’ yang menakutkan, tetapi sebagai sahabat yang wajar didekati, ramah dan penuh pengertian.

Lebih dari itu mereka mengkagumi akhlak pendukung PAS yang berjuang dengan penuh ikhlas dan bersikap amanah. Ini mesej Islam yang telah berjaya disampaikan oleh PAS kepada masyarakat umum, khususnya bukan Islam.

Justru persahabatan PAS dengan DAP dan PKR bukanlah suatu beban kepada PAS seperti yang didakwa oleh musuh Pakatan.

Sementara itu, dalam masa yang sama perhatian PAS kepada pengundi Melayu sama sekali tidak berkurangan sedikitpun, malah kekal seperti sediakala, justru tidak ada sebab untuk dibimbangkan.

Oleh itu, apa yang penting sekarang bagi Pakatan Rakyat ialah membuat persiapan secukupnya untuk menghadapi PRU Ke-13 dengan membuktikan Pakatan Rakyat terus utuh. Penerangan mengenai perjuangan Pakatan mesti disebarluaskan supaya semua rakyat mengetahui kebaikan Pakatan Rakyat.

Harakahdaily/-

Perak Care bantu mangsa banjir

02 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Harakahdaily

IPOH, 8 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) telah melancarkan derma kilat ‘Tabung Misi Kemanusian’ kepada seluruh rakyat yang bersimpati dan ingin membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis dalam bentuk kewangan.

Naib ketuanya, Salman Saleh berkata, pihkanya telah mengadakan lawatan kerja ke Kedah terutama di Alor Setar baru-baru ini dan mendapati bantuan kecemasan perlu segera disalurkan kepada mangsa banjir.

Katanya, beberapa keperluan penting seperti air minuman bersih atau air mineral, susu bayi seawal 3 bulan, lampin pakai buang untuk kanak-kanak dan dewasa pelbagai saiz di samping makanan seperti sardin, telur ayam serta beras.

Tambahnya, orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh dibuat atas nama Perak Care melalui akaun Maybank bernombor 558015001720.

DPPN Pk, katanya berharap rakyat mengambil peluang ini untuk menyalurkan sebarang bentuk sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir tersebut.

“DPPN Pk sekali lagi amat berharap rakyat di Negeri Perak terutamanya yang prihatin terhadap saudara kita yang berada di utara bagi memastikan kehidupan mereka semasa dan selepas daripada banjir ini akan terus dipelihara dan dibantu bagi mengelakkan daripada pelbagai penyakit yang datang akibat banjir tersebut,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Banyakkan cawangan, aktif sebar maklumat

02 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Kekalahan PAS di Galas memerlukan parti itu memperbanyakkan cawangan aktif di kawasan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Cawangan yang aktif, katanya penting bukan sahaja dalam usaha menyampaikan maklumat tepat, malah sebagai duta PAS mendampingi masyarakat.

"Pengajaran besar adalah kita perlu banyak cawangan bergerak.

"Saya harap PAS negeri banyakkan cawangan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas faktor kekalahan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas 4 November lalu.

Pada PRK itu Calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mendapat 4,134 undi berbanding calon BN, Abdul Aziz Yusof 5,324 undi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, kebanyakan PAS kalah adalah di kawasan pedalaman di mana parti itu tidak mempunyai cawangan yang aktif.

Sebaliknya, rakyat bandar dan pinggir bandar masih mengekalkan sokongan kepada PAS seperti PRU 2008 lalu.

"Trend rakyat bergantung kepada maklumat. Bila rakyat tidak dapat maklumat, kita sukar untuk menang," katanya lagi.

Faktor tersebut juga, ujarnya membezakan kenapa PAS mampu mengekalkan pemerintahan Kelantan namun tidak di Terengganu.

"Saya bangga PAS Kelantan mampu bertahan lebih 20 tahun walaupun dikepung segenap penjuru.

"Bezanya dengan Terengganu adalah kerana Kelantan mempunyai banyak cawangan yang bergerak," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Selain maklumat tidak sampai, faktor besar kekalahan PAS, katanya adalah padang permainan tidak sama rata.

PAS, katanya bukan sahaja berdepan BN, malah berdepan kerajaan itu sendiri.

"Kita tak rasa hairan dengan keputusan itu, bahkan kita merasa hairan jika kita menang.

"Kita ada pengalaman, kita pernah kalah pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, tapi bila pilihan raya umum, kita menang.

"Pilihan raya kecil tidak boleh menjadi ukuran sebenar pilihan raya," katanya.

Beliau bagaimanapun turut mengucapkan terima kasih kepada petugas PAS dan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus menjayakan kempen PAS di Galas.

Beliau juga menolak pendapat sesetengah pihak yang mendakwa tsunami politik 2008 berhenti di Galas.

Menurutnya, arus perubahan khususnya di kalangan pengundi muda masih berlaku dan akan terus berlaku jika mereka mendapat akses maklumat.

"Kita lihat mereka yang berpendidikan tinggi, tidak suka kepada BN. Ini satu perkembangan yang baik," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada pegawai Kelantan rasuah sejak 1990

02 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Wartawan Kita

KOTA BHARU, 8 Nov: Sejak PAS menerajui Kelantan pada Oktober 1990 sehingga sekarang tidak ada pegawai kerajaan yang didapati terbabit dengan kesalahan rasuah.

Nombor sifar itu diberitahu Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (gambar) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.Pegawai terbabit dari golongan profesional dari gred N41 hingga N54.

Bagaimanapun menurutnya bilangan kakitangan sokongan dari gred N1 hingga 28 yang terbabit dengan kesalahan rasuah dicatat sebanyak 15 kes.

“Bagi kes jenayah pula hanya mencatat lima kes membabit pegawai profesional negeri sejak 1990 sehingga 2010.

“Manakala bagi kakitangan sokongan pula sebanyak 14 kes bagi kesalahan jenayah,” katanya menjawab soalan Zulkifli Mamat (PAS-Pulai Chondong).

Timbalan Menteri Besar berkata, kejayaan itu adalah hasil daripada dasar Membangun Bersama Islam yang diterap kerajaan negeri kepada kakitangan awam sejak 1990 sehingga sekarang.

Katanya, dasar itu berjaya diselami dalam jiwa setiap kakitangan kerajaan negeri sehingga mengelakkan diri daripada kegiatan rasuah dan jenayah.

Menjawab soalan tambahan Mohamed Mustapha (PAS-Demit) katanya, buku panduan dasar Membangun Bersama Islam akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Kita lakukan selaras dengan tuntutan agama,” katanya.

Harakahdaily/-

Saman ekor tidak adil, perlu dimansuh

02 Zulhijjah 1431 H
Dibuat: Zakaria Hazayani

KUALA LUMPUR, 8 Nov: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mencadangkan kerajaan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperbaiki sistem Yang sekarang peralatan untuk mengenakan saman kepada pengguna jalan raya.

Salahuddin ketika Kesawan mencelah perbahasan di Dewan Rakyat Petang tadi berkata, ekor saman Yang dikenakan pajaknya dan PDRM regular tidak perlu dimansuhkan Segera Adil.

Ini kerana katanya, terdapat BANYAK Masalah Yang Timbul Yang saman akibat antaranya dikenakan apabila pemilik kenderaan Bukan ITU Sendiri Yang menggunakannya ketika dikenakan saman.

"Secara Terbuka Menteri tadi mengakui kesilapan Memang ADA di peringkat pelaksanaan Pembongkaran mesin manual Yang peralatan, dan seumpamanya tetapi pengguna jalan raya Tetap menerima saman.

