13 April 2013

Cinta hingga mati

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Cinta hingga mati

Keadaan kereta dan motosikal rosak teruk selepas terbabit kemalangan di Kilometer 341 Jalan Raub – Lipis, kelmarin.
RAUB – Pasangan suami isteri maut selepas kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 341 Jalan Raub–Lipis dekat kawasan Kampung Lepar kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, mangsa Mohd Fareez Ramli, 26, menunggang motosikal jenis Modenas sementara isterinya, Siti Mariam Hashim, 25, membonceng bersama anak lelaki berusia 3 tahun.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa dari arah Raub tetapi Mohd Fareez membelok motosikal ditunggangnya secara tiba-tiba dengan membuat pusingan U sebaik tiba di tempat kejadian.

“Motosikal mangsa bertembung dengan Proton Tiara dipandu Wan Ahmad Firdaus Wan Dzulkifli, 25, dari arah sama.

“Mohd Fareez cedera parah di beberapa bahagian badan termasuk kaki dan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian, sementara isterinya yang turut parah meninggal dunia di Hospital Raub,” katanya.

Wan Mohd Samsudin berkata, anak kecil pasangan terbabit turut cedera dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Katanya, pemandu Tiara yang berasal dari Kampung Bukit Betong, Lipis juga cedera namun stabil selepas menerima rawatan.

“Saksi kejadian diminta hadir ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan atau hubungi talian kilat polis Raub menerusi 09-3554999,” katanya.

Jenazah Mohd Fareez dan Siti Mariam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pia, dekat sini kira-kira jam 11 malam pada hari kejadian dalam satu liang lahad.

Siasatan awal mendapati penunggang dan pembonceng motosikal tidak memakai topi keledar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sinar/-

Tiada ulasan: