06 Mei 2010

Laporan kepada SPRM hari ini.

21 Jamadil Awal 1431H.

Kepada:

Semua Rakan Media.

Dimaklumkan saya akan membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) Ipoh mengenai salah laku kerajaan BN Perak bersetuju menyerahkan RM 50,000 kepada setiap bahagian MCA di Perak

Pada : Hari ini/Khamis/6 Mei 2010
Jam : 2.00 petang
Tempat : Pejabat SPRM Ipoh.

Semua rakan media dijemput hadir.

Catatan : Hadir bersama saya ialah pimpinan Pakatan Rakyat Perak dan ADUN PR Perak.

WASSALAM,

YB. Drs. Khalil Idham Lim
ADUN Titi Serong.

Sembang Teknikal: Panaskan Enjin, perlu atau tidak?

21 jamadil Awal 1431H.
http://maemache.blogspot.com/

Upacara memanaskan enjin adalah antara amalan yang sinonim dengan hampir semua pengguna kenderaan di seluruh negara. Tak kiralah sama ada pemandu kereta, lori, van, bas sekolah, kereta kebal, motosikal berkuasa rendah dan sebagainya termasuk helikopter. Biasanya amalan ini dilakukan pada waktu pagi sebelum ke tempat kerja atau ke sebarang destinasi. Ada yang memanaskan enjin selama satu minit. Ada yang memanaskan selama 5 minit. Ada yang keluar rumah, hidupkan enjin kereta, masuk rumah, sarapan, pakai stokin, pakai kasut, kunci pintu dan baru terhegeh-hegeh masuk kereta untuk memulakan perjalanan. Gua syak makan masa dalam 15 minit juga. Brader-brader macam tu gua ingat mesti bangun awal punya. Semua ini dilakukan kononnya demi untuk menjaga enjin. Demi untuk memastikan jangkahayat enjin panjang dan sentiasa berprestasi tip top.

Masalahnya sekarang, di manakah pelajaran tentang memanaskan enjin ini diajar? Kalau tak silap gua, masa sekolah dulu pun tak ada pun cikgu-cikgu yang pandai-pandai ajar pasal benda ni. Masa pergi ambil kursus memandu di JPJ pun tak ada belajar benda-benda macam ni. Di univesiti pun tak ada belajar. Sekolah-sekolah agama rakyat pun tak ada menyediakan tajuk ini di dalam silibus pembelajaran mereka. Jadi di mana? Berdasarkan pemerhatian gua dengan sedikit kajian, upacara pemanasan enjin telah dilakukan sejak zaman-berzaman. Mula-mula mungkin datuk gua start panaskan enjin kereta dia sebelum pergi sekolah kerja guru besar. Kemudian bapa gua pula bila dah pakai kereta, teringat pula amalan datuk gua masa nak pergi sekolah dulu. Jadi bapa gua pun setiap pagi sebelum nak pergi kerja panaskanlah juga enjin Volvo kegemarannya.

Kemudian bila gua dah besar, dah pakai kereta sports dua pintu, gua pula ikut panaskan enjin kereta. Tapi sebenarnya gua tak buat. Sebab gua ada ilmu pengetahuan tentang enjin. Tambah lagi biasanya gua bangun lambat. Soalnya sekarang adakah pemanasan enjin ini perlu dilakukan? Apa kebaikannya dan apa keburukannya? Lagi satu kalau anda bijak laksana, siapa orang yang mula-mula panaskan enjin kenderaan di Malaysia ni?

Di negara-negara yang mementingkan penjagaan alam sekitar untuk kehidupan dunia yang lebih baik di masa mendatang, pemanasan enjin adalah tidak digalakkan dan sesetengahnya ditegah. Negara Kanada telah memulakan kempen nasional mereka untuk mengurangkan pemanasan enjin yang tidak diperlukan. Kempen yang sama turut dilakukan di Jepun, United Kingdom dan di Amerika Syarikat. Ada di antaranya sudah menetapkan satu undang-undang bahawa enjin kenderaan tidak boleh dibiarkan hidup dalam keadaan pepura (idling) melebihi 5 minit atau 3 minit bagi kenderaan ringan. Kenapa perkara ini ditegah?

The Canadian Office of Energy Efficiency telah bersetuju bahawa cara yang terbaik untuk memanaskan enjin adalah dengan memandunya. Walaupun suhu persekitaran berada di takat -20 darjah selsius, mereka menyarankan enjin kenderaan hanya perlu dipanaskan pada sekitar 15-30 saat sebelum meluncur ke jalanraya. Bayangkanlah berapa agaknya suhu di Malaysia? Gua rasa memang dah tak payah nak panaskan enjin lagi dah. Start kereta terus jalan saja.

Salah seorang jurutera penghantaran kuasa di Ford, Amerika Syarikat iaitu Les Ryder berkata, “Engines run best at their design temperature”. Berdasarkan kenyataan Encik Les Ryder itu, operasi enjin yang cekap, bersih dan efisien hanya berlaku pada suhu enjin di tahap 85-90 darjah selsius. Oleh itu membiarkan enjin lu orang di dalam keadaan pepura (idling) adalah bukan cara yang terbaik atau terpantas untuk memanaskan enjin. Lebih baik jika memandunya atau dengan kata lain stail Amerika, lagi ‘gentle’ kalau pandu terus.

Tabiat memanaskan enjin atau membiarkan enjin berada di dalam keadaan pepura (idling) dikatakan adalah satu perkara yang tidak baik dan berfaedah. Pertamanya ia menyebabkan pembakaran bahanapi tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Pembakaran tidak lengkap membawa kesan buruk kepada dinding silinder. Sisa bahan api yang tidak terbakar akan turun ke dinding silinder lalu membersihkan minyak pelincir yang berada di dinding silinder. Maka apa yang terjadi adalah dinding silinder akan mengalami kehausan akibat tiada pelinciran di bahagian sepatutnya. Bahan api yang tidak terbakar juga boleh jadi akan turun perlahan-lahan ke bahagian takung minyak pelincir. Apabila ia bergaul, sifat minyak pelicir akan berubah dan hilang kecekapannya.

