01 April 2008

Siapakah kita ?

Tidak akan datang hari kiamat sehingga orang jahat semakin bertambah dan orang terhormat semakin berkurang (HR. Tirmidzi).

Kata kata terhormat di akhir zaman seperti sekarang ini kerap disalah artikan. Terhormat kadangkala disandangkan pada orang orang yang banyak menghabiskan waktu hidupnya untuk berlomba-lomba untuk melakukan perbuatan-perbuatan yang sebenarnya tidak terhormat. Contohnya, memuaskan hawa nafsu sendiri dengan menyalah gunakan amanah.


Padahal dalam suatu hadits qudsi diisyaratkan, salah satu cara menilai diri kita adalah dengan mendengar perilaku-perilaku kita dari orang lain. Misalnya,periksalah apa kata orang terhadap pribadi-pribadi “terhormat” yang menipu rakyat dengan projek-projek kebendaan, pribadi-pribadi “terhormat” yang bersumpah untuk mewakili rakyat namun ternyata lebih mewakili keinginan pribadi, atau pribadi-pribadi “terhormat” yang lebih mementingkan kroni berbanding membela nasib rakyat. Siapapun yang berhati jujur pasti malu mengakui diri terhormat bila mendengar dirinya berperilaku demikian dan bahkan benci kalau perbuatan perbuatan demikian dilakukan orang lain.


Namun akhir zaman seperti sekarang ini, rasa malu dan kejujuran telah mula padam dari hati kebanyakan manusia. Itulah sebabnya, orang-orang yang benar-benar terhormat, iaitu orang-orang yang masih jujur dan memiliki rasa malu untuk berbuat jahat, telah menjadi kaum yang sedikit atau langka. Sehingga dalam sejumlah keputusan yang harus dibuat, jarang dimenangkan oleh orang-orang yang sedikit ini kerana jumlah undi suaranya yang sedikit. Namun demikian, menurut Rasulullah SAW, pada hakikatnya orang-orang yang sedikit itulah yang menang kerana telah menang dari pertempuran melawan hawa nafsu.

ADUN DAP Perak batal hasrat keluar parti

IPOH 31 Mac — Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Buntong, A.Sivasubramaniam membatalkan hasrat meletak jawatan dan keluar parti, beberapa jam selepas menghantar surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak petang ini, Sivasubramaniam berkata, tindakan itu akibat salah faham dan beliau memohon maaf kepada semua pihak.

“Saya memohon maaf kerana tindakan saya itu dibuat kerana salah faham...saya dengan ini menarik balik surat yang telah dihantar,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Surat peletakan jawatan wakil rakyat Buntong itu turut difakskan ke pejabat-pejabat media di sini pagi ini dan Koo Ham dalam sidang akhbar tengah hari tadi mengesahkan menerima surat itu tetapi berkata bahawa kesahihannya belum dipastikan kerana beliau tidak dapat menghubungi Sivasubramaniam.


Dalam surat itu, Sivasubramaniam, 41, mendakwa agihan jawatan Exco kerajaan negeri untuk dua pemimpin India tidak dilaksanakan seperti dijanjikan oleh Ngeh sebelum ini.
Koo Ham berkata, beliau berjaya menghubungi Sivasubramaniam pada pukul 5 petang ini dan mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat Buntong itu.


“Seperti yang saya jangka, keputusan yang diambil oleh Sivasubramaniam adalah berpunca daripada salah faham dan kami mengambil masa kurang lima minit untuk menyelesaikan masalah yang timbul,” katanya.


Beliau berkata, isu kekurangan wakil kaum India dalam pentadbiran kerajaan campuran timbul kerana beliau sebelum ini tidak mengumumkan keputusan kerajaan negeri untuk melantik wakil kaum India sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.


“Saya tidak mengumumkannya kerana menghormati Dewan dan Menteri Besar...pelantikan Speaker dibuat oleh Dewan dan ia belum bersidang...sekarang saya terpaksa umum kerana telah berlaku salah faham. Kita menghargai dan menghormati sokongan kaum India dan memang akan menunaikan janji melantik dua wakil India dalam kerajaan negeri,” katanya.


Menurutnya lagi, kerajaan negeri Perak juga akan memastikan wakil wanita turut dilantik memegang jawatan yang sesuai dalam pentadbiran kerajaan negeri melalui pelantikan majlis kerajaan tempatan, agensi kerajaan negeri, senator dan anak-anak syarikat.Beliau yang juga Exco kanan berkata, kerajaan negeri tidak akan meminggirkan kaum India atau wanita.


Daripada 10 anggota Exco Perak yang baru, hanya A.Sivanesan, juga daripada DAP dilantik memegang portfolio Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia.


Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Sivasubramaniam yang merupakan Timbalan Setiausaha DAP Perak, menewaskan calon Barisan Nasional Lee Tung Lai dengan majoriti 5,315 undi.
Kerajaan campuran Perak diwakili 18 wakil rakyat DAP, tujuh PKR dan enam PAS dan jika Sivasubramaniam keluar parti, kerajaan berkenaan akan hanya tinggal 30 kerusi dan bakal memerintah dengan majoriti satu kerusi. DUN Perak mempunyai 59 kerusi dan Barisan Nasional (BN) selaku pembangkang menguasai 28 kerusi.

Portfolio anggota Exco Perak diumumkan


IPOH 31 Mac — Pejabat Menteri Besar Perak hari ini mengumumkan senarai portfolio 10 anggota Exco kerajaan campuran negeri yang mengangkat sumpah jawatan Sabtu lepas dan portfolio yang dipegang Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin.

Menteri Besar bertanggungjawab bagi portfolio Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.

Senarai portfolio bagi 10 anggota Exco yang terdiri daripada enam anggota Dewan Undangan Negeri dari DAP, tiga Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan seorang wakil PAS, mengikut kenyataan yang dikeluarkan di sini ialah seperti berikut:

1. Ngeh Koo Ham (Adun Sitiawan): Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Air dan Hal Ehwal Bukan Islam.

2. Nga Kor Ming (Pantai Remis): Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam.

3. A. Sivanesan (Sungkai): Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Sumber Manusia.

4. Seah Leong Peng (Pasir Bedamar): Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan.

5. Chen Fook Chye (Keranji): Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Pengguna.

6. Su Keong Siong (Pasir Pinji): Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Komunikasi.

7. Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pertanian dan Perdagangan.

8. Tai Sing Ng (Kuala Sepetang): Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Penerangan.

9.Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering): Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

10. Mohd Zainuddin Mohd Yusof (Lubuk Merbau): Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan.

ADUN DAP Buntong di Perak keluar parti

KUALA LUMPUR 31 Mac - Krisis kerajaan campuran di Perak masih belum selesai apabila menerima tamparan terbaru ekoran pengumuman Ahli Dewan Undangan (ADUN) Buntong, A. Sivasubramaniam meletak semua jawatan dan keluar dari parti itu.

Sivasubramaniam dalam surat kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang salinannya dihantar kepada media, beliau berkata keputusan itu dibuat kerana tidak puas hati dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Pengerusi DAP Perak, Ngeh Khoo Ham.

Katanya, Khoo Ham tidak menunaikan janji untuk mengagihkan kerusi Exco kepada dua pemimpin India yang dianggapnya sebagai tamparan dan penipuan kepada kaum itu di Perak.