22 Januari 2011

Cikgu Mala lawan Azhar di Tenang

LABIS, 22 Jan: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Rakyat dari PAS, Normala Sudirman, 38, dengan calon BN dari Umno, Mohd Azahar Ibrahim, 39 dalam pilihan raya kecil Tenang 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihanraya ini jam 11.20 pagi setelah tiada nama calon lain di kemukakan dan tiada bantahan dibuat ke atas kertas pencalonan kedua-duanya.

Calon PAS menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi. Beliau dicadang oleh Mahat Jamin dan disokong Rosiah Ahmad.

Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim menyerahkan borang pencalonan jam 9.02 pagi. Beliau dicadang oleh Ma Chong Pah dan disokong Jayaraman Chinasamie.

Penamaan calon di jalankan di Dewan Majlis Daerah Labis

Harakahdaily/-

Najib ke hulu, Rosmah ke hilir

Oleh : Hafizi Pauzi

LABIS, 22 Januari : "Saya kira kenyataan Rosmah dengan mengatakan bahawa beliau tidak peduli apa orang mahu kata kepadanya, yang penting beliau ke luar negeri untuk kepentingan negara, saya sifatkan sebagai kenyataan melepas batuk ditangga dan ingin lari dari masalah sebenar" kata ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa ditemui di pusat penamaan calon disini hari ini.

Beliau diminta memberi respon berkenaan jawapan rosmah berikutan kritikan ramai pihak terhadap tindakannya tidak ubah seperti menteri kabinet.

Rosmah telah membuat lawatan kerja ke beberapa buah negara yang sepatutnya dijalan yang punyai portfolio menteri .

Dalam pada itu, Rosmah juga dilaporkan mempunyai pejabatnya sendiri di purtajaya, walhal beliau cuma isteri Perdana Menteri yang hanya layak mendampingi PM ke mana-mana sahaja suaminya pergi.

"Saya hairan bila melihat Najib ke hulu, Rosmah ke hilir dengan tugas negara masing-masing" katanya

Tambahnya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, pejabat Rosmah yang sebaris dengan divisyen lain termasuklah Pejabat Setiausaha Politik, Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Pejabat Ekonomi Perdana Menteri dan Pejabat Pengurusan Sri Perdana. Tentunya memerlukan dana tambahan ubtuk beroperasi.

"Saya mempersoalkan dari sumber mana wang yang digunakan untuk pejabat Rosmah" Soalnya.

Beliau juga menganggap tindakan itu adalah satu pembaziran dan semacam menyalahgunakan wang rakyat demi untuk memuaskan hati Rosmah yang gilakan jawatan first lady.

Menurut beliau juga juga dikenali dengan blogger Cina Islam itu, Keangkuhan ini makin menjadi-jadi dalam masa yang sama mengenepikan permaisuri agong sebagai wanita pertama negara yang sebenarnya, tindakan ini merupakan penderhakaan beliau terhadap institusi beraja sehingga kini masih diteruskan dengan penuh angkuh.

Selain dari itu Drs. Khalil mendedahkan, Rosmah juga mempunyai laman web sendiri yang menggunakan server perdana menteri yang dianggap sebagai amat istimewa bagi golongan bukan menteri kabinet dan penjawat awam tertinggi.

"Rosmah semakin besar kepala selepas peroleh bajet RM111 juta mengatasi bajet yang diperolehi bagi bantuan perkapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah yang cuma RM95 juta," jelasnya lagi.

Jika benar Rosmah meletakkan tujuan berpusat kepada rakyat dengan penuh ikhlas, beliau perlu keluar dari kemewahan yang beliau nikmati dari bajet RM111 juta tersebut.

"Bajet RM111 juta itu cuma dinikmati oleh beberapa kerat golongan elit, bukannya rakyat seluruhnya" ujarnya.

"Apakah keistimewaan rosmah sebagai isteri Perdana Menteri sehingga telah menafikan hak 24 juta rakyat Malaysia," soalnya.

Puluhan Ribu banjiri Labis sokong Cikgu Mala

17 Safar 1432H [MOD]..

Hazayani Zakaria

LABIS, 22 Jan: Berpuluh-puluh ribu penyokong Pakatan Rakyat terutama dari PAS membanjiri pekan Labis untuk mengiringi calon mereka, Cikgu Normala Sudirman ke pusat penamaan calon Pilihan raya Kecil Tenang.

Mereka berkumpul di sana sejak sebelum subuh bagi menyertai majlis solat hajat di tanah lapang yang disewa khas oleh PAS untuk digunakan sepanjang kempen pilihan raya ini.

Mereka dikatakan menerima arahan agar terus ke kawasan yang terletak di perkarangan markas besar PAS itu kerana beberapa masjid yang berdekatan dikatakan dikunci sejak malam tadi.

Perarakan calon bermula seawal jam 8.20 pagi menuju pusat penamaan calon yang terletak di Dewan Majlis Daerah Labis yang terletak kira-kira 2 km dari situ. Ketika itu, kira-kira 5,000 orang menyertainya.

Perarakan itu menjadi semakin besar apabila kumpulan kecil sepanjang jalan menyertai mereka.

Perarakan yang diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, timbalannya, Nasharudin Mat Isa, naib-naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub turut disertai Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Presiden PKR, Datuk Sri Dr Wan Azizah Ismail dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menunggu di tepi jalan menyertai perarakan itu kira-kira jam 8.50 pagi.(Hdaily)

15 ribu bersama Cikgu Normala


Oleh : Nazri Abdullah, Hazayani Zakaria
Kronologi :

9.12 am: Petugas mengawal keadaan penyokong PR yang semakin ramai dengan mengarahkan mereka bergerak ke tepi padang.

9.10 am: Calon PAS masuk ke dewan penamaan calon bersama barisan pencadang, penyokong.

Calon BN sudah masuk ke dewan penamaan jam 9 pagi tadi.

9.07 am: SPR mengumumkan masa menghantar borang penamaan dibuka jam 9 pagi tadi.

9.02 am: Calon PAS, Normala Sudirman kini masuk ke pusat penamaan, kini sedang berada di khemah calon PAS yg disediakan SPR.

Mengiringi calon ke dewan penamaan calon, Presiden PAS, Presiden PKR, MB Selangor, Ketua Muslimat PAS, Datuk Chua Jui Meng dan lain-lain.

8.55 am: Penyokong PR kini mencecah 20 ribu orang berada di hadapan pusat penamaan. Sementara pimpinan PAS sedang berbincang dengan pihak keselamatan.

8.54 am: Perarakan kini berada tiba di sekatan polis dihadapan pintu masuk pusat penamaan.

8.50 am: Presiden PKR, Datin Sri Wan Azizah, MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menunggu di tepi jalan kini menyertai perarakan.

Peserta perarakan kini mencecah 15 ribu orang.

8.47 am: Perarakan kini berada hampir 500 meter dari sekatan polis dihadapan pintu masuk pusat penamaan.

8.45 am: Peserta perarakan kini mencecah 13 ribu orang.

8.40 am: Antara pimpinan utama yg hadir, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub, Azmin Ali, dan Tan Seng Giaw.

8.30 am: Pimpinan dan calon PAS kini tenggelam dalam lautan penyokong yang berarak. Jumlah penyokong kini mencecah 8000 orang.

8.28 am: Penyokong semakin ramai apabila mula bercantum dengan kumpulan kecil di sepanjang jalan.

8.23 am: Perarakan dimulakan. Lebih 5000 mengikuti perarakan, ribuan lagi sedang menunggu di sepanjang jalan ke pusat penamaan.

8.20 am: Pihak polis menutup jalan 2 km dari kedua-dua arah menuju ke pusat penamaan sejak malam tadi.

8.15 am: Jarak ke pusat penamaan calon kira-kira 2 km. Masih menunggu beberapa kepimpinan utama sampai ke tempat himpunan.

8.06 am: Perarakan akan bermula bila-bila masa bermula di hadapan bilik gerakan utama PAS, bersebelahan dataran wayang pacak, Labis.

8.02 am: Penyokong dan Pimpinan PAS siap sedia berarak ke pusat penamaan calon di Dewan Majlis Daerah Labis.

Barisan kepimpinan utama PAS dan PR baru sahaja selesai solat hajat.

Rosmah terus ganggu pentadbiran negara



Oleh : Hafizi Pauzi [MOD]..

PARIT BUNTAR, 21 Jan : Pejabat Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di Putrajaya adalah satu pembaharuan yang julungkali ada dalam sejarah pentadbiran Negara dan perkara ini boleh disifatkan sebagai tindakan tiada adab dan biadab dalam isu pentadbiran negara,” kata Ketua Penerangan PAS Perak ,Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Dalam sesi temuramah itu, YB Khalil memberi respon dengan menjelaskan bahawa pejabat rasmi Rosmah yang kapasitinya adalah sebesar satu bahagian atau divisyen.

