11 April 2013

PRU13: Pertama kali ada dua calon Perdana Menteri

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Yang lebih menggelorakan gelombang sekarang ialah semua kata sudah ada dua calon Perdana Menteri iaitu Anwar dan Najib.

“Dulu calon Perdana Menteri itu tunggal. Zaman Tun Razak, Tun Razak saja. Masa Dr Mahathir Mohamad, dia calon tunggal.

“Begitu juga zaman Pak Lah. Zaman seperti itu sudah tidak ada bagi Najib. Buat pertama kali ada dua calon Perdana Menteri,” tulis blogger Pencacai SeMalaysia.

Berikut tulisan penuh.

Pembubaran Parlimen pada 3 April lalu bukan bermulanya demam pilihanraya. Jika negara ini ibarat manusia, ia sudah demam lama yakni orang yang berpenyakit sekian lama.

Demamnya menyerang sejak dua musim haji lalu. Cuma pembubaran Parlimen itu menambah tinggikan suhu, dari demam biasa kepada demam panas.

Gelora demamnya memuncak. Gelombang PRU13 ini lebih bergelora dari 2008. Gelombang dulu ributnya di Semenanjung saja. Di Sabah dan Sarawak demam biasa saja. Tetapi kali gelora di Sabah bak mengatasi gelombang di Semenanjung. Bahkan Sarawak pula geloranya sudah tidak sekecil dulu. Ia mungkin tidak segelora Sabah tetapi bukan lagi gelora yang biasa.


Gelombang yang tidak segelora sekarang telah menyaksikan BN hillang majoriti dua pertiga di Parlimen buat pertama kali dan ia hilang empat lagi kerajaan negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Tengkujuh yang amat bergelora di Kelantan pada PRU 2004 jadi ribut biasa menyebabkan BN kembali senasib PRU 1990.

PRU 2008 sekali sekala saja Tok Guru Haji Hadi Awang bertemu Lim Kit Siang. Jarang sangat PAS naik pentas DAP dan DAP pun tidak banyak berceramah dengan PAS. Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah bebas tetapi kakinya berantai. Masa itu tiada Pedana Menteri menunggu. Kerajaan menunggu ada, tetapi Perdana Menterinya tidak ada.


Sejak lima tahun dulu Ustaz Hadi bertemu Kit Siang bukan lagi tiap-tiap bulan tapi dua tiga kali sebulan. Tok Guru Nik Aziz Nik Mat duduk sekali dengan Karpal Singh jadi hal biasa. Tak pernah Tok Guru Nik Aziz memotong kek hari jadi, tetapi beliau menyambut hari jadi di rumah Karpal.


Dan sekarang kerajaan menunggu ada Perdana Menteri.


Dulu PKR, DAP dan PAS tiada bas jelajah kawasan pilihanraya. Bas PKR dengan gambar Anwar tiba ke merata tempat. Kenderaan DAP pula dihias gambar Kit Siang. PAS pula tidak ketinggalan, ada treler panjang Negara Berkebajikan. Beza treler PAS tidak gambar Ustaz Hadi saja. Lebihnya ia pamer gambar Ustaz Hadi, Anwar dan Kit Siang sekali. Ertinya treler PAS bawa PKR dan DAP sekali ke sana sini.


Dulu tiada Pakatan Rakyat. Masing-masing dengan manifestonya. Ini kali Pakatan ada manifesto umum yang dinamakannya Buku Jingga dikeluarnya tiga tahun dulu dan ada pula manifesto pilihanraya khas Pakatan Harapan Rakyat.


Dulunya BN dalam banyak perkara. Cuma BN mendahului Pakatan dengan menaikkan bendera Dacing di merata tiang di bandar dan desa sebulan lebih sebelum Parlimen dibubarkan. Ketika ia dibubarkan bendera pembangkang tak nampak.


Walaupun BN lambat keluarkan manifesto tetapi ia terlebih dulu keluarkan duit BR1M.


Yang lebih menggelorakan gelombang sekarang ialah semua kata sudah ada dua calon Perdana Menteri iaitu Anwar dan Najib. Dulu calon Perdana Menteri itu tunggal. Zaman Tun Razak, Tun Razak saja. Masa Dr Mahathir Mohamad, dia calon tunggal. Begitu juga zaman Pak Lah. Zaman seperti itu sudah tidak ada bagi Najib. Buat pertama kali ada dua calon Perdana Menteri.


Dengan gelombang yang bergelora dulu telah menyebabkan berlaku tsunami politik. Apakah dalam gelora seperti gunung memukul pantai, tiada tsunami yang lebih besar atau tiada lagi tsunami?


Alam seolah ajaib kalau gelora sedemikian tidak memungkinkan tsunami.


Bukan manifesto Pakatan saja hendak harga motokar. Manifesto BN juga hendak menurunkan motokar. Jika PR tidak rancang begitu dipercayai BN tidak bercadang turunkan harga itu.


Lebih BN dari Pakatan ialah BN ada BR1M dan akan dinaikkan kepada RM1,200 sedang sekarang RM500 saja. PR tiada BR1M. Bolehkah BR1M yang dinaikkan itu menjadikan gelombang yang merata itu hilang gelora dan BN dapat semula dua pertiga dan negeri-negeri yang hilang dulu?

Harakahdaily/-

Wan Azizah sahkan tidak bertanding PRU13

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Wan Azizah Wan Ismail

Wan Azizah Wan Ismail
PETALING JAYA - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau berkata, lebih baik beliau menumpukan perhatian kepada kempen dan menarik sokongan pengundi wanita kepada partinya.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak bertanding. Saya mahu fokus kepada kempen," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini hari ini.

Beliau menafikan telah diketepikan kerana tidak bertanding dan berkata, beliau masih presiden parti.

Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau pernah menulis surat kepada Dr Mahathir sebanyak 18 muka surat 15 tahun lalu mengenai salah laku suami beliau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri, Wan Azizah berkata: "Saya tidak pernah menulis surat itu."

Minggu lalu Dr Mahathir memberitahu media mengenai surat itu, tetapi tidak mendedahkan kandungannya.
- Bernama

Isma tanding 8 kerusi Parlimen, 3 kerusi Dun bawah tiket Berjasa

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menyenaraikan lapan calon untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di atas tiket Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang (PRU13).

Berjasa dalam kenyataannya hari ini berkata, calon yang tersenarai ialah Mohamad Ismail yang akan bertanding di Parlimen Subang dan Dun Kajang; Abdul Fisol Md Isa (Parlimen Alor Setar dan Dun Derga); dan Hamidi Abu Hassan (Parlimen Padang Serai dan Dun Gurun).

Calon lain ialah Abdul Halim Abdullah (Parlimen Seremban), Mohd Hazizi Ab Rahman (Parlimen Selayang), Shaharuzzaman Bistamam (Parlimen Tapah), Aminuddin Yahaya (Parlimen Wangsa Maju); dan Mohd Pathan Hussin (Parlimen Kapar).

"Berjasa menggesa pengundi menyokong sepenuhnya dan mengundi semua calon Berjasa untuk membolehkan Berjasa menjadi kuasa ketiga yang efektif dalam Parlimen," katanya.

Berjasa yang ditubuhkan pada 1977 sebagai parti alternatif kepada Pas yang telah memerintah Kelantan sejak lebih dua dekad. Ia menyertai pilihan raya umum kelima setahun kemudian.- Bernama

Tukang rumah maut, kereta hilang kawalan

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Tukang rumah maut, kereta hilang kawalan

Keadaan kereta Proton Wira mangsa yang remuk selepas bertembung dengan kereta jenis Proton Gen2 dipandu Mohd Ridwan.
Tukang rumah maut, kereta hilang kawalan

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Limbat, Bukit Payung.
MARANG – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta lain di kilometer 42.5 Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Gong Balai, Merchang di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, mangsa, Mohd Nazi Kassim, 37, memandu kereta jenis Proton Wira, membawa bersama seorang penumpang wanita, Zaharah Ibrahim, 52, dipercayai sedang dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu.

Mohd Nazi yang bekerja sebagai tukang rumah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah manakala penumpang wanita terbabit dan seorang lagi pemandu kereta, Mohd Ridwan Mustaffa, 32, mengalami cedera ringan.

Menurut adik tiri mangsa, Mohd Suhelmi Razali, 20an, abang tirinya yang beralamat dari Jalan Anak Balai Besar, Dungun itu keluar dari rumah keluarganya untuk ke Kuala Terengganu dan sempat singgah di rumah ayahnya di Balai Besar lebih kurang jam 9 malam.

“Abang (mangsa) kerap ke Kuala Terengganu dan sebelum kejadian, dia singgah terlebih dahulu di rumah ayah dan memaklumkan akan ke Kuala Terengganu sebelum terlibat dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal mendapati mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan manakala kereta berpusing apabila mangsa mengelak sebuah lori di tepi jalan.

“Kereta yang dipandu mangsa itu kemudiannya dirempuh sebuah kereta dari arah Kuala Terengganu. Mohd Nazi meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya.

Mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Alor Limbat, di Bukit Payung di sini, tengah hari semalam.

Sinar/-

Paip pecah: 500,000 terjejas di KL, Gombak

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Hampir 500,000 penduduk di sekitar Kuala Lumpur dan Gombak mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual berikutan paip pecah di satu lokasi berhampiran tebing sungai Kampung Melayu Batu Caves, Gombak.

Paip itu membekalkan air kepada 89,760 akaun domestik dan akaun pukal di lebih 80 kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Gombak, kata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dalam kenyataan hari ini.

Syarikat itu berkata kerja pembaikan dijangka selesai esok dan bekalan air ke semua kawasan terlibat dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh empat hingga lima hari.

"Pelan tindakan kecemasan kod kuning telah diaktifkan Syabas Wilayah Kuala Lumpur dan Gombak pada 1 pagi, 11 April susulan paip jenis 'mild steel' berukuran 2,000 mm dari Kolam Air Dusun Kubung ke Wangsa Maju, pecah," menurut kenyataan itu. 

Dua puluh lapan kawasan yang terjejas di Kuala Lumpur ialah Flat DBKL Datuk Keramat, Jalan Padang Tembak, Jalan Semarak, Taman Cempaka, Taman Bakti, Taman Nirwana, Jalan Gurney, Kampung Pandan Dalam, Kementah, Taman Cahaya, Pulapol, Pandan Cahaya, Wisma Tanah, Taman Dagang, JUPEM, Taman Shamelin, UTM, Taman Tenaga, Felda, Taman Miharja, Pusat Latihan Telekom, Taman Kobena, Jalan U Thant, Bandar Permaisuri, Jalan Ampang Hilir, Desa Pandan, Taman Pandan Jaya dan Flat Sri Melaka.

Di Gombak, 55 kawasan terlibat ialah Kampung Baru Ampang, Kampung Kemensah, Kampung Melayu Ampang, Kampung Lembah Jaya, Taman Hillview, Kampung Pinggir Tiga Jaya, Bukit Jobina, Kampung Tengah Lembah Jaya, Taman Dato Ahmad Razali, Lembah Jaya Utara, Taman Bukit Indah, Lembah Jaya Selatan, Taman TAR, Sri Rampai, Kampung Tasek Permai, Taman Ampang, Ukay Heights, Taman Dagang Permai, Ampang Jaya, Taman Pandan Ria, Dataran Ukay, Taman Permai Jaya, Pinggiran Ukay, Taman Permata, Sri Ukay, Taman Saujana Ampang, Beverly Heights, Tasek Tambahan, Ampang Indah, Taman Ampang Mewah, Ampang Jaya, Taman Ampang Utama, Ampang Saujana, Taman Bukit Ampang, Ampang Water Front, Taman Cahaya Ampang, Bandar Baru Ampang, Taman Dagang Jaya, Bukit Ampang Permai, Taman Halaman, Bukit Indah, Taman Kesuma Ampang, Desa Lembah Permai, Taman Kosas, Desa Setapak, Taman Mulia Jaya, Jalan Ampang, Taman Rasmi Jaya, Kampung Bukit Sungai Puteh, Taman Sri Ampang, Keramat AU 1 hingga AU 5, Taman Watan, Kampung Ampang Campuran, Wangsa Melawati dan Kampung Indah Mulia.

Syabas berkata 25 lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas, sementara 50 tangki air statik akan ditempatkan di kawasan terlibat secara berperingkat mengikut keperluan bagi meringankan kesulitan pengguna.

Berikutan itu, pengguna disaran menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan.

