13 April 2013

Polis marin patahkan cubaan seludup rakyat Iraq

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


SHAH ALAM: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Pelabuhan Klang mematahkan cubaan menyeludup keluar 17 rakyat Iraq apabila menahan dua bot pancung di Sungai Chondong Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, semalam. 

Mereka yang terdiri daripada 12 lelaki, seorang wanita dan empat kanak-kanak berusia sembilan hingga 50 tahun itu memasuki negara ini secara sah sebulan lepas dan dipercayai ingin ke negara ketiga melalui Indonesia. 

Malaysia dijadikan sebagai negara transit, kata Pegawai Pemerintah Markas Operasi PGM, Deputi Superintendan Norzaid Muhammad Said. 

Beliau berkata, pasukan polis marin yang sedang menjalankan Ops Pensura dengan maklumat risikan yang diperolehi menahan dua bot tidak bernombor itu pada jam 9.30 malam. 

"Semasa bot itu dihampiri, dua tekong warga Indonesia bertindak pantas dengan terjun ke laut untuk meloloskan diri tetapi seorang daripada mereka berusia 42 tahun berjaya ditahan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau berkata, hasil siasatan awal, polis percaya rakyat asing itu membayar antara RM700 hingga RM900 seorang kepada sindiket penyeludupan manusia itu. 

“Kesemua yang ditahan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (Pindaan 2010) itu dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PGM di Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut,” katanya. - BERNAMA 

Menteri Besar Johor PR hanya akan berkhidmat selama dua penggal

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


PR melancarkan 'Manifesto Rakyat Johor' hari ini. - Gambar oleh Saw Siow Feng
JOHOR BARU, 13 April — Pakatan Rakyat (PR) dalam manifesto khusus mereka untuk Johor hari ini berikrar untuk menghadkan perkhidmatan jawatan Menteri Besar maksimum hanya untuk tempoh dua penggal bagi mengekang gejala korupsi dan rasuah.

Ikrar yang dimasukkan ke dalam “Manifesto Rakyat Johor” dengan tema “Johor Maju dan Berkebajikan” itu, PR turut menegaskan atas prinsip akauntabilti, integriti, dan keadilan perkara itu perlu bagi mencapai matlamat rasuah sifar yang dilaungkan pembangkang tersebut.
“Ini salah satu cadangan yang paling bersejarah sebab jawatan menteri besar itu dihadkan kepada dua penggal sahaja ... macam presiden Amerika.
Lim Kit Siang dan Nik Aziz melancarkan 'Manifesto Rakyat Johor' di New York Hotel, Johor Baru.
“Sebab kita merasakan mereka yang memegang kuasa terlalu lama akan cenderung untuk melakukan 'power corrupt',” kata Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau ketika berucap dalam majlis pelancaran manifesto berkenaan di Hotel New York di bandaraya ini.

Datuk Abdul Ghani Othman, yang merupakan menteri besar sebelum ini telah menerajui Johor selama empat penggal bermula Mei 1995.
Bagaimanapun, desas-desus untuk menggantikan menteri besar di negeri deposit tetap Umno dan Barisan Nasional (BN) itu telah kedengaran apabila terdapat beberapa calon yang dikatakan sedang dipertimbangkan kepimpinan Pusat BN.
Sebelum Abdul Ghani, Johor sejak 1886 telah memiliki 14 menteri besar.
Selain tawaran berkenaan dan pembasmian rasuah, PR juga mengemukakan beberapa bantuan kewangan dan insentif dalam usaha mereka menarik sokongan pengundi Johor yang selama ini menjadi pengundi setia kepada BN seperti bantuan perumahan, pewujudan Ladang Sejahtera, gaji minimum RM1,100 untuk penjawat awam Johor dan 40,000 peluang pekerjaan dalam masa dua tahun untuk rakyat Johor.
Menegaskan isu jenayah menjadi ancaman terbesar Johor, penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mencadangkan PR supaya memasukkan tiga perkara lagi ke dalam manifesto PR iaitu, membasmi jenayah, rasuah, dan pemantapan institusi pendidikan.
PR jelasnya akan memastikan bandaraya Johor Bahru akan bebas daripada “kartel jenayah” sekiranya pembangkang itu memerintah.
“Apa Isu utama di Johor? ... masalah jenayah, ibu kota jenayah, “kartel crime” kita tidak akan biarkan ia berleluasa.
“Kita mahu jadikan Johor Bahru jadi bandar selesa,” katanya yang juga merupakan anak jati Batu Pahat ketika berucap dalam pelancaran tersebut.
Malah, selain bantuan insentif turut ditawarkan kepada komuniti beragama Islam, PR juga turut menawarkan pemartabatan hak bukan Islam di Johor melalui pewujudan portfolio khas hal ehwal bukan Islam dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
The Malaysian Insider/-

Ismail Ibrahim: Dua kelainan PRU13

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


PRU13

PRU13
PRU13 mengalami dua kelainan. Pertama seperti yang digambarkan oleh tajuk media: PRU13 dijangka paling sengit dalam sejarah negara. Kedua, sungutan beberapa pihak: Tempoh kempen terlalu lama.

Sebenarnya kedua-dua sungutan atau pandangan ini telah berlaku amat lama sudah. Keadaan tegang dan pertelagahan hebat telah pun berlalu sejak lama iaitu sesudah selesainya PRU12 dulu lagi, "peperangan" di antara parti yang berlawanan telah bermula, dan nampaknya tidak pernah reda atau terdapat tanda-tanda akan berhenti.

Cuma kebenarannya mungkin betul iaitu memanglah keadaan akan menjadi semakin marak dan panas, segala kata nesta dan tuduh-menuduh akan menjadi semakin bertambah dan membesar. 

Gendang raya yang dipalu selama ini tiba-tiba menjadi gendang perang yang amat gempila sekali seperti helilintar membelah bumi.

Kelainan yang kedua sekurang-kurangnya dibandingkan dengan PRU12 lalu ialah tempoh masa untuk berkempen agak panjang kali ini, 15 hari dibandingkan 13 hari PRU yang baru lalu. Hal ini menjadi terlalu lama bagi orang yang telah biasa dengan sekali dua PRU yang lalu, tetapi bagi orang yang selama ini mencari kesalahan SPR, termasuk tempoh berkempen yang dikatakan terlalu singkat, maka tempoh tersebut yang telah dipanjangkan tentulah disambut baik, win-win...

Sebenarnya kedua-dua kelainan ini mungkin ada positif dan negatifnya, hanya masyarakat dan rakyat negara kita sendiri yang akan menentukannya.

Hubungan tempoh kempen yang lebeh lama dengan keadaan yang sengit bagi PRU kali ini ialah meningkatnya ketegangan diantara rakyat, terutamanya bagi penyokong-penyokong parti politik yang bermusuhan. 

Pasukan keselamatan tentulah terpaksa menggandakan kerahan tenaga dan bilangan anggotanya di seluruh negara. Ujian yang paling getir tentulah akan mencabar pasukan keselamatan kali ini, terutamanya kerana selama ini PRU tidaklah sesengit ini.

Namun apa-apa pun, ketegangan dan kepanasan suasana yang berlaku harap-harap tidaklah membawa kepada kekacauan yang melampaui sempadan yang selama ini menjadi amalan dan budaya kita, iaitu persaingan secara aman dan terkawal.

Kita bimbang bahawa rakyat kita yang telah dilatih dan diajak berdemonstrasi secara kekerasan yang agak melampaui batas-batas susila dan kesopanan budaya dan adab kita, kali ini akan membawa semangat itu ke dalam gelanggang negara kita semasa kempen dan hari mengundi nanti, sungguh pun kita percaya bahawa pasukan keselamatan kita akan mengawalnya.

Di beberapa buah negara lain, kita sering menyaksikan keganasan ketika berlangsungnya pilihan raya seperti ini yang membawa kepada keganasan berdarah dan mengorbankan nyawa rakyat. Gejala tidak bertamadun ini seolah-olah telah menjadi satu aliran biasa ketika rakyat negara ketiga menghadapi pilihan raya.

Terdapat tembakan yang membunuh calon, yang memeras ugut, pertempuran bersenjata dan sebagainya.

Budaya Melayu dan Islam selama ini menguasai bangsa dan rakyat kita, dan kerana itulah budaya bertolak ansur, bertimbang rasa, mampu membentuk pembangunan bangsa kita selama ini, sehinggakan negara kita yang agak unik dengan komposisi kaum dan agama yang pelbagai ini masih dapat hidup dan bergerak dalam aman damai dan harmoni sekali.

Oleh itu, percikan budaya asing dan tidak beragama dan beradat seperti yang berlaku di beberapa buah negara lain, dan yang kelihatan percikannya di dalam negara kita ini, haruslah kita  awasi, dan saya percaya para aktivis politik dan kepimpinan parti politik haruslah menunjukkan contoh teladan yang baik dalam hal ini.
Keamanan dan kesejahteraan mengambil masa yang lama untuk ditegakkan sehingga menjadi budaya kita rakyat negara ini.
Tetapi keganasan dan kebiadaban akan dapat merosakkan kesejahteraan itu dalam masa yang amat singkat sekali. Jangan kerana perebutan kuasa politik dan kepentingan kelompok yang sempit akan membawa kepada kehancuran dan kehilangan tamadun bagi negara dan rakyat yang tercinta ini.

Itulah harapan rakyat yang bermoral dan bersopan, yang cintakan perdamaian dan keamanan, yang cintakan budaya bangsa dan ajaran agamanya yang suci. Inilah juga sebenarnya cabaran yang akan melanda negara kita ini, terutamanya oleh tangan-tangan luar yang cemburukan kemajuan dan pembangunan negara kita dalam semua aspek selama ini. 

Malah inilah kemuncak segala konfrontasi dan kecaman yang selama ini dilemparkan kepada pemerintah dan agensi-agensinya yang tidak mempunyai kaitan dengan politik, namun telah dipolitikkan sebegitu rupa sehingga meninggalkan persepsi yang salah di dalam kepala rakyat kita tentang jentera kemanan, pembangunan ekonomi, pendidikan dan dasar pelajaran, pertahanan negara dan  seluruh jentera Kerajaan, seolah-olah semuanya korup dan tidak berwibawa..

Rakyat yang rasional, berfikiran waras dan tidak terpengaruh dengan emosi sempit saja yang benar-benar dapat memahami hal ini. Harap-harap golongan ini merupakan kumpulan majoriti rakyat kita, yang akan mengatasi golongan fanatik melulu, tanpa ilmu dan hikmah... Amin, Amin Ya Rabbal 'Alamin...

* Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim

Sinar/-

Lelaki dakwa ditampar, disepak pemimpin kanan Umno

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Satu laporan polis telah dibuat terhadap seorang pemimpin kanan Umno yang didakwa menampar dan menyepak seorang lelaki minggu lepas.

top umno leader assault polis report.jpgMenurut laporan itu yang dilihat oleh Malaysiakini,kejadian itu 
berlaku di Putrajaya pada 5 April pada sekitar jam 11.30 pagi dan laporan itu dibuat pada jam 5.13 petang.

Pengadu itu mendakwa kejadian itu berlaku ketika dia pergi ke pejabat pemimpin Umno itu untuk meluahkan maalah yang dihadapinya.

"Sebaik saja saya masuk ke pejabat (pemimpin Umno itu) terus menampar muka saya sebanyak lebih kurang lima kali dan menyepak bahagian belakang badan saya.

"Saya tidak tahu mengapa beliau bertindak sedemikian terhadap saya.

"Saya telah mengalami kesakitan di bahagian muka dan belakang badan saya tetapi tiada sebarang kecederaan ataupun luka yang saya alami," laporan polis itu dipetik.

"Tujuah saya buat laporan polis ini adalah untuk melindungi diri dan takut sekiranya saya diapa-apakan di kemudian hari. 

"Laporan polis dibuat oleh saya tanpa dipaksa oleh mana-mana individu," kata lelaki berusia 50 tahun itu.

Ketika dihubungi, balai polis di mana laporan itu dibuat mengesahkan menerima aduan tersebut.

Malaysiakini  tidak menyiarkan identiti pemimpin Umno tersebut sementara menunggu untuk mendapatkan komennya.

Malaysiakini/-

Najib belanja RM609,000 sehari di Twitter

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



Najib Razak belanja RM609 ribu sehari promosi #ManifestoBN di twitter.

Ia dikesan oleh blogger Milo Suam.


Dalang pemfitnah Mustafa dikesan

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -




Blogger Era Pasca mendakwa beliau dapat mengesan siapakah dalang di sebalik penyebaran dan pembikinan video yang memfitnah Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sebelum ini, Mustafa telah menyerahkan kepada peguamnya untuk mengendalikan kes ini.



Najib beri jaminan proses PRU13 berjalan lancar

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Najib Tun Razak

Najib Tun Razak bersalaman bersama orang ramai ketika hadir pada Majlis Penghargaan Op Daulat oleh Perdana Menteri di Felda Sahabat 16 di Lahad Datu, hari ini. - Foto Bernama
LAHAD DATU - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia termasuk yang tinggal di kawasan pantai timur Sabah bahawa proses pilihan raya umum ke-13 akan berjalan lancar.
Sehubungan itu, perdana menteri menasihatkan rakyat Malaysia supaya keluar mengundi bagi melaksanakan hak demokrasi mereka pada 5 Mei ini tanpa rasa resah ataupun takut demi menentukan destini mereka.
"Ketua Polis Negara dibantu oleh ATM (Angkatan Tentera Malaysia) akan menjamin proses ini (pilihan raya) berjalan (lancar) dan hak mereka mengikut perlembagaan negara akan dilunaskan seperti mana yang diharapkan.
"Janganlah kerana kekhuatiran dan ketakutan, mereka tidak keluar mengundi sebab niat jahat pihak pengganas ini ialah untuk menakutkan kita. Kalau kita berani, niat mereka itu tidak akan tercapai," katanya berucap merasmikan Majlis Penghargaan Operasi Daulat di Dewan Desa Kencana, Felda Sahabat 16, di sini hari ini.
Sehubungan itu Najib mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menunjukkan keberanian dan semangat juang tinggi seperti dilakukan anggota keselamatan yang sanggup melakukan pengorbanan mutlak menghadapi pengganas demi kedaulatan negara dengan keluar menunaikan hak mereka di bawah perlembagaan negara.
Katanya rakyat Malaysia perlu membuat keputusan sebaik-baiknya dan tepat serta memihak dan memberi sokongan kepada parti yang boleh memberi jaminan keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara.
Perdana menteri turut mengajak rakyat untuk berfikir mengenai tindak-tanduk pihak yang merendahkan moral dan memperlekehkan anggota keselamatan dengan mendakwa kononnya anggota keselamatan terlibat dalam sandiwara dengan pihak pemerintah serta mempertikaikan kesyahidan wira negara yang gugur meskipun Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan mereka mati syahid.
"Soalnya apakah mereka ini boleh diharapkan menjamin keamanan dan kedaulatan negara Malaysia kita yang tercinta, apatah lagi kalau dari segi tindakan-tindakan yang mereka lakukan menimbulkan banyak rasa kecurigaan di kalangan rakyat.
"Saya tampilkan persoalan ini kepada tuan-tuan dan puan-puan khususnya rakyat Malaysia di Sabah ini. Fikirlah sebaik-baiknya kerana soal keamanan dan keselamatan serta kedaulatan adalah tanggungjawab kita bersama dan tanggungjawab ini juga melibatkan memilih sebuah kerajaan yang boleh menjamin apa yang diharapkan oleh kita," katanya.
Najib turut mengucapkan selamat berjuang kepada anggota keselamatan dan berkata kerajaan berdiri teguh di belakang mereka serta akan sedaya upaya menyalurkan bantuan kewangan untuk menjamin operasi anggota keselamatan berjaya sepenuhnya. - Bernama

Mahathir: Saya tidak tanding, cuma bantu BN

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Mahathir: Saya tidak tanding, cuma bantu BN

Orang ramai mengambil kesempatan bersalaman dengan Dr Mahathir semalam.
PENDANG - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) meskipun ada yang mengatakan beliau kemungkinan turun gelanggang kerusi Parlimen Putrajaya.

Kenyataan itu sekali gus menamatkan desas-desus kononnya beliau akan bertanding di Putrajaya menentang Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa.

“Saya sudah buat keputusan tidak akan bertanding lagi. Cuma nak tolong Umno dan Barisan Nasional (BN) sebab rasa terima kasih kepada parti yang melantik saya sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat.

“Saya nak kempen saja. Itu sebagai tanda balas budi kita kepada jasa Umno dan BN,” katanya selepas menyempurnakan himpunan rakyat peringkat Parlimen Pendang di sini, hari ini.

Mengulas kenyataan seorang pemimpin PR yang memintanya tidak memberi sebarang kenyataan kerana tidak ada jawatan dalam parti, Dr Mahathir berkata, kenyataan itu adalah tidak bertanggungjawab.

“Saya cuma amalkan kebebesan bersuara, saya ada hak. Dia tiada hak untuk halang saya daripada bercakap,” katanya.

Sinar/-

Geng Ah Soon diberkas

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Geng Ah Soon diberkas

Amiruddin (dua, kanan) menunjuKkan senjata dan barangan dirampas.
AMPANG – Polis berjaya menyelesaikan sebanyak 15 kes pecah rumah di sekitar Lembah Klang dan merampas tujuh kereta mewah bernilai lebih RM1.5 juta selepas menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali ‘Geng Ah Soon’.

Turut ditahan, tiga ahli kumpulan terbabit termasuk ketua mereka, Ah Soon.

Tangkapan dibuat susulan siasatan ke atas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier ditinggalkan ahli geng itu di Jalan Chan Sow Lin pada 4 April lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, tiga suspek itu ditahan selepas polis mengesan sebuah kereta Toyota Camry berlegar dalam keadaan mencurigakan di kawasan Bukit Antarabangsa, di sini, Isnin lalu.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kereta suspek menemui pelbagai peralatan pecah rumah, sebilah parang panjang, komputer riba, walkie-talkie dan beberapa set kunci kereta.

“Kita kemudiannya menyerbu rumah suspek dan menemui 13 kunci pelbagai jenis kereta serta sebuah kereta Proton Waja dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 17 Mac lalu.

“Serbuan kedua dibuat di sebuah rumah di Serdang dan kita menemui sebuah kereta Mercedes Benz C200 dipercayai digunakan suspek semasa melarikan diri dalam kejadian di Jalan Chan Sow Lin,” katanya.

Amiruddin berkata, kereta Mercedes Benz C200 itu dilaporkan dicuri di Wangsa Melawati pada 2 April lalu.

Menurutnya, polis kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah di Seri Kembangan pada Selasa lalu dan menahan empat lelaki serta seorang wanita tempatan berusia antara 24 hingga 39 tahun yang dikenal pasti mempunyai kaitan dengan Geng Ah Soon.

"Hasil soal siasat, polis menemui sebuah kereta Proton Perdana dan Toyota Altis di tempat letak kereta di Jalan Sungai Besi serta sebuah kereta BMW 320i di Batu 9, Cheras, kelmarin.

“Dengan penahanan lapan suspek itu, kita berjaya selesaikan 15 kes pecah rumah dan melarikan kenderaan di sekitar Lembah Klang. Semua suspek didapati positif dadah itu direman sehingga Isnin depan," katanya.

Sinar/-

MB Khalid calon kerusi DUN Pelabuhan Klang

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Menteri Besar sementara Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dipilih oleh kepimpinan PKR untuk bertanding kerusi DUN Pelabuhan Klang.

azlanMengumumkannya di Twitter hari ini, penyandang kerusi DUN 
Ijok itu berkata beliau berminat untuk berpindah ke Pelabuhan Klang, tetapi ia bergantung kepada sama ada penduduk tempatan boleh menerimanya di sana.

Katanya, kepimpinan PKR berharap calon heavyweight boleh memenangi keyakinan pengundi dan beliau telah diberi tanggungjawab untuk bertanding di sana.

Menurut Abdul Khalid, beliau akan menemui penyokong di Pelabuhan Klang esok dan jika mereka menyokong beliau bertanding di sana, beliau akan berusaha untuk mendapat kemenangan lebih besar untuk Pakatan Rakyat.

Bagi kerusi Ijok yang disandangnya sekarang, Khalid mencadangkan Idris Ahmad - seorang aktivis reformasi dan anak tempatan - diletak bertanding di situ.

Abdul Khalid berharap penyokong Ijok akan terus menyokong calon yang dipilih oleh kepimpinan dan beliau mengucapkan terima kasih atas segala sokongan dan bantuan mereka kepadanya.

Abdul Khalid, yang juga akan mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak berkata, Pakatan telah membuat kesilapan dalam pilihan raya umum lalu dengan memilih seseorang untuk bertanding kerusi Pelabuhan Klang tetapi akhirnya berpaling tadah.

Sehubungan itu, katanya, beliau mahu menebus kesilapan Pakatan dengan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengundi Pelabuhan Klang.

Malaysiakini/-

Rumah ditembak bertalu-talu

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Rumah ditembak bertalu-talu

Polis mengawal sekitar rumah ahli perniagaan di Jalan Serindik, Temerloh ketika siasatan dijalankan pagi semalam.
TEMERLOH – Sebuah rumah milik ahli perniagaan di Jalan Serindik, di sini, ditembak bertalu-talu dua lelaki bermotosikal ketika mangsa keluar berjoging di sekitar kawasan kediamannya, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, dua lelaki memberhentikan motosikal di hadapan rumah mangsa tanpa mematikan enjin lalu melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai sebuah daripada tiga kereta milik mangsa.

Tembakan rambang itu turut mengenai tiang batu dan pintu pagar besi rumah banglo dua tingkat tersebut.

Seorang saksi enggan dikenali berkata, semasa kejadian, dia baru selesai menonton perlawanan bola sepak di televisyen bersama rakan di dalam kedai makan miliknya.

Menurutnya, ketika perlawanan hampir tamat, rakannya pulang dan dia bersiap-siap mengemas bahagian hadapan kedai.

“Ketika itu televisyen masih terpasang, saya nampak dua lelaki bermotosikal berhenti di hadapan rumah mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan.

“Kedua-dua lelaki itu kemudian menunggang semula motosikal dan dalam keadaan selamba berlalu tanpa tergesa-gesa,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam mendapati, pasukan polis melakukan siasatan menyeluruh di tempat kejadian.

Turut kelihatan, Ketua Polis Daerah Temerloh, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh dan pegawai bahagian siasatan jenayah daerah.

Abdul Aziz enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan dan memaklumkan kepada beberapa petugas media, satu sidang akhbar berkaitan kejadian akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Sinar/-

Stor barangan plastik terbakar

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Stor barangan plastik terbakar

Anggota bomba membantu memindahkan barang keluar dari kilang plastik yang terlibat dalam kebakaran, malam kelmarin.
IPOH - Bahagian stor penyimpanan barangan plastik kepunyaan sebuah kilang di kawasan Perindustrian Pengkalan, di sini musnah dalam kebakaran yang berlaku lewat malam kelmarin.

Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada kecuaian beberapa pekerja yang menyelenggara dapur masakan yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, beberapa pekerja sedang berehat berhampiran kilang sebelum menyedari api mula marak di kawasan berkenaan.

Kebakaran itu mengakibatkan puluhan tan guni berisi botol dan bahan industri berasaskan plastik terbakar.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Khairil Adli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.41 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba Pasir Putih tiba di tempat kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

Menurutnya, tiga jentera dari Balai Bomba Ipoh, Simpang Pulai dan Batu Gajah turut dikerah bagi membantu memadam kebakaran.

“Seramai 27 anggota bomba dibantu anggota bomba Sukarelawan Kampung Pinji berusaha memadamkan kebakaran yang mengakibatkan asap tebal memenuhi kawasan itu.

“Usaha memadamkan kebakaran mengalami kesukaran apabila membabitkan timbunan bahan plastik yang mudah terbakar menyebabkan api mampu dikawal sekitar jam 12.39 pagi semalam namun, kebakaran itu masih gagal dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Kata beliau, kejadian itu menyebabkan anggota bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan jentera ‘fork lift’ untuk memindahkan beratus guni berisi bahan plastik bagi mengelakkan kebakaran terus merebak ke kilang berhampiran.

Jelasnya, anggota bomba bertungkus-lumus lebih tujuh jam untuk memadamkan api akibat masalah tekanan air rendah.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian serta kerugian masih disiasat,” katanya.

Sinar/-

Trauma kepala dipukul besi

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Trauma kepala dipukul besi

Li Yew (kanan) menunjukkan bekas kecederaan di kepala Jun Leong.
RAWANG - Seorang pelajar lelaki tingkatan 4 terpaksa menerima lima jahitan di bahagian kepala dalam kejadian cubaan ragut di Taman Bukit Rawang Jaya, baru-baru ini.

Mangsa, Ng Jun Leong berkata, ketika kejadian jam 4.30 petang itu dia bersama rakannya sedang menunggu bas berhampiran rumahnya sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal.

Menurutnya, suspek meminta dia menyerahkan telefon bimbitnya namun dia enggan menyebabkan suspek bertindak agresif memukul kepala mangsa menggunakan sebatang besi.

“Selepas dipukul, saya lari ke rumah manakala kedua-dua lelaki berkenaan lari.

“Saya tidak mengenali suspek berkenaan dan berkemungkinan orang luar,” katanya ketika menerima kunjungan Ketua Pemuda Selayang, Lee Li Yew.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Li Yew meminta orang awam lebih berhati-hati berikutan banyak kes samun kebelakangan ini.

“Langkah pencegahan dan laporan polis perlu dibuat untuk tujuan rekod kadar jenayah di sesuatu kawasan,” katanya.

Sinar/-

Rakyat Venezuela di Asia Tenggara mengundi presiden Ahad ini

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Kira-kira 120 rakyat Venezuela di tiga negara Asia Tenggara iaitu Malaysia, Brunei dan Thailand, akan mengundi bagi memilih presiden negara mereka Ahad ini. 

Bercakap kepada Bernama, Duta Besar Venezuela ke Malaysia, Manuel Guzman berkata, pada pilihan raya presiden Oktober lalu, pengundi Venezuela di rantau ini hanya berjumlah 87 orang. 

Setiausaha Kedua kedutaan Venezuela di sini, Mina Perez berkata, 120 pengundi berkenaan adalah mereka yang berdaftar dengan kedutaan itu dan terdiri daripada mereka yang memiliki permit kerja serta ekspatriat dan keluarga masing-masing. 

"Kedutaan ini akan dibuka dari 6 pagi hingga 6 petang untuk membolehkan mereka mengundi," katanya. 

Kira-kira 18 juta rakyat Venezuela akan mengundi Ahad ini bagi memilih presiden baharu, berikutan kematian Hugo Chavez akibat kanser pada 6 Mac lalu. 

Chavez menyandang jawatan presiden selama 14 tahun. Beliau dipilih semula ke jawatan itu Oktober lalu, tetapi tidak dapat mengangkat sumpah jawatan yang dijadualkan pada 10 Januari kerana masalah kesihatan. 

Guzman berkata, pilihan raya itu akan menyaksikan calon Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV), Nicolas Maduro, yang juga pemangku presiden, dan calon pembangkang, Henrique Capriles, bertanding untuk jawatan berkenaan. 
Katanya, suasana politik di negara 29 juta penduduk itu kini stabil hasil amalan demokrasi, yang memperuntukkan kebebasan akhbar dan kempen pilihan raya secara aman. 

Guzman berkata, pilihan raya itu perlu diadakan untuk membolehkan kerajaan terus menambah baik kualiti hidup rakyat melalui program transformasi dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan perumahan. 

Katanya, rakyat Venezuela kini semakin sedar tentang hak mereka, terutama hak dari segi politik dan sosial. 

Ditanya tentang rancangan Maduro sekiranya beliau menang, Guzman berkata, pemangku presiden itu akan meneruskan projek yang sedang dilaksanakan bersama negara yang diberi keutamaan oleh mendiang Chavez seperti Malaysia, China dan Vietnam. 

Katanya, kerajaan negara itu sedang mengkaji untuk meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang pendidikan dan pelancongan memandangkan kedua-dua negara memiliki potensi besar dalam sektor itu. 

Mengenai pelancongan, Guzman berkata, Venezuela memiliki landskap menarik, yang ingin beliau promosikan kepada rakyat Malaysia. 

"Kami mempunyai gunung-ganang yang diselimuti salji, pantai yang indah di utara dan hutan di selatan, yang pasti menarik minat rakyat Malaysia," katanya. 

Guzman berkata, Malaysia pula memiliki pengalaman luas dalam projek pembinaaan infrastruktur dan perniagaan, yang beliau percaya memberi kelebihan kepada negara ini untuk merebut peluang pelaburan di Venezuela.

Mengenai kerjasama dalam bidang akademik, Perez berkata, kerajaan Venezuela sedang mengkaji kemungkinan untuk mengadakan program pertukaran pensyarah antara universiti Venezuela dan Malaysia. 

"Setakat ini, kami menjalin hubungan dengan Lim Kok Wing University, yang menawarkan biasiswa kepada pelajar Venezuela yang menuntut di situ. Mereka juga meminta profesor Venezuela datang ke Malaysia," katanya. 

Perez berkata, kedutaan itu juga mengadakan kelas bahasa Sepanyol secara percuma untuk rakyat Malaysia yang bertugas di institusi kerajaan. 

Katanya, rakyat Malaysia kini semakin meminati budaya Amerika Latin, termasuk bahasa Sepanyol, tarian Salsa dan telenovela. - BERNAMA 

Batu Gajah bandar kereta api menjelang 2020

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


BATU GAJAH - Batu Gajah yang wujud sekitar tahun 1870an sebagai sebuah perkampungan besar di pinggir Sungai Kinta kini berubah wajah menjadi tumpuan sektor perindustrian, perniagaan serta perkhidmatan swasta dan kerajaan.
Bandar yang suatu ketika dulu berkait rapat dengan industri bijih timah, sedang berkembang secara berperingkat-peringkat ketika ini dan menjadi tumpuan pelabur termasuk dalam sektor pengangkutan.
Kini, ledakan teknologi dalam sektor pengangkutan akan menjadikan Batu Gajah sebagai 'Bandar Kereta Api' dalam tempoh tujuh tahun lagi sekaligus menjadikan Malaysia sebagai hab industri rel di rantau ASEAN.
Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah Datuk Jamry Sury berkata pembangunan infrastruktur kereta api yang bernilai tinggi dan moden telah bermula dengan kehadiran syarikat gergasi lokomotif dari China yang akan membangunkan kemudahan membina lokomotif dan rel.
"Kejayaan kerajaan Persekutuan membawa masuk pelaburan yang besar ini juga merupakan kejayaan mereka dalam merealisasikan agenda pembangunan negara," katanya kepada Bernama.

Projek bernilai besar ini juga akan membantu proses transformasi Batu Gajah mengikut peredaran zaman yang mana pada peringkat awal kegiatan ekonomi hanya berkait rapat dengan perlombongan bijih timah pada penghujung 1800-an.

Majlis pecah tanah projek syarikat China South Locomotive & Rolling Stock Corp Ltd di atas tapak seluas 16.8 hektar dengan pelaburan fasa pertama bernilai RM400 juta itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa lepas.
Fasa kedua projek berkenaan dijangka melibatkan pembangunan enjin lokomotif dan rel pada masa depan.
Jamry berkata aktiviti perniagaan lokomotif dan rel dijangka terus berkembang mulai tahun depan dengan penghasilan produk-produk untuk dipasarkan di dalam dan luar negara.
Setakat ini, Batu Gajah telah mempunyai dua komponen yang menyokong bandar ini sebagai 'Bandar Kereta Api' iaitu kewujudan Akademi Keretapi Malaysia yang telah ditubuhkan sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi swasta, katanya.
Beliau berkata akademi itu menawarkan pelbagai program latihan, pendidikan dan pembangunan untuk pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan terbuka kepada sesiapa yang berminat.

Di sini juga terdapatnya stesen perkhidmatan KTMB antara bandar yang terletak di Kampung Pisang, Batu Gajah.

Jamry berkata lebih 800 peluang pekerjaan  kemahiran teknologi tinggi, bakal ditawarkan kepada penduduk Batu Gajah, Gopeng dan Ulu Kinta apabila kemudahan membina lokomotif dan rel siap pada April tahun depan.
Beliau berkata ini selari dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan konsep pekerjaan berpendapatan tinggi yang mana negara perlu berubah daripada aktiviti ekonomi yang bernilai rendah kepada aktiviti yang bernilai tinggi.
"Saya harap penduduk di kawasan ini akan merebut peluang pekerjaan yang bakal dicipta dengan sentiasa mempertingkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan seiring dengan kehendak syarikat berkenaan," katanya.
Jamry berkata projek berkenaan turut memberi manfaat kepada sektor perniagaan dan perkhidmatan seperti pembekal bahan binaan, insuran, runcit, makanan dan syarikat keselamatan. - Bernama

Senarai calon Pas Parlimen, Dun Johor

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


PRU13

PRU13
JOHOR BAHRU - Berikut senarai calon Pas yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) di Johor pada pilihan raya umum ke-13:
    
