12 Oktober 2010

Jangan terpengaruh provokasi Umno di Galas

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Rusli Yasmin

GUA MUSANG, 10 Okt: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa meminta supaya pemuda PAS dan Pakatan Rakyat tidak terpengaruh dengan provokasi Umno serta menunjukkan contoh akhlak yang baik dalam pilihan raya kecil Dun Galas.

"Kita masuk pilihan raya kecil Dun Galas bukan kerana kematian Chek Hashim (semata-mata) tetapi sebagai tanggungjawab dakwah dan jihad kita," katanya ketika merasmikan pelancaran jentera pemuda PAS di Markaz PAS Kawasan Gua Musang, petang semalam.

Sambil bekerja untuk menang dalam pilihan raya tersebut, katanya pemuda PAS juga diseru supaya menunjukkan akhlak yang baik kepada masyarakat setempat termasuk ahli-ahli BN dan Umno.

Katanya, Pemuda PAS juga mesti mengambil peluang mengimarahkan surau-surau dan masjid-masjid dengan program-program ibadah.

Badrul Hisham yang mewakili Angkatan Muda Keadilan pula mengingatkan kepada Pemuda Umno supaya tidak melakukan provokasi seperti mana di dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

"Saya mengingatkan pemuda-pemuda Umno, ini bukan Bagan Pinang, ini adalah negeri Kelantan," tegasnya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat.

Beliau turut menyatakan kesediaan Angkatan Muda Keadilan Rakyat bersama-sama PAS menggalas tanggungjawab di Dun Galas kali ini.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan pula menyeru setiap pemuda PAS mesti bersedia dari segi kekuatan fizikal, mental, dan spritual bagi menghadapi musuh dalam pilihan raya kali ini.

Nasrudin turut mensasarkan sekurang-kurangnya 5,000 pemuda akan turun ke Dun Galas.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

allahuakbar