13 April 2013

Politik murahan: Ikrar integriti hanya retorik

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) menggesa kempen politik murahan khususnya tindakan menyerang peribadi pemimpin Pakatan Rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) dihentikan serta merta.

Badan pemikir itu berpandangan, kegagalan kerajaan menghentikan politik murahan ini membuktikan tandatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Ikrar Integriti Pilihanraya hanyalah sebuah retorik di samping menghina konsep pilihan raya bebas dan adil.

"KPRU berpendapat serangan peribadi ini merupakan amalan politik murahan yang tidak wajar mendapat tempat di sebuah masyarakat bertamadun seperti Malaysia.

"Malangnya, politik murahan dijangka ini akan berlangsung sehingga selesainya Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) kerana kebencian BN terhadap Pakatan Rakyat tidak mengenal erti moral atau batasan.

"Sebagai sebuah parti politik yang melaungkan semangat patriotik, perpaduan dan kematangan, tindakan serangan peribadi mencerminkan semangat kebencian dan tidak matang yang bertentangan dengan apa yang dilaungkan oleh BN," kata KPRU dalam satu kenyataan.

Menurut KPRU, serangan peribadi telah dilancarkan ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan antaranya ke atas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, calon kerusi Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hingga ke bekas Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, calon kerusi Parlimen Pandan Rafizi Ramli, calon kerusi Parlimen Batu Tian Chua, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dan yang terbaru ke atas Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali.

Tegas KPRU juga, rakyat Malaysia sudah meluat dengan politik murahan yang tidak membawa sebarang faedah kepada mana-mana pihak dan tidak membawa sebarang kesan positif kepada ekonomi atau politik negara.

"Ia hanya akan memakan diri BN, menambah kebencian rakyat kepada BN dan mencemari reputasi dan maruah pemimpin Pakatan Rakyat.

"Ia hanya mencerminkan obsesi Malaysia dengan politik murahan terutamanya politik seks di mata dunia. Dalam kata asas, ia merupakan sejenis tingkah laku yang memalukan nama Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai bahan ketawa komuniti antarabangsa," katanya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: