12 Oktober 2010

Drs. Khalil : Malaysia lebih maju jika tidak diperintah BN.

4 Zulkaidah 1431H.
Oleh : Hafizi Pauzi

BENTA PAHANG , 9 Okt:- Malaysia dan rakyatnya sudah mampu menjadi maju jika sekiranya tidak diperintah oleh Kerajaan Barisan Nasional, hakikatnya Malaysia satu ketika dahulu pernah menjadi tempat tumpuan perolehan khazanah yang tidak ternilai harganya oleh negara-negara yang maju sekarang ini, berdasarkan fakta ini, Malaysia boleh menjadi lebih maju dari Negara yang pernah menjajahnya dan jirannya disebabkan khazanah yang banyak itu. Demikian antara ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim ketika berucap di ceramah isu semasa di markas PKR di PPSK Kg. Melayu Jerkoh disini.

Turut menyampaikan ceramah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota YB Azan Ismail dan pimpinan DAP Jerantut Pahang.

Kata Drs. Khalil lagi, Rakyat Malaysia selama ini telah ditipu oleh kerajaan Barisan Nasional, pemimpin yang dipilih oleh rakyat untuk menerajui tampok pemerintahan Negara hanya sibuk menyimpan harta diluar Negara, dalam masa yang sama rakyat hidup merempat dengan harta yang tidak seberapa.

Rakyat memerlukan pemimpin yang berpotensi menjana kekayaan Negara bagi memacu ekonomi seluruh rakyat Malaysia, beliau mengingatkan kepada hadirin supaya inilah masanya untuk merebut peluang untuk menjatuhkan kerana Barisan Nasional pada PRU 13 tidak lama lagi.

Drs. Khalil menegaskan juga tugas ini adalah tugas bersama, tugas bagi menyedarkan tentang situasi Negara semasa perlu dipikul bersama, baik diperingkat muda, yang tua bahkan sesiapa sahaja mesti melibatkan diri dalam kerja memberi maklumat ini kepada rakyat amnya.

Selain itu beliau menambah lagi bahawa usaha lebih keras perlu dijana dari sekarang bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pakatan rakyat pada pru 13 nanti.

Persepsi Israel terhadap Palestin

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Muhammad Nuruddin Bashah

Israel tidak lagi memandang Palestin sebagai ancaman keamanan mereka, begitulah pandangan umum rakyat Israel yang dilaporkan dalam Majalah Times keluaran September 2010 yang lalu.

Menurut Tamar Hermann , ahli kaji sains politik Israel, rakyat Palestin bukan lagi satu ancaman strategik yang perlu dikhuatiri, malah mereka hanyalah pengganggu biasa sahaja.

Bukan ancaman strategik memberi maksud Palestin bukan lagi ancaman yang mampu merobohkan regim Zionis itu, akan tetapi mengapa paranoid masih melanda warga Barat dan Israel sehingga mereka masih mengekalkan falsafah fikir islamofobia?

Ataupun ungkapan Hermann dan beberapa cendiakawan Israel-Barat hanya untuk menampilkan keegoan mereka terhadap musuh mereka yang sebenarnya sudah cukup bersedia dari aspek kerohanian dan matlamat pembebasan?

Kini semua media antarabangsa melaporkan hasrat dunia untuk melihat proses damai antara Israel dan Palestin berlaku. Telah acapkali rundingan langsung antara rejim Zionis Yahudi dengan Pihak Berkuasa Palestin (PA) berlaku.

Namun, rundingan itu tergendala semula apabila pembekuan pembinaan penempatan baru Yahudi selama 10 bulan di Tebing Barat tamat pada akhir September lalu.

Sebagai simbolik penamatan tersebut, orang-orang Yahudi membawa jentolak dan alat-alat lain serta bahan pembinaan bagi merangsang semula pembinaan penempatan baru Yahudi di Tebing Barat yang kini mencapai jumlah 500,000 orang.

Lantas pihak PA pula memberi syarat tegas tidak akan berkompromi untuk meneruskan rundingan langsung jika rejim Zionis meneruskan penempatan mereka dan meramaikan penduduk Yahudi di Tebing Barat.

Manakala HAMAS yang berorentasikan perjuangan membebaskan Palestin secara mutlak telah menolak sebarang usaha damai antara Gaza dan Israel.

Jumlah rakyat Israel akan terus bertambah bukan kerana dasar penambahan anak tetapi disebabkan konsep penerimaan warganegara Israel yang terlalu terbuka. Israel bersedia menerima mana-mana penganut yahudi seluruh dunia yang inginkan perlindungan atau kewarganegaan di Israel.

Menurut kajian yang turut dimuatkan dalam Majalah Times, hanya 8% rakyat Israel menyokong bahawa perjanjian damai Israel-Palestin mampu membawa keamanan kepada mereka.

Ternyata mereka memandang rendah kepada usaha damai tersebut malah turut berpendirian bahawa konflik tersebut mungkin adalah konflik sepanjang zaman yang tiada noktahnya. Rakyat Israel lebih memandang masalah pendidikan , jenayah domestik, keselamatan negara dan kemiskinan sebagai masalah utama mereka.

Menurut Suhaimi Mokhtar, Perunding Media (Sinar Harian, 4 Oktober 2010), adalah terlalu sulit dan rumit untuk mencari penyelesaian konflik Palestin.

Ia menjadi bertambah rumit apabila rejim Zionis menambahkan penempatan baru penduduk Yahudi di wilayah-wilayah yang ingin dijadikan wilayah bumi negara Palestin.

Isu ibu negara Palestin dan ibu negara rejim Zionis dan hak untuk rakyat Palestin yang menjadi pelarian untuk kembali ke bumi Palestin adalah isu-isu kritikal yang kelihatan tidak ada jalan penyelesaiannya.

Walaupun status pelarian Palestin sejak tahun 1948 adaah menepati kehendak Konvensyen Pelarian 1951 Geneva, persepsi Israel terhadap mereka adalah berbeza.

Israel berjaya mempengaruhi pemikiran barat melalui persepsi bahawa kelompok pelarian yang berjuang untuk kembali ke tanah air sebagai kelompok pengganas.

Isu-isu yang menyangkut Palestin hampir mustahil untuk dicari penyelesaian. Ia ditambah pula dengan isu penempatan baru Yahudi ,menjadikan penyelesaian Palestin bagaikan tidak ada jalan keluar yang munasabah untuk dicari.

Penambahan penduduk Yahudi di Tebing Barat dan di Baitulmuqaddis Timur sengaja dicipta oleh rejim Zionis untuk menambahkan halangan sedia ada bagi menggagalkan usaha mewujudkan sebuah negara Palestin sebagaimana terkandung dalam pelan damai.

Di samping halangan-halangan berkenaan yang sangat sukar untuk mencari penyelesaiannya, status Masjid Al-Aqsa dan pelbagai tempat suci di persekitaran Baitulmuqaddis tidak dapat dirundingkan dan tiada kompromi. Ia lebih mengundang persengketaan dari perdamaian.

Adakah Israel tidak berasa bersalah dengan pendudukan mereka di perkampungan Palestin secara paksa? Jika anda sempat menjelajah laman sesawang wikipedia, dan ingin mencari takrifan sebenar status pelarian Palestin, anda pasti akan faham bagaimana persepsi Israel memahami konflik ini.

Bagi mereka pelarian Pelastin wujud kerana konflik Israel-Arab, tidak lebih dari itu.

Konflik yang dianggap tiada titik permulaan dan pelarian Palestin dianggap mendapat status pelarian selepas meninggalkan perkampungan mereka secara sukarela selepas tidak mampu menanggung konflik Arab-Israel yang melanda.

Pelarian Palestin adalah orang-orang yang biasa bertempat tinggal di Palestin antara Jun 1946 dan Mei 1948, yang akhirnya kehilangan hak rumah mereka akibat konflik Arab-Israel 1948. Rakyat Yahudi dianggap berhak terhadap bumi Palestin.

Wikipedia merakamkan pandangan Yahudi yang menganggap konflik dan perang keganasan hanya bermula disebabkan sikap rakyat Arab yang menolak hak Israel untuk menetap di bumi Palestin selepas Yahudi dihalau dari Jerman dan Rusia sepanjang Perang Dunia Pertama hingga Perang Dunia Kedua.

Selepas mereka dilanyak oleh Nazi (Perang Dunia Kedua) dan Tzar Rusia (era sebelum Perang Dunia Pertama), mereka merasakan berhak membina semula komuniti mereka berdasarkan saluran ‘sah’ mereka iaitu keputusan PBB dan sokongan Britain serta Amerika Syarikat walaupun melalui kaedah merampas tanah kaum lain.

Menurut satu pelan PBB, Baitulmuqaddis sepatutnya menjadi sebuah bandaraya antarabangsa dan bukan sebahagian daripada negeri orang Arab ataupun negeri orang Yahudi.

Dahulu, sempena Perang Arab-Israel 1948, Baitulmuqaddis Barat diduduki oleh Israel manakala Baitulmuqaddis Timur menjadi milik Jordan.

Kemudian pada tahun 1967, semasa Perang Enam Hari, Israel menawan Baitulmuqaddis Timur dan mula mengambil langkah untuk menyatukan Baitulmuqaddis di bawah penguasaan Israel.

Pada tahun 1988 Jordan menarik balik semua tuntutannya ke atas Tebing Barat (termasuklah Baitulmuqaddis) bagi menyokong Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Sejak kemenangan Israel pada perang tahun 1967,

Israel menguasai keseluruhan kota tersebut dan menuntut hak kedaulatan undang-undang terhadap Baitulmuqaddis. Israel juga menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara tetapi pengisytiharan ini tidak diiktiraf oleh masyarakat sedunia.

Palestin juga menuntut supaya keseluruhan Baitulmuqaddis ataupun sebahagian daripadanya yakni Baitulmuqaddis Timur menjadi ibu negaranya.

Kini di Baitul maqdis terdapat kawasan yang boleh dimasuki oleh Palestin akan tetapi Yahudi juga mesti dibenarkan untuk memasuki kawasan tersebut.

Sementara itu terdapat juga kawasan di Baitulmaqdis yang hanya boleh dimasuki oleh kaum Yahudi dan rakyat Palestin diharamkan untuk memasuki kawasan itu.

Hal inilah yang turut menyumbang rasa tidak puas hati di kalangan penduduk asal Palestin di Baitulmaqdis.

Sudahlah rakyat Palestin di Gaza tidak berpeluang berjumpa saudara mereka di Palestin Tebing Barat, Israel sibuk pula memisahkan rakyat Palestin di Tebing Barat dengan kawasan Baitulmaqdis Timur (kawasan umat Islam) dengan membina tembok pemisah ke Baitulmaqdis.

Kini Israel sedang membina apa yang dikatakan sebagai ‘pagar keselamatan’ di sekeliling Tebing Barat, dengan alasan ianya diperlukan untuk menghalang pengganas-pengganas Palestin dari memasuki Israel.

Pada realitinya, ia tidak lebih dari sebuah penjara kerana tembok itu dibina di dalam kawasan Tebing Barat, Palestin. Tembok itu pula dibina dengan penuh strategik dan telah diubahsuai di beberapa tempat bagi memisahkan penempatan dan tanah Palestin daripada rakyat Palestin yang tinggal di 50 perkampungan berasingan.

Menurut laman sesawang PalestinKini, sejak pembinaannya, tembok itu telah memisahkan para petani dari tanah kebun mereka, ianya juga telah memisahkan kanak-kanak dari sekolah-sekolah mereka.

Sebilangan petani telah pun dihalau daripada tanah yang sepatutnya menjadi hak milik mereka dan diberitahu bahawa tanah itu telah menjadi milik Israel sekarang selepas pembinaan tembok tersebut.

Bagi rakyat, pemerintah Israel dan penguatkuasanya, orang Palestin adalah penceroboh kawasan mereka dan bukannya sebaliknya.

Hal ini boleh dilihat berdasarkan laporan Bernama 4 Oktober 2010 apabila seorang polis sempadan Israel menembak mati seorang lelaki Palestin yang dituduh cuba menceroboh masuk ke kawasan Israel berhampiran Baitulmaqdis Timur.

Padahal Baitulmaqdis Timur bukan mutlak sebagai ibu negara Israel. Mangsa berumur 37 tahun itu dituduh cuba melompat melepasi pagar bersama-sama 15 pekerja lain untuk memasuki Israel secara haram.

Polis terbabit mendakwa kononnya lelaki itu cuba merampas pistol miliknya semasa mangsa ditahan, menyebabkan pistol itu 'tertembak' lelaki Palestin tersebut.

Persepsi rakyat Israel terhadap Palestin mungkin berbeza dengan pandangan kumpulan hak asasi manusia di Isreal.

Baru-baru ini tiga buah kumpulan hak asasi Israel memohon perintah mahkamah hari ini supaya kerajaan rejim Zionis mengeluarkan senarai nama mereka yang terkorban dan cedera dalam serangan terhadap kapal misi bantuan ke Gaza pada 31 Mei yang lalu.

Laporan tersebut yang boleh dirujuk daripada laman http://www.adalah.org menunjukkan betapa gerakan hak asasi di Israel juga menemplak tindakan Isreal melarang penyiasatan PBB terhadap serangan mereka pada 31 Mei yang lalu.

Selain itu, mereka turut memfailkan permohonan ‘harbeas corpus’ terhadap Menteri Pertahanan Israel, Jabatan Penjara, Polis serta pihak Imigresen dengan mendakwa penahanan beberapa aktivis keamanan itu sebagai tidak sah.

Petisyen permohonan itu dilakukan oleh ahli jawatankuasa Pertubuhan Anti Penyeksaan dan Hak Asasi Manusia Israel yang diketuai oleh NGO bernama Adalah.

Selain Adalah iaitu Pusat Minoriti Arab di Isreal yang berpusat di Haifa, Israel, NGO hak asasi di Israel yang sering bertindak mendesak pemerintah Israel ialah seperti Pertubuhan Hak Asasi Isreal,

NGO B’tselem (Pusat Informasi Hak Asasi Wilayah Terjajah), NGO Gisha (Pusat Gerakan Pembebasan) dan NGO Yesh Din (Sukarelawan Hak Asasi Isreal).

Adakah benar rakyat Israel diajar untuk berpersepsi membenci Arab? Akhbar Berita Harian (Ahad, 26 Sept 2010) ada menyiarkan rencana berkenaan pendedahan seorang wartawan Israel terhadap persepsi dan mainan politik Israel terhadap Palestin.

Menurut Gideon Levy, seorang wartawan akhbar Haaretz (akhbar di Israel) yang telah menulis sebuah buku bertajuk The Punishment of Gaza, beliau menolak tanggapan umum yang mengatakan Israel mengamalkan demokrasi kerana sebenarnya Israel telah menindas penduduk Palestin.

Ketika ditemubual oleh akhbar The Independent, beliau mendedahkan taktik PM Israel, Benjamin Netanyahu yang menipu proses damai dengan Palestin. Akibatnya beliau kini dipantau oleh kerajaan Israel kerana berani mendedahkan perkara yang berlaku di wilayah ditakluki setiap minggu sejak 3 dekad lalu melalui akhbar Haretz.

Misi beliau sebenarnya adalah untuk menghapuskan paradigma ramai penduduk Israel yang sering berkata saya tidak tahu terhadap nasib malang Palestin.

Jelas bagi pandangan beliau, sikap sebenar Isreal terhadap Palestin dan pelan perdamaian adalah cukup pesimis dan tidak bersungguh.

Buktinya kini terdapat 3 jenis rakyat yang diperintah Israel iaitu warga Yahudi Israel, warga Arab Israel dan penduduk Palestin.

Yahudi Israel memiliki semua hak sivil manakala Arab Israel diberi kewarganegaraan tetapi dikenakan diskriminasi yang teruk manakala warga Palestin di wilayah yang ditakluk langsung tidak memiliki hak sivil mahupun hak asasi manusia.

Selain itu sepanjang tempoh 62 tahun, tiada langsung kampung Arab dibina. Situasi ini berlainan dengan jumlah bandar dan kampung Yahudi yang terus-terusan dibina.

Menurutnya lagi dalam buku tersebut, hukuman yang dikenakan kepada warga Yahudi dan Arab adalah berbeza walaupun jenayah yang dilakukan adalah sama. Pelajar Palestin pula tidak dapat menyewa pangsapuri di Tel Aviv kerana loghat dan namanya.

Lebih melucukan lagi, seekor anjing milik penduduk Israel yang mati akibat letupan roket Qassam diberi liputan luas dan dipaparkan di muka hadapan akhbar terlaris di Israel tetapi berita berpuluh-puluh penduduk Palestin yang mati di Gaza hanya ditulis di muka surat 16 akhbar yang sama dalam dua baris perkataan sahaja.

Persepsi negatif turut diajar kepada rakyat Israel apabila penduduk Yahudi Israel diajar bahawa manusia Palestin dilahirkan untuk membunuh, perasaan benci mereka adalah tidak rasional dan mereka bukan manusia seperti Yahudi Israel.

Beliau juga mengaku bahawa rundingan damai sebenarnya adalah satu penipuan dan tidak akan berjaya kerana berpendapat setiap rundingan damai memerlukan pembubaran penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Logiknya, jika akan dibubarkan, penempatan tersebut sepatutnya sudah mula diberhentikan tetapi perkara yang berlaku adalah sebaliknya malah berterusan sejak proses damai Oslo lagi.

Usaha jalan damai antara Israel dan Palestin akan sentiasa menjadi permainan dan perolokan jika aspirasi sebenar terhadap usaha damai tersebut tidak difahami iaitu memberi kebebasan kepada rakyat Palestin dan meletakkan baitulmaqdis sebagai kekal sebagai wilayah antarabangsa.

Pengangguran dan Modal Insan Malaysia

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Shaharul Shafie

Saya terbaca satu artikel berita bertajuk ‘Rakyat kita diajak pulang berkhidmat’ di dalam Mingguan Malaysia hari ini (10/10/2010) yang di dalamnya menyebut kerajaan memanggil pulang rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk pulang ke dalam negara ini untuk bekerja.

Di dalam laporan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di dalam ucapannya di Syedney itu kepada lebih 500 pelajar Malaysia di Australia dan New Zealand yang mengajak rakyat Malaysia balik ke Malaysia bagi menjayakan program transformasi kerajaan jika mereka betul-betul cintakan negara sendiri.

Kadar pengangguran mahasiswa semakin meruncing
Tujuan saya menulis ini bukan untuk mengulas ucapan berkenaan. Hanya saya mahu rayu di sini ialah para pelajar Malaysia yang sedang belajar di sana, biarlah bekerja untuk beberapa tahun di sana, timba pengalaman dan kumpul wang.

Untuk mereka yang sudah lama bekerja di sana, anda boleh balik tetapi balik dengan tukaran wang hasil simpanan di sana dan membuka perniagaan di negara ini.

Dengan cara ini, anda boleh menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada para pengganggur yang sedia ada di dalam Malaysia ini yang semakin hari semakin meningkat apabila kerajaan gagal mengawal ’kilang-kilang’ yang ada dalam negara ini kerana menghasilkan berpuluh-puluh ribu produk bernama mahasiswa.

Oleh kerana dasar pengilangan graduan secara besar-besaran selepas kerajaan membuka universiti-universiti awam baru yang asalnya bermula sebagai Kolej Universiti, kelulusan kerajaan membuka banyak universiti dan kolej swasta dan penambahan jumlah kemasukan pelajar di IPTA , produk graduan yang dikeluarkan dengan pukal kini nampaknya berlebihan jika dibandingkan dengan peluang pekerjaan yang wujud dalam industri pekerjaan hari ini.

Memanglah kita alu-alukan usaha kerajaan bagi memberi lebih banyak peluang pendidikan tertiari kepada rakyat Malaysia tetapi perancangan untuknya gagal memastikannya sejajar dengan peluang pekerjaan yang diwujudkan.

