26 November 2008

Usaha membantu rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

BAGAN TIANG, 26 Nov :- Kerajaan Negeri Perak Pakatan Rakyat akan meneruskan usaha membantu rakyatnya tanpa mengira Bangsa dan Agama, sesiapa yang layak dan sesuai dengan peruntukan yang ada mereka akan diberikan bantuan. Demikan antara ucapan ringkas ADUN TGiti Serong, Drs. Khalil Idham Lim semasa menyampaikan sumbangan Kerajaan Negeri Perak kepada dua persatuan Cina disini.

Drs. Khalil menyampaikan ucapan ringkas.


Persatuan Cina Chin Boon Kok Bagan Tiang menerima sumbangan berupa cek sebanyak RM 15,000 dan Pasukan Bomba Penyelamat Sukarela Kuala Bagan Tiang juga menerima sekeping cek benilai RM 1,500.

Wakil Pasukan Bomba Penyelamat menerima cek.


Hadir sama dalam majlis ringkas penyampaian cek tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kawasan yang juga Ahli Majlis Daerah Kerian, Hj. Harun Hashim, AJK PAS Kawasan, Hj. Ridzuan dan Hj. Hussin Awang, Ketua kampung Sg. Megat Aris, Hj. Bakhtiar , Ketua Kampung Tanah Baru, Hj. Rahman dan Wakil dari kedua-dua persatuan serta warga Cina setempat.


Hj. Harun menyampaikan cek kepada Persatuan Cina.


Pada kesempatan itu Drs. Khalil menyatakan hasratnya untuk menimbang dengan sebaik mungkin untuk menyampaikan sumbangan kepada persatuan tersebut sekiranya ada lagi permohonan di masa akan datang.

Wakil dari persatuan yang menyampaikan ucapan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih dengan kesudian ADUN hadir sekali gus menyalurkan bantuan seumpama itu yang tidak pernah diterima oleh persatuan sebelum dari ini.

Universiti Etnik-Etnik Guangxi Tawarkan Jurusan Bahasa Melayu

Ketika ramai rakyat Malaysia mulai tidak cintakan bahasa negaranya sendiri sehingga kepada pihak Kementerian Pelajaran yang menafikan hak rakyat untuk mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasanya sendiri, Namun bahasa ini dipelajari secara meluas dimerata dunia termasuklah di China.

Terkini Universiti Etnik-Etnik Guangxi telah menawarkan jurusan bahasa Melayu pada bulan Oktober lalu. Kini, kelas jurusan bahasa Melayu di universiti tersebut mempunyai 19 orang pelajar, terdiri daripada 15 orang pelajar perempuan dan 4 orang pelajar lelaki. Kebanyakan mereka berasal dari Guangxi, Sichuan dan Hainan, China. Yu Yue dari Universiti Penganjian Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU) yang kini bertugas sebagai guru bahasa Melayu di Universiti Etnik-Etnik Guangxi memaklumkan: "Kursus bahasa Melayu dimulakan di sini pada 6 Oktober yang lalu. Semua pelajar ini berminat kepada bahasa Melayu dan juga negara Malaysia. Beberapa orang antara mereka telah mula memperlihatkan bakat dalam mengusai bahasa Melayu."


Prof. Wu Zongyu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu China


Kursus bahasa Melayu yang pertama bagi 19 orang mahasiswa yang baru ini disampaikan oleh pakar bahasa Melayu yang terkenal di China, Prof. Wu Zongyu yang juga Pengarah Pusat Pengajian Melayu China dari BFSU. Prof. Wu Zongyu ketika diwawancara oleh wartawan CRI berkata: "Jurusan bahasa Melayu buat pertama kalinya ditawarkan di Universiti Guangxi pada tahun ini. Pusat Penganjian Melayu China berkewajipan untuk membantu usaha pengajian bahasa Melayu di sana kerana kami bertanggungjawab atas pengembangan bahasa Melayu di China. Perkara ini mampu merapatkan hubungan antara rakyat China dengan kaum Melayu, malah hubungan antara kedua-dua negara. Kini, semakin ramai remaja China menunjukkan minat kepada bahasa Melayu, Mereka dapat memberikan sumbangan kepada persahabatan China-Malaysia. Oleh yang demikian, kami bersedia memberikan bantuan kepada semua institusi pengajian tinggi di China yang ingin menawarkan kursus bahasa Melayu."


Prof. Huang Xiulian


Canselor Institut Bahasa-Bahasa Asing Universiti Universiti Etnik-Etnik Guangxi Guangxi, Prof. Huang Xiulian memberitahu wartawan bahawa hubungan kerjasama dan pertukaran antara Guangxi dengan negara-negara ASEAN menjadi semakin erat beberapa tahun kebelakangan ini. Hal ini terjadi selepas Nanning, ibu kota Guangxi, diisytiharkan sebagai tempat tetap bagi penganjuran Ekspo China-ASEAN dan perkembangan proses penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN. Oleh hal yang demikian, Universiti Etnik-Etnik Guangxi menawarkan jurusan bahasa Melayu memandangkan permintaan yang semakin bertambah terhadap tenaga manusia yang mampu menggunakan bahasa dari pelbagai negara anggota ASEAN. Prof. Huang Xiulian berkata: "Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN akan siap ditubuhkan, pada asasnya menjelang tahun 2010. Guangxi yang lokasinya menghubungkan China dengan negara ASEAN dijangka dapat menjalinkan hubungan yang semakin erat dengan ASEAN, baik dari segi politik, ekonomi, maupun dari segi kebudayaan. Bahasa Melayu digunakan secara meluas di rantau ASEAN. Selain daripada Malaysia dan Brunei Darussalam, ia juga boleh digunakan di Indonesia dan Filipina. Memandangkan hal yang sedemikian, kami merasakan amat perlu untuk menawarkan jurusan bahasa Melayu di Universiti kami."

Menurut Prof. Huang Xiulian, semua pelajar yang mengikuti jurusan bahasa negara-negara ASEAN di Universiti Etnik-Etnik Guangxi diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran selama setahun di seberang laut, yakni di negara bagi bahasa yang berkenaan. Hal ini akan membantu mahasiwa untuk menjadi lebih mahir dan cekap menggunakan lisan dan mengetahui secara dekat dan lebih mendalam tentang masyarakat tempatan.

IMF Jangka Kepesatan Pertumbuhan Ekonomi Asia Akan Menurun Tahun Depan

Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) menyatakan, kepesatan pertumbuhan ekonomi di Asia akan menurun secara ketara pada tahun 2009 ekoran krisis kewangan.

Berdasarkan laporan "Ramalan Ekonomi Rantau Asia-Pasifik" IMF pada bulan November, ekoran penurunan permintaan eksport, pemberian wang pinjaman kredit yang ketat dan pelbagai unsur negatif yang lain, kadar pertumbuhan ekonomi Asia pada tahun ini dijangka mencatat 6%. Bilangan ini akan menurun kepada 4.9% pada tahun 2009.

Berdasarkan laporan itu, kadar pertumbuhan ekonomi China akan menurun kepada 8.5% pada tahun depan, manakala 6.3% untuk India dan 2% untuk Republik Korea. Ekonomi Jepun akan mencapai pertumbuhan negatif pada 0.2%.

Kepesatan pertumbuhan ekonomi Asia mungkin dapat dipulihkan pada penghujung tahun 2009. Namun, jika ekonomi sejagat merosot atau krisis pinjaman kredit lebih buruk daripada jangkaan, kepesatan pertumbuhan ekonomi Asia juga akan terus merudum.

Jawatankuasa Fatwa Perak perlu pertimbang fatwa senaman yoga, titah Raja Nazrin

RAJA Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah menitahkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mempertimbangkan secara terperinci mengenai aktiviti senaman yoga di negeri itu.

Raja Dr Nazrin, yang juga Yang di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, bertitah sebarang keputusan jawatankuasa fatwa negeri itu kemudiannya hendaklah dibawa kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, sebelum dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Samsul Baharin Hassan di sini hari ini, Raja Dr Nazrin bertitah, lebih teratur jika sesuatu fatwa yang melibatkan orang ramai dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu memandangkan hal ehwal agama Islam berada di bawah bidang kuasa Raja.

Dalam perkembangan yang lain Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata semua perkara berhubung fatwa termasuk mengenai pengharaman senaman yoga itu perlu terlebih dahulu dibawa ke Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak untuk dibincangkan.

Menurutnya PERAK bersedia menerima apa sahaja keputusan yang diperkenankan oleh Sultan Perak berhubung isu pengharaman senaman yoga yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Sabtu lepas.

Katanya selepas dibincangkan dan diteliti oleh jawatankuasa itu ia akan dibawa kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP) dan seterusnya dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk diperkenankan sama ada boleh diterima pakai atau sebaliknya. - Bernama

Anuar Hashim dilantik Setiausaha PAFA yang baru

IPOH, 25 Nov :- Setiausaha Akhbar Menteri Besar Perak, Anuar Hashim, telah dilantik sebagai Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) yang baru oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam mesyuarat Jawatankuasa PAFA yang pertama kelmarin.

Sementara itu Setiausaha Badan Perhubungan PAS Perak, Abdul Rahim Md Arif dilantik dilantik sebagai Bendahari PAFA.

Selain itu, turut dilantik dalam mesyuarat semalam ialah Adun Behrang, Jamaludin Mohd Radzi yang juga merangkap Pengurus Pasukan.

Turut dilantik Ajam Suhot dan Mohd Jamil Zakaria.

Menteri Besar Perak turut mengumumkan M. Karathu sebagai Ketua Jurulatih dan akan dibantu oleh Raja Azlan.

Menang 'free': "Bukan salah saya punca mereka berentap" Kamilia

DATUK Kamilia Ibrahim menafikan tuduhan-tuduhan yang mengatakan beliau menjadi punca pelan peralihan kuasa Wanita Umno yang dijadualkan Jun ini tergendala.

Ketua Umno Kuala Kangsar itu berkata, terdapat sebab-sebab lain yang menyebabkan pelan peralihan yang diusulkan oleh ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz itu tidak berlaku seperti yang dirancang.

"Walaupun ada orang berkata begitu, saya bukan satu-satunya sebab itu. Ada banyak isu lain yang terlibat," katanya kepada The Star semalam.

Kamilia yang hampir pasti menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan Mac ini berikutan keputusan penyandang jawatan itu, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk mencabar Rafidah bagi jawatan ketua akan menjelaskan kedudukannya pada masa yang yang sesuai.

Rafidah menerima 118 pencalonan sementara Shahrizat dengan 72 pencalonan bagi jawatan nombor satu pergerakan itu.

Bagi jawatan nombor dua, Shahrizat menerima 102 pencalonan sementara Kamilia dengan 56 pencalonan.

Kamilia juga tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang menggambarkan pergerakan itu kini dalam keadaan kucar kacir berikutan keputusan Shahrizat untuk mencabar Rafidah.

"Wanita Umno bukan dalam keadaan kucar-kacir. Ini hanyalah pertandingan. Ia juga berlaku dalam Puteri (Umno) di mana ramai calon bertanding untuk jawatan ketua. Perkara yang sama turut berlaku dalam Pemuda Umno. Malah pertandingan terbesar nanti adalah bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.

"Mengapa pula bila pertandingan berlaku dalam Wanita Umno, kami dikatakan dalam keadaan kucar-kacir?" katanya.

Kamilia bagaimanapun enggan mengulas berhubung isu-isu lain yang sedang berlaku dalam Wanita.

Shahrizat sebelum ini berkata, beliau akan kekal dengan pelan peralihan kuasa Jun ini jika Kamilia tidak mencabarnya untuk jawatan naib ketua.

Rafidah dalam nada yang sama menyalahkan Kamilia kerana menyebabkan pelan tersebut tergendala.

Beliau juga berkata, Kamilia mendapat keuntungan daripada apa yang berlaku kerana kini hampir pasti menang jawatan naib ketua pergerakan itu tanpa bertanding.

"Jika tidak kerana pelan peralihan tersebut, mungkin berlaku pertandingan terbuka. Justeru, mungkin bukan Kamilia yang menang," kata Rafidah. / The Star, Mstar

Nazri tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebas

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini memutuskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak perlu dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan berhubung status keenam-enam hakim yang menerima bayaran ex-gratia.

Keputusan itu dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mendapati kenyataan yang dbuat oleh ahli Parlimen Padang Rengas itu tidak berniat untuk mengelirukan Dewan.

“Saya putuskan sewaktu Yang Berhormat Menteri membuat kenyataan yang kononnya mengelirukan itu sebenarnya tidak tahu bahawa kenyataan yang dibuat itu tidak benar dan beliau tidak ada niat sama sekali untuk mengelirukan Dewan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 6 November lalu, Nazri ketika mengumumkan pembayaran exgratia berjumlah RM10.5 juta kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lima hakim kanan yang terlibat dalam krisis kehakiman 20 tahun lepas, beliau berkata bekas-bekas hakim itu bukannya dipecat tetapi telah ditamatkan perkhidmatan lebih awal seperti disarankan oleh satu panel.

Hal itu menyebabkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) pada 10 November lalu meminta supaya Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri itu adalah satu pembohongan besar.

Bagaimanapun pada 13 November lalu, Nazri membuat pengakuan terbuka melalui media dan mengakui kesilapannya berhubung kenyataannya sebelum ini dan mengakui bahawa sebenarnya kesemua hakim berkenaan dipecat namun tetap menerima bayaran pencen atas permintaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu melalui satu surat kepada Ketua Setiausaha Negara tanpa didedahkan.-

www1.mstar.com.my

Penyokong Kerajaan Tidak Puas Hati Jawapan Timbalan Menteri

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Seorang penyokong kerajaan hari ini melahirkan rasa kurang senang dan tidak puas hati terhadap jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Noraini Ahmad pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat yang disifatkan tidak membawa sebarang erti.


Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) merasakan jawapan Noraini itu hanya panjang berjela tetapi tidak dapat memuaskan hati rakyat dan menyelesaikan masalah kesukaran rakyat negara ini mendapat pekerjaan.

"Jawapan panjang tapi tak sampai ke lubuk hati. Negara ini dikatakan syurga bagi warga negara asing mencari nafkah tetapi neraka bagi rakyat kita sendiri, jadi jawapan ini tidak menyelesaikan masalah.

"Sebenarnya kerajaan kita perlu memperjuangkan supaya rakyat negara ini dapat tangga gaji yang munasabah iaitu lebih tinggi daripada miskin tegar dan rakyat negara ini harus diutamakan, kenapa kita mesti utamakan pelabur luar tapi rakyat negara ini sengsara nak mencari pekerjaaan," katanya yang tiba-tiba bangun ketika Noraini sedang menjawab soalan Aaron Ago Dagang (BN-Kanowit) di sini.

Aaron Ago ingin tahu antara langkah kerajaan bagi mengatasi dakwaan yang sering dilaungkan oleh kesatuan sekerja dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bahawa kerajaan tidak mengambil berat ke atas isu gaji minimum.

Terdahulu ketika menjawab soalan Aaron Ago, Noraini berkata terdapat sepuluh Majlis Penetapan Gaji (MPG) yang telah ditubuhkan pada tahun 2006 dan 2008 yang memberi perlindungan kepada 1.33 juta pekerja di seluruh negara.

"Antaranya ialah MPG Pengawal Keselamatan Swasta di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; MPG Pembantu Klinik Swasta di Semenanjung dan Sabah serta MPG Pekerja Am di Kebun Kecil di Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan juga menggalakkan majikan memperkenalkan sistem upah berdasarkan kepada produktiviti supaya dapat menjamin daya saing dan kualiti pekerja," katanya.

-sumber dipetik dari BERNAMA