    Parlimen
   
    Pagoh           : Mohd Rozali Jamil Al-Hafiz
    Parit Sulong   : Khairuddin Abdul Rahim
    Ayer Hitam      : Hu Pang Chaw
    Simpang Renggam : Suhaizan Kaiat
    Mersing         : Roslan Nikmat
    Tenggara        : Muhamad Said Jonit
    Kota Tinggi     : Onn Jaafar
    Pulai           : Salahuddin Ayub
    
    
    

  Dewan Undangan Negeri
 
    Buloh Kasap    : Firdaus Masod
    Pemanis        : Normala Sudirman
    Tenang         : Mohd Zin Johar
    Jorak          : Norhayati Bachok
    Gambir         : Datuk Dr Mahfodz Mohamed
    Serom          : Azmi Ahmad
    Sungai Abong   : Dr Sheikh Ibrahim Salleh
    Maharani       : Dr Mohammad Taslim
    Sungai Balang  : Malik Mohamad Diah
    Sri Medan      : Ahmad Rosdi Bahari
    Semarang       : Ilyas Abu Bakar
    Parit Yaani    : Aminolhuda Hassan
    Parit Raja     : Noor Khalim Sakib
    Senggarang     : Dr Mohd Ramli Md Kari
    Rengit         : Ahmad Kailani Kosnin
    Machap         : Mohd Khalid Salekan
    Mahkota        : Khairul Faizi Ahmad Kamil
    Endau          : Mohd Azam Abdul Razak
    Pasir Raja     : Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar
    Johor Lama     : Kamaldin Tahir
    Penawar        : Anis Afida Mohd Azli
    Tiram          : Kumutha a/p Raman
    Puteri Wangsa  : Abdullah Husin
    Permas         : Syed Othman Abdullah
    Kempas         : Suhaizan Kaiat
    Nusajaya       : Salahuddin Ayub
    Bukit Permai   : Mazlan Aliman
    Benut          : Raden Sorobo Ponoh
    Pulai Sebatang : Ungku Mohd Nor Ungku Mahmood
    Kukup          : Ghazaley Ayiub
   
- Bernama

Manifesto: PKR cabar TPM berdebat

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin Yassin
HULU YAM – PKR mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdebat dengan Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berhubung isu manifesto dan penurunan harga kereta.

Penyelaras PKR Dun Batang Kali, Khalid Jaafar berkata, terdapat dakwaan daripada Muhyiddin kononnya Pakatan Rakyat (PR) meniru manifesto Barisan Nasional (BN), jadi untuk mengelak kekeliruan dan memberi penjelasan kepada rakyat debat adalah ruang terbaik.

“Rafizi (pada awalnya) mengatakan manifesto BN itu ciplak atau tiruan manifesto PR, kemudian Muhyiddin buat kenyataan PR tiru BN.

“Jadi rakyat tentunya nak tahu siapa tiru siapa. Kita mahu mereka berdebat untuk kemukakan hujah masing-masing. Kemukakan siapa sebenarnya yang meniru siapa,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan PKR di sini semalam.

Hadir sama, Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Parlimen Hulu Selangor, Md Yusof Sarman; K Gunasekaran dan Datuk Dr K Ramachandran.

Khalid yang juga calon Ahli Parlimen Hulu Selangor berkata, undangan debat itu bertujuan merungkai kesahihan kerajaan atau parti mana sebenarnya yang meniru kandungan manifesto.

“Kita nak tahu sama ada Timbalan Perdana Menteri ini faham atau tidak (mengenai kaedah penurunan harga kereta).

“Dalam manifesto kita antara faktor terpenting juga adalah untuk menurunkan harga kereta dengan menghapuskan cukai eksais iaitu punca harga kereta begitu tinggi dan tidak munasabah serta membebankan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Timbalan Perdana Menteri mengatakan harga kereta akan diturunkan melalui proses Asean Free Trade Area (Afta).

“Tapi, sebenarnya, Afta ini hanya melibatkan cukai import bukan cukai eksais, jadi kita nak tahu sama ada Timbalan Perdana Menteri ini tahu atau tidak bezanya antara cukai eksais dengan cukai import yang menjadi punca kenaikan harga kereta begitu tinggi dalam pemerintahan BN,” katanya.

Katanya, PR adalah sebuah parti yang ilmiah dan saintifik serta tidak akan membuat tuduhan melulu terhadap sesuatu perkara.

Menurutnya, sekiranya PR mengatakan manifesto BN itu meniru, maka bukti akan dikemukakan.

“Kita buat kajian, dalam manifesto BN ada 157 janji.

“22 atau 14 peratus daripadanya adalah janji baru, kemudian 112 program (71 peratus) adalah yang sedia ada dan bukan manifesto lagi.

“Daripada 157 itu, 23 ditiru daripada PR iaitu 15 peratus, jadi yang diciplak itu lebih banyak daripada yang baru,” katanya.

Sinar/-