Terus-terang saya boleh dikatakan, peluang pekerjaan yang ada di Malaysia terlalu sedikit walaupun petunjuk ekonomi makro menunjukkan pertumbuhan ekonomi meningkat sejak setahun lalu. Ini kerana hasil-hasil yang menyumbang kepada kenaikan pertumbuhan ekonomi ini datangnya dari syarikat-syarikat besar yang tersedia ada dalam negara yang mencatatkan keuntungan.

Antaranya ialah syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti Petronas, Maybank, CIMB, Sime Darby, Proton, UEM dan sebagainya. Syarikat-syarikat milikan korporat yang besar lain adalah seperti Genting, Public Bank, Hong Leong, Maxis, Berjaya Group dan banyak lagi.

Perkongsian hasil ekonomi pulih hari ini tidak sekata
Syarikat-syarikat gergasi inilah yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara buat masa sekarang.

Hasilnya, hanya segelintir rakyat Malaysia sahaja yang terus menikmati pertumbuhan ekonomi. Mereka adalah pemimpin, pegawai kanan, dan golongan pekerjanya sahaja.

Namun begitu, sebesar mana syarikat-syarikat yang disebutkan ini, mereka juga tidak mempunyai keperluan untuk menambah para pekerja di dalam pasukannya walaupun ekonomi semakin baik semata-mata untuk mengurangkan kadar pengangguran negara.

Manakala bagi sektor awam pula tidak terjejas tidak kira semasa ekonomi meleset atau menaik.

Ini kerana pendapatan mereka dan perlindungan ke atas mereka dan keluarga dijamin oleh kerajaan.

Syarikat-syarikat bermodal rendah, sederhana dan kecil dalam Malaysia masih banyak yang gulung tikar dan banyak mendapat kesan buruk di bawah pentadbiran Najib.

Ini kerana usaha bagi membantu golongan usahawan nampak kurang berjaya dan serius kerana dasar-dasar kerajaan kini yang kurang dan tidak mesra usahawan. Semasa ekonomi Malaysia makmur pada tahun-tahun 2001-2005, produktiviti dan perkongsian ekonomi oleh syarikat-syarikat sebeginilah banyak membantu memakmurkan kehidupan hampir setiap rakyat.

Tetapi tidak lagi hari ini meskipun ekonomi pada dasarnya kembali pulih pada mata pemerintah sahaja.

Kesan kurang penumpuan sektor keusahawanan kecil dan sederhana
Ini secara jelasnya menampakkan kesannya apabila sebuah kementerian untuk perihal keusahawanan dibubarkan oleh pentadbiran Najib.

Syarikat-syarikat besar mengecapi kekayaan negara sesama mereka dan insentif-insentif kepada syarikat kecil dan sederhana ini tidak sampai dengan sepatutnya walaupun fungsi-fungsi Kementerian Pembangunan Usahawan diserahkan semula kepada beberapa kementerian.

Langkah membubarkan kementerian ini sebelum ini pernah disifarkan sebagai langkah kembali ke belakang yang akhirnya membantutkan pembangunan usahawan yang rata-rata melibatkan orang Melayu yang berjinak-jinak dengan perniagaan.

Tumpuan kepada projek-projek mega oleh pentadbiran Najib ini saling tidak tumpah dengan saat negara di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mungkin ketika Tun dahulu, memang wajar dilakukan program-program fizikal tetapi kesinambungan modal insan Tun Abdullah selepas itu sewajarnya diteruskan selari bersama-sama dengan program-program mega Najib yang sedang dirancang.

Walaupun masih ada insentif dan galakan kepada usahawan disediakan oleh kerajaan dan bank-bank tempatan yang menawarkan geran pinjaman, namun usaha yang dilakukan seperti melepaskan batu di tangga sahaja dan pelan komunikasi mengenainya tidak sampai kepada rakyat.

Bank-bank kini lebih gemar memberikan pinjaman dan melabur di dalam syarikat-syarikat bermodal tinggi dan mana-mana projek kerajaan yang diusahakan secara tender dan swasta yang dijamin oleh perbendaharaan Malaysia.

Mereka tidak berminat sangat dan malah cuba mengelak memberikan jumlah pinjaman yang sedikit dipinta oleh usahawan. Ini adalah kerana pinjaman itu memberikan pulangan rendah kepada bank tersebut.

Kita lihat sahaja pada skim TEKUN yang pernah suatu masa dahulu ketika pentadbiran Pak Lah yang banyak membantu usahawan tetapi sekarang tiada lagi peruntukan melaluinya mudah untuk diberikan kepada rakyat.

Jika adapun sekarang, TEKUN menjadi kenderaan politik bagi mencari sokongan rakyat. Kita seringkali mendengar pemohon perlu mendapatkan sokongan wakil rakyat Umno sebagai ’syarat’ tidak tertulis untuk permohonannya diluluskan tanpa syarat.

Sejauh kebenarannya tidak dinafikan. Tetapi kini, TEKUN tidak lagi berdaya beroperasi kerana kekurangan peruntukan daripada kerajaan pentadbiran Najib.

Namun yang menyedihkan, alasan yang selalu digunakan oleh kerajaan ialah TEKUN kekurangan wang kerana ramai usahawan tidak membayar balik pinjaman.

Persoalannya, bagaimana dengan peruntukan tahunan berterusan dari kerajaan? Bukankah kerajaan mampu memperuntukkan wang yang banyak jika benar-benar ingin membantu usahawan kecil dan sederhana ini?

Mengatasi Masalah Anak-Anak Yang Nakal, Degil Dan Suka Melawan Cakap Ibu Bapa

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh:Ibnuumar Asseluluni

Secara fitrahnya semua ibu bapa mahukan anak-anak yang menghormati ibu bapa, mentaati hukum agama, sentiasa menjauhi maksiat serta tidak terjebak dengan gejala sosial.

Pengalaman penulis di Darussyifa’ sering bertemu dengan ibu bapa yang mengadu tentang anak-anak mereka yang terjebak dengan gejala sosial seperti anak-anak yang lari dari rumah, bergaul dengan remaja yang rosak akhlak, berzina, menagih dadah, melawan ibu-bapa, kasar serta biadab dengan ibu bapa dan seumpamanya.

Ibu bapa yang datang ke Darussyifa’ ini meminta perawat mengikhtiarkan sesuatu supaya anak-anak mereka boleh dipulihkan.

Di antara yang biasa dilakukan oleh perawat ialah; Kaedah Pertama: Membaca doa-doa tertentu pada air seperti Surah al-Fatihah, Doa Pelembut Hati (Surah Taha ayat 1 hingga 5), Selawat Syifa’, Selawat Tafrijiyah, Doa Menghindar Maksiat (Surah al-Mu’min ayat 3) dan beberapa doa-doa yang lain.

Air yang telah dibacakan dengan doa ini diberi minum kepada anak-anak yang bermasalah ini juga dibuat bilasan mandi. Kaedah Kedua: Satu lagi ikhtiar yang sangat mujarab bagi mengatasi anak-anak yang suka melawan ibu-bapa ialah dengan memberi minum mandikan anak-anak ini dengan air tadahan lebihan wuduk ibu-bapa. Caranya seperti berikut;

1. Ibu dan bapa terlebih dahulu membersihkan semua anggota wuduk dengan sabun. Anggota-anggota wuduk ini termasuk yang rukun dan sunat iaitu mulut, hidung, muka, kedua tangan, kepala, kedua-dua telinga dan kaki hingga buku lali.

2. Setelah dibersihkan anggota-anggota wuduk tersebut, gunakan air biasa minuman atau air mineral untuk mengambil wuduk.

3. Cara yang mudah, duduk di atas kerusi dan letakkan baldi di bahagian antara kedua belah kaki. Biar isteri tolong menuangkan air untuk mengambil wuduk.

4. Membasuh semua anggota wuduk tiga kali. Mulakan dengan membaca bismillah. Basuh kedua belah tapak tangan diikuti dengan berkumur-kumur, membersihkan hidung. Pastikan air yang telah digunakan untuk membasuh tapak tangan dan berkumur-kumur masuk ke dalam baldi.

5. Berniat mengambil wuduk diikuti membasuh muka, seterusnya membasuh kedua tangan hingga ke siku, menyapu sedikit air di bahagian kepala, membasuh telinga dan akhir sekali membasuh kedua belah kaki hingga ke buku lali.

6. Setelah suami selesai, isteri pula mengambil wuduk dengan cara yang sama manakala suami pula yang membantu menuangkan air.

7. Setelah selesai, air lebihan wuduk yang terkumpul di dalam baldi tersebut dicampurkan dengan air biasa.

8. Mandikan anak-anak yang bermasalah dengan air tersebut. Insya’Allah dia akan menjadi anak yang patuh kepada kedua ibu-bapanya.

Pencegahan Awal Daripada pengamatan penulis serta kajian yang telah dibuat, lebih 90%ibu-bapa yang datang mengadu anak mereka bermasalah, apabila diperdengarkan doa berikut, mereka kata tidak pernah pun mendengar doa ini.

Doa tersebut adalah seperti berikut;

Terjemahannya: Ya Allah, jauhkan syaitan daripada kami dan jauhkan syaitan daripada anak yang akan Engkau anugerahkan kepada kami.

Doa yang tersebut di atas adalah dipetik daripada hadis nabi seperti berikut; Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Jika seseorang di antara kamu akan berjimak dengan isterinya kemudian membaca doa ini;

Maka jika Allah SWT mentakdirkan untuk dua orang suami isteri itu memperolehi anak, maka anak itu tidak dapat dimudaratkan atau diganggu oleh syaitan.” Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Doa ini diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada umatnya sebagai pencegahan awal bagi mengelakkan zuriat keturunan kita daripada diganggu dengan mudah oleh syaitan.

Sudah menjadi keazaman syaitan untuk menyesatkan umat Islam kepada kekufuran. Syaitan sentiasa bersungguh-sungguh mencari peluang yang ada untuk menggoda dan menghasut keturunan umat Islam supaya melakukan maksiat.

Maksud daripada hadis di atas jelas menunjukkan bahawa ketika pasangan suami-isteri sedang berjimak, syaitan ada bersama-sama untuk masuk ke dalam percantuman benih suami isteri yang akan terjadinya anak kelak.

Sekiranya doa yang tersebut di atas tidak dibaca ketika sedang berjimak, dengan mudah syaitan menjalankan pekerjaannya tanpa ada sebarang halangan. Syaitan akan duduk di benih yang akan terjadinya anak itu sejak dari awal lagi sehinggalah anak tersebut membesar.

Sebab itu anak-anak yang membesar ini sukar di bentuk ke arah membuat perkara-perkara ibadah dan kebaikan.

Mereka lebih cenderung melakukan perkara-perkara maksiat. Bagaimanapun jika doa yang tersebut tidak dibaca ketika berjimak mungkin kerana jahil atau lupa, masih ada lagi ikhtiar iaitu dengan memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak agar syaitan yang mengganggu menyerah kalah.

PRK N45 : Mengalas Jihad di Galas, kuburkan Umno !

03 Zulkaedah 1431 H
albanjarionline.blogspot

Pilihan raya kecil Galas bakal dilangsungkan, para pemimpin dalam setiap parti sedang sibuk menyediakan persiapan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil ini.Tidak dilupakan juga rakyat yang sedang berkira-kira dan mencongak-congak, siapakah yang layak untuk ‘dipangkah’.

Dalam kita ghairah dan bersemangat untuk bertanding dan memangkah,seharusnya kita meneliti dan mengimbau kembali apakah peranan dan tangungjawab yang harus ada para pemimpin dan orang yang dipimpin. Menjadi pemimpin dan orang yang dipimpin, masing-masing mempunyai peranan dan tangungjawab yang tersendiri yang seharusnya diketahui.

Peranan dan tangungjawab untuk pemimpin dan orang yang dipimpin,telah Allah sebutkan dalam al-Quran,surah al-Nisa’ ayat 59 dan 59. Kata Allah:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat(58). Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu(59).”

Menurut Yusuf al-Qardhawi,ayat pertama (ayat ke 58) itu ditujukan kepada para pemerintah, agar sentiasa amanah dan menetapkan hukum Allah secara adil. Menyia-nyiakan amanah yang diberi oleh rakyat dan tidak bersikap adil merupakan satu bala dan mendatangkan kemurkaan Allah.

Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan imam Bukhari, baginda Rasulullah saw pernah mengatakan bahawa, “Jika amanah disia-siakan, maka tunggulah kehancurannya. ” Setelah mendengar kata-kata ini, ada sahabat yang bertanya, “bagaimana menyia-nyiakannya?”. Kemudian baginda menjawab, “Jika urusan diserahkan kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah saat kehancurannya.”

Manakalah ayat yang kedua (ayat ke 59) ditujukan khas kepada rakyat yang mukmin,bahawa mereka harus taat kepada “Ulil Amri” (para pemerintah). Namun begitu, ketaatan itu mempunyai syarat dan kondisi yang tertentu. Ketaatan terhadap para pemerintah haruslah berlaku apabila para pemerintah itu sendiri taat kepada Allah dan Rasul.

INGAT !! Tiada tempat bagimu. Rakyat seharusnya sedar, bahawa Islam tidak mengiktiraf pemimpin yang tidak komitment terhadap Islam.

Pemimpin yang tidak mendahulukan Allah dan Rasul dalam setiap keputusan dan tindakan, haruslah ditolak dan tidak ada kewajiban kepada kita untuk memilihnya sebagai pemimpin.

Bagi saya kenyataan al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam hal ini patut ditengahkan dalam artikel kali ini. Al-Imam dengan lantang dan serius mengatakan bahawa :

“HARAM berbai'ah kepada pemimpin yang tidak komitmen terhadap Islam. Bai’ah yang membebaskan dari dosa adalah bai’ah kepada pemimpin yang berpegang dengan apa yang diturunkan oleh Allah.

Jika tidak ada,maka semua orang muslim berdosa hingga ada penerapan hukum Islam dalam negara. Orang Islam tidak terkecuali dari dosa ini sehinggalah mereka melakukan dua perkara ini:

Mengingkari pemimpin yang tidak berpegang kepada hukum Allah. Pengingkaran ini hanyalah layak dilakukan ketika tidak ada kemampuan lagi untuk menentang. Usaha secara berterusan membangkitkan kehidupan Islam yang lurus menurut landasan Allah dan Rasul.

Usaha ini haruslah dilakukan secara berjamaah kerana orang mukmin dengan seorang mukmin adalah seperti sebuah banggunan yang kukuh. Yang pasti orang-orang yang dipilih menjadi pemimpi haruslah, orang yang kuat dan dipercayai, berpengetahuan agama dan sentiasa memikirkan rakyatnya.

Seperti mana Abu Bakar as-sidiq berkata, “Andaikata ada tali unta yang hilang dariku,tentu aku akan mendapat hukumannya di dalam kitab Allah.”

Kastam dapat bos baru

03 Zulkaedah 1431 H

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Mohamed Khalid Yusuf dilantik sebagai Ketua Pengarah jabatan itu mulai esok.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan hari ini berkata Mohamed Khalid, 57, menggantikan Datuk Seri Ibrahim Jaapar yang tamat perkhidmatannya.

Pelantikan Mohamed Khalid dibuat berdasarkan pengalaman, pengetahuan dan kepimpinan yang dimilikinya selari dengan perkembangan semasa dan hala tuju Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab memungut hasil negara dan penguatkuasaan pencegahan, kata Sidek dalam satu kenyataan.

Ini termasuk memperkasa peranan Kastam sebagai agensi barisan hadapan yang bertanggungjawab secara terus dalam urusan pengimportan dan pengeksportan barangan di negara ini, katanya.

Sidek berkata beliau percaya pengalaman dan pengetahuan Mohamed Khalid akan membantu memastikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia melaksanakan tanggungjawab dengan penuh cekap dan berintegriti, khususnya dalam meneruskan usaha dan pelaksanaan program-program jabatan agar selari serta mendukung wawasan dan agenda pembangunan negara.

Mohamed Khalid berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dari Scranton University, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya dan mula menyertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada 1 Disember 1977 sebagai Penolong Penguasa Kastam.

Beliau menjawat jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) mulai 1 Februari 2009.

Mohamed Khalid juga pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Operasi) pada 2007dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Pencegahan) pada 2006.

Selain itu, beliau juga pernah menjadi Pengarah Kastam Negeri Selangor (2004) dan Pengarah Kastam Negeri Sarawak (2000).

Malaysiakini/-

PKR: Selamat galas biawak hidup, Ku Li

03 Zulkaedah 1431 H

Kesediaan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menerima pelantikan sebagai pengarah pilihan raya BN di DUN Galas disambut sinis oleh pemimpin pembangkang.

Bagi timbalan presiden PKR Syed Husin Ali, tindakan Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu tidak ubah seperti "menggalas biawak hidup".

"Ku Li setuju galas beban sebagai pengarah PRK (pilihan raya kecil) Galas untuk Umno. Tak ada pilihan lain? Harap dan doa Ku Li selamat dari menggalas biawak hidup," katanya dalam laman Twiter.

Semalam, Tengku Razaleigh yang juga ahli parlimen Gua Musang mengesahkan menerima pelantikan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang selepas pulang daripada bercuti di luar.

Menurut Razaleigh beliau menerima tanggungjawab itu sebagai anggota Umno dan Ketua Umno bahagian Gua Musang selama hampir 50 tahun, selain anggota parlimen kawasan berkenaan.

Bagaimanapun pemimpin beliau dilaporkan berkata, keputusan sama ada menerima tawaran sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu hanya akan diputuskan Isnin ini (esok) apabila mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malaysiakini/-

Janji BN: Tiada projek segera di Galas

03 Zulkaedah 1431 H

Kerajaan Pusat tidak akan menjanjikan projek segera dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas atau cadangan membina universiti di Gua Musang walaupun BN memenangi pilihan raya kecil itu pada 4 Nov ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sebaliknya, kerajaan akan lebih mementingkan peningkatan mutu daripada membina lebih banyak pusat pengajian tinggi dalam negara.

Kewujudan 20 universiti awam yang ada setakat ini dianggap sudah cukup untuk menampung keperluan pelajar di negara ini, kata Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Program Selangkah Ke Universiti dan majlis penutupan 1 Program 1 Daerah 2010 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kota Bharu hari ini.

Mustapa diminta mengulas kenyataan Ketua Pergerakan Wanita Umno Gua Musang Senator Datuk Wan Hazani Wan Mohd Noor yang mahu kerajaan menimbangkan cadangan Wanita Umno bahagian itu supaya membina pusat pengajian tinggi, kolej universiti atau universiti awam di kawasan itu khususnya bagi menampung keperluan pelajar yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.

Mengenai dakwaan PAS kononnya kerajaan BN gagal melaksanakan janjinya pada kempen pilihan raya kecil DUN Manik Urai 14 bulan lepas, Mustapa berkata semua empat projek yang dijanjikan sudah dilaksanakan, cuma ada di antaranya mengalami kelewatan kerana masalah teknikal.

Projek terbabit ialah pembaikan rumah rakyat miskin membabitkan kos RM1.5 juta, pembinaan jambatan Manik Urai menelan belanja RM8 juta, Gelanggang Sukan di Kampung Manjor RM300,000 dan Masjid Temalir RM600,000 yang semuanya sedang dalam pelaksanaan.

"Malah, dua hari lepas, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd Arshad Ismail mengesahkan pembinaan rumah rakyat miskin di kawasan Manik Urai sudah siap sepenuhnya empat bulan selepas pilihan raya kecil DUN itu," katanya.

Beliau berkata PAS akan memerangkap diri sendiri jika cuba membawa isu projek yang dijanjikan BN itu pada kempen pilihan raya DUN Galas.

Mustapa berkata janji-janji BN terkandung dalam kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan bukan yang dikemukakan oleh pemimpin Umno dan masyarakat setempat.

Malaysiakini/-

Siapa pun calon Umno, PAS tetap lawan- Nik Aziz

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 9 Okt: Seperti pernah beberapa kali dinyatakan sebelum ini, PAS tetap akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Galas biar siapa pun calon dipertaruhkan Umno.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PAS bertanding pilihan raya bukan menentang individu tertentu, namun menentang dasar perjuangan selain Islam.

"Kita tetap akan menentang Umno, tak kira siapa pun calonnya, sebab kita menentang dasar perjuangan yang dibawa dan bukannya individu tertentu," ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan itu berkata demikian ketika diminta mengulas jawapan Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pagi tadi.

Ku Li dalam penjelasannya berhubung PRK Galas pagi tadi memberitahu menerima tawaran sebagai Pangarah Pilihan Raya namun belum memutuskan untuk menerima tawaran sebagai calon bertanding.

Bagaimanapun menurut Tuan Guru Nik Aziz, PAS akan tetap menyambut baik sebarang keputusan yang akan dibuat Tengku Razaleigh sama ada ingin menerima sebagai calon atau sebaliknya.

Namun katanya, jika Ketua Umno Gua Musang itu menerima tawaran calon tersebut bermakna beliau menerima pihak yang cuba menjatuhkan kedudukannya yang dilihat hanya layak diberi jawatan Perdana Menteri.

Mengulas program Hari Suami Isteri, beliau mengucapkan tahniah kepada penganjur kerana telah mencetuskan idea baru dalam institusi kekeluargaan di negara ini.

Menurutnya, Kelantan sekali lagi mendahului negeri lain mengadakan program berkenaan sebagaimana lazimnya program Hari Ibu dan Hari Bapa dan seumpamanya diadakan.

Penceramah motivasi terkenal Datuk Dr Fadhilah Kamsah turut diundang menjayakan program berkenaan.

Harakahdaily/-

Jangan terpengaruh provokasi Umno di Galas

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Rusli Yasmin

GUA MUSANG, 10 Okt: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa meminta supaya pemuda PAS dan Pakatan Rakyat tidak terpengaruh dengan provokasi Umno serta menunjukkan contoh akhlak yang baik dalam pilihan raya kecil Dun Galas.

"Kita masuk pilihan raya kecil Dun Galas bukan kerana kematian Chek Hashim (semata-mata) tetapi sebagai tanggungjawab dakwah dan jihad kita," katanya ketika merasmikan pelancaran jentera pemuda PAS di Markaz PAS Kawasan Gua Musang, petang semalam.

Sambil bekerja untuk menang dalam pilihan raya tersebut, katanya pemuda PAS juga diseru supaya menunjukkan akhlak yang baik kepada masyarakat setempat termasuk ahli-ahli BN dan Umno.

Katanya, Pemuda PAS juga mesti mengambil peluang mengimarahkan surau-surau dan masjid-masjid dengan program-program ibadah.

Badrul Hisham yang mewakili Angkatan Muda Keadilan pula mengingatkan kepada Pemuda Umno supaya tidak melakukan provokasi seperti mana di dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

"Saya mengingatkan pemuda-pemuda Umno, ini bukan Bagan Pinang, ini adalah negeri Kelantan," tegasnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat.

Beliau turut menyatakan kesediaan Angkatan Muda Keadilan Rakyat bersama-sama PAS menggalas tanggungjawab di Dun Galas kali ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan pula menyeru setiap pemuda PAS mesti bersedia dari segi kekuatan fizikal, mental, dan spritual bagi menghadapi musuh dalam pilihan raya kali ini.

Nasrudin turut mensasarkan sekurang-kurangnya 5,000 pemuda akan turun ke Dun Galas.

Harakahdaily/-

Isteri wakil rakyat digesa bantu calon PAS

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 10 Okt: Isteri Mursyidul Am PAS, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, menyeru isteri-isteri wakil rakyat Pakatan Rakyat supaya turun membantu calon PAs yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dun Galas pada 4 November ini.

Katanya, kejayaan kerajaan di negeri masing-masing perlu diperjelaskan pada pengundi di Dun Galas agar mereka semakin yakin perjuangan Pakatan Rakyat lebih membela nasib mereka.

Sambungnya, senaraikan program-program membela rakyat yang telah dijalankan di negeri masing-masing kepada mereka untuk meyakinkan perjuangan Pakatan Rakyat bukan hanya khayalan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meraikan rombongan isteri-isteri anggota Exco dan wakil rakyat Kerajaan Kedah ke Kelantan, semalam.

Menurutnya, Dun Galas perlu dipertahankan kerana ianya sebahagian wadah perjuangan Islam dan Pakatan Rakyat.

“Saya menyeru isteri-isteri wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk muslimat di seluruh negara turun ke Galas untuk sama-sama menggalas tanggungjawab kita,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau berkata, isteri wakil rakyat perlu membantu suami dalam perjuangan perjuangan sama ada dalam keadaan susah ataupun senang.

Menurutnya, kejayaan atau sebaliknya bergantung kepada sokongan isteri.

“Jika isteri pandai mendokong perjuangan suami, mereka akan melakukannya dengan rasa teliti dan penuh yakin, namun sekiranya kita tidak begitu merelainya, mereka tidak akan melakukan tanggungjawab itu sepenuh hati,” ujarnya.

Tambahnya, untuk itu isteri pimpinan semua peringkat wajib membantu suami dengan cara masing-masing agar mereka dapat menunaikan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

Seramai sembilan orang rombongan dari Kedah itu mengunjungi Kelantan selama dua hari.

Harakahdaily/-

Bekerja di luar bukan kerana gagal sedia pekerjaan

03 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 10 Okt: PAS meminta Umno supaya jangan menjadikan bilangan rakyat negeri Kelantan yang ramai di luar dari negeri itu sebagai kegagalan kerajaan negeri menyediakan peluang pekerjaan kerana ia hanya akan menyusahkan Umno kemudian hari.

Ketua Penerangan PAS, Ustas Idris Ahmad berkata, jika itu hujjah Umno, sebenarnya rakyat di negeri Umno lebih ramai mendapatkan pekerjaan di luar negeri itu berbanding rakyat Kelantan.

Bagi beliau, bekerja di luar dari negeri sendiri bukan bukti kukuh kegagalan kerajaan negeri menyediakan pekerjaan.

"Contohnya setiap hari berpuluh ribu rakyat Johor yang di bawah Umno terpaksa berulang alik ke Singapura bekerja di sana. Bukankah ini juga penghijrahan. Kenapa pihak Umno tidak menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor yang memang confirm negeri Umno. Kenapa hendak sibuk dengan rakyat Kelantan," kata beliau dalam satu kenyataannya.

PAS, katanya, ingin mengingatkan kepada Tan Sri Muhyidin Yasin bahwa seramai 700 rakyat rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara bukan sahaja rakyat daripada Kelantan.

Muhyidin yang berucap di Sydney Australia menggesa penuntut Malaysia yang telah pun menamatkan pengajian di luar negara supaya pulang berkhidmat dalam negara sendiri.

PAS, kata Idris, ingin mengingatkan, pemimpin Umno yang selalu menjadi modal kempen dalam setiap kali pilihanraya kecil Kelantan, menuduh kerajaan Kelantan gagal memberi peluang pekerjaan sehingga ramai rakyatnya berhijrah ke luar Kelantan.

Modal inilah juga yang akan didendangkan dalam pilihanraya kecil Galas pada 4hb Nov 2010 nanti, tambah beliau.

Bagi Idris, rayuan yang dibuat oleh Timbalan Presiden umno menunjukkan bahwa bukan rakyat Kelantan sahaja yang berhijrah daripada Kelantan, malahan rakyat Malaysia daripada negeri yang Umno perintah termasuk negeri Johor.

Harakahdaily/-

Tipu warga emas: Umno kutip wang 'haram'

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Warta Rakyat

KUALA TERENGGANU, 10 Okt: Sehingga kini tidak ada satu sen pun wang yang dikatakan diserahkan oleh warga emas di negeri itu kepada Umno diserahkan kepada kerajaan negeri, kata Adun Permatang Pasir, Pulau Pinang Ustaz Salleh Man (gambar).

Langkah ini, bagi beliau menunjukkan Umno cuba menipu warga emas di negeri itu dengan membuat provokasi kepada mereka kononnya wang itu haram lalu di serahkan kepada Umno.

"Seperti yang diakui oleh Ketua Menteri, sehingga hari ini satu sen pun wang tersebut belum diserahkan oleh Umno kepada kerajaan negeri. Kalau wang itu haram, serahlah kepada kerajaan negeri," kata beliau dalam ceramahnya dekat Kuala Nerus malam semalam.

Salleh mendakwa, UMNO tidak sudah-sudah memainkan sentimen perkauman dan agama di Pulau Pinang agar orang Melayu bangkit menentang Kerajaan Pakatan Rakyat.

Padahal selama ini, apa yang dilakukan oleh Umno Pulau Pinang ketika bersama-sama Barisan Nasional yang dipimpin Gerakan memerintah negeri itu, soal Salleh.

"Adakah kerana menerima laba dan kemewahan mereka lupa nasib orang Melayu dan Islam, tapi bila Pakatan Rakyat memerintah mereka baru tersedar selama ini orang Melayu telah dipinggirkan," tanyanya.

Akhirnya, kata beliau, kerajaan Pakatan Rakyat dipersalahkan akibat kesilapan UMNO
selama ini.

Menurut Salleh yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, di bawah kepimpinan PR nasib orang Melayu mula terbela di negeri itu.

"Peruntukan sekolah agama rakyat telah disalurkan oleh kerajaan negeri, wang ehsan untuk wargamas diberikan, tabung khairat kematian dan pelbagai kemudahan lagi diberikan kerajaan Pakatan kepada rakyat," katanya.

Kejayaan Kerajaan PR ini sebenarnya melahirkan rasa cemburu dan khianat Umno, katanya.

"Mereka telah dan akan melakukan pelbagai helah dan kerja jahat untuk memburukan imej Ketua Menteri dan kerajaan PR," cerita Salleh dalam ceramahnya itu.

Harakahdaily/-

Jangan dekati Umno kerana ia parti pengkhianat

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Abdul Aziz Mustafa

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Rakyat hendaklah menjauhi Umno kerana parti itu sering dibuktikan menggadai kepentingan bangsa sendiri semata-mata mahu menjaga kepentingan diri dan cita-cita politiknya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Bukan sahaja bangsa sendiri yang digadaikan, agama Islam pun sanggup digadaikan oleh Umno apabila ia mencantas bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat (SAR).

"Bukan setakat mencantas bantuan sahaja, para pemimpin Umno termasuk (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) malah melemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah tidak berasas kepada SAR apabila mereka memberi gambaran seolah-olah SAR menjadi tempat melahirkan pengganas," katanya ketika menyambut gesaan Sultan Selangor supaya rakyat menjauhi pihak yang menggadai bangsa sendiri.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, antara pengkhianatan terbesar Umno terhadap orang-orang Melayu sepanjang lebih 50 tahun memerintah negara ini ialah apabila tanah-tanah rizab Melayu semakin pupus.

"Akibat perbuatan Umno menggadai bangsa sendiri, kini hanya tinggal sekitar 1.7 juta hektar sahaja tanah rizab Melayu, sedangkan waktu negara menyambut kemerdekaan dulu, terdapat kira-kira tiga juta hektar tanah-tanah tersebut," katanya.

Umno, katanya, seolah-olah mahu mengulangi tragedi yang berlaku ke atas rakyat Palestin apabila tanah mereka tergadai kepada Yahudi Zionis.

"Bukan sahaja tanah, peluang pendidikan yang selama ini menjadi wadah utama mengubah taraf hidup orang-orang Melayu juga dimangsakan dalam kerakusan Umno menggadai bangsa sendiri.

"Peruntukan untuk institusi-institusi pendidikan Melayu itu dikurangkan dengan begitu ketara dalam belanjawan 2010. Bagi IKM, peruntukan untuk 2010 RM143 juta berbanding RM403 juta bagi tahun 2009. Giat MARA hanya mendapat RM16 juta bagi tahun 2010 berbanding RM28 juta bagi 2009.

"Bagi MRSM dan Koleh Sains MARA, peruntukan hanya tinggal RM115 juta untuk tahun 2010 berbanding RM254 juta pada tahun 2009," kata beliau dengan penuh kesal.

Malah, katanya, peruntukan kepada MARA sendiri dikecilkan dengan begitu banyak.

"Peruntukan kepada MARA dipotong-potong sehingga berjumlah RM 374,537 juta sahaja bagi tahun 2010 berbanding RM883,785 juta untuk 2009," katanya.

Dari segi politik pula, kata Mahfuz, Umno juga menghalang pertambahan kerusi Melayu di Dewan Rakyat.

"Dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003, kita tidak lihat pertambahan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu.

"Tidak ada pertambahan kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah walaupun masing-masing mempunyai pertambahan pemilih 16.2 peratus, 21.76 peratus dan 17.4 peratus," katanya.

Menurut Mahfuz, jika disenaraikan semuanya, terlalu panjang senarai perbuatan Umno menggadaikan kepentingan bangsa Melayu.

Harakahdaily/-