21 Disember 2008

Wan Farid diumum calon BN di KT

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di majlis pengumuman calon BN di Kuala Terengganu petang ini.

Najib juga merupakan pengarah pilihanraya kecil tersebut. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Januari depan.

Wan Ahmad Farid, 46 - bekas peguam lulusan Universiti Thames Valley, London - merupakan anak jati Kuala Terengganu.



Pada 1987, beliau menjadi peguam termasuk peguam syarie dan menjadi setiausaha Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu.

Di dalam politik, beliau menjadi ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu pada 1995 sebelum menjadi Ketua Pemuda bahagian pada 1998 dan menjadi menjadi exco pemuda Umno pusat dari 1999 hingga 2004.

Pada tahun 2001, beliau dipilih menjadi timbalan ketua Umno bahagian Kuala Terengganu sebelum dilantik menjadi setiausaha politik kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada 31 Disember 2003 dan sekaligus beliau meninggalkan kerjaya peguamnya.

Beliau menjadi ketua Umno bahagian Kuala Terengganu apabila mengalahkan penyandang jawatan, Senator Datuk Roslan Awang Chik.

Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail di Genting Highland pada 28 November lalu.

PAS pula akan mengumumkan calonnya esok. Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon PAS ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali; Timbalannya, Datuk Wan Mutalib Embong dan tokoh korporat, Mohd Khazani Abdullah.

Selain itu, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) telah menyatakan minat untuk bertanding. Tiga orang lagi telah menyatakan minat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas.

Mereka ialah Maimun Yusuf yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu dan dua orang lagi ialah usahawan, Mohd Azlan Ismail dan Isma Airfath Hassanuddin dari Rantau Panjang, Kelantan.malaysiakini

Kabinet tangguh keputusan syor Sime Darby ambil alih IJN-ikuti komen MAHATHIR DAN KAKITANGAN IJN

[DIKEMAS KINI, 10 MALAM](Jumaat Disember 19, 2008-KUALA LUMPUR: Kabinet menangguhkan keputusan berhubung cadangan Sime Darby untuk mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN) sementara menunggu perbincangan lanjut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak mengesahkan perkara tersebut pada sidang media sebentar tadi.

Kata beliau, kerajaan hanya bersetuju pada dasarnya tertakluk pada syarat bahawa tanggungjawab sosial IJN tidak akan dipinggir atau dikurangkan sama sekali.

"Selain itu, sekiranya IJN diserahkan kepada Sime Darby, ia bereti bahawa sumbangan kerajaan untuk pembedahan akan terus dilakukan.

"Ini bermakna tanggungjawab sosialnya akan disumbangkan dan ia tidak diabaikan atau dikorbankan sama sekali," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan penangguhan itu diambil demi kepentingan rakyat sementara menunggu perbincangan susulan yang mendalam.

IJN diurus oleh IJN Holdings Sdn. Bhd., milik penuh Kementerian Kewangan.

Malah, kata beliau, keputusan itu juga tiada kaitan dengan pilihan raya kecil Kuala Terengganu bulan depan.

Tambah beliau, kajian itu akan mengambil masa beberapa bulan.

Bagaimanapun, Najib berkata, faktor masa tidak penting.

"Apa yang penting ialah keputuan itu akan menguntungkan rakyat dan akan menjadikan IJN pusat jantung bertaraf dunia," katanya.

Cadangan pengambilalihan itu mendapat reaksi bercampur aduk dengan banyak pihak berpendapat ia tidak wajar diswastakan.

KOMEN MAHATHIR

Turut memberikan pandangan hari ini ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang telah dua kali menjalani pembedahan pintasan koronari jantung sebanyak dua kali, berpendapat IJN wajar kekal seperti sekarang.

"Saya jarang menentang penswastaan tetapi dalam hal ini, saya merasakan penswastaan adalah salah untuk dilaksanakan," kata beliau dalam blognya hari ini.

"Biarkan institusi ini sebagimana sekarang. Ia ada kebanggaan kita dan ia melakukan kerja yang baik," tambah beliau.

Oleh kerana Barisan Nasional (BN) sudah tidak popular sekarang, tambah beliau, mengapa harus memberikan satu lagi isu kepada pembangkang untuk mengkritik kerajaan pusat.

Tun Dr. Mahathir Mohamad gembira dengan keputusan kerajaan untuk menangguhkan penswastaan Institut Jantung Negara (IJN).

Ketika ditemui wartawan lewat petang ini, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak fikir penswastaan itu adalah satu idea yang baik memandangkan institut itu "adalah badan amal yang unik" berdasarkan kepada prestasinya yang cemerlang setakat ini.

"Setakat ini tiada aduan mengenai IJN.

"Mereka telah menunjukkan prestasi cemerlang. Berkhidmat kepada yang kaya dan miskin.

"Semua orang telah mendapat manfaat daripada IJN termasuk saya sendiri," katanya selepas menerima RM150,000 bagi pihak Yayasan Kuala Lumpur untuk Menjenayahkan Perang, yang dipengerusikannya.

KOMEN PAKAT IJN

Sementara itu, doktor-doktor IJN berkata, pihaknya gembira untuk berkhidmat dengan institut berkenaan dalam keadaan semasa dan tidak mahu dijadikan 'kambing hitam' dalam cadangan penswastaan pusat perubatan berkenaan.

Dalam kenyataan yang ditandatangani 33 daripada 35 pakar runding perubatan yang berkhidmat di IJN, mereka menegaskan, syor penswastaan tersebut bukan merupakan respons kepada tuntutan mereka untuk mendapatkan skim gaji yang lebih baik.

Doktor-doktor berkenaan menambah, kakitangan perubatan tidak terlibat dalam perundingan pengambilalihan IJN.

KOMEN-KOMEN SEBELUM PENANGGUHAN PENGAMBILALIHAN IJN

KOMEN MENTERI KEWANGAN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula berkata, kerajaan tidak menghalang hasrat Sime Darby Bhd untuk menguasai pegangan dalam IJN tetapi konglomerat itu perlu memberi jaminan akan mengutamakan golongan miskin.

"Kita kini dalam proses memuktamadkan perkara ini bersamasama Kementerian Kesihatan walaupun pada dasarnya kita tidak membantah cadangan itu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai AIDS di Parlimen di sini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Sime Darby perlu menyatakan komitmennya bahawa perhatian kepada golongan miskin tidak akan dikurangkan sekiranya IJN akan berpindah kepada Sime Darby.

"Apa sahaja kedudukan IJN, program sosial perlu diberikan keutamaan," kata beliau semasa mengulas isu berkenaan.

KOMEN MENTERI KESIHATAN

Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata, modus operandi dan objektif IJN akan kekal sebagai pusat jantung yang berkhidmat untuk rakyat walaupun ia diambilalih pada masa akan datang.

Katanya, hasrat Sime Darby untuk menguasai pegangan dalam IJN Holdings Sdn Bhd, yang mengendalikan IJN, masih pada peringkat perbincangan.

"Modus operandi yang sedia ada tetap akan dikekalkan jika hasrat syarikat korporat itu (Sime Darby) untuk menguasai pegangan dalam IJN tercapai," katanya kepada pemberita selepas melawat dua pesakit yang menghidap "Dilated Cardiomyopathy" di IJN di sini hari ini.

Liow berkata, kerajaan akan terus memberi bantuan kepada 80 peratus pesakit kerajaan yang dirawat di IJN walaupun organisasi lain mengambil alih IJN.

"IJN mempunyai 80 peratus pesakit daripada kerajaan termasuk pesakitpesakit miskin, mereka dihantar oleh kerajaan dan kos rawatannya ditanggung oleh kerajaan.

"Oleh itu IJN tidak boleh mengenakan bayaran yang lebih tinggi daripada apa yang ditetapkan oleh kerajaan jika diambi lalih organisasi lain," katanya.

Liow berkata, Sime Darby harus mempunyai komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab sosial jika ingin mengambil alih IJN.

"Sime Darby atau siapapun yang ingin mengambil alih IJN perlu mempunyai komitmen yang penuh terhadap tanggungjawab sosial dan perlu meneruskan komitmen itu serta menjaga kesejahteraan orang ramai yang memerlukan bantuannya," katanya.

Beliau berkata, cadangan yang dihantar Sime Darby masih dikaji pada peringkat Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi.

KOMEN MCA

MCA berharap agar IJN tidak diswastakan kerana ia selama ini sedikit sebanyak membantu meningkatkan imej kerajaan dan membantu rakyat yang tidak berkemampuan.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, institusi kerajaan itu banyak mengharumkan nama kerajaan.

"Kita berharap IJN tidak diswastakan. Ini bukan soal wang dan ringgit. Ini soal tanggungjawab kerajaan untuk memastikan dapat memberikan perkhidmatan dengan bayaran yang mampu dibayar oleh rakyat.

"Dalam konteks ini IJN sudah mencapai kejayaan cemerlang dan sedikit sebanyak meningkatkan imej kerajaan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab di mana duit tidak boleh membelinya (imej itu)," katanya kepada pemberita di Wisma MCA di sini.

Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, banyak projek yang diswastakan di negara ini mengakibatkan bayaran yang meningkat dan beliau tidak melihat manamana projek yang diswastakan bayarannya menurun.

Dr. Chua berkata, aspek kedua yang penting ialah sama ada penswastaan boleh menjamin kecekapan dan keberkesanan khidmat yang diberikan.

"Sudah tentu apabila bayaran meningkat ia akan membebankan rakyat (berpendapatan rendah)," katanya.-Mstar

Mahalnya sewa rumah PM.

KUALA LUMPUR, 17 Dis: Dewan Rakyat diberitahu, Kerajaan Malaysia menyewa kediaman Perdana Menteri, Sri Perdana sebanyak RM4.15 juta setahun atau RM345, 833.33 sebulan dari Putrajaya Holding.

Untuk menyelenggarakannya pula, kerajaan menanggung RM1.89 juta setahun atau RM158,051.40 sebulan.
Kediaman Timbalan Perdana Menteri pula yang bernama Seri Satria, kerajaan menyewa sebanyak RM2.74 juta setahun atau RM228,333.33 sebulan manakala penyelenggaraannya adalah RM94,156 sebulan.

Ini bermakna, kerajaan menanggung RM27,545 sehari untuk membayar sewa dan menyelenggarakan kedua-dua istana pemimpin negara ini.

"Inilah bangunan yang Almarhum Datuk Fadzil Nor dulu cadang untuk dilelongkan jika BA (ketika itu) berkuasa. Saya tidak tahu tentang anda tetapi saya sendiri tidak terbayang begitu banyaknya wang yang dibelanjakan untuk menampung PM dan TPM kita sekeluarga," tulis Roslan Shahir, Setiausaha Akhbar Presiden PAS dalam blognya.

Sewa sehari Seri Perdana bersamaan RM11,527.77 sehari, sedangkan gaji pokok permulaan seorang guru dengan diploma hanyalah RM1,405.71.

Dengan RM1,405.71 inilah guru tadi menampung keluarga dan kehidupan hariannya sedangkan kita membayar RM11, 527.77 sehari buat PM kita!

Malah menurut jadual tangga gaji baru seorang Ketua Polis Negara pun dibayar lebih murah (perbandingan gaji pokok permulaan) dari kita menyewakan Seri perdana untuk Perdana Menteri kita.

Gaji pokok permulaan KPN adalah RM9, 615.98 (menurut Pekeliling Perkhidmatan Bil. 8 tahun 2007) sebulan.

"Jadi apa nak kita lakukan?" tanya Roslan.

Dalam pada itu, tulisnya, rakyat diseru berjimat cermat. Tahun depan mungkin keadaan ekonomi semakin gawat, syarikat-syarikat gergasi dunia sudah mula memberhentikan para pekerjanya.

"Dan kita dalam susah-susah memuntahkan dari isi perut hampir RM10 juta setahun bagi menempatkan tak sampai 10 orang di dua istana kerana mereka adalah PM dan TPM kita," tulis beliau.-SIASAHDAILY

PAS bantah IJN dijual pada Sime Darby

KUALA LUMPUR, 19 Dis - PAS membantah keras hasrat kerajaan mahu menjual Institut Jantung Negara (IJN) kepada Sime Darby Berhad. Penjualan IJN atas dasar penswastaan itu menandakan kedudukan kewangan negara barada pada tahap kritikal akibat dari penyelewengan dan rasuah yang semakin meningkat, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar.
"Kita mempersoalkan apa keperluan terdesak kerajaan mahu menjual IJN ini kepada Sime Darby sedangkan IJN tidak menghadapi masalah kewangan sebaliknya kerajaan yang menghadapi masalah kewangan.

"Kalau Kementerian Kewangan sudah tidak mampu menguruskan IJN serahkan saja kepada Kementerian Kesihatan," kata beliau ketika dihubungi sebentar tadi.
Beliau turut mempersoalkan apakah hasrat kerajaan mahu menjual IJN kepada Sime Darby kerana ada pihak tertentu yang bakal memperolehi keuntungan.

Mahfuz menegaskan PAS mebantah penjualan IJN kerana kerana selama ini institusi itu sedikit sebanyak membantu rakyat yang tidak berkemampuan.

Selain itu beliau berkata, banyak projek yang diswastakan di negara ini mengakibatkan bayaran yang meningkat dan beliau tidak melihat mana-mana projek yang diswastakan bayarannya menurun.

"Sudah tentu apabila bayaran meningkat ia akan membebankan golongan berpendapatan rendah," kata beliau.

Beliau juga menegaskan apa yang penting ialah sama ada penswastaan boleh menjamin kecekapan dan keberkesanan khidmat yang diberikan.

"Bila diswastakan tentu akan ramai doktor pakar memilih untuk berkhidmat di hospital swasta kerana tawaran gaji dan beberapa insentif yang menarik dan akhirnya hospital kerajaan tidak lagi mempunyai doktor pakar," tegas Mahfuz.


Bernama pada 17 Disember lalu melaporkan Sime Darby Berhad melalui Sime Darby Healthcare telah menulis surat kepada kerajaan menyatakan hasratnya membeli kepentingan dalam IJN Holdings Sdn Bhd.

Kabinet pada prinsipnya sudah bersetuju untuk menjual kepentingan Kementerian Kewangan kepada Sime Darby Healthcare.

IJN ditubuhkan untuk membantu rakyat mendapatkan rawatan jantung pada kadar yang lebih murah berbanding hospital swasta.

Ketika ini, Kementerian Kewangan melalui syarikat Menteri Kewangan diperbadankan memiliki 99 peratus saham IJN. - mks. _ HARAKAHDAILY