30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
PEKAN NENAS - Seorang lelaki ditemui mati dipercayai terjatuh dari pokok rambutan di Jalan Sawah Pekan Nenas di sini, kelmarin, ketika memasang bendera parti sempena Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.
Mangsa, Abd Jalil Buyamin, 58, dijumpai seorang pelajar sekolah menengah yang secara kebetulan melalui jalan terbabit untuk ke sekolah berhampiran lokasi kejadian, kira-kira jam 12 tengah hari.
Isteri mangsa, Khatijah Md Dom, 51, reda dengan pemergian suaminya itu dan menganggap ia takdir.
Dia menerima berita kematian suaminya itu ketika sedang menyapu di hadapan rumahnya.
“Seorang lelaki memberitahu Pak Jalil (suaminya) sudah meninggal dunia jatuh dari pokok, saya rasa seperti hendak pengsan ketika itu.
“Tidak lama selepas itu, ahli keluarga saya datang beritahu perkara yang sama dan membawa saya ke tempat kejadian.
"Saya dapati suami saya sudah tidak bernyawa lagi, darah banyak keluar dari belakang kepalanya, saya terus memeluk dan mencium dahinya,” katanya kepada Sinar Harian, di kediamannya semalam.
Khatijah berkata, arwah seorang bapa yang periang, peramah dan suka menolong orang selain aktif dalam politik serta gemar memasang bendera parti sejak dari dahulu lagi.
Menurutnya, arwah aktif memasang bendera terutama ketika menjelang pilihan raya sama seperti yang lepas.
“Sejak muda lagi dia aktif bersama Umno dan gemar melakukan aktiviti parti biarpun sudah tidak memegang sebarang jawatan lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zahaliman Jamin, mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, siasatan mendapati, mangsa mungkinan memanjat pokok rambutan itu untuk membersihkan ranting pokok bagi memasang bendera parti.
“Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan dan menyifatkan kes sebagai mati mengejut,” katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan