11 April 2013

200 koleksi cukup berharga

Foto30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -

Teruja melihat pelbagai jenis dan reka bentuk barang kemas yang dipamerkan membuatkan penulis dan rakan media terlupa berada di Galeri A yang tidak membenarkan sesiapa pun mengambil gambar.

Kilauan batu permata, berlian, jed dan delima diikat dengan ketulenan emas sehingga barang kemas yang berusia ratusan tahun itu tampak berseri.

Namun, untuk tujuan promosi, kami dibenarkan mengambil gambar barangan pameran itu. Lantas, kami menggunakan kamera apa saja termasuk telefon bimbit untuk merakam gambar barangan kemas itu.

Itulah gelagat rakan media saat berkunjung ke Straits Chinese Jewellery Museum yang terletak di 108, Jalan Tun Tan Cheng Lock (Heeren Street), Melaka baru-baru ini.
REKAAN unik dan tersendiri.

Melangkah masuk ke bangunan berusia lebih 100 tahun itu, perabot kayu dengan ukiran unik menyambut kedatangan kami.

Biarpun baru saja di situ, ia sudah menyerlahkan keunikan kaum Baba dan Nyo-nya yang memperkenalkan perabot unik, porselin dan pinggan mangkuk yang hanya boleh ditemui di Melaka.

Dengan pemakaian kebaya disertai ‘brooch’ pelbagai bentuk dan barangan kemas yang diperbuat daripada emas atau perak oleh Nyonya menyerlahkan lagi keunikan kaum Baba dan Nyonya.

Sememangnya, barang kemas sesuatu yang penting di kalangan peranakan Baba dan Nyonya kerana ia berkait rapat dengan budaya dan sejarah.

Reka bentuk dan motif yang diketengahkan di dalam penghasilan barang kemas yang biasanya dihasilkan khusus dan tunggal menjadikan ia sebagai cukup berharga dan eksklusif.

Hobi mengumpul bara-ngan antik dan berketurunan Baba generasi ke-5 itu menjadi titik tolak kepada pengasasnya, Peter Wee iaitu Presiden Peranakan Singapore membuka Straits Chinese Jewellery Museum.

Dibuka pada November 2012, ia menghimpunkan lebih 200 koleksi barangan kemas, perabot dan pakaian yang membuatkan sesiapa saja kagum.

Bangunan rumah lama dua tingkat berusia lebih 120 tahun itu dibahagikan kepada beberapa bahagian yang paling utama ialah Galeri A, B dan C.

Galeri A boleh dikatakan lokasi yang menempatkan harta karun yang mana menempatkan semua perhiasan perkahwinan, perhiasan harian serta barangan seharian Baba Nyonya termasuk pakaian, kasut dan sebagainya.

Berada di Galeri A itu memperlihatkan pelbagai jenis reka bentuk barangan kemas yang di gunakan satu ketika dulu oleh kaum Baba Nyonya terutama ketika majlis perkahwinan.

Lebih menarik, semua barang kemas yang dipamerkan di galeri itu adalah emas tulen yang dikumpul dari Melaka, Pulau Pinang dan Singapura.

Selain barang kemas, perabot kayu berusia 120 tahun yang dibawa daripada tanah besar China antara yang menjadi perhatian.

Pakaian serta beberapa gambar yang digantung di dinding juga memberikan gambaran kehidupan dan budaya Baba Nyonya sejak dulu lagi.

Melangkah ke Galeri B pula, pengunjung dapat melihat penghasilan barangan kemas dari jongkong emas hingga menjadi perhiasan lengkap.

Di galeri ini juga menceritakan pertukangan emas dan barangan kelengkapan kematian Baba Nyonya.

Di Galeri C ialah kamar tidur peranakan yang lengkap dengan almari pakaian, katil, cermin dan sebagainya.

Sesuatu yang cukup eks-klusif di ruangan itu adalah semua yang dipamerkan termasuk katil lama itu adalah milik Josephine Tan Pin Neo, ibu kepada pengasasnya.

Sebelum turun ke tingkat bawah, kami sempat melihat ruang makan peranakan yang asal meja bulat serta kerusi lama.

Lengkap menjelajah di tiga ruang pameran utama di muzium itu bukan penanda kunjungan ke situ sudah ber-akhir kerana masih banyak barangan antik dan unik dipamerkan termasuk perigi yang dikatakan sudah mencecah usia 200 tahun.

Menariknya, ia masih mempunyai air dan dihuni oleh ikan-ikan kecil didalamnya.

Rumah yang memanjang ke belakang itu turut memperlihatkan keadaan rumah asal peranakan yang dileng-kapi pelbagai perhiasan dan perabot berukiran unik.

Bingkai gambar yang menghiasi dinding polos rumah lama itu dan pasu serta barang perhiasan lain membuatkan anda bagaikan berada di rumah peranakan Baba Nyonya yang asal.

Menambahkan keunikan dan tarikan Straits Chinese Jewellery Museum, ia turut dibuka pada waktu malam bagi memberi kelainan kepada pengunjung.

Dengan menggunakan pencahayaan yang canggih, kilauan barang kemas yang dipamerkan akan memberikan pengalaman unik dan lain daripada lain.

‘Night Muzeum’ yang baru diperkenalkan ini bagaimanapun beroperasi dari jam 8 hingga 10 malam setiap Jumaat dan Sabtu saja.

Waktu beroperasi biasa pula ialah setiap hari termasuk cuti umum bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

Setiap pengunjung dewasa dikenakan bayaran RM15, RM10 untuk pelajar dan percuma untuk kanak-kanak dari enam tahun ke bawah.

Mahukan sesuatu yang berlainan? Majlis sambutan hari lahir, acara makan tengah hari, makan malam, perkahwinan, seminar dan apa juga acara boleh dilakukan di Straits Chinese Jewellery Museum ini.- gambar diambil menggunakan Kamera Samsung Galaxy.

metro/-

Tiada ulasan: