12 Oktober 2010

Isteri wakil rakyat digesa bantu calon PAS

03 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 10 Okt: Isteri Mursyidul Am PAS, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, menyeru isteri-isteri wakil rakyat Pakatan Rakyat supaya turun membantu calon PAs yang mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dun Galas pada 4 November ini.

Katanya, kejayaan kerajaan di negeri masing-masing perlu diperjelaskan pada pengundi di Dun Galas agar mereka semakin yakin perjuangan Pakatan Rakyat lebih membela nasib mereka.

Sambungnya, senaraikan program-program membela rakyat yang telah dijalankan di negeri masing-masing kepada mereka untuk meyakinkan perjuangan Pakatan Rakyat bukan hanya khayalan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meraikan rombongan isteri-isteri anggota Exco dan wakil rakyat Kerajaan Kedah ke Kelantan, semalam.

Menurutnya, Dun Galas perlu dipertahankan kerana ianya sebahagian wadah perjuangan Islam dan Pakatan Rakyat.

“Saya menyeru isteri-isteri wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk muslimat di seluruh negara turun ke Galas untuk sama-sama menggalas tanggungjawab kita,” ujarnya.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau berkata, isteri wakil rakyat perlu membantu suami dalam perjuangan perjuangan sama ada dalam keadaan susah ataupun senang.

Menurutnya, kejayaan atau sebaliknya bergantung kepada sokongan isteri.

“Jika isteri pandai mendokong perjuangan suami, mereka akan melakukannya dengan rasa teliti dan penuh yakin, namun sekiranya kita tidak begitu merelainya, mereka tidak akan melakukan tanggungjawab itu sepenuh hati,” ujarnya.

Tambahnya, untuk itu isteri pimpinan semua peringkat wajib membantu suami dengan cara masing-masing agar mereka dapat menunaikan tanggungjawab itu sebaik mungkin.

Seramai sembilan orang rombongan dari Kedah itu mengunjungi Kelantan selama dua hari.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: