KUALA LUMPUR, 2 Nov (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak akan cuba menambahkan pendapatannya melalui peningkatan pengutipan hutang cukai tanah yang lapuk dan tender terbuka kepada sebahagian konsesi balak, kata Menteri Besar Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin. "Bagi tahun 2009, pendekatan bajet adalah perbelanjaan yang cukup berhemah," kata beliau dalam blognya, kamparinn.blogspot.com
Belanjawan kali ini, kata beliau, masih mengalami defisit namun ternyata ianya dikurangkan jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan pembentangan bajet di tahun-tahun sebelum ini. "(Bajet) yang sudah menyaksikan bajet defisit sekitar RM35 hingga RM40 juta setahun oleh kerana perbelanjaan yang melangkaui perolehan," katanya.
Sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada 10,11 dan 12 November ini akan menyaksikan buat pertama kalinya pembentangan bajet oleh kerajaan PR.
Pendekatan berteraskan perbelanjaan berhemah itu dilihat selaras dengan pesanan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah yang menekankan pendekatan bijak dan berkesan dalam menghadapi kemelut dan krisis kewangan serius yang dihadapi dunia pada masa ini.
"Dunia hari ini sedang menghadapi kemelut dan krisis ekonomi yang serius mengakibatkan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Keadaan ekonomi dunia yang sedemikian turut mempengaruhi persekitaran ekonomi di negara ini.
"Jika krisis dan kemelut kewangan ini tidak berjaya ditangani secara bijak dan berkesan, dibimbangkan iklim ekonomi yang suram akan berpanjangan... pertumbuhan dan pembangunan ekonomi akan terjejas. Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi akan terjejas, pelaburan bukan sahaja tidak berkembang malah mungkin menguncup, peluang pekerjaan baru tidak dapat diwujudkan malah dibimbangkan akan berlaku pemberhentian kerja," titah baginda pada persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP) ke-163 baru-baru ini.
Raja Dr Nazrin Shah mahu sumber ekonomi dan sumber kekayaan dibangun dan dimajukan secara bijak serta diuruskan secara amanah lagi telus serta diagihkan secara adil dan saksama untuk manfaat ummah keseluruhannya.
Baginda menekankan supaya dihentikan program-program berbentuk kosmetik dan tidak produktif._ sumber dipetik dari HarakahDaily