Tambahnya, bahagian FLOM ini adalah rasmi dan ia sebaris dengan divisyen lain termasuklah Pejabat Setiausaha Politik, Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Pejabat Ekonomi Perdana Menteri dan Pejabat Pengurusan Sri Perdana.

“Dia isteri PM, jadi dia tidak perlu bekerja untuk sara keluarga, malah PM sudah ada menterinya yang lengkap dengan jabatan bagi mengurus tadbir kerajaan, rosmah tidak diperlukan, dia tidak lebih dari mendampingi PM dalam majlis rasmi seperti amalan isteri PM sebelum ini . Dan jangan gila nak jadi menteri dan lakukan sesuatu yang tidak masuk akal,” kata YB Khalil Idham Lim.

Dalam pada itu, YB Khalil mempersoalkan tindakan Rosmah menghadiri dan menyampaikan ucaptama bertajuk 'Kompetensi Guru Dalam Membentuk Generasi Akan Datang' pada Persidangan Antarabangsa Pertama anjuran Kementerian Pendidikan Arab Saudi minggu lepas.

“Menteri-menteri yang dilantik dalam kabinet Najib seolah-olah sudah hilang peranan, siapakah Menteri Pelajaran ? Mengapakah semudah itu dan tanpa ada rasa bersalah dia melakukan kerja-kerja menteri berulang kali? Soal beliau.

Beliau juga menyifatkan, Malaysia sudah mempunyai kerajaan yang layak diberi jolokan sebagai kerajaan suami isteri,

“suatu yang amat memalukan jika perkara ini sampai ke pengetahuan rakan-rakan dari negara luar, Malaysia dilihat bercelaru apabila isteri PM melakukan kerja-kerja menteri kabinet." ujarnya.

Ahli umno khususnya, wajar berfikir kembali mengenai taat setia mereka terhadap BN, sanggupkah anda melihat negara luar terus mentertawakan Malaysia tercinta disebabkan pemimpin BN berkelakuan pelik dan aneh" soalnya.

'Kerana itu beliau berpandangan bahawa kerja Rosmah hanya boleh dihentikan dengan mengalahkan BN dengan memberilah peluang kepada PR memulihkan imej Negara pada PRU13 nanti,” ujarnya. Katanya lagi bila Najib terus berkuasa selagi itu Rosmah akan menganggu pentadbiran negara.

Wakil Rakyat untuk Rakyat !

17 Safar 1432H [MOD]..

Wakil rakyat ialah individu yang menjadi perantaraan di antara kerajaan dan rakyat. Pucuk pimpinan negara perlu teliti membuat pemilihan wakil rakyat kerana kesilapan dalam perkara ini boleh menggagalkan usaha kerajaan mengendalikan urusan masyarakat dan negara.

Tingkah laku atau personaliti individu yang ingin dilantik menjadi wakil rakyat sepatutnya dikaji terlebih dahulu. Personaliti atau tingkah laku merupakan cermin hati nurani seseorang individu. Jika hati nurani tersemat dengan perasaan angkuh dan sombong, maka ucapan dan tindakannya memberi isyarat kepada masyarakat bahawa individu tersebut tidak layak dilantik menjadi pemimpin mereka.

Masyarakat atau rakyat mampu menilai tingkah laku dan perwatakan orang yang ingin menjadi pemimpin mereka. Suara rakyat atau masyarakat yang menentukan pemilihan wakil rakyat, bukannya keputusan daripada suara kumpulan yang kecil. Individu yang tidak memiliki jiwa rakyat dan kurang gemar berkomunikasi dengan masyarakat tidak layak dilantik menjadi wakil rakyat kerana wakil rakyat ialah orang yang amat prihatin permasalahan rakyat.

Mempamerkan wajah dalam media massa dengan tujuan untuk menyakinkan pucuk pimpinan bahawa seseorang itu aktif dalam urusan kemasyarakatan bukan merupakan kriteria utama dalam pemilihan wakil rakyat. Wakil rakyat ialah orang yang dikenali oleh kesemua golongan masyarakat di kawasannya hasil daripada pertemuan dan aktiviti yang sering dilakukan olehnya.

Setiap orang yang dilantik menjadi wakil rakyat sepatutnya mengetahui pelbagai masalah yang dihadapi oleh masyarakat. Permasalahan ini akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan negara atau dibahaskan dalam Parlimen. Wakil rakyat yang cuai terhadap tugas dan tanggungjawab tidak dapat menyelami permasalahan masyarakat. Kehadiran mereka di Parlimen tidak memberi sebarang faedah kepada masyarakat. Mereka tidak mempunyai isu untuk dikemukakan kepada pucuk pimpinan negara dalam mesyuarat dan sebagainya kerana beliau tidak mempunyai hubungan yang baik dengan masyarakat sama ada dari sudut komunikasi atau kegiatan yang boleh memberi faedah kepada masyarakat.

Setiap orang yang dilantik menjadi wakil rakyat akan menghadapi pelbagai masalah berkaitan dengan masyarakat. Jika seorang wakil rakyat mengatakan bahawa di kawasannya tidak mempunyai masalah, ini menunjukkan bahawa individu tersebut tidak bertanggungjawab. Urusan berkaitan dengan penyediaan kemudahan asas atau keperluan hidup kepada masyarakat bukan merupakan satu perkara yang mudah.

Individu yang dilantik menjadi wakil rakyat sepatutnya terdiri daripada orang yang mempunyai pengalaman dalam urusan kemasyarakatan dan sanggup menghadapi permasalahan masyarakat serta mempunyai perwatakan yang gagah dan gigih.

Sejarah penciptaan bumi dan langit yang dipaparkan oleh Allah di dalam al-Qur'an, surah 41 (Fussilat): 9-12 ,menjelaskan bahawa Allah mencipta bumi yang dikukuhkan dengan gunung-ganang hanya dua hari sahaja. Allah menentukan kadar pemakanan kepada penghuni bumi memakan masa selama empat hari. Allah mencipta langit yang mempunyai tujuh lapisan serta dihiasi langit yang berhampiran bumi dengan bulan dan bintang selama dua hari.

Ayat al-Qur'an ini menunjukkan bahawa dalam penciptaan langit dan bumi, ia adalah terlalu mudah bagi Allah dan hanya memakan masa selama dua hari. Urusan berkaitan dengan keperluan makanan makhluk-Nya di bumi ini memakan masa empat hari bagi Allah mengendalikannya. Berdasarkan penjelasan ini, maka umat Islam sepatutnya menyedari bahawa menjadi seorang pemimpin bukan merupakan satu perkara yang mudah.

Pemimpin atau wakil rakyat merupakan bapa atau ibu kepada rakyat dalam negara mereka. Ciri-ciri kepimpinan yang disulami dengan sifat amanah, rendah diri serta peri kemanusiaan yang tinggi sahaja mampu menjadikan seorang wakil rakyat atau pemimpin itu berjaya melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

Individu yang kurang gemar bergaul dan menyelami permasalahan masyarakat jika dilantik menjadi wakil rakyat bukan sahaja boleh menggagalkan usaha kerajaan untuk membangunkan kawasan yang mundur, malah ia juga boleh membangkitkan kebencian rakyat terhadap kerajaan. Pucuk pimpinan negara perlu tegas dalam soal pelantikan wakil rakyat supaya setiap individu yang dilantik memahami bahawa pelantikannya bukan berasaskan kepada keakraban hubungannya dengan pucuk pimpinan negara tetapi berdasarkan kepada bakat dan kebolehannya.

Sikap gemar menunjukkan kebolehan diri secara menguar-uarkan kehebatan diri adalah di antara sifat yang dikeji mengikut perspektif akhlak Islam. Oleh itu, dalam pemilihan wakil rakyat, pucuk pimpinan negara sepatutnya mengkaji terlebih dahulu sifat dan personaliti setiap individu yang ingin dilantik supaya tidak berlaku penipuan dan lakonan dalam urusan kepimpinan.

Masyarakat keseluruhannya mengharapkan wakil rakyat menumpukan perhatian kepada permasalahan keperluan asas mereka, bukan menampilkan diri dalam bentuk yang membosankan rakyat. Wakil rakyat sepatutnya memahami fitrah manusia supaya tingkah laku dan tindak tanduk mereka digemari rakyat.

Apabila perut lapar dan badan menjadi semakin lemah, masyarakat amat memerlukan bantuan daripada kerajaan. Ketika ini, wakil rakyat amat diperlukan oleh masyarakat.

Jika jiwa dan hati nurani wakil rakyat disemat dengan roh keimanan dan peri kemanusiaan yang tinggi, maka setiap bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada masyarakat akan dilaksanakan dengan sempurna dan amanah, bukan diagih-agihkan kepada golongan yang kecil. Sifat amanah dan jiwa lembut begini sukar untuk dicari dalam dunia Islam masa kini kerana umat Islam kurang memahami objektif dan prinsip hidup manusia di dunia yang sementara ini.

Hasilnya, negara yang mewah dan kaya dihuni oleh ramai penduduk miskin kerana wakil rakyat dan para pemimpin tidak amanah dan tamak.

Berdasarkan fenomena di mana umat Islam sering dilimpahi dengan kemewahan tanpa merujuk kepada hukum halal dan haram, maka pucuk pimpinan negara sepatutnya amat prihatin terhadap pemilihan wakil rakyat supaya setiap perancangan dan sumbangan kerajaan kepada rakyat dapat dinikmati oleh keseluruhan masyarakat dalam negara.

Wakil rakyat yang amanah kekal melaksanakan tugasnya dan wakil rakyat yang kecundang perlu disingkirkan supaya rakyat dalam negara dapat bernafas dengan nada kesyukuran kepada kerajaan yang prihatin.

Dr. Saodah Abd Rahman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. (Suara hati)

Jentera Wanita PR mahu pastikan Cikgu Mala Menang


Oleh : Hazayani Zakaria
17 Safar 1432H [MOD]..


LABIS, 22 Jan: Jentera Pilihan Raya Wanita Pakatan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang diyakini sudah memahami bidang tugas masing-masing dan mampu melaksanakan tugas mereka bagi memenangkan calon PAS, Normala Sudirman.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, jentera wanita Pakatan Rakyat sudah banyak belajar daripada 13 pilihan raya kecil yang berlangsung sebelum ini.

"Muslimat kita akan sentiasa bertenang, tidak mudah termakan dengan provokasi pihak lawan kerana pilihan raya ini bukan suatu yang baru. Ini pilihan raya yang keempat belas selepas pilihan raya umum lalu.

"Diharapkan daripada pelancaran ini dapat menaikkan semangat petugas-petugas kita.

"Daripada ekspresi wajah wanita-wanita yang hadir tadi, nampak mereka ada keazaman yang kuat untuk bekerja bagi memenangkan calon kita di Dun Tenang ini," katanya ketika ditemui selepas himpunan dan pelancaran jentera wanita Pakatan Rakyat Dun Tenang petang semalam.

Nuridah yang juga Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan juga berharap proses penamaan calon hari ini berjalan lancar dan wanita dapat hadir sebagai tanda sokongan kepada calon dan parti.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang mempersendakan peribadi calon PAS, Nuridah berkata amat malang apabila seorang bekas menteri yang rapat dengan Umno masih tidak memahami budaya orang Islam.

"Amat malanglah seorang bekas menteri seperti dia yang sudah-sudah bertahun berhadapan dengan orang Melayu, berkawan dengan Umno tapi masih tak memahami budaya dan amalan orang Islam. Memang patutlah dia tak jadi menteri lagi," katanya.

Sebaliknya kata Nuridah, DAP lebih memahami ajaran Islam dan bersungguh-sungguh membantu PAS memberikan penerangan kepada orang bukan Islam mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan dalam Islam.

"Sepanjang saya bersama-sama dengan Cikgu Mala, memang ada di kalangan lelaki bukan Islam nak bersalam dengan beliau.

"Tapi kita memberitahu mereka dengan cara baik dan kita sangat berterima kasih kepada DAP yang bersama-sama kita, mereka terus memberikan penerangan kepada orang bukan Islam.

"Kerjasama daripada DAP sangat bagus. Jadi sebenarnya dia (Soi Lek) tak ada isu nak mainkan, dia mainkan isu ini," katanya.

Soi Lek sebelum ini mempersendakan Normala dengan menyamakan beliau dengan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah yang memakai sarung tangan dan tidak bersalam dengan bukan mahram.

Soi Lek turut mengandaikan Normala tidak akan pergi ke rumah ibadat bukan Islam dan bertemu dengan masyarakat bukan Islam.

Sementara itu, ahli jawatankuasa muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al Jundi berkata, pelancaran jentera wanita itu sebagai momentum untuk mereka bergerak lebih aktif lagi ke setiap unit peti undi bagi memastikan PAS memenangi pilihan raya kecil ini.

