27 Disember 2009

Pengerusi BN: Umno cuba beli hati pengundi Melayu

9 Muharram 1431H
Ali Hashim

PULAU PINANG, 25 Dis: Perebutan kerusi Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang antara Gerakan dan Umno hanyalah bertujuan untuk meraih semula simpati daripada masyarakat Melayu yang kebanyakannya sudah hilang keyakinan dan kepercayaan kepada mereka.

Menurut Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, apa yang dilakukan oleh Umno pada tahun ini adalah episod drama ulangan sepertimana yang telah mereka lakukan pada tahun 1986 yang lalu.

"Pada pilihan raya umum tersebut Umno telah berjanji untuk mendapatkan kerusi Ketua Menteri sekiranya memenangi kerusi dalam pilihan raya tersebut.Tetapi mereka tidak juga berjaya menjadikannya sebagai satu kenyataan.

"Kini propaganda yang mereka lakukan pada tahun-tahun terdahulu dilakukan sekali lagi semata-mata untuk meraih sokongan yang sudah pudar dikalangan masyarakat Melayu khususnya.

"Namun begitu apa yang berlaku dalam BN Pulau Pinang tidak akan membawa apa-apa perubahan senario politik di negeri ini.Rakyat sebenarnya sudah faham dan menyedari taktik yang digunakan oleh Umno dan Gerakan dalam meraih sokongan setelah kepercayaan rakyat kepada mereka semakin terhakis," katanya.

Menurut Mohd Salleh lagi tindakan Umno menggesa Gerakan supaya memberikan kerusi Pengerusi BN kepada mereka sudah tidak relevan lagi kerana rakyat tidak mudah untuk menerima mereka lagi setelah melihat kepada bentuk kepimpinan yang lemah dan tidak telus oleh kepimpinan BN sebelum ini.

HarakahDaily.Net/-

1 ulasan:

david ahmad muniandy berkata...

kaum melayu negeri pulau pinang nasib sudah terbela kerana dapat imbuhan sebanyak RM500 setiap bulan, negeri naungan bawah Dato' Lim Guan Eng, dulu bn memerintah kaum melayu satu sen pun tak dapat.

aku orang seberang prai selatan aku taulah.