19 September 2010

Rakan Sosilawati ditemui mati tergantung di biliknya

10 Syawal 1431H.

BUKIT MERTAJAM 18 Sept. - Pengasas produk kecantikan Aveer, Sarina Jaafar yang juga kenalan rapat jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya ditemui mati di rumahnya di Taman Pauh Jaya di sini hari ini.

Pemilik syarikat SBJ Aveer Services Sdn. Bhd. berusia 45 tahun itu ditemui tergantung di biliknya kira-kira pukul 8.30 pagi oleh anak bongsunya yang berusia 16 tahun.

Polis setakat ini mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.

Anak sulung Sarina, Mohd. Azrul Affendi Zakaria, 24, yang dihubungi memberitahu, berita kematian ibunya mengejutkan seluruh ahli keluarga kerana arwah tidak menunjukkan perubahan sikap kebelakangan ini.

Mohd. Azrul berkata, kejadian berlaku ketika dia berada di Kuala Lumpur dan kali terakhir dia menemui Sarina ialah pada petang semalam dan sempat menasihati ibunya supaya berhati-hati dalam perniagaan ekoran banyak berlaku kes pembunuhan kebelakangan ini.

"Ibu beberapa kali turut menyuarakan rasa terkilan dan sedih berhubung kejadian yang menimpa Datuk Sosilawati kerana ibu rapat dengannya," kata Mohd. Azrul.

Menurutnya, kejadian tersebut sangat menyedihkan keluarganya tambahan lagi ia berlaku ketika mereka sedang memulakan persiapan bagi majlis perkahwinannya yang dijadualkan Januari nanti.

"Saya telefon ibu pagi tadi tetapi tidak diangkat sehinggalah diberitahu mengenai kejadian ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Supritendan Mohan Singh Tara Sigh yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya, mayat Sarina ditemui mati di rumahnya kira-kira pukul 8.30 pagi dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini untuk bedah siasat.

"Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan kita harap semua pihak tidak membuat spekulasi walaupun mangsa dikatakan kenalan rapat Datuk Sosilawati," katanya.

Yakinkan rakyat, Pakatan mesti ambil alih Putrajaya

10 Syawal 1431H.

KOTA BHARU, 19 Sept: Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli menegaskan Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS mempunyai keyakinan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini mesti diubah.

Tambahnya, dalam masa sama meyakinkan rakyat bahawa Putrajaya mesti diambil alih memandangkan kepada suasana yang berlaku dalam negara kini memerlukan perubahan.

Suasana dalam negara kini, katanya, perlu ditangani serius oleh pihak berkuasa terutama masalah jenayah, pendidikan dan ekonomi.

Beliau berkata demikian kepada media pada Rumah Terbuka PAS Kelantan di Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, semalam.

Mengulas dakwaan disebabkan persaingan sengit parti politik selepas Pilihan Raya Umum 2008 menyumbang kepada ketidakstabilan negara termasuk hubungan kaum dan sosial masyarakat, beliau berkata kenyataan itu menggambarkan hilangnya kewibawaan pimpinan Umno Barisan Nasional yang mendominasikan negara bagi menjadikan suasana harmoni serta kawalan keselamatan yang baik.

“Apa persoalannya dengan remaja yang membuang anak, kelahiran anak luar nikah yang begitu ketara mutakhir ini, penipuan di kalangan ahli-ahli perniagaan hingga membawa kepada berlakunya pembunuhan, apa kaitannya dengan persaingan sengit parti politik?” soalnya yang juga Bendahari PAS Pusat.

Ini kerana, katanya persaingan politik adalah pada bentuk ideologi dalam mengemukakan pilihan-pilihan dan alternatif kepada rakyat.

Namun apa yang berlaku dalam negara kini, katanya menyebabkan rakyat seolah-olah berada dalam keadaan terumbang ambing, ekonomi dan masa depan pendidikan negara tidak jelas.

Begitu juga, ujarnya dengan suasana pergaulan sosial masyarakat khususnya di kalangan remaja tidak dikawal dengan serius, sedangkan itu adalah fungsi yang mesti dilaksanakan pihak berkuasa.

Beliau menambah, ertinya keputusan PRU 2008 itu menyebabkan Umno BN tidak mampu mentadbir dengan baik walau pun mereka menang, meski pun bukan dua pertiga di Parlimen.

Pada beliau, Umno BN mesti mengaku kegagalan mentadbir negara serta menggambarkan betapa merosotnya prestasi parti perkauman Melayu itu.

“Dakwaan itu juga sebagai permulaan kepada satu pilihan raya untuk mendapatkan mandat baru memandangkan mandat yang ada kini adalah ‘mandat kepada Pak Lah’, dan kalau itulah kemungkinannya maka dakwaan analisa persaingan sengit politik itu adalah di luar politikal,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Sokongan rakyat Kelantan pada PAS makin kukuh

10 Syawal 1431H.

KOTA BHARU, 18 Sept: Kejayaan PAS mentadbir Kelantan diraikan oleh setiap lapisan masyarakat yang kini menyambut tahun ke-20 dengan sokongan rakyat yang semakin kukuh.

Ini dibuktikan kehadiran rakyat ke majlis Sambutan Aidilfitri PAS Kelantan yang mencecah 15,000 orang pada tahun ini, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Ketika ditemui di majlis tersebut, beliau berkata, sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Kelantan terhadap pimpinan ulama di bawah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh dijadikan kayu pengukur

Justeru, katanya dakwaan Umno bahawa sokongan terhadap PAS semakin berkurangan amat tidak berasas.

“Pelbagai program yang dianjurkan oleh kerajaan dan parti di Kelantan kini, kita boleh lihat sambutannya yang begitu memberangsangkan dan dakwaan Umno yang mengatakan rakyat Kelantan sudah bosan dengan PAS tersasar sama sekali,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah pula memberitahu golongan muda yang berada di luar Kelantan juga semakin memahami dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri berkata, ini dapat dibuktikan apabila kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan) yang setiap tahun mengadakan majlis ramah mesra bersama pimpinan kerajaan negeri juga mendapati kehadiran anak muda untuk bersama Menteri Besar semakin meningkat.

“PAS akan sentiasa bekerja keras bagi mempertahankan Kelantan pada PRU ke-13 nanti dan golongan muda akan menjadi tumpuan utama,” kata beliau lagi.

Majlis Rumah Terbuka PAS negeri yang diadakan setiap tahun, hari ini menyaksikan kehadiran 40 sami dari seluruh negeri yang makan bersama Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mereka telah menerima sumbangan duit raya dalam bentuk dirham yang disampaikan sendiri oleh Tuan Guru pada majlis yang diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohamad ke IV.

Harakahdaily/-