"Saya Melihat Suami ekor saman saman Satu Yang Adil Apabila regular tidak diberikan. Saman Suami kepada mereka melakukan kesalahan Yang ITU Secara Umum, Bukan Pandu kereta kadang-kadang Tuan Orang Yang pinjam. Kereta, TIBA-TIBA ADA Masalah saman. Ini menimbulkan BANYAK.

"Adakah Yang Berhormat Boleh regular tidak mempertimbangkan bahawa APA Yang saman dihapuskan ekor ITU parts, ITU sistem diperbaiki," kata beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Saccharin ITU, Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) menegaskan, saman ekor bercanggah Artikel Baru perkara 13 Perlembagaan Persekutuan iaitu hak seseorang terhadap hartanya.

"Saman ekor bertentangan perkara 13 Perlembagaan Persekutuan Artikel Baru iaitu hak terhadap harta.

"Sekiranya seseorang hitamkan ITU disenarai, dan Jabatan Pengangkutan Jalan enggan memperbaharui Cukai jalan keretanya Maka dialog regular tidak menggunakan Boleh.

"Jadi tidakkah Suami melanggar Prinsip perlembagaan," katanya.

Harakahdaily / -

Umno anjur karaoke di penempatan Orang Asal

02 Zulhijjah 1431 H
Oleh : Wartawan Kita

KOTA BHARU, 8 Nov: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini diberitahu Umno didakwa menganjur program tidak sihat di penempatan Orang Asal semasa kempen pilihan raya kecil Dun Galas baru-baru ini.

Wakil kerajaan negeri mendedahkan program terbabit iaitu disko dan karaoke yang diadakan di penempatan terbabit.

Sedangkan kata anggota Exco, Abdul Fattah Mahmood kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam cuba mendekatkan penduduk di penempatan terbabit dengan kefahaman agama.

Malah satu sumber lain pula memberitahu ada pihak dipercayai didalangi Umno membawa minuman arak dan disaji kepada penduduk Orang Asal.

“Kita membawa ustaz untuk mengajar mengenai agama kepada Orang Asal di penempatan mereka. Namun dalam masa yang sama Umno menganjurkan karaoke dan disko.

”Ini menggambarkan di satu ketika kerajaan bimbang gejala sosial begitu parah sekarang, dan dalam masa yang sama menganjur pula program menjurus kepada keruntuhan akhlak,” katanya menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (PAS-Kemuning).

Sepanjang kempen pilihan raya kecil Galas, enam daerah mengundi membabitkan penduduk Orang Asal iaitu Lojing, Sungai Ber, Belatim, Balar, Bihai dan Hau dikawal ketat agensi kerajaan pusat diketuai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli.

Jabatan itu difahamkan turut dibantu pasukan tentera dan Rela serta beberapa agensi lain milik kerajaan pusat.

Ketika menjawab soalan asal Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Chetok) Abdul Fattah berkata, kerajaan negeri telah menggubal beberapa enakmen bagi mengekang masalah sosial di negeri ini.

Katanya, enakmen tersebut memberi kuasa bagi mencegah kegiatan maksiat berlaku di negeri ini.

”Ketika kerajaan negeri berusaha keras bagi menangani gejala maksiat, sebaliknya perdana menteri pula mencetus idea mewujudkan hub hiburan malam.

”Biar pun program itu dicadangkan dalam bajet yang dibentangkan perdana menteri bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, namun kesan kepada keruntuhan gejala sosial akan menjadi lebih parah.

”Apa yang dcadangkan itu secara tidak langsung akan menghancurkan masa depan generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pelapis pada masa depan,” katanya.

Abdul Fattah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ihsan, Belia, Sukan dan NGO berharap Datuk Seri Najib Razak mengkaji balik cadangan tersebut kerana impak negatif lebih besar.

Malah katanya, ramai pelajar Malaysia yang berada di luar negara menyatakan bantahan terhadap cadangan perdana menteri mewujudkan hub hiburan malam.

Harakahdaily/-