"Kita buat pelancaran ini petang ini sebagai momentum kepada jentera bahawa kita sedang menuju semboyan pilihan raya dan esok kita akan bergerak ke seluruh unit peti undi, melakukan tugas kempen," katanya.

Beliau berkata, calon PAS sangat berpotensi untuk menang namun harus dibantu secara bersungguh-sungguh oleh jentera wanita.

"Kita sudah aturkan gerak kerja di setiap uni peti undi tinggal lagi proses pemurnian.

"Kita lihat calon kita sangat berpotensi di kawasan ini sebab itu kita mahukan jentera wanita bergerak dengan seluruh kekuatan yang ada," katanya.

Beliau turut mengajak wanita Umno memberikan sokongan kepada Normala untuk menambah bilangan ahli wanita di Dun Johor.

"Kita hanya ada dua orang wanita di Dun Johor. Jadi kita minta puteri dan wanita Umno menyokong calon muslimat PAS untuk menambah suara wanita di Dun.

"Usahlah terlampau berkira soal perbezaan politik asalkan kita boleh memperbanyak suara wanita," katanya.(Hdaily)

Cikgu Mala - Generasi Baru dalam PAS


17 Safar 1432H {MOD]..

Pemilihan Normala Sudirman atau lebih mesra dipanggil Cikgu Mala untuk diangkat menjadi calon dalam PRK N05, Tenang bukan sahaja berbakat dan berpotensi bahkan sebagai simbol generasi baru dalam PAS yang memahami tanggungjawab berpolitik.

Menjadi calon bukanlah semata-mata mengejar glamor atau pangkat dan harta kekayaan tetapi ia satu keperluan, amanah dan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan lebih besar adalah kepada agamanya.

Menurut Pengerusi Lajnah Penerangan & Dakwah Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi pemilihan calon muslimat bukan secara membuta tuli tetapi disandarkan kepada tuntutan secara keperluan untuk menjaga maslah ummah dalam dunia yang mencabar.

"Pemilihan adalah berdasarkan merit. Kejayaan kita menempatkan beliau dan tentunya kerana keupayaan dan pakej kepimpinan yang dimiliki Cikgu Mala sendiri. Ini juga sebagai kejayaan PAS melahirkan figura-figura baru dalam lanskap politik negara yang kini menuntut kepada suatu perubahan yang jauh lebih bermakna," katanya.

Katanya, tindakan Cikgu Mala melepaskan profesion guru dalam usia yang begitu muda bagi memberi tumpuan kepada kerja-kerja jemaah membuktikan hala tuju dan peranan beliau lebih besar dalam masyarakat. Athirah juga percaya sistem kongkongan yang dikenakan oleh kerajaan BN ke atas kakitangan kerajaan untuk terlibat dalam parti-parti politik Pakatan Rakyat merupakan antara faktor utama perletakan jawatan Cikgu Mala.

"Hasratnya berkhidmat kepada rakyat tanpa sempadan waktu tanpa terikat oleh suatu peraturan yang tidak adil dengan tuntutan masyarakat semasa menjadikan Cikgu Mala menzahirkan keseriusannya untuk membantu dan membela rakyat tanpa tekanan,sekatan mahupun ugutan pihak majikan," katanya.

Beliau yakin pakej yang lengkap untuk rakyat memberi mandat kepada Cikgu Mala cukup terserlah apabila setiap kali kemunculan beliau di khalayak jelas diterima baik oleh ibu bapa dan tidak asing lagi di kalangan belia dan komunitinya.

Aiman yang turut mengiringi beliau semasa berkempen mengakui Cikgu Mala menjiwai perit jerih masyarakat dan memahami komunitinya memandangkan beliau merupakan juga di kalangan peneroka. Justeru, jelas Aiman Athirah calon PAS di N05 Tenang ini adalah sebahagian daripada generasi transformasi dan mengharapkan beliau diberi peluang oleh rakyat dan dibantu oleh generasi muda di semua peringkat.

"Tidak kiralah mereka itu generasi muda dalam Pakatan Rakyat atau di luar Pakatan Rakyat. Justeru kerana kita mahu dan sedang berusaha bersungguh-sungguh membawa budaya politik baru yang lebih bersih, beramanah dan bertanggungjawab ke dalam masayarakat dan negara kita," tegas Athirah.(TMJ)