Di samping itu, tabiat ini juga boleh mendatangkan masalah kepada palam pencucuh. Ia akan menganggu suhu kerja palam pencucuh. Palam pencucuh yang tidak berada di suhu sepatutnya akan menjadi kotor. Oleh yang demikian ia akan mendatangkan kesan kepada peningkatan bahan api sebanyak 5%.

Pada waktu pagi, sesetengah kenderaan biasanya akan mengeluarkan wap dari ekzos. Wap itu bukanlah wap minyak daripada enjin yang mengalami kehausan. Ia adalah wap air normal yang terhasil daripada enjin yang sejuk. Jadi apabila terlalu lama enjin dibiarkan dalam keadaan pepura (idling), bertambah lama untuk enjin mengambil masa untuk panas. Ini menyebabkan wap air akan sentiasa berada di dalam sistem ekzos yang mana akan menjadikan paip ekzos cepat berkarat.

Kenderaan pada masa kini biasanya akan terdapat sebuah komponen yang dinamakan Catalytic Converter pada sistem ekzosnya. Kereta-kereta Malaysia pun gua tengok dah mula pakai. Komponen ini disediakan bertujuan untuk mengurangkan tahap toksik yang terdapat pada sisa atau hasil pembakaran sebuah enjin pembakaran dalaman. Antara kerja yang dilakukan komponen ini termasuklah men-convert karbon monoksida kepada karbon dioksida, mengurangkan nitrogen oksida kepada nitrogen dan air, mengoksidakan hidrokarbon yang tidak terbakar kepada karbon dioksida dan air dan sebagainya. Jadi faedah yang boleh diperolehi daripada komponen ini ialah pencemaran udara dapat diminimakan.

Walaubagaimana pun, masalah yang timbul jika enjin berada di dalam keadaan pepura (idling), komponen ini tidak berfungsi. Maka enjin dengan sesuka hati dapat mencemarkan udara. Komponen ini akan berfungsi hanya pada tahap suhu 400 – 800 darjah selsius yang dimana adalah pada satu kadar suhu yang sangat panas berbanding enjin. Semasa suhu itu ia akan bertindak menukar bahan tercemar dari sisa pembakaran enjin kepada bahan yang kurang berbahaya kepada alam sekitar. Bagi memastikan komponen ini cepat dan dapat berada di suhu yang mana ia boleh beroperasi, lu orang perlulah memandu. Bukan meninggalkan kereta hidup terbiar. Semakin lama enjin dibiarkan dalam keadaan pepura (idling) maka semakin lama juga Catalytic Converter ini tidur dan tak bekerja. Lu orang syak apa agaknya yang terjadi kepada alam sekitar?

Sekarang kita sudah mengetahui serba sedikit tentang keburukan memanaskan enjin. Ada tiga kesan yang penting di situ iaitu membazir bahan api, mencemarkan alam sekitar dan memunah wang ringgit. Mari kita lihat apa pula kebaikkan memanaskan enjin.

Khabar-khabar angin mengatakan memanaskan enjin juga ada faedahnya. Salah satu perkara yang disebut adalah semasa enjin ditinggalkan di dalam satu tempoh yang agak lama, iaitu mungkin sehingga satu malam, bahan pelinciran akan turun meninggalkan komponen yang bergerak di dalam enjin ke bahagian bawah enjin. Jadi apabila kita mula menghidupkan enjin, kita perlu mengambil sedikit masa untuk memanaskannya supaya dapat memberi peluang bahan pelinciran itu naik dan beredar di setiap inci dan penjuru komponen dalaman enjin. Ya perkara ini benar. Tetapi apa yang lu orang perlu tahu bahawa setiap enjin telah dilengkapkan dengan satu komponen yang dipanggil pam minyak pelincir. Pam minyak pelincir ini dijana oleh pusingan crankshaft. Makin laju crankshaft berpusing maka makin cepat pam bahan api berpusing seterusnya mengagihkan minyak pelincir ke bahagian dalaman enjin.. Untuk memastikan crankshaft ini berpusing laju apa yang lu orang perlu buat? Adakah dengan hanya membiarkan enjin dalam keadaan pepura (idling)?

Kesimpulannya di sini tabiat memanaskan enjin di waktu pagi yang kononnya lagi lama lagi bagus adalah satu mitos yang tidak diketahui hujung pangkalnya. Perkara ikut-ikutan seperti ini bukanlah satu perkara yang asing bagi kita rakyat Malaysia. BMW sendiri pun cukup pantang kalau orang warm up enjin keretanya. Sebab dia orang tahu kalau enjin cepat rosak nanti mesti lu orang kompelin. Sebab itu kalau boleh BMW nak lepas hidup saja enjin kereta, terus blah cepat-cepat. Jangan tunggu-tunggu. Ini karang siap boleh masuk rumah pekena roti dua tiga keping, layan teh dulu sambil sembang-sembang dengan bini tapi enjin kereta terbiar hidup.

Satu perkara lagi yang boleh membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar dan pembaziran bahan api adalah dengan mematikan enjin jika kenderaan lu orang tidak bergerak. Kalau tunggu makwe turun LRT, berhenti tepi jalan bergayut dengan telefon, tunggu bini masuk pasar mini beli barang dapur, dan tunggu anak balik sekolah depan pagar sekolah bawa bawalah matikan dulu enjin. Perkara itu tidak memberi sebarang faedah langsung malah boleh menyebabkan masalah pencemaran udara dan alam sekitar serta pembaziran wang ringgit. Sedarkah anda di dalam tempoh setahun, sikap mengurangkan enjin dibiarkan hidup dalam keadaan pepura (idling) ini mampu menjimatkan beratus ribu juta ringgit dan mampu menghentikan perlepasan jutaan tan gas rumah hijau ke atmosfera yang membawa pemanasan global.

Akhir kata setujukah anda bahawa memanaskan enjin di waktu pagi boleh menjahanamkan enjin dan dunia?

Dikutip dari kotak email, dari abdulrazakali.

Kucing dan Ikan.

20 Jamadil Awal 1431H.

Sudah agak lama saya tidak masak, Hari ini rasa selera untuk beli lauk di kedai rasanya tidak ada lagi dan saya mengambil keputusan membeli beberapa bahan mentah untuk masak sendiri untuk makan tengahhari. Sebelumnya mudah sahaja pergi sahaja kekedai makan tunjukkan apa yang hendak dimakan , namun sekali ini saya ke kedai bukan untuk membeli yang sudah masak namun membeli udang, ikan dan sayur.

Itulah kelaziman yang sekali sekala yang saya lakukan , hari ini saya melakukan rampasan kuasa untuk masa di dapur. kebetulan isteri keletihan baru balik dari sekolah , apa lagi segala kemahiran memasak yang ada sejak zaman duduk diasrama sekolah, di Universiti dan di China cukuplah sekadar untuk masak bagi makan satu keluarga kecil seperti kami.

Menariknya semasa sedang menyiapkan bahan mentah tadi , tiba-tiba saya didatangi tamu yang rasanya tidak ada sebelum ini. Tidak lain ianya adalah seekor anak kucing dalam keadaan kelaparan. Suara tangisannya jelas sekali semacam meminta sesuatu dari saya walaupun berada disebalik tingkap semacam hidungnya dapat mencium bau makanan kegemarannya.

Tanpa berfikir panjang saya campakkan seekor ikan yang belum dikeluarkan perutnya sebagai tanda simpati dan kenyakinan bahawa rezeki saya tidak pun habis kerana masih ada 5 ekor ikan lagi yang tinggal.

Alhamdulillah semasa memebeli ikan tadi, tuan kedai kata ikan yang dibeli itu segar hari ini. alhamdulillah saya dapat berikan sesuatu yang terbaik kepada anak kucing tersebut.

Pengajaran dari cerita dari kucing dan ikan ini, demikianlah diluar sana masih ramai yang memerlukan dan mengharapkan bantuan dari mereka yang lebih mampu. Sesungguhnya tangan yang memberi itu sangat mulia dan mendapat penghargaan yang tinggi dari Allah SWT walaupun memberi minum seteguk air kepada anjing yang sedang kehausan.

Kesusahan rakyat masih jelas kelihatan dan mudah ditemui. bayangkan dalam DUN saya sediri semasa berada di Tanjung Piandang pagi tadi, terkejut besar bila ada seorang ibu tunggal yang datang mengadu dengan katanya dia memerlukan bantuan untuk mendapatkan sebuah rumah PPRT dan membayar yuran persekolahan anak yang belum dibayar .

Bayangkan sudah pertengahan tahun yuran persekolahn belum terbayar, dan saya menjawab ringkas supaya di datang ke pejebat esok untuk membantu sekadar yang mampu kami bantu.

Kalau kucing banyak yang kelaparan, jangan lupa banyak lagi masyarakat sekeliling dalam keadaan kelaparan. Kerana itu keperihatinan semua pihak sangat diperlukan demi untuk melahirkan masyarakat yang lebih aman dan harmoni. malah Islam mengajar supaya yang berada menolong yang kurang berada, yang kuat menolong yang lemah, dan sebagainya.

Kerana itu perjalanan perjuangan ini masih jauh dan panjang,masih banyak dasar kebajikan yang perlu ditonjolkan oleh sebuah kerajaan yang perihatin dengan permasalahan rakyat. ianya tidak lain dari Pakatan Rakyat yang perlu tanpil kembali sebagai kerajaan yang memastikan kebajikan rakyat diutamakan.

Kuasanya yang telah dirampas mesti dikembalikan di Perak, kerana bukan sahaja kucing yang kelaparan , namun rakyatnya masih dalam kesempitan dan dihimpit kesusuhan hidup walaupun negera sudah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan.

Serah dua telaga minyak suatu penderhakaan

20 Jamadil Awal 1431 H
http://gemasuara.blogspot.com/

Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan mana-mana wilayah Malaysia diserahkan pada pihak luar, maka perbuatan kabinet menyerahkan dua blok pengeluaran minyak luar pantai Malaysia-Borneo kepada Brunei Darussalam dianggap perbuatan derhaka kepada kedaulatan negara.

Kalau Perkara 2, Perlembagaan (Persekutuan) Malaysia sendiri pun tidak membenarkan mana-mana wilayah dalam kedaulatan kita (Malaysia) diserahkan kepada negara luar walaupun melalui Parlimen, inikan pula Blok M dan (Blok) L sewenang-wenangnya diserahkan pada Brunei hanya melalui kelulusan kabinet sahaja.

Ini bagi saya suatu penderhakaan kepada negara kerana Perlembagaan memperlihatkan bahawa tidak pernah ada tolak ansur dalam melepaskan kedaulatan negara.

Perkara 2 Perlembahaan Persekutuan hanya membenarkan Parlimen membuat ketetapan untuk menerima masuk mana-mana negeri dalam Persekutuan.

Perkara 2 juga,membenarnya Parlimen membuat persempadanan semula negeri-negeri di bawah Persekutuan, dengan syarat mesti terlebih dahulu mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri (Dun) serta Majlis Raja-raja.

Mengambil kes persempadanan semula Wilayah Persekutuan Putrajaya, beliau berkata, kerajaan Pusat akhirnya akur dengan mendapatkan persetujuan Dun Selangor dan Sultan Selangor, walaupun pada awalnya kerajaan Pusat terus masyhurkan suatu kawasan dalam negeri Selangor sebagai ‘Persekutuan’.

Disebabkan itu, dengan merujuk pada pengakuan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjelaskan bahawa penyerahan dua telaga minyak tersebut diluluskan oleh kabinet, saya menggesa kerajaan Pusat menjelaskan kaedah yang digunakan oleh Kuala Lumpur ketika memeterai perjanjian persefahaman dengan Bandar Seri Begawan.

Walaupun perjanjian dibuat pada 11 Februari 2009, iaitu era Abdullah menjadi Perdana Menteri, namun perjanjian persefahaman ditandatangani antara kedua-dua kerajaan pada 16 Mac 2009, iaitu ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Najib selaku ketua kerajaan tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri serta menganggap bahawa isu terbabit adalah isu terpencil yang melibatkan Abdullah semata-mata.

Dari segi yang lain, saya juga ingin turut mempersoal tindak-tanduk kerajaan membatalkan perjanjian persefahaman dengan Murphy Oil, iaitu syarikat perdagangan minyak antarabangsa demi memastikan hasrat menyerahkan kedua-dua telaga minyak tersebut kepada Brunei.

Dengan pembatalan sedemikian, sekaligus mencalar reputasi Petronas, sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bergiat dalam industri petroleum di peringkat dunia.

(Dengan) pembatalan ini, bukan sahaja integriti kerajaan dilihat musnah, malah Petronas selaku GLC yang bergiat di peringkat antarabangsa pun turut dipersoal apabila mereka berurusan dengan negara-negara pengeluar minyak.

Dunia akan tanya Patronas, sekiranya perjanjian dengan Murphy Oil pun kerajaan boleh batalkan, apakah jaminan Petronas sekiranya ia (Petronas) dilantik untuk membangunkan industri minyak di negara-negara yang dia berurusan.

Saya bercadang untuk mengetengahkan perkara itu kepada Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat sebelum membuat usul supaya suatu sidang Dewan Rakyat tergempar diadakan demi membincangkan isu penderhakaan tersebut.

Datuk Mahfuz Omar,
Naib Presiden PAS,
Ahli Parlimen Pokok Sena.

Siapa yang tidak beretika?

20 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Roslan SMS

Getting the friend of Aminulrasyid Amzah to tell his version of what happened that led to the shooting of the 15-year-old is an unethical move.

Selangor police chief Deputy Comm Datuk Khalid Abu Bakar said the lawyer’s action in holding a press conference and exposing the boy, a key witness in this case, was a cheap publicity stunt to garner public sympathy while investigations were still under way.".

ETHICAL atau beretika bermaksud melaksana atau melakukan sesuatu perkara dengan cara bermoral atau menepati perlakuan yang betul.

Semalam adik Azamuddin Omar 15 tahun, rakan kepada Allahyarham adik Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh pihak polis di Shah Alam baru-baru ini telah membuat kenyataan kepada media, versi beliau sebagai saksi utama, akan apa yang sebenarnya terjadi pada malam kejadian tersebut.

Pihak polis menganggap tindakan membuat kenyataans seumpama itu sebagai TIDAK BERETIKA, publisiti murahan untuk meraih simpati masyarakat.

Sesungguhnya simpati masyarakat telah pun bersama keluarga Allahyarham Adik Aminulrasyid sebaik mengetahui tentang insiden malang ini.

Simpati masyarakat bukannya membuta, tetapi bersandarkan satu fakta penting iaitu anggota polis yang bertugas pada malam itu telah menggunakan senjata api dan menembak seorang murid sekolah 15 tahun yang tidak bersenjata sehingga mati.

Siapa yang tidak beretika?

Beretikakah kita apabila mengeluarkan kenyataan bahawa Allahyarham adalah penjenayah?

Bagi saya tindakan adik Azamuddin Omar semalam adalah berani dan bijak. Kini rakyat terdedah dengan perkara sebenarnya. Tiada siapa yang boleh menyembunyikan fakta lagi.

Yang kita mahu adalah keadilan, walaupun pahit dan mengena batang hidung sendiri, asal saja kita tidak zalim dan dimurkai Allah!

* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan.

Gambar dan Peristiwa.

Bergambar bersama seorang Bekas Tentera dan Veteran PAS, Pak Tam Mursyid, 80 Tahun di Kedai 4.

Singgah minum di kedai kopi Pekan Tanjung Piandang.

Ziarah kematian di Pekan Sungai Kota.

Singgah minum di Kedai Kopi di Kedai 4.

Melawat sebuah rumah yang memerlukan bantuan untuk menukar atap zink yang telah uzur dan bocor di Parit Hj. Nasir Titi Serong.

RM 50,000: Satu penyelewengan,harta negeri dibahagi-bahagikan!

20 Jamadil Awal
Oleh: Anak Sengat

Tahniah Zamry,buat harta kerajaan Perak macam harta mak bapak Barisan Nasional. Demi meraih sokongan Cina, Zamry yang dulu menuduh DS Nizar sebagai alat Cina menjelaskan sebenarnya dialah yang menjadi kuda tunggangan MCA.

Kenyataan Presiden MCA bahawa kerajaan Perak telah meperuntukan RM 50 ribu untuk setiap bahagian MCA adalah suatu pendedahan tindakan korup kerajaan Haram Zamry.

Saya yakin selepas ini MIC pun mahu peruntukan seperti itu. PPP yang dipimpin oleh Kaveyas tentunya lebih mahu lagi. Apakah ini budaya baru Barisan Nasional dalam membahagikan harta kerajaan Perak macam harta mak bapak mereka. Sudahlah kerajaan pun dirampas, kini harta pulak nak dirampas.

Kenyataan ini jelas satu penyelewengan harta kerajaan untuk kegunaan parti. Jika begitu, maka wajar penyokong Pakatan Rakyat tidak membayar cukai termasuk zakat kepada kerajaan negeri. Isu penyalahgunaan harta zakat pernah timbul semasa BN memerintah Perak dulu. Kini harta kerajaan Perak diselewengkan dengan terbuka tanpa berselindung lagi.

Tindakan berani kerajaan haram Zamry ini mungkin hasil keyakinan bahawa tiada siapa dapat mengatasi kuasa mereka termasuk undang undang. Mereka merampas kerajaan secara di luar undang- undang , maka apa perlu ditakut lagi pada undang-undang!

Inilah kesan bahaya dari rampasan kuasa di Perak. Institusi kehakiman perlu mengambil kira apa yang terjadi ini sebagai satu penilaian semula terhadap rentetan krisis undang undang di Perak.

Apakah selepas ini ada kuasa yang mampu menyekat kerakusan kuasa kerajaan Haram Zamri dalam melaksanakan apa sahaja cita cita rakus politik mereka? Rakyat sedang menanti dan memerhati tindakan rakus mereka.

Kesabaran rakyat terpaksa ditingkatkan kerana telah hilang kepercayaan terhadap semua institusi yang dirasakan boleh bernaung selama ini. Namun pilihan raya ke-13 tentunya akan menjadi detik ngeri pengajaran berpanjangan buat kerakusan kerajaan Haram Zamry dan semua yang bersekongkol dengan mereka,biar siapa dan apa pun kedudukan mereka.

Dalam negara demokrasi rakyatlah raja segala raja, sekalipun ternyata pincangnya proses demokrasi pilihanraya yang diuruskan oleh SPR!

Harakahdaily/-

Bekas hakim India kagumi Nik Aziz


20 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 4 Mei: Kelainan Kelantan yang ditadbir seorang ulama, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berlandaskan dasar Membangun Bersama Islam turut menarik minat cendikiawan dari dunia luar termasuk bekas hakim dari India.

Hari ini, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Chennai, Abdul Hadi Miran, 75 mengunjungi hormat Menteri Besar di pejabatnya, di sini.

Turut hadir anak beliau yang juga merupakan seorang peguam di Mahkamah Tinggi Chenai.

Menurut Abdul Hadi, impiannya untuk bersua muka dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah lama dipendamkan dulu kerana ketika itu beliau masih bertugas.

Beliau berkata, peribadi Menteri Besar Kelantan sering menjadi bahan bualan masyarakat Islam di Chennai dan perkembangan di negeri ini turut diketahui masyarakat di sana.

“Saya merakamkan terima kasih di atas kesudian Tuan Guru menerima kunjungan kami. Kenangan ini akan dibawa pulang dan diceritakan kepada masyarakat di Chennai,” kata beliau.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz fasih bercakap dalam bahasa Urdu bersama Abdul Hadi.

Abdul Hadi juga melahirkan rasa kagum di atas kehidupan masyarakat di negeri ini yang berada dalam keadaan aman walaupun pelbagai bangsa dan agama.

Katanya, ia adalah satu cara yang diajar Islam iaitu berbuat baik terhadap sesama manusia.

Harakahdaily/-

Noh biadap, hina rakyat Kelantan

20 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Rizal Tahir

KOTA BHARU, 4 Mei: Kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang memberi amaran kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ‘jangan bawa perangai Kelantan ke Selangor’ sebagai biadap.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, juga turut menyifatkan ungkapan itu seperti menghina rakyat di negeri ini keseluruhannya apabila Noh dengan angkuh turut menyifatkan Nik Aziz tidak menghormati undang-undang dan sultan sebagai ’perangai orang Kelantan’.

Ketua Penerangannya, Ustaz Mohd Fadzli Shaari, berkata Noh sepatutnya memahami dengan jelas kenyataan yang dibuat oleh Tuan Guru adalah secara umum dan tidak merujuk kepada titah Sultan Selangor.

“Bahkan kali pertama Menteri Besar menjawab soalan wartawan di sidang media ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor tanpa merujuk kepada titah Sultan Selangor.

“Berkali-kali Tuan Guru menjelaskan pendiriannya bahawa parti politik tidak boleh dibincangkan di atas masjid, namun menerangkan juga politik Islam di atas masjid tidak wajar untuk dilarang,” ujarnya.

Jelasnya, bagi Tuan Guru, perbuatan itu secara tidak langsung akan memisahkan terus Islam dengan politik sebagai mana ajaran sekular.

Beliau menambah, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani perlu sedar pihak yang menggunakan masjid untuk tujuan politik di Selangor ialah Umno.

“Ini termasuklah majlis solat hajat dan doa selamat untuk calon MIC yang dibuat di atas masjid dan diiklankan secara besar-besaran melalui sepanduk-sepanduk yang digantung.

Adakah perbuatan Umno ini halal pula di sisi mereka?” soalnya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Noh, “janganlah ingat Nik Aziz saja yang beragama hebat sebab janggutnya lebih panjang dari ulama Selangor” menghina sunnah Rasulullah s.a.w.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan, tegasnya menuntut supaya Noh menarik balik kenyataannya.

Harakahdaily/-

RM 700,000 untuk pelajar cemerlang

20 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 4 Mei: Pelajar-pelajar cemerlang di negeri ini sentiasa dihargai kerajaan negeri apabila mereka menerima insentif RM500 sebagai persediaan memasuki institusi pengajian tinggi.

Tahun ini merupakan kali ketiga sumbangan berkenaan yang disampaikan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Seramai 1,215 pelajar cemerlang peperiksaan 2009 menerima sumbangan tersebut membabitkan peruntukan sebanyak RM700,000 iaitu yang tertinggi setakat ini.

Pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM, STAM dan STPM menerima sumbangan berkenaan sejak 2008 yang membabitkan pelajar dari sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Jabatan Pelajaran Negeri, Mara dan calon persendirian.

Mulai tahun ini juga rakyat negeri ini yang belajar di luar turut mendapat sumbangan berkenaan yang diadakan di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, sumbangan terbabit diberikan sebagai penghargaan kepada pelajar cemerlang.

“Kerajaan negeri menghargai kecemerlangan pelajar kerana mereka bakal menjadi pemimpin pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ibu bapa pelajar sehingga memenuhi ruang Dewan Besar Putik.

Menurutnya, sebelum ini sumbangan berkenaan hanya diberikan kepada pelajar yang belajar di negeri ini sahaja dan tidak membabitkan pelajar anak tempatan yang cemerlang di negeri lain.

Namun katanya, mengambil kira rungutan rakyat Kelantan yang belajar di luar menyebabkan kerajaan negeri menerima dengan terbuka pandangan mereka.

“Sebab itu peruntukan tahun ini lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, misalnya tahun 2009 sebanyak RM400,000 melibatkan 950 pelajar,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kerajaan Kelantan mengutamakan pendidikan Islam kerana ia dapat membantu membentuk akhlak masyarakat.

“Kerana itu setiap bulan sebanyak RM6 juta dibelanja kerajaan negeri untuk pengurusan dan pentadbiran Yik,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Panel khas panggil saksi,kaji SOP polis

20 Jamadil Awal 1431 H

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata panel lapan anggota yang ditubuhkan bagi memantau siasatan polis berhubung kematian remaja 14 tahun yang ditembak mati polis - Aminulrasyid Amzah pada 26 April lalu mempunyai kuasa bagi memanggil saksi.

Tambahnya lagi, panel itu juga akan mengkaji semula peraturan berhubung penggunaan senjata api.

Menurut Abu Seman, setakat ini, beliau sudah berbincang dengan empat pegawai kanan polis termasuk ketua jabatan siasatan jenayah serta pegawai penyiasat kes berkenaan.

“Kita akan juga memanggil saksi yang terdiri daripada orang awam jika diperlukan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Beliau juga berkata panel khas itu juga akan melawat ke tempat kejadian pada jam 10 malam ini.
Abu Seman, sebelum itu mengumumkan senarai nama anggota panel yang bakal diketuainya itu.
Mereka termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, bekas pesuruhjaya Suhakam Datuk Denison Jayasooria, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim, peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah, ketua pegawai eksekutif ASLI Datuk Dr Michael Yeoh dan naib canselor UiTM Prof Abdul Halim Sidek.

Abu Seman yang bertindak sebagai ketua akan dibantu oleh timbalan ketua setiausaha kementeriannya, Datuk Ahmad Fuad Aziz.

Malaysiakini/-

Kongres nasional PKR 2009 hujung bulan ini

20 Jamadil Awal 1431 H

Kongres Nasional PKR 2009 yang ditangguhkan tahun lalu, akan berlangsung hujung bulan ini di Kelantan.

Ketua penerangan PKR Latheefa Koya berkata kongres itu akan berlangsung selama tiga hari mulai 28 Mei di Pusat Dagangan Kelantan, di Kota Bharu.

Katanya, kongres itu sepatutnya berlangsung tahun lalu tetapi ditangguhkan untuk memberi laluan kepada kongres khas untuk meminda perlembagaan PKR.

"Kita tak sempat nak buat kongres (penuh tahun lalu), jadi ia dibawa ke tahun ini," kata Latheefa ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, kongres tersebut bermula dengan persidangan tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan pada 28 Mei.

Manakala persidangan penuh PKR akan berlangsung pada dua hari berikutnya. Dijangka kongres tersebut akan dihadiri kira-kira 1,800 perwakilan dari seluruh negara.

Mengenai kongres 2010 yang bakal menyaksikan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi PKR Latheefa berkata ia akan diadakan hujung tahun ini.

Bagaimanapun, Latheefa menjelaskan tarikh kongres 2010 akan ditetapkan selepas persidangan di Kelantan itu berakhir.

Jun lalu, PKR mengadakan kongres khas untuk meluluskan tujuh cadangan pindaan perlembagaan parti itu.

PKR meminda perlembagaannya termasuk menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Cadangan pindaan itu diluluskan setelah mendapat sokongan lebih 88 peratus daripada 1,061 perwakilan

Malaysiakini/-

MCA hanya menang 1 kerusi,dapat peruntukan RM 50 ribu tiap bahagian?

20 Jamadil Awal
Oleh: Ustaz Misbahul Munir

Sewaktu PR memerintah Perak, UMNO menjaja merata kampung kononnya Hj Nizar boneka DAP, kuda tunggangan Cina, gadai tanah orang Melayu bagi kat Cina, mengabaikan Sekolah Agama Rakyat sebaliknya membantu Sekolah-sekolah Cina, bagi peruntukan kepada kuil, tokong dan gereja dan macam-macam lagi tohmahan dan fitnah.

Hari ini Kerajaan BN Negeri umum peruntukan RM 50 ribu kepada setiap MCA Bahagian seluruh Perak untuk tujuan pembangunan.

Saya percaya rakyat Perak mempertikai tindakan Kerajaan Negeri memberi peruntukkan RM 50 ribu kepada setiap MCA Bahagian bagi tujuan pembangunan. MCA adalah sebuah parti politik yang telah dikecundangkan oleh DAP Perak. MCA hanya menang satu kerusi di Perak.

Apa kewajaran MCA diberi keistimewaan begitu sekali oleh Kerajaan Negeri Perak. Projek-projek pembangunan kecil biasanya diperuntukan melalui wakil-wakil rakyat dan pejabat daerah.

Sewaktu PR memerintah Perak, PAS, PKR dan DAP tidak pernah diberi peruntukan untuk tujuan pembangunan. Kerajaan PR memberi peruntukan RM 200 ribu setahun kepada wakil-wakil rakyat, manakala di setiap DUN yang tidak diwakili oleh wakil rakyat PR, kerajaan melantik Penyelia DUN untuk menyalurkan peruntukan tersebut.

Peruntukan RM 200 ribu itu pula tidak diberi secara tunai, mesti dipohon melalui projek-projek kecil pembangunan di Dun masing-masing. Walau bagaimanapun peruntukan tersebut masih boleh digunakan untuk tujuan sumbangan kebajikan kepada wakil rakyat, JKKK, persatuan-persatuan, Ngo, belia dan yang seumpamanya.

Pihak yang bertanggungjawab dalam menyelaras dan memproses peruntukan ini ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak (UPEN) dan Pejabat Daerah dan diluluskan oleh MB. Walaupun peruntukan sebanyak itu adalah kepada wakil rakyat, bukan bermakna wakil rakyat boleh sewenang menggunakan peruntukan tersebut untuk tujuan tertentu.

Inilah bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa Kerajaan BN terhadap harta rakyat. Kalau MCA yang menang satu kerusi di Perak pun diberi peruntukan RM 50 ribu setiap bahagian, bagaimana pula dengan UMNO yang memenangi banyak kerusi di Perak ? MCA hanya sebuah parti politik, MCA bukan jentera kerajaan, tidak ada sebab yang munasabah sebuah parti politik diberi peruntukan untuk tujuan pembangunan.

Sebenarnya itulah cara BN mengurus dana kerajaan, parti politik diberi peruntukan semata-mata untuk menjaga kepentingan pengundi Cina yang semakin merosot sokongan mereka kepada BN.

Tindakan ini juga mengambarkan bahawa Zambrylah boneka MCA, semua kemahuan dan tuntutan MCA dipenuhi. Berbeza dengan Hj Nizar yang tidak memberi peruntukan kepada parti-parti politik sekalipun PAS, apatah lagi DAP dan PKR. Peruntukan kerajaan disalurkan mengikut peraturan dan prosedur yang betul.

Kita tidak pertikai kalau peruntukan untuk rakyat diberi melalui saluran yang betul, bukan sahaja RM 50 ribu bahkan ratusan ribu sekalipun, rakyat tidak pertikai

Cuba bayangkan kalau Hj Nizar sebagai MB Perak dulu umumkan peruntukan kepada setiap DAP Bahagian hanya RM 10 ribu sahaja, saya percaya setiap hari media arus perdana akan jadikan isu utama akhbar, UMNO dan wakil-wakil rakyat mereka sudah pasti akan gunakan isu ini untuk bangkitkan sentimen perkauman.Inilah UMNO BN.

Harakahdaily/-

Ezam perasan sebab apa di lantik senator

20 Jamadil Awal 1431 H
Oleh: WFAUZDIN

PERCAYAKAH anda perlantikan Ezam kotak sebagai Senator adalah kerana usahanya memerangi rasuah sewaktu memimpin GERAK? Percayakah anda kerajaan yang diterajui oleh Umno yang dikatakan ada hubungkait dengan APCO itu amat menyanjung sebarang usaha untuk memerangi rasuah? Sedangkan kita tahu untuk memenangi jawatan di dalam pemilihan Umno sahaja tidak sah kalau tiada unsur rasuah. Begitu juga di dalam sebarang pilihanraya yang diadakan di dalam negara ini, kecuali jika Umno tidak bertanding.

Kenyataan Ezam kotak itu hanya semata-mata untuk menghilangkan malu kepada dirinya sendiri yang beliau sendiri mungkin sedar mengapa beliau dilantik menjadi Senator. Bahkan, jika kita tanya mana-mana ahli-ahli Umno sekalipun mereka sendiri juga akan mengatakan perlantikan Ezam kotak bukan kerana komitednya beliau terhadap perjuangan menentang rasuah. Jika Ezam rasa dia betul, cuba senaraikan berapa kes rasuahkah yang berjaya dibongkar, disiasat dan yang telah diambil tindakan sepanjang beliau berada di dalam GERAK? Ezam kotak menyebut kerana perjuangannya, beliau masuk penjara. Kita mahu tanya dia masuk penjara waktu itu adakah semasa berada di dalam KeADILan atau GERAK? Dan, adakah dia seorang sahaja keluar masuk penjara? Jadi, Ezam jangan perasan seolah-olah dia hebat sedangkan kehebatannya adalah sewaktu di dalam KeADILan, tetapi bila keluar dari KeADILan beliau semakin lembik dan kecut. Oleh kerana beliau merasakan perjuangannya di dalam GERAK itu tidak berbaloi lah menyebabkan beliau keluar dan memasuki Umno.

Kita lihat kembali setelah beliau menyertai Umno, di dalam setiap ceramahnya atau programnya adakah ada kena mengena dengan perjuangan memerangi rasuah? Boleh dikatakan, sepanjang ceramah beliau di mana-mana sahaja yang diperkatakannya adalah keburukan DS Anwar dan sumpah-sumpah beliau sahaja. Lebih malang lagi, apa yang diperkatakan oleh Ezam kotak terhadap DS Anwar satu pun tidak berkesan bahkan tidak diambil peduli oleh sesiapa kerana beliau tidak dapat membuktikan apa-apa. Tetapi kerana semangat tidak putus asanya untuk terus mematikan kerjaya DS Anwar, maka wajarlah Ezam diberi Jawatan Senator. Bukankah itu satu penghinaan terhadapnya? Tetapi adakah Ezam ini terasa dihina?

Ezam kotak mungkin malu untuk mengakui bahawa perlantikannya ke jawatan Senator adalah kerana pandainya beliau mengampu dan melutut di depan pemimpin Umno. Kita akan saksikan selepas ini Ezam kotak berani atau tidak mendedahkan rasuah berkaitan pembelian kapal selam dan banyak lagi dakwaan rasuah ke atas kerajaan yang diterajui oleh Umno sekarang. Apa yang mungkin pasti, Ezam kotak akan menjadi Pak Turut kepada Najib dan Rosmah tentunya. /mandor.blogspot

Sultan Kelantan dimasukkan ke HUSM

20 Jamadil Awal 1431 H

Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian malam ini untuk menjalani rawatan susulan masalah jantung.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad mengesahkan perkara itu dengan berkata kepada Bernama: "Ya Sultan (Kelantan) kini di HUSM."

Difahamkan baginda dimasukkan ke hospital itu atas pilihan pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra untuk menjalani rawatan susulan.

Petang tadi, anakanda ketiga Sultan Kelantan, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra dalam satu sidang akhbar di Kota Bharu berkata beliau bercadang untuk membawa ayahandanya, Sultan Kelantan menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Katanya, beliau telah menempah kapal terbang swasta untuk membawa ayahandanya untuk rawatan tersebut.

Bagaimanapun penerbangan itu tidak dibenarkan mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Pada 14 Mei 2009, Sultan Kelantan dimasukkan ke HUSM di Kubang Kerian kerana gering, dan pada 24 Mei 2009 dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi menerima rawatan lanjutan masalah jantungnya dan hanya kembali ke Kelantan pada 3 Mac lepas setelah hampir setahun berada di hospital itu.

Malaysiakini/-

Karpal tuntut tuduhan bunuh ke atas polis

20 Jamadil Awal 1431 H

Peguam keluarga remaja 14 tahun yang ditembak mati oleh polis - Aminulrasyid Amzah , Karpal Singh menuntut anggota polis yang terlibat dengan kes berkenaan didakwa atas tuduhan membunuh.

Menurut Karpal, peguam negara perlu membuat pendakwaan atas tuduhan bunuh, berdasarkan keterangan daripada saksi utama kejadian itu, Azamuddin Omar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita setelah melawat lokasi kejadian di Seksyen 11 Shah Alam hari ini.

"Saya akan menulis surat kepada peguam negara untuk mendapatkan apakah pendirian beliau, dan menggesa beliau, berdasarkan keterangan saksi utama, supaya pendakwaan perlu dibuat atas tuduhan bunuh," katanya.

Menurut Karpal, polis yang terlibat dalam kejadian itu juga berhak untuk menyampaikan cerita mereka, tetapi hak keluarga mangsa tidak boleh diketepikan.

Beliau menyifatkan kes tersebut sebagai kes prima facie berikutan tindakan polis dalam kejadian berkenaan.

"Saya rasa polis bertindak melampaui batas yang ditetapkan ke atas mereka.

"Sekiranya (benar) apa yang saya diberitahu dan apa yang saya dapati, saya rasa ini jelas merupakan satu kes pembunuhan.

"Saya difahamkan (siasatan) kes ini telahpun diklasifikasikan sebagai (kes) bunuh," katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga akan meminta supaya diberikan salinan rakaman kenyataan oleh saksi.

"Saya difahamkan ada dua kenyataan," kata Karpal.

Ujarnya, mahkamah yang mengendalikan kes ini juga perlu diberikan garis panduan yang membolehkan polis melepaskan tembakan.

"Malangnya, standing order oleh ketua polis negara ini diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi.

"Namun dalam apa-apa keadaan, apabila kes ini ke mahkamah, kami perlu dapatkan ruling atas keadaan-keadaan yang perlu oleh polis untuk melepaskan tembakan," katanya lagi.

Karpal sebelum itu meluangkan masa kira-kira lima minit bersama saksi, Azamuddin Omar, untuk bertanyakan beberapa butiran mengenai kes tersebut.

Karpal antara lainnya menanyakan berapakah jumlah kereta polis yang mengejarnya pada malam kejadian.

Azamuddin turut disoal, bilakah polis mula melepaskan tembakan dan bilakah tembakan itu mengenai Aminulrasyid.

Karpal turut menyoal saksi tersebut bagaimanakah beliau keluar daripada kenderaan berkenaan dan sama ada beliau terus pulang ke rumah selepas keluar daripada kereta yang dipandu mangsa.

Azamuddin yang kelihatan tenang ketika menjawab soalan-soalan itu berkata, terdapat dua atau tiga buah kereta polis yang mengejar mereka ketika kejadian.

Katanya lagi, polis mula melepaskan tembakan ketika mereka memasuki Jalan Tarian, kira-kira 300 meter daripada tempat kereta yang dipandu Aminulrashid itu berhenti.
Tambahnya, ketika kereta masih bergerak, polis masih melepaskan tembakan walaupun mangsa sudahpun meninggal dunia.

"(Aminulrashid) sudah meninggal tapi kaki dia masih lagi tekan minyak," kata Aminuddin ketika ditemubual Karpal Singh.

"(Cermin) tingkap sudah retak pada masa itu... Saya terjun keluar," katanya lagi.

Malaysiakini/-