27 Disember 2009

Hasan Ali, jangan terima memorandum itu

9 Muharram 1431

http://bongkarsauh.blogspot.com

Satu memorandum mendesak PAS Selangor keluar daripada Pakatan Rakyat akan diserahkan dan bakal diterima oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Difahamkan, perhimpunan itu digerakkan oleh Umno atas nama kepentingan Melayu.

Tidak menghairankan sangat jika perhimpunan itu dianjurkan oleh Umno. Parti itu memang sawan jika PAS mampu bekerjasama erat dengan DAP dan PKR. Cuma, kalau perhimpunan itu dianjurkan oleh orang PAS sendiri, atau mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat, ini adalah masalah besar yang wajib dirungkai segera.

Katakan, memang benar Umno yang menganjurkannya, apa sikap PAS Selangor terutama Hassan Ali?

Ini adalah perangkap, mangsa mereka adalah Hassan. Silap haribulan Hasan masuk perangkap ini. Hassan mesti menunjukkan ketegasannya. Persetiaan PR wajib dipertahankan.

Jangan melakukan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan keraguan parti-parti sahabat bahawa agenda yang diriuhrendahkan sebelum ini masih belum mati sepenuhnya. Ini sangat penting.

Kepada Hassan, disarankan supaya jangan sama sekali menerima memorandum daripada penganjur perhimpunan itu. Biar siapa pun penganjur perhimpunan itu. Biarkan mereka melalak dan melalut.

Biarkan apa pun kata mereka. Lebih baik kita mengecewakan hanya beberapa orang yang bakal menyertai perhimpunan itu daripada kita mengecewakan jutaan rakyat yang meletakkan harapan kepada PR untuk mengganti BN.

Biar siapa pun penghantar memorandum itu, Hassan mesti tegas, jangan menerimanya. Kalau Hassan menerimanya, penganjur perhimpunan itu mendapat kemenangan awal.

Menerima memorandum itu dikira melanggar persetiaan PR kerana tujuan memorandum itu adalah jelas, mendesak PAS keluar daripada PR. Menerima memorandum itu boleh dikira mengkhianati persetiaan itu. Mengkhianati persetiaan tidak pernah diajar oleh agama.

Hassan tidak rugi apa-apa jika memorandum itu tidak diterimanya, bahkan itulah tindakan bijak untuk mengecewakan pengajur perhimpunan itu.

Pendirian ini adalah penting, jangan anggap remeh. Ini bukan masanya untuk melayan, menunjuk baik, melahirkan kemesraan, ‘open minded’, atau apa lagi…, terhadap mereka yang berniat jahat.

Menerima memorandum desakan untuk keluar PR sama seperti menerima memorandum desakan supaya dibenarkan orang Islam tidak solat Subuh.

Meninggalkan solat Subuh dan mencabuli persetiaan tidak pernah diajar oleh agama. Menerima memorandum mengenai perkara itu dikira mengiktiraf bahawa desakan meninggalkan solat Subuh dan mencabul perjanjian adalah boleh atau dibenarkan untuk dibuat.

Meninggalkan solat Subuh tidak boleh, mengemukakan memorandum untuk membenarkan tidak solat pun tidak boleh, dan menerima memorandum itu pun tidak boleh.

Hal ini sama sahaja kedudukannya dengan memorandum mendesak PAS keluar daripada PR.

Hassan, jangan terima memorandum itu.

Umno anjur perhimpunan 'desak PAS Selangor keluar Pakatan'

9 Muharram 1431

Harakahdaily

SHAH ALAM, 26 Dis: Umno dipercayai sedang menggerakkan satu perhimpunan kononnya untuk mendesak agar PAS Selangor keluar dari Pakatan Rakyat.

Menurut satu sms yang dihantar kepada Harakahdaily, perhimpunan itu akan diadakan esok 27 Disember jam 11 pagi di perkarangan pejabat perhubungan PAS Selangor dekat sini.

Dalam perhimpunan itu, sms itu memaklumkan, satu memorandum akan diserahkan dan menurutnya memo itu akan diterima sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

"Datanglah beramai-ramai demi kepentingan Melayu...," tulis sms itu.

Ketika disemak dari penghantar sms itu, didapati sumbernya adalah penggerak Umno di negeri ini.

"Dia nak ambil kesempatan dari isu yang berlaku di Selangor sekarang untuk memecahkan PAS," kata sumber yang menghantar mesej ini kepada Harakahdaily.

Sementara itu, blogger Raja Petra Kamarudin dalam tulisannya memberitahu, para pemimpin Umno telah memberitahu orang-orangnya dalam agensi kerajaan negeri ini bahawa Barisan Nasional akan mengambil alih Selangor Januari ini.

Ekoran itu, katanya, banyak agensi kerajaan negeri yang masih dipimpin oleh penyokong Umno 'tidak berfungsi sebagaimana yang sepatutnya'.

Ini kerana, mereka menunggu apakah kerajaan negeri Pakatan di Selangor ini akan jatuh atau tidak ke tangan BN Januari ini sebagaimana yang dijanjikan pemimpin Umno itu.

Adalah dipercayai, jika benarlah tulisan Raja Petra ini bermakna antara strategi Umno adalah dengan memecahkan PAS di Selangor dan seterusnya memecahkan Pakatan Rakyat.

Ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

9 Muharram 1431

Berikutan dengan sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini, dengan ini saya mewakili Pakatan Rakyat Negeri Perak mengeluarkan beberapa kenyataan seperti berikut :-

1. Pakatan Rakyat Perak turut bersimpati dan bersedih dengan keluarga mangsa dan mengucapkan takziah kepada mereka yang terlibat,harapan kami semuga semuanya bersabar dan sentiasa berdoa kepada Allah supaya semua yang meninggal dunia ditempatkan oleh Allah SWT dikalangan roh orang yang beriman. Kepada semua marilah kita menyedekahkan bacaan Al Quran kepada mereka semua..Al Fatihah...

2. Satu sisatan yang terperinci dan menyelurh mesti dilakukan dengan segera bagi memastikan pihak yang bertanggugn jawab diadili dengan sebaik mungkin termasuklah pemandu yang memandu bas ketika kemalangan itu yang telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

3. Siasatan juga perlu melibatkan keadaan jalan, pembahagi jalan dan lain-lain aspek yang berkaitan supaya kejadian seumpama itu tidak akan berulang lagi dimasa akan datang.

4. Walaupun tidak setimpal dengan nilai kehilangan nyawa, pihak yang terbabit mestilah membayar pampasan yang sepatutunya bagi membela keluarga mangsa tersebut.

Kenyataan Media/ 26 Disember 2009

YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM
Setiausaha,
Sekretariat Pakatan Rakyat
Negeri perak.

10 Maut, 2 Cedera Bas Terbabas Di Ipoh

Ngeri...Keadaan bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini. Dalam kejadian itu, seramai 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera selepas bas itu terbabas lalu merempuh pembahagi jalan. -foto The Star


IPOH: Sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi ini.

Ketua Polis Trafik Negeri, Supritendan Wan Abdullah Ishak berkata, mereka yang terbunuh dalam kejadian jam 1 pagi itu adalah Shaharin Mohd Nor, 61, dan Supiah Adam, 46, kedua-duanya dari Taman Setia, Klang, Selangor.

Menurutnya, kedua-dua penumpang yang cedera kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini manakala kesemua mangsa yang maut juga dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.

Wan Abdullah berkata, semua yang terbunuh dan cedera merupakan penumpang yang duduk di tingkat bawah bas dua tingkat berkenaan manakala semua penumpang di bahagian atas serta kedua-dua pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, bas ekspres itu berlepas dari Klang, Selangor pada jam 9 malam tadi menuju ke Kangar dan membawa 48 penumpang.

"Di tempat kejadian, bas itu tiba-tiba terbabas lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya. Ia kemudiannya melantun serta merempuh pula pembahagi jalan di sebelah kanan lebuh raya sebelum berhenti," katanya.

Menurut beliau, besi daripada pembahagi jalan yang menusuk masuk ke dalam bas selepas rempuhan yang pertama (rempuhan di sebelah kiri) menyebabkan kematian dan kecederaan penumpang berkenaan.

Wan Abdullah berkata, pemandu yang memandu bas ketika kemalangan itu telah ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, pemandu yang ditahan itu baru sahaja mengambil giliran memandu selepas bas itu berhenti di Hentian Sebelah, Simpang Pulai dekat sini sebelum kejadian.

Sementara itu, seorang daripada penumpang yang terselamat, Marziana Mahmud, 24, mendakwa pemandu bas tersebut kelihatan mengantuk sebelum kemalangan tersebut.

"Bas dipandu dalam keadaaan tidak stabil, terhoyong-hayang ke kiri dan kanan sebelum kejadian," dakwa penjawat awam itu yang duduk di bahagian depan di tingkat atas bas berkenaan.

Pemandu Mohd Kamil Mohd Rashid, 38, ditahan untuk siasatan.

Antara mangsa yang telah dikenalpasti maut adalah:

1. Noor Jismi Noordin (Kangar).

2. Musa @ Ismail Abdullah (Gurun).

3. Mohd Shukri Mohd Ali (Sungai Besar).

4. Mohd Bilal Osman (Sungai Besar).

5. Shaharin Mohd Noor (Klang).

6. Sharifah Raheel Aljunid Syed Harun (Sungai Petani).

7. Supiah Adam (Klang).

8. Ng Poh Ngoh (Alor Setar).

9. Ng Kah Kit (Alor Setar).

- BERNAMA

10 maut, 2 cedera bas langgar pembahagi jalan

9 Muharram 1431

IPOH: Sepuluh maut, dua cedera apabila sebuah bas ekspress merempuh pembahagi jalan di KM272.8 Lebuhraya Utara Selatan dekat Jelapang di sini jam 1 pagi tadi.

Mangsa yang terbunuh ialah enam penumpang lelaki dan empat penumpang wanita.

Semua mayat mangsa kini berada di Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

Ziarah-Bantuan

9 Muharram 1431H
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: PAS Kawasan Lenggong meneruskan aktiviti Ziarah-Bantuan (Z-B) apabila lima pesakit lagi menerima bantuan ala kadar, iaitu tiga di Kampung Gua Badak dan dua di Kampung Sumpitan.

Mereka yang menerima bantuan terdiri daripada pesakit jantung, strok, kencing manis, buah pinggang dan lain-lain, di mana kesemuanya warga emas.

Yang Dipertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria, ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan itu, berkata PAS komited dengan program seumpama itu kerana ia adalah kerja-kerja kebajikan yang wajar menjadi antara agenda utama perti.

Katanya, PAS sangat prihatin dengan nasib pesakit-pesakit tanpa mengira sama ada warga emas atau sebaliknya, juga tanpa mengira fahaman politik kerana penyampaian bantuan tidak bertujuan meraih sokongan.

"PAS Lenggong akan meneruskan agenda menziarah sekali gus memberikan bantuan kepada penduduk yang mengidap penyakit tanpa mengira musim dan tidak bertujuan meraih sokongan.

"Kita akan sampaikan bantuan pada bila-bila masa saja, tidak hanya menunggu musim perayaan, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya sepertimana sesetengah pihak," katanya.

Razman berkata, penerima adalah pesakit yang kebanyakannya warga emas, sehubungan itu mereka perlukan perhatian dan perlukan bantuan bagi meringankan sedikit bebanan yang mereka dan keluarga hadapi.

Katanya, bantuan yang mampu disampaikan sesuai dengan kedudukan PAS (Perak - Lenggong) sebagai sebuah parti yang bukan pemerintah, bagaimanapun nasib warga seumpama itu mungkin akan lebih terbela sekiranya PAS berkuasa.



Konsert Hijrah anjuran SEMARAK

9 Muharram 1431H
Email : Dr.Sunan Sunan




Enjin hilang, negara boleh hancur – Anwar Ridhwan

9 Muharram 1431H

SHAH ALAM, 25 Dis: Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini.

Beliau melahirkan kekesalannya kerana perkara yang tidak pernah dibayangkan boleh berlaku sebelum ini seperti kehilangan enjin pesawat yang saiznya besar tetapi mudah pula untuk diseludup ke luar negara.

“Kalau sampai dua enjin pesawat pejuang boleh hilang yang ahli silap mata terkenal dunia seperti David Copperfield tidak boleh hilangkannya tetapi yang menjaga keselamatan negara boleh hilangkan, ini satu gambaran runtuhnya iklim moral yang besar.

“Kita bimbang jika tidak diberi kesedaran tentang perlunya menjaga iklim moral dan integriti di kalangan generasi muda, negara ini akan rosak dan runtuh,” tegas Dr Anwar lagi.

Sebelum itu, Dr Anwar mengucapkan terima kasih atas kesudian Lembaga Muzium Selangor dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor menganjurkan majlis meraikan beliau sebagai Sasterawan Negara ke-10, semalam.

Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Raja Lumu, di Muzium Selangor dengan kehadiran Sasterawan Negara, Datuk (Dr) A Samad Said yang turut menyampaikan ucapan, Bendahari Gapena, Haji Hamzah Hamdani yang yang menyampaikan ucaptama dipengerusikan oleh Dr Ibrahim Ghafar.

Turut menyerikan lagi majlis berkenaan adalah Penggiat sastera dan budaya Melayu, Prof Dr Siti Zainon Ismail, Abdul Ghafar Ibrahim, Dr Ami Masra, Ahmad Sarju dan ramai lagi termasuk penuntut-penuntut Universiti seperti MSU.

“Saya sebagai anak Selangor merasa bangga dan terharu kerana setelah nama-nama besar sastera dari lain menerima anugerah ini, saya memang tertunggu-tunggu, bilakah agaknya penulis dari Negeri Selangor akan menerima anugerah Sasterawan Negara ini.

“Syukur dengan keizinan Allah SWT saya telah terpilih untuk menjadi Sasterawan Negara pertama yang datang dari Selangor,” jelas Dr Anwar dengan perasaan terharu.

Majlis Bicara Tokoh Sasterawan Negara dan di sebelah petang diadakan Seminar Penulisan Kreatif dan Variasinya ini dirasmikan oleh Exco Selangor, Puan Rodziah Ismail dan penutup oleh Datuk Dr Hassan Mohd Ali.

Kedua acara ini adalah program pertama anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor di bawah naungan Sultan Selangor yang perasmian kewujudannya akan dilakukan pada Mac 2010 nanti.

Dalam pada itu, seorang lagi Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said pula mencadangkan agar Kerajaan Negeri Selangor dapat menghadiahkan sebuah rumah sebagai ganjaran kepada Datuk Dr Anwar sebagai sasterawan pertama dari negeri ini.

Untuk rekod, Datuk Dr. Anuar Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera pada 1973 dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya.

Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP. Kini sebagai Dekan di Aswara, Kuala Lumpur.

Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.

Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001.

Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

Antara pencapaian beliau di bidang sastera adalah Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Perjalanan Terakhir (1971), Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Dunia Adalah Sebuah Apartmen (1973), Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sesudah Perang (1976), Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sasaran.

Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sahabat (1982), Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Menjadi Tua (1983), Hadiah Pertama peraduan mengarang novel anjuran Yayasan Sabah dan GAPENA 1 Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979), Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 dengan novel Arus dan Anugerah Sasterawan Negara ke-10 pada 20 Ogos 2009 oleh Tengku Mizan

Harakahdaily.Net/-

Pengerusi BN: Umno cuba beli hati pengundi Melayu

9 Muharram 1431H
Ali Hashim

PULAU PINANG, 25 Dis: Perebutan kerusi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang antara Gerakan dan Umno hanyalah bertujuan untuk meraih semula simpati daripada masyarakat Melayu yang kebanyakannya sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, apa yang dilakukan oleh Umno pada tahun ini adalah episod drama ulangan sepertimana yang telah mereka lakukan pada tahun 1986 yang lalu.

"Pada pilihan raya umum tersebut Umno telah berjanji untuk mendapatkan kerusi Ketua Menteri sekiranya memenangi kerusi dalam pilihan raya tersebut.Tetapi mereka tidak juga berjaya menjadikannya sebagai satu kenyataan.

"Kini propaganda yang mereka lakukan pada tahun-tahun terdahulu dilakukan sekali lagi semata-mata untuk meraih sokongan yang sudah pudar dikalangan masyarakat Melayu khususnya.

"Namun begitu apa yang berlaku dalam BN Pulau Pinang tidak akan membawa apa-apa perubahan senario politik di negeri ini.Rakyat sebenarnya sudah faham dan menyedari taktik yang digunakan oleh Umno dan Gerakan dalam meraih sokongan setelah kepercayaan rakyat kepada mereka semakin terhakis," katanya.

Menurut Mohd Salleh lagi tindakan Umno menggesa Gerakan supaya memberikan kerusi Pengerusi BN kepada mereka sudah tidak relevan lagi kerana rakyat tidak mudah untuk menerima mereka lagi setelah melihat kepada bentuk kepimpinan yang lemah dan tidak telus oleh kepimpinan BN sebelum ini.

HarakahDaily.Net/-

HALAL kah makanan di Kopitiam "OLD TOWN WHITE COFFEE" & "PAK HAINAM"?

9 Muharram 1431

Assalamualaikum,

Emel ini saya mulakan dengan satu pertanyaan

"HALAL KE OLD TOWN WHITE COFFEE & Pak Hainan Kopitiam ni?" Wallahualam.Saya pun kurang pasti.Saya dapat artikel ini dari kawan..diforward dari org lain..saya tambah beberapa info yg saya jumpa (Old Town White Coffee tiada dalam HALAL Malaysia directory , sijil Halal Jabatan agama islam perak untuk Old Town White Coffee).Untuk maklumat lanjut sila baca emel ini sepenuhnya. WHITE COFFEE Oldtown Kopitiam 'WCOK' telah beroperasi bermula sekitar tahun 1999. Dimana diawal penubuhan status HALAL sebenarnya telah diragui lagi.

Beberapa produk yang harus diragui STATUS HALAL & dikenalpasti HARAMnya ialah:-
-Nissin Noodles (Mee Segera Nissin Noodles) yang diimport dari Hong Kong (tertulis dipaket bungkusan) .klu tgk di pasaraya Nissin mee ni terang2 diletakkan ni NON halal food area.

Nissin Noodles Non Halal (at supermarket)

Nissin Noodle on Old Town White Coffee Menu

Nissin Noodle on "Pak Hainan Kopitiam" Menu

-Daging Salai yang digunakan pada hidangan Sandwish & Nissin Noodles juga diragui status halalnya. Ini kerana pada waktu awal penubuhan White Coffee Oldtown Kopitiam 1999 tiada dipasaran Malaysia yang menjual Daging Salai HALAL. Perkara ini anda boleh rujuk kepada para penyelidik, pensyarah & pelajar di Fakulti/ Jabatan Perhotelan @ F&B / Food & Beverages.

-Minyak yang digunakan didalam penyediaan menu ' Ipoh Ho Fun @ Ipoh Kuew Teaw Sup'. Minyak tersebut dihasilkan sendiri oleh WCOK dan tidak terdapat dipasaran. Hanya diberitahu ianya minyak udang. Tetapi adakah ianya benar & tiada campuran lain?

-Herbal Jelly adalah produk yang diimport daripada China . Diberitakan, antara isi kandungannya adalah kulit kura-kura. Khasiatnya dikatakan dapat memanaskan anggota dalaman badan (persoalannya - bolehkan UMAT ISLAM makan yang terhasil daripada KURA-KURA)

Apa yang membuatkan UMAT ISLAM diMalaysia TERPEDAYA dengan status HALALnya ialah salinan sijil HALAL yang dikeluarkan oleh JABATAN AGAMA ISLAM PERAK @ 'JAIPK' pada beberapa produknya dijaja dengan mengatakan JAIPK akan memberi STATUS HALAL pada semua produknya yang sehiingga kini (dari awal penubuhnnya-dekat 10tahun dah) masih lagi tidak diperoleh Sila layari laman Web WCOK. Hanya sijil halal bagi beberapa produk yang disahkan oleh JAIPK yang dijajanya. Berbagai anugerah telah diperolehi, namun STATUS HALAL BAGI RESTORENNYA masih lagi TIDAK BERJAYA DIPEROLEHI. KENAPA & MENGAPA? Maka itulah umat islam dinegara ini terpedaya dengan helah apabila nama JAIPK digunakan.Untuk pegetahuan saudara/saudari sijil HALAL Jabatan Agama Islam Perak dikeluarkan hanya untuk beberapa produk Old Town White Coffe je (semuanya minuman)
-OLDTOWN WHITE COFFEE 3 in 1 Classic
-OLDTOWN WHITE COFFEE 3 in 1 Hazelnut
-OLDTOWN WHITE COFFEE 3 in 1 Ice Cold
-OLDTOWN WHITE COFFEE 3 in 1 - Mild
-OLDTOWN WHITE COFFEE 3 in 1 - natural cane sugar
-OLDTOWN WHITE COFFEE 3 in 1 Coffee and Creamer
-OLDTOWN WHITE MILK TEA 3 in 1
-Instant White Coffee
-Chocolate Powder
-Instant Tea
-White Milk tea
-Ice Blended Coffee
-Ice Blended White Milk Tea
-Hazelnut Flavor
-Mocha Powder


Selain daripada penyalahgunaan Sijil Halal yang dikeluarkan oleh JAIPK umat islam juga terpedaya dengan paparan pekerja islam yang diambil bekerja. Dimana dengan mengatakan yakni makanan yang dihidangkan adalah halal, maka pekerja-pekerja islam ini telah terpedaya untuk berkerja seterusnya menjadi penipuan yang tidak diketahui mengenai status halal makanan direstoren tersebut. Bagi pengunjung-pengunjung, apabila melihat Sijil HALAL yang dipaparkan (yang dikeluarkan oleh JAIPK bg sesetengah produk sahaja & bukan yang dikeluarkan oleh JAKIM yakni pengesahan makanan yang dihidangkan oleh restoren terbabit adalah HALAL semuanya) serta pekerja-pekerja islam (yang tidak mengetahui akan Status Non-HALAL yang dihidangkan.Siap pakai tudung lagi) maka dengan mudahnya mereka memasuki dan menjamahnya.

Seperti apa yang berlaku di KULIM, KEDAH bagi Kopitiam PAK'HAINAN (juga 'TIDAK HALAL'). Sungguh menyedihkan apabila pengurus restoren beragama Islam dan berbangsa Melayu tidak mengendahkan & mengetahui status HALAL bagi makanan yang dihidangkan. Papan tanda diluar restoren juga sungguh besar menunjukkan pekerja islamnya memakai tudung menghidangkan makanan.

Begitu juga yang berlaku di TESCO Seberang Jaya, Perai pula Kopitiam WHITE HOUSE (juga 'TIDAK HALAL') selain menghidangkan `noodles @ mee' yang TIDAK HALAL dan beberapa menu lagi yang tidak diketahui Status HALAL HARAMnya, mereka juga dengan selamba & tampa rasa bersalah mengunakan LOGO HALAL JAKIM TANPA KELULUSAN (sila semak di http://www.halal.gov.my/directory/ - tiada rekod sijil halal dikeluarkan oleh jakim untuk Old town white coffe). Apabila ditanya, mereka menjawab produk mereka semuanya HALAL. Dan apa buktinya bagi Noodles @ Mee Import yang dihidangkan dan beberapa produk lain, tidak tahu jawapannnya.


Old Town White Coffee Using JAKIM HALAL Malaysia Sign without permit

Selain itu, walaupun WCOK telah membuka sehingga melebihi 100 cawangan dari tahun 1999-2008 diseluruh negara yakni dari utara hingga ke selatan namun STATUS HALALnya masih lagi tidak diperolehi. Dalam masa 10tahun, 100 cawangan telah berjaya dibuka dengan menghidangkan kepada UMAT ISLAM MALAYSIA makanan yang HARAM. Dan sungguh menyedihkan apabila pihak JAKIM selaku pihak Jabatan Agama yang bertanggungjawab dinegara ini mengambil sikap berdiam diri. Adakah seseorang dijabatan ini telah disogok agar tiada isu dibangkitkan & tindakan diambil walaupun sebenarnya telah ada aduan yang dibuat(boleh semak di sini http://www.halal.gov.my/aduan_siar.php - dah ada aduan tetapi tindakan masih juga belum diambil). Apakah pihak di JAKIM hanya melihat kepentingan yang akan diperolehi dengan tindakan ini tetapi tidak PERHINTUNGAN di PADANG MASYAR nanti? Apakah perlu adanya aduan baru ada tindakan? Sedangkan pihak JAKIM telah melihat begitu ramai umat islam menjamah makanan di `WHITE COFFEE OLDTOWN KOPITIAM' yang 'TIADASTATUS HALAL' dan kini terbukti 'TIDAK HALAL' nya. Adakah tiada pemantauan dan tindakan bagi pihak yang `TIDAK MENDAPAT KEBENARAN/ KELULUSAN' menggunakan logo halal jakim sesuka hati?

Hanya beberapa Kopitiam sahaja yang prihatin & dilihat telah mendapat `PENGESAHAN SIJIL HALAL JAKIM' walaupun baru setahun jagung dibuka. Seperti SWENZ KOPITIAM & KAPITAN KOPITIAM.

Jawapannya MUDAH, ini kerana sesetengah hidangan makanan yang dihidangkan di Rangkaian Kopitiam seperti:-

-WHITE COFFEE OLDTOWN Kopitiam,
- NEWTOWN Kopitiam
-WHITE HOUSE Kopitiam
-PAK HAINAN Kopitiam
-JOM BALI Kopitiam
adalah 'TIDAK HALAL'
To check Halal product listing please go to: http://www.halal.gov.my/directory/
KALAU BETUL TIDAK HALAL kenapa masih belum ada tindakan diambil oleh JAKIM atau mana2 badan yang berkenaan? sedangkan premis boleh menggunakan simbol Halal sewenang-wenangkan di banner dan pintu masuk..

Kalau BETUL HALAL , kenapa tiada sijil yang dikeluarkan untuk premis ni??

TOLONG LAH MANA2 PIHAK YG DIPERTANGGUNGJAWABKAN SILA AMBIL SERIUS PERKARA INI..
--
regards,
ﺠﻔﺮﻱ مصطفى
Jefri Mustapa

Bantuan Kifalah untuk semua yang mendaftar

9 Muharram 1431H

ALOR SETAR, 25 Dis: Skim Kifalah atau pun khairat kematian yang akan dilaksanakan pemberiannya mulai Jan 2010 sebagai bantuan segera kepada rakyat miskin akan turut memberi tumpuan kepada semua golongan miskin, semua kaum dan warga emas.

Namun begitu, menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, bantuan ini akan diberikan kepada mereka yang berdaftar dengan e-Sinar iaitu satu program membasmi kemiskinan.

"Selain daripada itu bantuan akan turut disalurkan melalui senarai yang telah diberikan oleh penghulu, wakil rakyat dan juga Majlis Ketua Kampung atau komuniti.

"Bantuan akan disalurkan hanya melalui pendaftaran sahaja bagi membuktikan individu tersebut adalah layak untuk menerima sumbangan tersebut.

"Projek Kifalah ini juga merupakan projek pertama Kerajaan Negeri yang akan dikuatkuasakan pada tahun hadapan bagi membuktikan kita benar-benar memberi komitmen untuk membantu golongan miskin yang memerlukan di negeri ini," kata Azizan.

Menurut beliau lagi skim ini tidak harus ditumpukan kepada golongan miskin sahaja sebaliknya ia harus merangkumi warga emas yang kurang berkemampuan.

Bantuan sebanyak RM500 yang akan diberikan oleh Kerajaan Negeri itu adalah bagi membantu pengurusan jenazah.

"Satu unit dibawah Perbendaharaan Negeri akan ditubuhkan tidak lama lagi bagi menguruskan segala pembiayaan kewangan, perbelanjaan dan urusan yang melibatkan skim Kifalah ini bagi memastikan ianya berjalan dengan baik dengan sistematik."katanya lagi.

HarakahDaily.Net/-

Perkenalkanlah Islam secara fitrah -Dr.Wahbah

9 Muharram 1431H
Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 25 Dis: Cendekiawan Islam tempatan digesa memperkenalkan prinsip-prinsip Islam kepada masyarakat bukan Islam sebagaimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w dalam pembentukan Piagam Madinah.

Prinsip-prinsip Islam seperti keadilan hak, kebebasan berfikir dan beragama, kesamarataan sosial serta keselamatan jiwa merupakan prinsip-prinsip sejagat yang pasti diterima rakyat secara fitrah, walaupun tidak menganut Islam

Demikian gesaan Dr. Wahbah az-Zuhaily ketika menyampaikan ketika menyampaikan syarahan 'Fiqh Masyarakat Bukan Islam dalam Negara' di sini baru baru ini.

Beliau yang juga Dekan Fakulti Fiqh dan Mazhab Islam dari Universiti Damsyik, Syria berkata, masyarakat bukan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w menikmati keadilan sosial apabila setiap jiwa dijamin keselamatan oleh kerajaan Rasulullah s.a.w.

Menurut beliau lagi, rakyat Madinah tidak dipaksa memeluk agama Islam walaupun Rasulullah s.a.w menjadi Ketua Kerajaan.

Sebaliknya Rasulullah s.a.w menjalankan usaha dakwah serta menggalakkan rakyatnya berfikir, sebelum memilih untuk menganut agama Islam atau sebaliknya.

Jelasnya, kerajaan Islam juga diwajibkan mempertahankan hak-hak asasi masyarakat bukan Islam.

"Setiap ahli masyarakat bukan Islam di dalam kerajaan Madinah dipertahankan hak mengamalkan agamanya masing-masing, biara-biara ibadat mereka tidak boleh dirobohkan serta hak asasi mereka perlu dihormati oleh para pemimpin Islam dan umatnya (Islam)," jelas Dr. Wahbah dalam pengucapan bahasa Arab.

Ujarnya lagi, setiap rakyat tidak kira masyarakat Islam atau bukan Islam turut diwajibkan mempertahan kedaulatan sesebuah kerajaan yang adil, sebagaimana yang ditunjukkan dalam Piagam Madinah.

Sebelum pada itu, Exco Selangor yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Datuk Dr. Hassan Mohd Ali turut menyampaikan ucapan perasmian dan penghargaan kepada Dr. Wahbah dan peserta yang hadir.

Simposium tersebut merupakan anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (PUMSEL), Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) demi mendepani cabaran semasa rakyat Malaysia yang plural.

HarakahDaily.Net/-

Spakat akan perjuang nasib peneroka

9 Muharram 1431H

BERA, 25 Dis: Presiden Persatuan Anak Peneroka Se Malaysia (Anak) , Mazlan Aliman membayangkan kewujudan sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan NGO baru untuk bergandingan dengan Anak bagi memperjuangkan isu-isu kepenerokaan.

NGO baru yang akan dikenali sebagai Spakat itu akan memfokuskan secara keseluruhan masalah peneroka, manakala Anak pula akan terus memberi fokus kepada masalah dan isu berkaitan Generasi baru Felda.

Perkara itu katanya kini sudahpun diperingkat perbincangan, dan sebuah jawatankuasa penaja telahpun dibentuk dan sedang giat menjalankan kajian serta pesediaan untuk penubuhan Spakat.

“Insyakallah NGO baru ini akan lebih fokos kepada isu peneroka manakala Anak akan memfokoskan isu generasi baru Felda,” katanya.

Mengenai Anak, Mazlan berkata, Anak akan memperhebatkan gerakan penerangan disuluruh negara untuk menambah keahlian disamping menubuhkan cawangan-cawangan baru disetiap skim penempatan Felda.

“Kita akan lancarkan ‘road show’ bergerak kesuruh negara untuk memperjelaskan isu-isu berkaitan Generasi Baru Felda,” katanya.

Mazlan menyifatkan Generasi Baru Felda semakin tersepit dengan pelbagai masalah yang gagal ditangani kerajaan dan Felda.

Anak, katanya juga sedang berusaha mendapatkan sokongan daripada kerajaan-kerajaan negeri bagi memboleh generasi baru Felda ini mendapatkan lot tanah di tanah rancangan bagi membina rumah kediaman yang menjadi masalah utama kepada golongan itu.

“Kita tahu banyak tanah kosong di rancangan Felda yang boleh di agih-agihkan atau dibina rumah kos rendah sebelum dijual kepada generasi baru Felda,” katanya.

HarakahDaily.Net/-

Terengganu lancar projek 'Ops-Al Falah' sepanjang 2010

9 Muharram 1431H

KUALA TERENGGANU, 25 Dis: PAS Terengganu akan menjadikan tahun 2010 sebagai tapak untuk menarik sokongan besar-besaran kepada parti Islam itu melalui apa yang dinamakan sebagai projek 'Ops-Al Falah'.

Melalui projek yang akan bermula Januari hingga Disember tahun depan itu, PAS akan turun ke segenap ceruk rantau negeri itu untuk memberikan penerangan tentang perjuangan PAS.

Pengarah Pilihan Raya PAS Terengganu, Ariffin Deraman (gambar) berkata, ia berupa projek bersepadu yang akan bergerak dari peringkat cawangan lagi yang akan dikendalikan oleh Majlis Tindakan Dun (MTD).

"Kita akan jadikan sepanjang tahun depan seumpama pilihan raya kecil berjalan sepanjang masa. Hanya kawasan tumpuan akan berbeza bagi setiap masa," katanya kepada Harakahdaily.

Program ini disusun dan dirancang berdasarkan pengalaman PAS dan Pakatan Rakyat menghadapi banyak sekali pilihan raya kecil sepanjang tahun ini.

"Pengalaman kita terlibat dalam pilihan raya kecil itu akan digunakan untuk menggerakan jentera kita sepanjang tahun," katanya.

Operasi ini akan menggabungkan seluruh jentera pilihan raya PAS dan semua jabatan di peringkat negeri sehinggalah ke peringkat Unit Peti Undi dan cawangan di setiap kampung dan taman.

"Dalam operasi ini, satu atau dua UPU akan dipilih bagi setiap hujung minggu, Khamis hingga Sabtu...jentera negeri dan kawasan serta Dun akan berkampung di situ bagi menggerakkan operasi ini. Kita akan selesai gerakkerja ini di penghujung tahun depan," kata Ariffin.

Tumpuan utama operasi ini adalah menambahkan bilangan pemilih baru, memberikan perkhidmatan dan lain-lain.

"Sasaran kita adalah naik ke semua rumah untuk bertemu dengan penduduk tempatan bagi setiap kawasan operasi kita," kata Ariffin.

Sepanjang Disember ini, katanya, pelbagai kursus telah dianjurkan untuk mempersiapkan jentera bagi menjayakan operasi ini.

"Kita telah latih kira-kira 1,000 muslimat kita untuk naik ke rumah-rumah bagi menyampaikan mesej PAS di samping mengenalpasti penduduk bagi setiap kawasan," katanya.

Untuk awal Januari depan, DUN Paka di Dungun akan menjadi kawasan pertama operasi ini.

HarakahDaily.net/-

Pelajar cemerlang dirasuah Ahmad Said

9 Muharram 1431H

KUALA TERENGGANU, 25 Dis: "Dari semua bantuan dan sumbangan yang kerajaan buat ini, saya tidak minta perkara besar dari tuan-tuan, hanya ada satu permintaan kecil sahaja iaitu bagilah undi tuan puan untuk BN dalam pilihan raya akan datang."

Ungkapan di atas dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di Dewan Besar, Wisma Darul Iman semalam

Ia dibuat di hadapan ibu bapa dan para pelajar seluruh Terengganu yang menerima hadiah kecemerlangan Pelajar Yayasan Terengganu.

Inilah kemuncak bagi 'segala kerja baik' dari kerajaan negeri kepada rakyat iaitu 'satu undi untuk BN'. Namun kali ini ia tidak diminta secara 'berlapik' lagi tetapi secara terus terang.

Seorang bapa kepada seorang pelajar yang menerima hadiah itu terkejut besar dengan ungkapan itu.

Ini kerana, sepanjang kerier beliau sebagai seorang pegawai kerajaan negeri tidak pernah Menteri Besar sebelum ini mengeluarkan ungkapan seterang itu.

"Kalau dia nak minta kita sokong BN pun, dia berlapik sikit...berkias-kias...tetapi MB yang ini terus kepada undilah BN," kata beliau kepada Harakahdaily.

Melalui program ini, Yayasan Terengganu telah membelanjakan lebih RM10 juta untuk memberikan hadiah kepada pelajar cemerlang ini yang bermula sejak tahun 1980 lagi.

Tahun ini, 6,740 pelajar menerima sumbangan ini yang melibatkan peruntukan sebanyak hampir RM1 juta.

Kerajaan negeri tidak meminta perkara besar dari semua sumbangan yang sangat banyak ini cuma 'satu undi untuk BN' bagi setiap rakyatnya yang layak mengundi sahaja.

"Kalau begitu, ini rasuahlah," kata bapa kepada pelajar berkenaan.

HarakahDaily.Net/-

Royalti: 5 asas kukuh kenapa Pusat wajib bayar

9 Muharram 1431H

BESUT, 26 Dis: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) mendesak Kerajaan Pusat supaya segera menunaikan janji dan tanggungjawab untuk membayar royalti petroleum kepada kerajaan di negeri-negeri dari mana minyak telah dikeluarkan untuk kebaikan dan manfaat rakyat.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof dan Mohamad Fauzi Abu Samah pada sidang media yang diadakan di sini, petang semalam.

Gegar adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang dilancarkan pada awal bulan ini untuk mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.

Menurut mereka, hujah utama mengapa kerajaan mesti mengembalikan wang royalti kepada negeri ialah komitmen kerajaan sendiri seperti mana yang telah disebut oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein pada 12 Disember 1975 di Parlimen bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membayar wang tunai tersebut kepada negeri.

Selain itu, ujar mereka, perjanjian telah dibuat pada 1975 antara Menteri-menteri Besar Semenanjung dengan Pengerusi Petronas untuk memberi lima peratus royalti kepada negeri.

“Dan berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar kepada kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak,” kata mereka.

Tambah mereka, pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri mempunyai hak Zon Ekonomi Eksklusif menjangkau jarak 200 batu nautika.

Justeru, kata mereka pernyataan yang menyatakan jarak tiga batu nautika adalah mengelirukan kerana Akta Darurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud.

Mereka turut menghuraikan lima sebab mengapa kerajaan Pusat mesti mengembalikan royalti petroleum kepada rakyat melalui kedua-dua kerajaan negeri itu.

Pertama, perjanjian yang telah ditandatangani antara Menteri-menteri Besar bagi negeri-negeri di Semenanjung pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas ketika itu, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah adalah sah dan Petronas adalah terikat kepada perjanjian ini.

Bagi Negeri Terengganu, pemberian royalti yang telah diberikan bermula 1978 sehinggalah ianya diubah kepada “wang ehsan” pada tahun tahun 2000. Persoalannya, kenapa dulu dikenali sebagai royalti dan kenapa sekarang ianya dikenali sebagai wang ehsan sedangkan berdasarkan kepada perjanjian, dengan terang ianya ditakrifkan sebagai royalti dan bukan ehsan.

Bagi negeri Kelantan, perjanjian telah ditandatangani antara Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi Petronas. Perjanjian ini telah mengikat kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti kepada kerajaan Kelantan sebanyak lima peratus setahun dan dibayar tunai dua kali setahun. Perjanjian ini tidak pernah dibatalkan.

Kedua, Akta Kemajuan Petroleum 1974 seksyen 4 telah menetapkan supaya Perbadanan (Petronas) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak bagi negeri tersebut. Berasaskan peruntukan ini, penganugerahan wang tunai kepada negeri-negeri yang perairannya mempunyai minyak telah dibuat sejak dahulu.

Ketiga, kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negeri Kelantan dan Terengganu tidak layak untuk mendapat royalti petroleum kerana petroleum yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri-negeri ini (luar states territorial waters’ – ukuran melebihi tiga batu nautika seperti dalam Akta Pelantar Benua 1966) adalah tidak relevan dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti ini.

Sebagai contoh, perjanjian yang telah ditandatangi oleh Menteri Besar Kelantan pada tahun 1975 dengan Pengerusi Petronas tidak menetapkan perkara ini sebagai syarat.

Malah, berdasarkan hansard soal jawab Parlimen bertarikh 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak ketika menjawab soalan di Parlimen menjelaskan bahawa mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima lima peratus daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.

Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika.

Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan antara Petronas dengan Kerajaan Thailand di Laut China Selatan/Teluk Siam.

Keempat, pembayaran yang sepatunya adalah royalti dan bukan wang ehsan. Perjanjian pada 1975 itu menyebut pembayaran wang tunai dan bukan wang ehsan. Wang ehsan dan royalti adalah berbeza kerana wang ehsan memberi makna pemberian simpati sedang wang royalti adalah wang yang mesti dibayar hasil daripada perjanjian dan perundingan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Wang royalti hendaklah dibayar kepada kerajaan yang mentadbir secara sah di sesebuah negeri berkenaan. Sebaliknya, pembayaran wang ehsan kepada jabatan persekutuan yang beroperasi di negeri akan membuka peluang kepada pembaziran, pertindihan dan penggunaan wang secara tidak optimum kerana perancangan dan pembangunan untuk rakyat di negeri adalah dipimpin oleh kerajaan negeri.

Kelima, Kerajaan Persekutuan mestilah secara adil menegakkan konsep federalisme (persekutuan) kepada semua negeri di Malaysia.

Konsep federalisme menekankan kepentingan hubungan yang harmoni dan berkesan antara kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri setelah bidang kuasa kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ditetapkan dalam perlembagaan negara.

Dalam amalan federalisme, negeri yang berada dalam Persekutuan diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan.

Melalui perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan.

Dalam konteks ini, pemberian wang royalti oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah bukti penegakan konsep federalisme kerana kerajaan negeri berhak untuk merancang dan menentukan penggunaan wang royalti untuk kepentingan rakyat negeri berdasarkan bidang kuasa negeri.

Dengan itu, kata mereka, hujah pihak yang menolak pembayaran royalti iaitu minyak yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri; negeri hanya layak menuntut jika minyak ditemui dalam jarak tiga batu nautika serta negeri (seperti Kelantan) tidak layak menuntut royalti minyak daripada Zon Ekonomi Eksklusif kerana ia bukan negeri adalah tidak dapat dipertahankan.

“Kesemua fakta dan hujah di atas menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak ada pilihan melainkan membayar royalti kepada kerajaan negeri yang berkenaan yang seharusnya menggunakannya dengan sebaik-baik untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jelata,” ujar mereka.

HarakahDaily.Net/-

Mengapa Kerajaan Persekutuan Mesti Mengembalikan Royalti kepada Kerajaan Negeri - Sidang Media

9 Muharram 1431H

Pengerusi Bersama, Su, dan AJK GEGAR memberikan kenyataan akhbar di Jerteh, Terengganu petang tadi.

KENYATAAN MEDIA OLEH GERAKAN BERTINDAK KEMBALIKAN ROYALTI RAKYAT (GEGAR)

Mengapa Kerajaan Persekutuan Mesti Mengembalikan Royalti kepada Kerajaan Negeri?

Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) adalah badan NGO yang dilancarkan pada awal bulan ini untuk mencetuskan kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak kepada rakyat yang berhak.

GEGAR mendesak Kerajaan Malaysia untuk segera menunaikan janji dan tanggungjawabnya untuk membayar wang tunai kepada kerajaan di negeri-negeri dari mana minyak telah dikeluarkan untuk kebaikan dan manfaat rakyatnya.

Hujah utama mengapa kerajaan mesti mengembalikan wang royalti kepada negeri ialah komitmen kerajaan sendiri seperti mana yang telah disebut oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak pada 12 Disember 1975 di Parlimen bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membayar wang tunai tersebut kepada negeri.

Selain itu, perjanjian telah dibuat pada 1975 antara Menteri-menteri Besar Semenanjung dengan Pengerusi PETRONAS untuk memberi 5% royaltI kepada negeri. Dan berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar kepada kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Pengeluaran minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri mempunyai hak zon eksklusif ekonomi menjangkau jarak 200 batu nautikal.

Pernyataan yang menyatakan jarak tiga batu nautikal adalah mengelirukan kerana Akta Dharurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud.

Berikut adalah lima huraian mengapa kerajaan mesti mengembalikan royalti kepada rakyat melalui kerajaan negeri:


(1) Pertama, perjanjian yang telah ditandatangani antara Menteri-menteri Besar bagi negeri-negeri di Semenanjung pada tahun 1975 dengan Pengerusi PETRONAS ketika itu, iaitu YM Tengku Razaleigh Hamzah adalah sah dan PETRONAS adalah terikat kepada perjanjian ini.

Bagi Negeri Terengganu, pemberian Royalti yang telah diberikan bermula 1978 sehinggalah ianya diubah kepada “Wang Ehsan” pada tahun tahun 2000. Persoalannya, kenapa dulu dikenali sebagai Royalti dan kenapa sekarang ianya dikenali sebagai Ehsan. Sedangkan berdasarkan kepada perjanjian, dengan terang ianya ditakrifkan sebagai Royalti dan bukan Ehsan.

Bagi negeri Kelantan, perjanjian telah ditandatangani antara Menteri Besar ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi PETRONAS. Perjanjian ini telah mengikat kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti kepada kerajaan Kelantan sebanyak 5% setahun – dan dibayar tunai dua kali setahun. Perjanjian ini tidak pernah dibatalkan.


(2) Kedua, Akta Kemajuan Petroleum 1974 seksyen 4 telah menetapkan supaya Perbadanan (PETRONAS) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak bagi negeri tersebut. Berasaskan peruntukan ini, penganugerahan wang tunai kepada negeri-negeri yang perairannya mempunyai minyak telah dibuat sejak dahulu.


(3) Ketiga, kenyataan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib bahawa negeri Kelantan dan Terengganu tidak layak untuk mendapat royalti petroleum kerana petroleum yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri-negeri ini (luar states territorial waters’ – ukuran melebihi tiga batu nautikal seperti dalam Akta Pelantan Benua 1966) adalah tidak relevan dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti ini.

Sebagai contoh, perjanjian yang telah ditandatangi oleh Menteri Besar Kelantan pada tahun 1975 dengan Pengerusi PETRONAS tidak menetapkan perkara ini sebagai syarat. Malah, berdasarkan hansard soal jawab Parlimen bertarikh 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak ketika menjawab soalan di Parlimen menjelaskan bahawa mengikut perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.


Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika. Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di Perairan Laut China Selantan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan antara Petronas dengan kerajaan Thailand di Laut China Selatan / Teluk Siam.


(4) Keempat, pembayaran yang sepatunya adalah royalti dan bukan wang ihsan. Perjanjian pada 1975 itu menyebut pembayaran wang tunai dan bukan wang ihsan. Wang ihsan dan royalti adalah berbeza kerana wang ihsan memberi makna pemberian simpati sedang wang royalti adalah wang yang mesti dibayar hasil daripada perjanjian dan perundingan yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Wang royalti hendaklah dibayar kepada kerajaan yang mentadbir secara sah di sesebuah negeri berkenaan. Sebaliknya, pembayaran wang ihsan kepada jabatan persekutuan yang beroperasi di negeri akan membuka peluang kepada pembaziran, pertindihan dan penggunaan wang secara tidak optimum kerana perancangan dan pembangunan untuk rakyat di negeri adalah dipimpin oleh kerajaan negeri.


(5) Kelima, Kerajaan Persekutuan mestilah secara adil menegakkan konsep federalisme (Persekutuan) kepada semua negeri di Malaysia. Konsep federalism menekankan kepentingan hubungan yang harmoni dan berkesan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri setelah bidang kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri ditetapkan dalam perlembagaan negara.

Dalam amalan federalism, negeri yang berada dalam persekutuan diberikan kuasa autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa mereka dengan berkesan. Melalui perhubungan yang jelas, baik dan terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan dengan berkesan.

Dalam konteks ini, pemberian wang royalti oleh Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri adalah bukti penegakan konsep federalism kerana kerajaan negeri berhak untuk merancang dan menentukan penggunaan wang royalti untuk kepentingan rakyat negeri berdasarkan bidang kuasa negeri.

Dengan ini, hujah pihak yang menolak pembayaran royalti iaitu minyak yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri; negeri hanya layak menuntut jika minyak ditemui dalam jarak tiga nautikal serta negeri (seperti Kelantan) tidak layak menuntut royalti minyak daripada zon ekonomi eksklusif kerana ia bukan negeri – adalah tidak dapat dipertahankan.

Kesemua fakta dan hujah di atas menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak ada pilihan melainkan membayar royalti kepada kerajaan negeri yang berkenaan yang seharusnya menggunakannya dengan sebaik-baik untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat jelata.

Yang benar,

Dr Abdul Halim Bin Yusof
En Mohamad Fauzi Bin Abu Samah
Pengerusi Bersama
Gerakan Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR)

25 Disember 2009
Jerteh, Terengganu.
www.royaltirakyat.blogspot.com