Pelanggan yang memerlukan bantuan bekalan air melalui lori tangki atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau melayari laman web www.syabas.com.my.

Bernama

Presiden tidak bertanding: MCA umum kekalahan pertama

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Untuk MCA, PRU13 akan datang ialah pilihanraya yang paling genting, tanpa presidennya. 

Ini kerana Datuk Seri Chua Soi Lek telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding untuk pilihanraya umum kali ini.

“Saya akan mengetuai kempen sehingga hari mengundi tetapi tidak akan menjadi calon. Ini adalah selari dengan proses menjelma dan mencergaskan semula parti dan membawa pemimpin baru untuk mengambil alih,” kata Chua.

Kenyataan Chua datang di tengah-tengah rungutan ahli-ahli MCA terhadap usaha Umno untuk mengambil kebanyakan kerusi MCA di Johor, setelah meramalkan MCA bakal terkubur di dalam PRU13.


Chua juga mengumumkan hari ini, kerusi MCA di Kuantan diberi pinjam kepada Umno untuk pilihan raya ini kerana Umno mendakwa mereka boleh menang berbanding MCA.


Kuantan adalah kerusi tradisi MCA sejak dahulu. Anggota Parlimen Kuantan sebelum ini adalah bekas timbalan presiden MCA, Datuk Lim Ah Lek.

Dalam pilihan raya umum 2008, kerusi itu jatuh ke tangan PKR dan kali ini ia dirampas oleh Umno dari MCA.

Para penganalisa politik telah menjangkakan MCA akan tewas dengan teruk kerana ketidaksenangan pengundi tradisinya telah memuncak.

Sebelum ini, MCA telah bertubi-tubi menyerang perkara-perkara yang berkaitan dengan nilai Islam dan PAS, sebagai satu usaha terbesarnya untuk mendapat kembali sokongan kaum TiongHua, yang telah mensisihkan parti tersebut pada 2008.

Chua berkata beliau tidak bertanding adalah bukti beliau memperjuangkan sesuatu tanpa berharap kepada jawatan awam.

"Dalam sejarah MCA, kali ini adalah kali pertama ada presiden MCA yang bekerja sepenuh masa,” kata Chua, yang terpaksa meletakkan jawatan pada 2008 selepas mengaku beliau adalah pelakon seks dalam satu video bersama wanita yang didedahkan pihak musuh dalamannya sebelum PRU ke 12.

Harakahdaily sempat menghubungi sumber Umno untuk mendapatkan komen perkembangan terbaru ini.

“Semalam kan saya dah kata, strategi Tingkat 2 B4 ini memang tak boleh pakai. Presiden parti kedua terbesar BN tak bertanding – ini bagi isyarat apa pada rakyat? 

"Rakyat akan lihat BN ini dah gelabah. Selepas berita lawan kerusi semalam, MCA sekarang tengah bergaduh kuat dengan Umno.

"Apakah Chua buat sedemikian kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mendengar kata-katanya untuk tidak melantik Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai calon? 

"Kamu tunggu sahaja. Najib kan semalam dah umum calon BN belum selesai,” katanya dengan seloroh.

Pas N.Sembilan umum tanding 15 kerusi Parlimen/Dun

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


mat sabu

Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu
JEMPOL - Pas sekali lagi mendahului sekutunya dalam pakatan pembangkang mengumumkan senarai calon, kali ini di Negeri Sembilan, untuk pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
    
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu dan Pesuruhjaya Pas negeri Mohamad Taufek Abd Ghani di sini malam tadi.
    
Mereka mengesahkan pencalonan penyanyi Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin bertanding bagi kerusi parlimen Jempol, mengisi satu daripada tiga kerusi parlimen yang akan ditandingi calon Pas di negeri ini selain 12 kerusi dewan undangan negeri.
    
PAS meletakkan Yang Dipertua PAS Tampin Zakaria Khalim untuk bertanding di Tampin dan Ketua Penerangan Muslimat Pas Pusat Aiman Athirah Al-Jundi di Jelebu.    

Negeri Sembilan mempunyai 36 Dun dan lapan kawasan parlimen. Pada PRU 2008,Pas hanya memenangi satu kerusi Dun Paroi menerusi Mohamad Taufek dan tewas 11 lagi kerusi Dun serta ketiga-tiga kerusi parlimen yang ditandingi.
    
Senarai calon Pas untuk kerusi Dun ialah Mohamad Taufek (Paroi), Nor Anif Selamat (Sungai Lui), Dr Rosli Yaakop (Klawang), Abd Rahman Ramli (Serting), Zulkefly Mohamad Omar (Lenggeng), Zaharuddin Othman (Senaling), Nor Azman Mohamad (Johol), Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Chembong), Mohd. Noor Yassin (Gemencheh), Ramli Ismail (Bagan Pinang), Ghazali Mohd Shom (Kota) dan Mohd Khairil Anuar Wafa (Labu). - Bernama

PRU13: Bersih jemput Anwar, Najib bentang manifesto

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentangkan manifesto masing-masing, 17 April ini.

Pembentangan manifesto itu dijadualkan akan diadakan badan reformasi pilihan raya itu di Dewan Perhimpunan Cina.

Jemputan itu disuarakan Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga, pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Ambiga, pihaknya telah mengirimkan surat jemputan kepada mereka berdua, di samping format pembentangannya akan dibincangkan kemudian.

"Kita akan memutuskan kemudian tentang format itu bagi memastikan ia akan memberi ruang yang lebih adil untuk kedua-dua pihak," kata beliau.

Dalam pada itu, beliau juga berkata Anwar setakat ini telah memaklumkan kesediaannya untuk menerima jemputan Bersih itu, dan masih menunggu jawapan daripada Najib.

"Sekiranya beliau enggan hadir beliau boleh menghantar wakil bagi pihaknya. Apapun jawapannya nanti, forum itu akan tetap kami jalankan," kata beliau.

harakahdaily/-

Runtuh lagi di Terengganu, kali ini papan tanda UMT

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


(Papan tanda gergasi UMT yang runtuh)

MARANG: Runtuhan demi runtuhan menimpa Terengganu sejak akhir-akhir ini. Yang terbaru papan tanda gergasi Universiti Malaysia Terengganu di Bukit Kor, Marang runtuh.

Papan tanda Pusat Penyelidikan UMT yang runtuh itu menjadikan Terengganu benar-benar sinonim dengan Darul Runtuh.

Sebelum ini bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak runtuh dan bumbung sekolah di Wakaf Tapai runtuh.

Begitu juga terminal bas di Kuala Brang dan juga bumbung masjid.

harakahdaily/-

Pas Melaka perkenal calon wanita

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


PRU13

PRU13
MELAKA - Pas Melaka menamakan seorang calon wanita untuk bertanding di negeri ini pada pilihan raya umum ke-13 bersama beberapa calon lain walaupun senarai rasmi akan diumumkan Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, Ahad ini.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Melaka Kamaruddin Sidek berkata usahawan Kintan Man menjadi calon pertama wanita Pas bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Rambai.

Katanya Pas Melaka akan meletakkan 13 calon untuk bertanding kerusi DUN dan seorang untuk kerusi parlimen di negeri ini. - Bernama

Liputan telefon bimbit terhad

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Liputan telefon bimbit terhad
Dua pencawang yang dipasang di Kampung Perlop namun liputan talian telefon bimbit masih terhad.
SUNGAI SIPUT - Penduduk Kampung Perlop, Sungai Siput masih lagi ketinggalan dari segi liputan telefon bimbit walaupun pelbagai kemudahan lain sudah disediakan.

Seorang penduduk, Azrai Abdul Samat, 65, berkata, kedudukan kampung berkenaan sejauh 24 kilometer dari pekan Sungai Siput namun tidak mempunyai liputan bagi talian telefon bimbit.

Menurutnya, penduduk amat berharap kampung berkenaan juga mempunyai liputan talian telefon bimbit kerana kemudahan berkenaan sudah menjadi satu keperluan.

“Kampung kami masih lagi tidak mempunyai liputan untuk talian telefon bimbit walaupun tempat lain sudah mendapatkannya.

“Memang ada rumah yang menggunakan telefon rumah namun kadang-kala berlaku masalah menyebabkan kami terpaksa keluar sejauh tujuh kilometer untuk menggunakan telefon bimbit jika ada kecemasan,” katanya.

Kata Azrai, usaha untuk mendapatkan liputan talian itu telah dibuat dan pihak berkaitan sudah memasang pencawang di kampung berkenaan sejak sembilan bulan lalu namun kawasan liputannya agak terhad.

Jelasnya, kawasan liputannya hanya meliputi 300 meter sahaja dan setelah membuat aduan, satu lagi pencawang baru dibuat sejak empat bulan lalu namun sehingga kini masih tidak berfungsi.

“Kami tidak kisah syarikat mana yang boleh menyediakan kawasan liputan itu asalkan penduduk kampung lebih kurang 2,000 orang dapat menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.

Azrai berkata, perkara itu harus diselesaikan segera kerana penduduk sudah lama menunggu kemudahan berkenaan.

“Kami seolah-olah ketinggalan dari tempat lain kerana tidak mempunyai talian telefon bimbit dan berharap dapat disediakan secepat mungkin sebelum pilihan raya umum nanti,” katanya.

sinar/-

5 beranak ikat perut di pondok usang

Foto30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Kuala Berang: “Setiap malam lilin menjadi teman bagi kami sekeluarga kerana rumah bagaikan pondok usang ini tiada bekalan elektrik,” kata Nurul Shuhada Mohd, 27, yang tinggal bersama keluarganya di rumah usang itu di Kampung Payang Kayu di sini, sejak enam bulan lalu.

Sebelum ini dia sekeluarga tinggal bersama ibu bapanya di Kampung Kuala Ping, namun terpaksa berpindah ke rumah usang berkenaan berikutan rumah keluarganya terlalu sesak dengan ahli keluarga lain.

“Sejak berpindah ke rumah usang ini sejak enam bulan lalu dan suami mencari papan sedikit demi sedikit untuk menutup sebahagian rumah yang tidak berdinding.

“Pendapatan suami hanya RM500 sebulan dengan melakukan kerja kampung yang tidak mencukupi untuk perbelanjaan keluarga.

NURUL Shuhada bersama suami dan anak di rumah mereka di Kampung Payang Kayu.

“Keadaan lantai rumah yang reput menyebabkan beberapa kali kaki anak terperosok,” katanya semalam.

metro/-

PRU13: Calon Pakatan di Perak sudah muktamad

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


IPOH: Pakatan Rakyat Perak akan melancarkan manifesto Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) peringkat negeri secara rasmi pada 15 April ini.

Setiausaha Pakatan Rakyat Perak, Dr Khairuddin Abd Malik berkata, dengan tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’, majlis tersebut akan diadakan di Hotel Riverfront, Ipoh jam 10 pagi.

Katanya, majlis itu akan dihadiri oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat Perak yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Menurutnya, manifesto yang akan dilancarkan ini adalah sangat menarik dengan pelbagai tawaran yang diberikan rakyat setelah melihat kemampuan hasil negeri ini.

Khairuddin berkata, pimpinan Pakatan Rakyat telah membuat kajian yang lama dengan mendengar idea daripada pelbagai pihak untuk mencipta satu manifesto yang terbaik untuk rakyat di negeri Perak.

“Kami akan melancarkan satu manifesto terbaik peringkat negeri Perak 15 April ini dengan tema Pakatan Harapan Rakyat,” Katanya dalam sidang media di Bilik Media Pakatan Rakyat, Ipoh di sini hari ini.

Hadir sama ialah, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, Naib Pengerusi PKR Perak, Chan Ming Kai, AJK PAS Perak, Zainuddin Mohd Yusof, Bendahari DAP Perak, Lim Pek Har, Penolong Setiausaha Pemuda PAS Negeri, Safarizal Saleh dan Exconya, Hafez Sabri.

Dalam majlis yang sama, beliau berkata, Pakatan Rakyat akan mengisytiharkan semua calon yang akan bertanding pada PRU13.

Jelasnya, semua calon tersebut akan melafazkan ikrar bersama tanda kesepakatan ketiga-tiga parti itu.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, pembahagian kerusi ketiga-tiga parti sudah selesai 100 peratus dan calon-calon sudah muktamad, hanya menunggu pengisytiharan secara rasmi.

“Pembahagian kerusi setakat ini sudah selesai semuanya, dan parti komponen sudah memutuskan siapa yang akan bertanding,” jelasnya lagi.

harakahdaily/-