30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
SHAH ALAM - Polis mengenal pasti 20 kawasan parlimen di Selangor sebagai lokasi panas sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
20 daripada 22 kawasan itu adalah Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjung Karang, Selayang, Ampang, Pandan, Hulu Langat, Serdang, Puchong, Kelana Jaya, Petaling Jaya Utara, Petaling Jaya Selatan, Subang, Shah Alam, Kota Raja, Kapar, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
Jurucakap PRU13 Kontinjen Selangor, Senior Asisten Hasanuddin Hassan berkata, polis akan menempatkan lebih anggota dan pegawainya di lokasi terbabit bagi memastikan perjalanan pilihan raya terkawal.
“Kita tidak boleh jangka apa yang berlaku pada PRU13. Perjalanan mungkin baik atau sebaliknya, termasuk di dua kawasan parlimen yang tidak disenaraikan iaitu Gombak dan Kuala Selangor.
“Bagi memastikan perkara yang tidak diingini dari berlaku, kita akan pantau sebaik mungkin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.
Dalam pada itu, ketika ditanya adakah polis sudah mengenal pasti individu yang berkemungkinan akan mencetuskan suasana tidak sihat sepanjang PRU13 nanti, Hasanuddin berkata, pihaknya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Polis berpakaian preman akan ditugaskan 24 jam bagi memantau semua kawasan supaya tidak berlaku samseng politik," katanya.
Menurutnya, dalam tempoh Sabtu hingga kelmarin, pihaknya menerima 25 laporan yang mempunyai kaitan dengan PRU13.
"Sembilan kes dibuka untuk siasatan antaranya merosakkan bendera MIC di Taman Sentosa, Klang (Sabtu); mematahkan kayu bendera Barisan Nasional (BN) di Cheras Perdana (Ahad); bakar bendera BN di Seksyen 17, Shah Alam (Ahad); merosakkan khemah BN di Jalan Teratai 18/Jalan Dahlia, Hulu Selangor (Ahad); Bendera Pas diconteng dengan tulisan menghina pemimpin tertinggi Pas dan PKR di Seksyen 15, Shah Alam (kelmarin)," katanya.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan