13 April 2013

Rumah ditembak bertalu-talu

2 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Rumah ditembak bertalu-talu

Polis mengawal sekitar rumah ahli perniagaan di Jalan Serindik, Temerloh ketika siasatan dijalankan pagi semalam.
TEMERLOH – Sebuah rumah milik ahli perniagaan di Jalan Serindik, di sini, ditembak bertalu-talu dua lelaki bermotosikal ketika mangsa keluar berjoging di sekitar kawasan kediamannya, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, dua lelaki memberhentikan motosikal di hadapan rumah mangsa tanpa mematikan enjin lalu melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai sebuah daripada tiga kereta milik mangsa.

Tembakan rambang itu turut mengenai tiang batu dan pintu pagar besi rumah banglo dua tingkat tersebut.

Seorang saksi enggan dikenali berkata, semasa kejadian, dia baru selesai menonton perlawanan bola sepak di televisyen bersama rakan di dalam kedai makan miliknya.

Menurutnya, ketika perlawanan hampir tamat, rakannya pulang dan dia bersiap-siap mengemas bahagian hadapan kedai.

“Ketika itu televisyen masih terpasang, saya nampak dua lelaki bermotosikal berhenti di hadapan rumah mangsa dan melepaskan beberapa das tembakan.

“Kedua-dua lelaki itu kemudian menunggang semula motosikal dan dalam keadaan selamba berlalu tanpa tergesa-gesa,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam mendapati, pasukan polis melakukan siasatan menyeluruh di tempat kejadian.

Turut kelihatan, Ketua Polis Daerah Temerloh, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh dan pegawai bahagian siasatan jenayah daerah.

Abdul Aziz enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan dan memaklumkan kepada beberapa petugas media, satu sidang akhbar berkaitan kejadian akan dibuat dalam tempoh terdekat.

Sinar/-

Tiada ulasan: