31 Januari 2011

RON97 naik 10 sen lagi

26 Safar 1432H.

Harga petrol RON97 akan dinaikkan 10 sen berkuatkuasa tengah malam ini menurut satu sumber industri.

Dengan kenaikan itu, harga petrol RON97 akan meningkat menjadi RM2.50 seliter (RM2.40sebelumnya).

Ini merupakan kenaikan harga yang keempat berturut-turut bagi petrol RON97.

Kenaikan harga ini juga dilakukan sehari selepas pilihan raya kecil DUN Tenang yang berlangsung semalam.

Semenjak tahun lalu, harga RON97 mula dinaikkan kepada RM2.15 pada 2 November, RM2.30pada 1 Disember dan terus meningkat kepada RM2.50 pada 4 Januari tahun ini.

Harga bagi petrol RON97 yang banyak digunakan oleh kenderaan berkuasa tinggi, tidak ditetapkan kerajaan kerana ia diapung mengikut pasaran minyak dunia semasa.

Apungan itu diperkenalkan tahun lalu dan satu gred baru petrol RON95 turut diperkenalkan.

Harga bagi RON95 kini ditetapkan pada kadar RM1.80 seliter.

Pengurangan subsidi bagi bahan keperluan seperti petrol telahpun mula diperkenalkan melalui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) sejak awal tahun lalu.

Badan berkenaan ditubuhkan kononnya bagi mengurangkan beban subsidi negara.

Malaysiakini/-

Banjir : Lebih 36,000 pindah di Johor

Berit jam 5.00 petang Radio Sinar dipetik sebagai berkata jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di negeri Johor sehingga petang ini berjumlah lebih 39,000 orang.

Antara Daerah yang terlibat ialah Batu Pahat, Segamat, Labis dan Yong Peng.

Hadi: Pakatan bincang calon PAS atau PKR di Merlimau

26 Safar 1432H.

Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan mengenai sama ada akan meletakkan calon PAS atau PKR dalam pilihan raya kecil DUN Merlimau 6 Mac ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan di peringkat pusat mengenai calon dari parti mana akan diketengahkan dalam pilihan raya kecil itu akan diadakan dalam waktu terdekat.

Abdul Hadi yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Wacana Memperkasa Fikrah rakyat di Shah Alam hari ini berkata demikian ketika ditanya mengenai minat PKR untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu yang sebelum ini diwakili calon PAS.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin baru-baru ini dilaporkan berkata meskipun secara tradisi pakatan pembangkang mengekalkan status quo, namun terdapat beberapa faktor yang menyokong PKR meletakkan calonnya untuk bertanding.

Ketika ditanya sama ada PAS telah mempunyai bayang-bayang siapakah bakal dicalonkan di Merlimau, Abdul Hadi berkata: "Merlimau, kita ada orang bukan bayang-bayang, kita ada ramai situ."

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Dalam pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi.

Malaysiakini/-

Anwar: Najib takut kalau putera Arab Saudi biayai saya dalam PRU

26 Safar 1432H.

Laporan Cable News Network (CNN) yang bertajuk "Saudis discover new funding channels for Taliban, al Qaeda" memperlihatkan ketakutan Perdana Menteri Najib untuk berhadapan Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum yang akan datang. Laporan CNN yang baru sahaja beredar beberapa jam lalu menyebut antara lainnya, Presiden UMNO itu menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada Kerajaan Arab Saudi kerana terdapat dua Putera Arab Saudi yang menyokong dan membiayai saya untuk Pilihanraya Umum yang akan datang.

Laporan ini menyerlahkan ketakutan serta rekayasa Najib (gambar kiri) untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat yang setiap hari berusaha membina dokongan rakyat terhadap usaha kami demi menyelamatkan Malaysia dari segala kepincangan yang disebabkan oleh kelemahan mentadbir pimpinan negara serta ketirisan akibat dari rasuah yang semakin membarah.

Kehadiran Buku Jingga, sebuah dokumen yang mengandungi hasrat serta saranan Pakatan Rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari terus parah akibat kerakusan dan ketidakcekapan pimpinan UMNO-BN, memunculkan rasa takut Najib. Beliau sedar dokumen tersebut mendobrak ilusi upaya pemulihan yang didendangkan UMNO-BN kepada rakyat. Presiden UMNO itu pastinya tahu rakyat tidak akan menerima bulat-bulat pengumuman demi pengumuman yang digarap semata-mata memenuhi maksud iklan.

Ketakutan ini malah membuat beliau enggan berdebat secara terbuka berkenaan kedudukan ekonomi negara dengan saya. Malah, Perdana Menteri tidak segan silu menyerang saya secara peribadi sedangkan hasrat debat terbuka itu semata-mata mahu menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat Malaysia.

Saya tidaklah terkejut sekiranya Perdana Menteri sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmah saya. Mereka sebenarnya sudah mula merasai angin Perubahan yang bakal melanda. Mereka sedar rakyat Malaysia sudah mulai mual dengan segala macam kebobrokan. Kepimpinan UMNO-BN sebenarnya fobia dengan kemaraan rakyat.

*Kenyataan media oleh Anwar Ibrahim (gambar atas) selaku Ketua Pembangkang Parlimen merangkap Ketua Umum PKR.

MerdekaReview/-

Khalid Samad: Tenang dan MB Selangor

26 Safar 1432H.
Oleh : Khalid Samad.

1. Ada yang mengatakan MB perlu letak jawatan kerana ‘kalah’ dalam Dewan berhubung pindaan perlembagaan.

Respon saya: Selagi mana 34 adalah lebih dari 20 maka persoalan letak jawatan adalah tidak releven. Mungkin hasil dari pembelajaran matematik dalam bahasa Inggeris, UMNO merasakan 20 adalah lebih besar dari 34!

Keadaannya berbeza sekiranya BN mendapat undi lebih dari PR. Dalam keadaan itu mungkin boleh dikatakan bahawa MB telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan.

2. Ada yang mengatakan PR dikalahkan di DUN Selangor kerana usul pindaan ditolak.

Respon saya: Sebenarnya dalam soal ini, tiada yang menang dan tiada yang kalah. Apa yang berlaku, dan inilah apa yang diinginkan, ialah pendirian masing-masing menjadi jelas.

PR adalah pro-Raja Berpelembagaan dan pro-Federalisma. Ini adalah kerana PR mengemukakan pindaan yang ingin memberi peranan kepada Sultan dan Menteri Besar. Peranan Sultan akan dipertahankan oleh mereka yang menerima konsep Raja Berpelembagaan. Menolak peranan Sultan bererti menolak konsep Raja Berpelembagaan.

Menteri Besar adalah mewakili pilihan rakyat. Dia mewakili kerajaan Negeri. Menolak peranan MB bererti menolak hak Negeri dan hakikat bahawa Negeri adalah suatu entity yang berdaulat. Menolak hakikat ini bererti menolak Federalisma.

UMNO/BN menunjukkan melalui penolakan pindaan bahawa mereka ingin memusatkan kuasa di peringkat Pusat. Mereka anti-Raja Berpelembagaan dan anti-Federalisma. Hanya Pusat sahaja yang berperanan.

3. Ada yang mengatakan PR derhaka kerana menolak Khusrin.

Jawapan saya: Ketua Pembangkang Negeri Selangor yang baru mengatakan PR derhaka kerana menolak Khusrin sedangkan Sultan merestu perlantikannya. Hakikatnya DYMM Sultan Selangor memahami perlembagaan Negeri Selangor. Baginda memahami bahawa dalam perlembagaan sekarang, Baginda tidak ada kuasa menolak perlantikan Khusrin kerana kuasa semuanya ditangan Pusat. Itulah sebabnya pindaan cadangan PR perlu.

Ketua Pembangkang tidak menjelaskan peruntukan mana di dalam perlembagaan yang boleh digunakan oleh Baginda Sultan untuk menolak perlantikan Khusrin. Dia tidak menjelaskannya kerana dia tahu memang tiada peruntukan sebegitu.

Oleh itu, penolakan pindaan telah mendedahkan penderhaka yang sebenar dan hujjah yang dibawa Ketua Pembangkang tidak berasas.

4. Kekalahan di Pilihan Raya kecil Tenang.

Semua tahu BN berjaya mempertahankan Tenang dengan majoriti yang bertambah. Ini sebenarnya bukan sesuatu yang mengejutkan. Hakikatnya PrK adalah lebih sukar bagi kita berbanding PRU kerana dalam PrK seluruh kekuatan BN serta agensi kerajaan termasuk TV dan Radio ditumpukan di satu kerusi yang ditandingi. Bermacam-macam janji serta projek ditaburkan dan oleh itu BN boleh mendapat lebih ramai dari golongan atas pagar.

Ini adalah lebih lagi dalam negeri-negeri yang diperintah BN atau kawasan kubu mereka.

PrK penting bagi kita untuk terus menyemarakkan semangat ke arah membawa agenda perubahan. Kita pertahankan sokongan yang telah diperolehi selama ini dan bina kekuatan sambil menunggu PRU. Hakikat kita mampu menafikan majoriti 7 ribu di Hulu Selangor dan 5 ribu di Tenang seperti yang diramalkan BN menunjukkan kita mempunyai kekuatan yang lebih dari apa yang dianggarkan oleh mereka.

PrK Merlimau juga akan kita hadapi dengan penuh kesedaran bahawa ianya kawasan BN. PAS masih belum berjaya mendapatkan kerusi di Melaka dan PrK bukan mudah untuk dimenangi. Hanya, kita perlu turun dengan segala kekuatan yang kita ada untuk menentukan sokongan yang ada terus dipertahankan. Sambil itu ianya merupakan peluang untuk kita menyampaikan mesej kita dalam usaha bersiap sedia untuk PRU.

Bagi petugas-petugas PAS/PR, kita sudah lama memahami, kalah menang tetap sama kerana ganjaran kita berdasarkan usaha kita dan bukan keputusan yang dicapai. Oleh itu saya yakin bahawa petugas-petugas ini akan terus bersama dalam menghadapi PrK Merlimau dengan semangat yang tetap tinggi. Kalau BN mengharapkan semangat kita akan pudar, maka mereka akan kecewa.

Harakahdaily/-

Nik Aziz bawa 31 India naik masjid Pulau Melaka

26 Safar 1432H.
Oleh : Attif Idris.



KOTA BHARU, 31 Jan: Seramai 31 orang Ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Hulu Selangor yang terdiri dari kalangan India bukan Islam telah mengunjungi Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat dan dibawa beliau naik ke masjid Pulau Melaka.

Sebelum itu rombongan yang diketuai Adnan Mat Nor selaku Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Hulu Selangor turut diraikan di dalam majlis makan tengahari di kediaman rasmi Manteri Besar, JKR-10.

Rombongan juga telah diberi taklimat oleh Pegawai Penerangan Zon daripada Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan (UPKN) mengenai Dasar-Dasar Kerajaan Negeri dan kehidupan masyarakat India dan kaum bukan Islam di Kelantan yang tidak pernah terpinggir dan sentiasa dilibatkan di didalam setiap program.

Pada sebelah petang ahli rombongan telah menemui Tuan Guru di perkarangan Masjid Pulau Melaka seterusnya memasuki masjid untuk mendengar tazkirah yang disampaikan Nik Aziz.

Antara kandungannya Nik Aziz berkata, di Kelantan PAS mengamalkan sistem pemerintahan Islam kerana ia adil untuk semua kaum.

“Kita semua adalah keturunan dan cucu cicit Nabi Adam a.s yang merupakan adik beradik, Umno tidak pernah memberitahu sedemikian kerana mereka tidak mengamalkan sistem politik Islam, sebaliknya mereka mengamalkan sekularisme, dan ini boleh memecahbelahkan keharmonian kaum. Namun di Kelantan menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk memberitahu perkara ini.

“Soal orang bukan Islam memasuki masjid sengaja diperbesar-besarkan demi politik murahan mereka, di Kelantan kita menggalakkan orang bukan Islam untuk memasuki masjid, dan banyak program telah diadakan di masjid yang turut melibatkan orang bukan Islam,” jelasnya.

Beliau juga menyifatkan orang bukan Islam yang memasuki masjid akan dapat belajar apa yang diajarkan oleh Islam tetapi mestilah dengan beradab dan sopan.

Nik Aziz juga menyeru supaya perkara-perkara yang baik seperti diuar-uarkan kepada masyarakat bukan Islam khususnya di negeri-negeri selain Kelantan kerana orang-orang bukan Islam di Kelantan kini telah dapat menerimacorak pemerintahan Islam yang diamalkan oleh Kerajaan Kelantan kerana Islam adalah adil untuk semua.

Selepas itu ahli rombongan telah dipelawa oleh Nik Aziz ke kediamannya yang terletak bersebelahan dengan masjid.

Harakahdaily/-

Cikgu Mala digesa terus turun padang

26 Safar 1432H.

LABIS, 31 Jan: PAS kawasan Labis khususnya calonnya di Tenang, Cikgu Normala Sudirman diseru supaya terus turun padang bagi memberikan khidmat terbaik untuk masyarakat walaupun kalah dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.

"Asas yang sangat baik telah dibina untuk Dun Tenang. PAS kawasan Labis, khususnya Cikgu Mala mesti terus turun padang," kata Mazlan Aliman AJK PAS Pusat yang juga Ketua Penerangan jentera PAS di PRK Tenang.

Menurut beliau, PAS menghormati keputusan pengundi walaupun jelas sekali dalam pilihan raya ini sebagaimana biasa PAS bertanding melawan jentera kerajaan pusat dan negeri Johor bukannya BN dan Umno.

"Adalah jelas PAS bertanding melawan jentera kerajaan (Pusat dan Johor)," katanya.

Sebagai parti politik, katanya, Umno dan BN tiada kekuatan apa-apa.

"Projek segera jutaan ringgit, sogokan dan propaganda media pro BN telah digunakan sepenuhnya (dalam kempen mereka)," kata beliau.

Mazlan juga berjanji, Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) pimpinan beliau akan terus memperkasa gerakkerja sesuai dengan mottonya menarajui perubahan.

Beliau juga, bagi pihak jentera penerangan PRK ini, mengucapkan ribuan terima kasih kepada pimpinan Pakatan Rakyat, petugas parti, dermawan, pengamal media dan sukarelawan yang datang dari seluruh negara bagi membantu jentera PAS dan Pakatan dalam pilihan raya kecil ini.
Harakahdaily/-

PAS, PKR dan 71 NGO demo bantah Mesir

26 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR, 31 Jan: Pemimpin PAS, PKR dan beberapa NGO hari ini berhimpun di kedutaan Mesir di Kuala Lumpur bagi menyerahkan memorandum menuntut agar regim Hosni Mubarak berundur.

Mereka berhimpun bagi menunjukkan semangat setiakawan mereka dengan perjuangan rakyat negara itu dan menuntut agar kerajaan yang ada tidak menggunakan kekerasan dan menerima tuntutan rakyat.

Antara yang hadir adalah AJK PAS Pusat Mohamad Sabu, Dr Syed Azman, Adun Kota Damansara Dr Nasir Hashim, Ketua Pemuda Nasruddin Hassan Tantawi dan juga ahli Parlimen Balik Pulau Yusmadi Yusof.

Mereka berarak daripada kawasan letak kereta tidak jauh dari situ sambil melaungkan kecaman ke atas Mubarak dengan 'Down Mubarak' (Turun Mubarak) sambil membawa poster pemimpun Mesir dengan lambang Zionis di dahi.

Kumpulan daripada 71 NGO itu kini sedang berunding dengan kira-kira 50 anggota polis - yang menutup pintu masuk ke kedutaan - untuk menghantar memorandum kepada wakil kerajaan Mesir.

Setakat ini, dalam bantahan besar-besaran penduduk Mesir, ratusan telah terkorban apabila ribuan membanjiri Dataran Tahrir di Kaherah bagi menuntut penamatan 30 tahun pemerintahan Hosni Mubarak.

Aljazeera hari ini melaporkan, pemimpin pembangkang Mohamed ElBaradei yang menyertai kumpulan penunjuk perasaan itu memberitahu orang ramai pada Ahad malam bahawa "kita sudah bermula dan tidak boleh berpatah balik".

Sejak Selasa lepas beberapa siri demonstrasi dilaporkan berlaku di bandar-bandar besar Mesir termasuk Kaherah, Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura bagi mendesak pengunduran Mubarak.

Kebangkitan rakyat Mesir itu kini menarik perhatian seluruh dunia kerana dijangka memberi kesan besar kepada politik dunia Arab.

Harakahdaily/-

Guan Eng: Calon tak menang, tak tewas

26 Safar 1432H.
Oleh : Susan Loone.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempunyai analisis 'ganjil' berhubung keputusan pilihan raya kecil Tenang semalam.

"Pemenang dan si kalah bukanlah calon tetapi orang lain," kata setiausaha agung DAP itu.

Di pihak BN, pemenang sebenar adalah Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman yang berjaya menunjukkan kebolehan dan kemampuannya, kata Lim dalam sidang media di Komtar hari ini.

"Manakala pihak yang kalah bukan calon PAS tetapi... kamu tahulah," tambahnya.

Apabila ditanya tentang pihak yang dimaksudkannya itu, beliau masih enggan menyatakannya.

"Dalam hari, kamu tahulah siapa dia," katanya Lim lagi, dipercayai merujuk kepada kemampuan MCA di kawasan Cina di Labis.

Selepas Tenang, PAS rangka strategi berkesan

26 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR, 31 Jan: PAS akan merangka strategi berkesan dalam pilihanraya seterusnya dan akan melakukan desakan agar pilihan raya yang bebas dan telus dilaksanakan di Malaysia.

Demikian kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily ekoran kekalahan calonnya, Normala Sudirman di Tenang.

Calon BN pada PRK Tenang, Mohd Azahar Ibrahim mendapat 6,699 undi menewaskan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman atau Cikgu Mala yang memperolehi 2,992 undi dengan majoriti 3,707 undi.

Meskipun berjaya mempertahankan kerusi Dun Tenang, namun BN gagal mencapai majoriti sasaran iaitu 5,000 undi sebagaimana yang pernah dihasratkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Abdul Hadi yang juga anggota Parlimen Marang, PAS senantiasa menegaskan bahawa demokrasi tulen bukan terbatas kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi semata-mata,.

Tetapi ianya mestilah bertitik tolak dari peraturan yang adil, senarai pengundi yang bersih, media yang bebas, persekitaran kempen yang bebas dari sogokan dan ugutan rasuah projek pembangunan yang melimpah ruah semasa tempoh berkempen, dan berbagai lagi ciri yang mentakrifkan sebuah sistem demokrasi yang adil dan tulen.

Berikut adalaah kenyataan penuh beliau:

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

“Keputusan Pilihan Raya Kecil DUN N.05 Tenang”

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menyampaikan ucapan terimakasih yang tidak terhingga kepada seluruh petugas pilihan raya kecil DUN Tenang dari berbagai latarbelakang politik, Pengarah dan Jawatankuasa Pilihan Raya PAS – DAP – PKR yang bertungkus lumus menggerakkan jentera kempen, Pengerusi dan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor dan seluruh Negeri serta orang perseorangan dari pelbagai rumpun bangsa yang datang menyumbangkan tenaga dan sokongan.

Ucapan tahniah diucapkan kepada calon PAS iaitu Cikgu Normala Sudirman dan keluarga beliau yang telah berjaya menggerakkan semangat juang yang tinggi di kalangan petugas sepanjang pilihan raya berjalan.

Jutaan terima kasih juga kepada seluruh pengundi berbagai kaum yang telah memberikan kepercayaan dengan mengundi PAS sebagai wakil Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil berkenaan.

PAS amat menghargai sokongan dan harapan semua pihak dalam pilihanraya kecil ini untuk melihat fajar baru menyinsing dalam dominasi politik baru di tanah air tercinta ini.

Keputusan pilihanraya ini walaupun tidak menyebelahi kita, tetapi ianya telah menjadi kunci kepada semangat juang kita seterusnya dalam proses untuk kita melakukan perubahan yang menyeluruh dan bermakna dalam sistem demokrasi yang berat sebelah ini.

Kita akan terus menerus merangka strategi berkesan bagi meningkatkan keupayaan dan kebersamaan gerakerja dalam pilihanraya seterusnya, dan dalam masa yang sama akan melakukan desakan agar pilihan raya yang bebas dan telus dilaksanakan di Malaysia.

Untuk kesekian kalinya kita berhadapan dengan Umno-BN yang menggerakkan jentera kerajaan dengan bajet yang tidak terbatas, media berat sebelah yang masuk di tiap-tiap buah rumah, dan peraturan pilihan raya yang tidak berasaskan suasana pertandingan di lapangan yang sama rata.

Oleh yang demikian, usaha menggerakkan massa menerusi saluran parti politik dan NGO akan terus dilaksanakan agar demokrasi yang tulen dapat ditegakkan.

Kita senantiasa menegaskan bahawa demokrasi tulen bukan terbatas kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi semata-mata, tetapi ianya mestilah bertitik tolak dari peraturan yang adil, senarai pengundi yang bersih, media yang bebas, persekitaran kempen yang bebas dari sogokan dan ugutan rasuah projek pembangunan yang melimpah ruah semasa tempoh berkempen, dan berbagai lagi ciri yang mentakrifkan sebuah sistem
demokrasi yang adil dan tulen.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Harakahdaily/-

Tujuh lanun Somalia tiba di Malaysia

26 Safar 1432H.

PELABUHAN KLANG - Tujuh lanun Somalia yang ditahan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menyerang kapal milik Malaysia di Teluk Aden pada 20 Jan lalu, tiba di sini pagi ini.

Mereka dibawa di dalam sebuah bas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diiringi oleh kereta-kereta polis, dari Terminal Pukal Cecair Pelabuhan Klang pada 9.15 pagi menuju Pangkalan Polis Marin sebelum dibawa ke Balai Polis Marin Pandamaran.

Ops Sikap 23: 12 kematian dicatat

26 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR - Hari ketiga Ops Sikap ke-23 semalam menyaksikan 12 lagi maut akibat kemalangan jalan raya, menjadikan jumlah yang terkorban sejak operasi bermula Khamis lepas meningkat kepada 37 orang.

Berdasarkan statistik laman web Polis Diraja Malaysia, tujuh yang maut adalah penunggang motosikal, dua pengguna kenderaan dan masing-masing seorang pengguna lori, basikal dan pejalan kaki.

Sebanyak 1,314 kemalangan dilapor berlaku semalam dengan jalan bandaran mencatat jumlah tertinggi iaitu 514 kes diikuti jalan persekutuan (337), jalan negeri (214), lebuh raya (179) dan 70 kes lagi di jalan-jalan lain.

Sebanyak 7,452 saman juga dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya. Ops Sikap ke-23 yang dilancarkan sempena sambutan Tahun Baru Cina akan berakhir 10 Februari depan.-Bernama

Sinar/-

Jangan patah semangat kerana sudah dijangka

26 Safar 1432H.

TEMERLOH, 31 Jan: Kekalahan PAS pada pilihan raya kecil Dun Tenang tidak seharusnya melemahkan semangat petugas-petugas Pakatan Rakyat kerana ia berlaku sebagaimana yang telah dijangka.

Demikian kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily lewat petang semalam dalam mengulas keputusan muktahir PRK Dun Tenang.

Calon BN pada PRK Tenang, Mohd Azahar Ibrahim mendapat 6,699 undi menewaskan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman atau Cikgu Mala yang memperolehi 2,992 undi dengan majoriti 3,707 undi.

Meskipun berjaya mempertahankan kerusi Dun Tenang, namun BN gagal mencapai majoriti sasaran iaitu 5,000 undi sebagaimana yang pernah dihasratkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Namun apa yang perlu diambil perhatian ialah perlunya diperkukuhkan kekuatan parti di semua lokaliti. PAS dan seluruh parti komponen seharusnya mempunyai kekuatan asas yang kukuh di setiap peti undi.

“Kegagalan kita membina kekuatan asas akan menyukarkan kita menghadapi sebarang bentuk pilihanraya. Di Dun Tenang, kita harus akui kelemahan PAS sama ada di peringkat cawangan atau keahlian,” nasihat Tuan Ibrahim.

Namun, katanya, kemenangan BN yang hanya beberapa bulan ini sebelum pilihanraya umum ke 13 akan juga menjadi kayu ukuran bagi pengundi di Tenang sejauh manakah calon yang menang akan turun membantu.

“Nasib malang bagi calon menang kerana ia akan terus diuji oleh para pengundi yang kini berhadapan dengan banjir di Labis dan Tenang. Kalau sewaktu kempen, calon turun setiap rumah, dokong orang yang nak pindah, sekarang rakyat boleh tengoklah 'wajah' sebenar calon BN tu,” kata Tuan Ibrahim.

Kepada Cikgu Mala, Tuan Ibrahim menyeru beliau untuk meneruskan usaha dan perjuangan, kerana rakyat juga akan menilai dan membandingkan sejauh mana beliau akan terus membantu masyarakat, sama ada sewaktu kita menang atau sebaliknya.

“PRU akan menanti anda, dan yakin Islam akan pasti menang,” tambahnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Sementara itu, Cikgu Mala mengucapkan terima kasih kepada kepada semua petugas-petugas, Adun-adun, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan penyokong yang membantunya dalam kempen pilihanraya kecil di Tenang.

“Jangan kita berputus asa dalam berusaha sebelum kita mendapat kejayaan dan jika kita berjaya jangan dilupa pengorbanan mereka di belakang yang banyak memberikan sokongan tidak kira waktu, hari dan perjalanan hidup ini.

Kejayaan bukan milik individu sebaliknya milik jamaah yang mantap. Teruskan berjuang untuk Pilihan Raya Kecil di DUN Merlimau N.27 yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” kata beliau.

Dalam menyuntik semangat kepada Cikgu Mala, Adun Teja, Chang Lih Kang berkata meskipun kalah tetapi beliau sudah berjaya menawan hati ramai rakyat Malaysia.

“Dalam pilihanraya yang akan datang, Tenang akan kita tawan, seperti di Ijok dulu!” kata Chang.

Harakahdaily/-

Silap cetak, Muhyiddin perlu tanggungjawab

26 Safar 1432H.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga menteri pelajaran perlu memberi penjelasan terperinci berhubung kesilapan mencetak 400 ratus ribu buku teks KSSR bahasa Inggeris tahun 1 sehingga menyebabkan buku itu ditarik balik, kata Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.

Beliau dipetik oleh TV Selangor sebagai berkata Muhyiddin selaku menteri yang bertanggungjawab perlu menjelaskan kerugian yang mencecah hampir RM4 juta itu.

"Beliau adalah individu yang bertangungjawab ke atas kesilapan sehingga memberikan kesan implikasi bukan sahaja terhadap pelajar sekolah malah ke atas implikasi ekonomi.

"Ini jelas merupakan satu pembaziran yang membabitkan jumlah wang yang begitu besar, jumlah RM4 juta ini jelas menunjukan timbalan perdana menteri yang juga menteri pendidikan mengambil sikap endah tidak endah.
“Dan sikap melepaskan batuk di tangga dalam usaha kerajaan memberi ingatan kepada rakyat supaya berhemah dan berjimat cermat dalam berbelanja tetapi dalam hal ini wang itu dihabiskan begitu sahaja," kata Shamsul.

Akhbar semalam melaporkan, kementerian pelajaran akan menarik balik hampir 400,000 buku teks KSSR bahasa Inggeris tahun 1sekolah kebangsaan kerana mengandungi pelbagai kesalahan dan menggantikan dengan buku teks cetakan baru, Mac depan.

Harga seunit buku teks KSSR bahasa Inggeris tahun satu adalah RM8.20 dan jika mengambil kira keperluan hampir 400,000 naskah maka jumlahnya mencecah RM4 juta.

Ditanya apa tindakan yang patut diambil kepada pihak terbabit berhubung kerugian ini, Shamsul menegaskan Muhyiddin perlu dipertanggungjawabkan.

Letak jawatan

"Kalau berlaku di mana-mana negara, pada saya dari segi tanggungjawab, sudah pasti menteri berkenaan harus meletakan jawatan dan mengambil sikap tindakan bertanggungjawab kerana ia membabitkan wang rakyat yang begitu besar.

“Sebab itu kami memberi ingatan dan teguran yang keras kepada TPM dengan mengambil mudah jawatan TPM dan juga menteri pelajaran dan jangan sibuk menyerang pembangkang dan sibuk berpolitik.

"Pada saya menteri kewangan, Datuk Seri Najib (Razak) harus mengambil tindakan yang tegas, paling tidak pun memberi kata-dua kepada menteri pelajaran supaya perkara ini tidak berlaku lagi," katanya.

Sementara itu, setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Loke Yim Phang yang juga dihubungi TV Selangor berkata perkara yang menyebabkan kejadian itu masih belum diketahui puncanya sama ada disebabkan kesilapan manusia atau masalah percetakan namun kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku.

"Sesuatu benda itu bila diterbitkan mesti tepat, kerana ia akan menyebabkan pembaziran, kalau kita hendak fokus kepada kualiti asasnya buku yang hendak dikeluarkan perlu ada kualiti.

"Bagi saya kita kena pastikan bahawa dalam proses percetakan sesuatu buku untuk pelajar itu kita tidak boleh lupa kepada kualiti," katanya.

Malaysiakini/-

PRK Tenang perkukuh pemimpin BN hipokrit

26 Safar 1432H.

2011-01-31KUALA LUMPUR, 31 Jan: Pilihan raya kecil Tenang memperkukuhkan lagi anggapan bahawa pemimpin Umno dan BN yang hipokrit dan lidah bercabang, kata Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad (gambar) dalam satu kenyataannya.

"Bercakap dengan orang bukan Islam mereka memberi tahu PAS hendak tegakkan negara Islam, berhadapan dengan orang Islam mengatakan PAS sudah buang negara Islam kerana takut kepada DAP."

Parti Islam Semalaysia (PAS), katanya, mengucap tahniah kepada pengundi dan semua petugas pilihanraya kecil Tenang dari kalangan PAS dan Pakatan Rakyat yang bertungkus lumus untuk membantu calon Pas.

Semua penyokong Pakatan Rakyat bertungkus lumus seolah-olah mereka yang bertanding. Pertolongan yang datang dengan ikhlas tanpa bantuan dan upah, malahan ada di kalangan mereka yang mengeluarkan wang poket sendiri untuk melancarkan jentera pilihanraya, katanya.

"PAS mengucap tahniah dan penghargaan kepada Cikgu Normala Sudirman yang mewaqafkan diri untuk bertanding dalam pilihanraya kecil 31 Jan 2011 untuk mewakili PAS dan Pakatan Rakyat. Penghargaan khusus kepada Cikgu Maaruf yang memberi dorongan dan perangsang kepada Cikgu Normala sepanjang tempoh berkempen," kata Idris.

Tambahnya, isu untuk menjauhkan orang bukan Islam dengan PAS masih gagal walaupun isu salam dan negara Islam. PAS juga berpandangan kempen BN hendak memburukkan perjuangan PAS di hadapan orang bukan Islam gagal.

"Pemimpin Umno yang hipokrit dan lidah bercabang, bercakap dengan orang bukan Islam mereka memberi tahu PAS hendak tegakkan negara Islam, berhadapan dengan orang Islam mereka mengatakan PAS sudah buang negara Islam kerana takut kepada DAP," katanya.

Harakahdaily/-

Pekebun kecil getah mampu peroleh RM15,000 sebulan

26 Safar 1432H.

KOTA BHARU - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memaklumkan pekebun kecil getah yang mengusahakan tanah seluas dua hektar kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM15,000 sebulan.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Ali Nordin Whiduddin berkata, pekebun mampu memperoleh pendapatan harian sebanyak RM496 berdasarkan hasil 80 kilogram getah dijual pada harga RM6.20 sekilogram.

"Pendapatan harian itu adalah bagi kawasan dua hektar yang mereka usahakan...kalau mereka mempunyai kebun yang lebih luas, maka pendapatan mereka juga lebih besar," katanya selepas merasmikan Seminar Mengoperasikan Amanat Ketua Pengarah 2011, di sini, hari ini.

Ali Nordin berkata, kebanyakan pekebun kecil mempunyai tanah seluas dua hektar dan mengusahakannya sendiri berikutan peningkatan harga bahan komoditi itu di pasaran dunia.

"Di Kelantan harga getah lebih tinggi iaitu RM8 sekilogram, bererti pendapatan pekebun kecil di Kelantan lebih banyak, yang kita kira tadi purata harga di peringkat nasional," katanya.-Bernama

Sinar/-

Pelajar, rakyat Malaysia di Mesir selamat

26 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah mengesahkan bahawa semua pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir selamat setakat 4.30 petang ini (waktu Malaysia).

Wisma Putra dalam satu kenyataan menasihati keluarga agar tidak terlalu bimbang kerana kedutaan serta Jabatan Penuntut Malaysia sentiasa memantau perkembangan terkini, selain berhubung dengan pelajar dan rakyat Malaysia berkenaan.

Menurut kenyataan itu, satu pekeliling Nasihat Keselamatan juga dikeluarkan kepada semua rakyat Malaysia bagi mengelak berada di tempat berisiko tinggi tercetusnya rusuhan dan berwaspada setiap masa.

Selain itu, dua bilik operasi ditubuhkan iaitu di Kementerian Luar Negeri, Putrajaya dan di Kedutaan Besar Malaysia, Kaherah.

Ia boleh dihubungi di talian 03-88892746 / 03-88874570 (Putrajaya), dan 00-202-37610013 sambungan 116, atau 00-202-37610164 (Kaherah) dan bercakap dengan Menteri Penasihat Saharudin Hassan, Setiausaha Kedua Samsul Kahar Kamarudin serta Setiausaha Ketiga Iskandar Harman.

Sinar/-

Jangan anggap Felda, kampung tradisi kubu BN

26 Safar 1432H.

TEMERLOH, 31 Jan: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru seluruh jentera parti PAS untuk menghilangkan tanggapan bahawa kawasan Felda dan kampung tradisional merupakan kubu Barisan Nasional.

“Untuk menganggap Felda kubu BN saya kira agak ekstrem kerana PAS pernah menang di kawasan Felda bahkan pada tahun 1999, bila mana PAS menang di kawasan majoriti melayu, ianya termasuk kawasan Felda,” katanya yang diminta mengulas kegagalan PAS menembusi kawasan Felda di pilihan raya kecil Dun Tenang.

Di Tenang, calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman tewas kepada calon Barisan Nasional, Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi. Normala memperolehi 2,992 undi manakalah Azahar memperolehi 6,699 undi.

Apa yang penting, kata Tuan Ibrahim ialah ahli-ahli PAS mesti berperanan dan bergerak secara aktif dalam seluruh aktiviti masyarakat di dalam Felda di samping mempertingkatkan kekuatan cawangan-cawangan PAS di Felda.

“Bahkan keahlian baru di kalangan anak-anak ahli PAS mesti diusahakan. Sikap dan anggapan anak ahli akan kekal bersama PAS mesti dihapuskan, kerana sokongan tanpa menjadi ahli menyebabkan mereka tidak merasai wajibnya memperjuangkan Islam,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tuan Ibrahim juga mengesyorkan bahawa aktiviti pengajian agama di masjid dan markaz di sekitar kawasan Felda perlu digerakkan agar semangat yang ada selari dengan ilmu pengetahuan.

“Kita tidak mahu ahli PAS yang emosi tanpa kawalan ilmu, kerana itu program asas bagi parti seperti usrah, tamrin, muqayyam, dan rehlah mesti dihidupkan kembali,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hasan Tantawi dalam satu kenyataan di Twitter berkata bahawa PAS akan meneruskan perjuangan bersama Pakatan Rakyat di Johor biarpun kalah di Tenang.

“Pakatan Rakyat akan memperbaiki kelemahan, memperbetulkan kesilapan dan mempertingkatkan gerak kerja untuk bangkit menghadapi pilihanraya umum kelak,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Lapan pusat pemindahan banjir di Labis

26 Safar 1432H.

KUALA LUMPUR - Sebanyak lapan pusat pemindahan banjir dibuka di Labis, yang sehingga kini menempatkan 1,317 mangsa bencana itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dalam satu kenyataan di sini, berkata, mereka termasuk pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Seluruh jentera Jabatan Kebajikan Masyarakat di Johor telah diarahkan berada di daerah itu bagi memberi bantuan kepada mereka yang terlibat, katanya.

Sinar/-

1,536 penduduk dipindah


JALAN Utama Labis-Segamat berdekatan simpang Felda Redong-Kampung Lembah Bakti ditutup kepada semua kenderaan akibat dinaiki air menyebabkan kesesakan luar biasa pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, semalam.19 pusat pemindahan dibuka di Segamat, Labis


LABIS: Seramai 1,536 penduduk di Segamat, termasuk 611 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang terpaksa dipindahkan selepas penempatan mereka dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak kelmarin. Setakat jam 4 petang semalam, 19 pusat pemindahan banjir dibuka di Segamat dan Daerah Kecil Labis. Mangsa dalam DUN Tenang ditempatkan di enam pusat pemindahan membabitkan 272 orang di Balai Raya Kampung Lembah Bakti; Sekolah Agama Pekan Air Panas (58); Masjid Jamek Kampung Sawah Baru (70); Balai Raya Paya Dalam (53); Kampung Orang Asli Ulu Juaseh (29) dan Balai Tadika Kampung Orang Asli Segamat Kechil (129).

Bagi penduduk di luar DUN Tenang, 365 orang ditempatkan di Sekolah Agama Kampung Jawa; Balai Raya Felda Pemanis 2 (139); Balai Raya Kampung Batu Badak (94); Balai Raya Kampung Genuang India (81); Balai Raya Kampung Usaha Jaya (70) dan Balai Air Bah Pogoh 2 (67).

Turut dipindahkan 27 penduduk Kampung Sekijang ke balai raya kampung itu; Dewan Serbaguna Gelang Cincin (23); Balai Raya Kampung Paya Pulai (18); Balai Raya Kampung Melayu Raya (16); Sekolah Arab Kampung Gubah (13); Balai Raya Air Bah (7) dan Balai Raya Kampung Simpang Loi (5).

Urusetia Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) pilihan raya kecil DUN Tenang, Superintendan Abdul Aziz Ahmad, berkata polis menyediakan bot membawa pengundi di kawasan terjejas banjir ke pusat mengundi.
Tinjauan Berita Harian mendapati beberapa laluan dalam DUN berkenaan dinaiki air antara 0.3 hingga 0.6 meter, termasuk sekitar Jalan Tenang, Tenang Station, Kampung Sawah Baru, Lembah Bakti, Pekan Air Panas, Felda Tenang, Jalan Segamat-Labis berdekatan Felda Redong, laluan ke Ladang North Labis dan laluan Labis-Yong Peng.

Tinjauan di pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Agama Pekan Air Panas, mendapati pemilih yang berada di situ mula mengundi kira-kira jam 8 pagi dan bersyukur dapat menunaikan tanggungjawab itu dengan sempurna.

Warga emas, Rostam Salleh, 83, berkata walaupun kurang sihat, beliau bersyukur dapat menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin.

Seorang lagi mangsa, Gimbek Md Yassin, 55, berkata mereka dapat mengundi walaupun kini berada di pusat pemindahan.

Sementara itu, kira-kira 100 penduduk daripada 20 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di sini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah, Sabariah Salim berkata, 10 pegawai JKM dibantu dua pegawai daripada Baitulmal bertugas membantu mangsa banjir di Sungai Buntu, Pengerang dan empat kawasan lain di sini.

Katanya, 23 mangsa dari Kampung Sungai Buntu ditempatkan di surau kampung itu, manakala 17 mangsa lain mendapat perlindungan di Balai Raya Kampung Sungai Berangaan, masing-masing 15 lagi mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Semanggar dan Balai Raya Kampung Baru Sungai Telur selain 30 dari Kampung Batu 25, di sini, ditempatkan di Balai Raya Taman Melati. BH/-

Cikgu Mala : Terima kekalahan dan redha.

Normala Sudirman menyampaikan ucapan selepas diumumkan tidak menang dalam cubaan pertamanya sebagai calon PAS PRK Tenang.


26 Safar 1432H.

LABIS : Calon PAS, Normala Sudirman dengan tenang berkata, meskipun kalah pada PRK Dun Tenang, beliau tetap menyifatkan ia satu kemenangan di sisi Allah SWT kerana seluruh jentera parti berani untuk menentang Umno B. Ucapan tersebut dilakukan dihadapan penyokong Pakatan Rakyat di Dataran Cikgu Mala malam tadi selepas SPR mengumumkan kekalahannya ditangan calon BN, Mohd Azahar yang mendapat 6699 undi berbanding Cikgu Mala, 2992 undi.

Beliau juga redha dengan keputusan tersebut kerana beliau telah berazam untuk menjadikan perjuangannya dalam PAS untuk mendapatkan redha Allah.

Hadir sama dalam majlis ceramah tersebut ialah 2 orang Naib Presiden PAS, YB. Salahuddin Ayub dan YB.Dato' Hj Mahfuz Omar serta Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Bin Mohamad.

Pimpinan PAS yang hadir.


Cikgu Mala juga pada kesempatan itu mengucapkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti yang sanggup berkempen bersamanya sejak dia diputuskan menjadi calon.

"Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh jentera parti yang sanggup bersama-sama saya sejak awal saya diumumkan sebagai calon," katanya

"PAS kalah di kawasan kubu kuat Umno adalah perkara biasa," kata Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar yang berucap dalam majlis yang sama.

Namun kata Mahfuz PRK Dun Tenang menyaksikan Umno BN terpaksa berhempas pulas dan menurunkan bala tentera untuk mengekalkan kemenangan mereka di kawasan ini .

BN menang tapi gagal capai majoriti sasaran

26 Safar 1432H.

LABIS, 30 Jan: Meskipun berjaya mempertahankan kerusi Dun Tenang, namun BN gagal mencapai majoriti sasaran iaitu 5,000 undi sebagaimana yang pernah dihasratkan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Calon BN pada PRK Tenang, Mohd Azahar Ibrahim mendapat 6,699 undi manakala calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat, Normala Sudirman atau Cikgu Mala memperolehi 2,992 undi di mana majoriti 3,707 undi.

Keputusan PRK Tenang diumumkan jam 10.03 malam ini oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini.

Sebanyak 10,579 pengundi daripada 14,753 pemilih berdaftar atau 71.8 peratus bagi PRK Dun Tenang keluar menunaikan tanggungjawab sehingga proses pengundian ditutup 5 petang dalam keadaan hujan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)menyifatkan jumlah peratusan itu lebih rendah berbanding pilihan raya umum 2008 iaitu 73.52 peratus.