11 April 2013

Rumah jurutera dipecah masuk

30 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Rumah jurutera dipecah masuk

Harun menunjukkan barangan rampasan selepas menahan dua beradik yang terbabit dalam kejadian pecah rumah.
LEDANG - Seorang jurutera yang bekerja di Dubai rugi lebih RM25,000 selepas kediamannya di Kampung Teluk Kemang, Sungai Mati dekat sini dipecah masuk, 2 April lalu. 

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, ketika kejadian pada jam 8.55 pagi itu,  hanya isteri mangsa berusia 28 bersama ibu, 70an dan anak mereka berusia satu tahun berada di rumah, namun mereka tidak dicederakan kerana mengikut arahan suspek. 

Ekoran kejadian itu pihak polis melancarkan gerakan memburu sehingga berjaya menahan dua lelaki di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi selepas mengekori kenderaan dinaiki suspek, Sabtu lalu.

“Mereka adalah pasangan adik-beradik berumur 31 dan 42 tahun.  Hasil pemeriksaan menemui semula barang-barang yang disamun di rumah berkenaan termasuk alat-alat untuk pecah rumah.

“Kita turut temui semula dua bentuk cincin emas, dua utas gelang emas, seutas rantai emas, wang tunai, telefon bimbit berjenama, empat utas jam tangan berjenama dan komputer riba,” katanya pada sidang akhbar di IPD Ledang, di sini, semalam.

Beliau berkata, beberapa peralatan untuk pecah rumah antaranya parang, pemutar skru, pisau, gunting rumput yang sudah diubah suai, pahat, beberapa pasang topeng dan ragum juga ditemui.

Katanya, suspek  yang berumur 31 baru dibebaskan dari penjara bulan lalu atas kesalahan pecah rumah di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. 

“Ujian ke atas suspek juga mendapati kedua-duanya positif dadah jenis syabu dan direman sehingga Jumaat ini, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

“Orang awam diminta menyalurkan maklumat jika terserempak individu atau kumpulan yang mencurigakan di kawasan masing-masing bagi mengelak kejadian rompak ini berulang,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: