12 Januari 2010

Kelab Penyokong PAS, memberi ERTI kepada DAKWAH PAS.

25 Muharram 1431H
Oleh : Nuruddin Muhammad

Semasa saya cuba berfikir berkenaan halatuju dan kemewahan faedah yang PAS dapati semenjak tertubuhnya Kelab Penyokong PAS (KPP) saya terbaca satu makalah bertajuk Managing Ethnic Relations in Post-Crisis Malaysia and Indonesia Lessons from the New Economic Policy? yang dikarang oleh Khoo Boo Teik (United Nations Research Institute for Social Development). Sepintas lalu sejarah perhubungan etnik di Malaysia dikupas secara konvensional iaitu hubungan yang terbina atas dasar toleransi orang Melayu beserta khidmat jasa kaum India Cina sejak zaman penjajahan British.

Kupasan makalah seperti ini sama sahaja dengan persepsi umum masyarakat Malaysia berkenaan ‘muhibbahnya’ hubungan etnik di Malaysia yang didasari oleh beberapa tindakan kerajaan seperti DEB, Transformasi politik sehingga tertubuhnya Perikatan dan BN, dan hubungan atas dasar rukunegara dan dasar dasar umum negara.

Namun begitu agak ketinggalan jika para penganalisa tidak memerhatikan aspek terpencil yang mampu membawa kepada pertautan erat antara kaum di Malaysia iaitu aspek budaya dan agama. Kini masyarakat mulai sedar keperluan mengadakan bengkel dan seminar antara kaum untuk memberi kefahaman dan memupuk ‘sikap memberi dan menerima’ di kalangan etnik.

Namun begitu formula pemahaman agama dan budaya juga mampu dilakukan melalui pentas politik atau menggunakan nilai homofili (sepunya) iaitu nilai politik, kehendak politik, persepsi politik dan sebagainya.

Kesedaran kaum-kaum bukan melayu terhadap kebejatan UMNO dan BN telah membuka peluang kepada PAS untuk mendekati mereka sekaligus memperkenalkan Islam dan PAS kepada mereka. Adakah ini satu tindakan drastik yang memaksa kaum bukan Islam menganut Islam? Apabila PAS menyebut istilah dakwah, ia bukan membawa maksud sedemikian. Berasaskan contoh dan model, PAS kini giat memperkenal dasar PAS dan pemerintahan cara Islam kepada kaum bukan Islam sekaligus mereka boleh kekal dengan agama dan resam masng-masing di bawah semangat keadilan Islam.

Adakah ini retorik? Jika kita menemubual sebilangan besar anggota Kelab Penyokong PAS, mereka akan secara yakin menyatakan, mereka bersedia berada di bawah sistem pentadbiran yang adil serta memahami dasar perjuangan PAS yang membela rakyat jelata tanpa mengira kaum.

Hebatnya aura DSAI suatu ketika dahulu pernah membawa satu fenomena ubah sokongan di kalangan Melayu apabila tragedi fitnah dan penangkapan DSAI secara biadab dan terancang. Saya masih ingat Majalah Lanun yang diketuai oleh saudara Ujang (dahulunya beliau mengetuai Majalah Ujang) membawa mesej dakwah, memapar potret Tuan Guru Nik Aziz, membawa mesej Barisan Alternatif dan mesej menentang kezaliman.

Tetapi hal ini hanya melanda kaum Melayu. Kaum Bukan Melayu tidak berganjak daripada menyokong MIC dan MCA sehinggalah PRU ke-12 baru baru ini. Krisis demi krisis, kezaliman dan kepura-puraan BN dalam menjalinkan hubungan antarakaum membawa fenomena lebih besar iaitu peralihan undi kaum bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat kukuh akibat meningkatnya sokongan kaum bukan Melayu terhadap Pakatan Rakyat. PAS menang di banyak kerusi juga akibat sokongan kaum ini.

Persoalannya, adakah boleh kita mengabaikan kaum bukan melayu ini yang telah memberi peluang kepada PAS untuk menampilkan aspirasi dan dasar PAS? Adakah kaum ini hanya perlu didekati setiap 4 tahun sahaja yang langsung tidak menampilkan jiwa dan sunnah Rasulullah yang menjadikan agenda ‘engagement’ dengan kaum bukan Islam sebagai rutin baginda?

Saya juga kerap meninjau minda saudara Saad bin Ismail (Man Kasut) yang juga merupakan Penyelaras Kelab Penyokong PAS Perak. Beliau kerap berceramah menerangkan dengan adanya KPP, PAS berjaya memahamkan ramai kaum bukan Islam terhadap sistem syariah, keadilan ekonomi Islam dan agenda kebajikan Islam. KPP mengukuhkan Pakatan Rakyat serta memperkuatkan juga DAP dan PKR kerana segmen yang gagal ditembusi oleh perti tersebut berjaya diisi pula oleh KPP. KPP memusnahkan ruang paranoid, alah atau ketakutan kaum bukan Islam terhadap PAS. Tiada lagi ruang sesiapa menafikan peranan PAS terhadap kaum bukan Islam-Melayu kerana KPP boleh menjadi model dan fasilitator terhadap pelbagai tomahan dan lemparan isu berkenaan.

Keputusan PRK Bukit Gantang (boleh dijadikan indikator) menunjukkan peningkatan undi dikalangan kaum Cina sebanyak 10 % , kaum India meningkat 5% dan sedikit penurunan dalam undi Melayu, khususnya pada saluran satu. Dalam PRK ini isu Hudud, isu negara Islam tidak lagi menjadi senjata UMNO/BN kerana isu tersebut ternyata gagal di Kuala Terengganu (PRK sebelumnya).

Sejurus sahaja Presiden PAS menandatangani watikah penubuhan Dewan Himpunan Penyokong PAS hari ini (Ahad 10 januari 2010), maka dunia dakwah menyaksikan sendiri bagaimana sebuah Parti/jamaah Islam yang memiliki skuad penyokong dan pendokong yang terdiri dari kaum bukan Islam, membenarkan kaum bukan Islam mengundi pemimpin gerakan Islam dan sebagainya. Hal ini jelas menunjukkan betapa PAS sebuah gerakan yang cukup RELEVAN dalam kosmo hidup majmuk di Malaysia. Peruntukan artikel 23 (7) (e) Perpembagaan PAS membenarkan di mana jawatankuasa PAS Pusat mempunyai kuasa untuk membina pasukan khas dan menyediakan peraturan sendiri.

Susur galur perjuangan ini bukan suatu yang mudah dicapai tanpa memahamkan ahli PAS sendiri berkenaan hakikat Dakwah Rasulullah. Resolusi Seminar Taklimat Lajnah Perpaduan Nasional Perak di Air Kuning 5 Disember 2009 menyaksikan ‘flow’ kerja yang cukup profesional di kalangan penggerak lajnah ini serta anggota Kelab Penyokong PAS negeri Perak.

Antara lain resolusi itu menyatakan kepentingan memperkukuh LPN/KPP di setiap kawasan-kawasan, mengemaskinikan keahlian Kelab Penyokong di kawasan masing-masing, menyelia dan menyelaras aktiviti KPP di kawasan, KPP dilibatkan dalam aktiviti parti mengikut kesesuaian PAS kawasan, serta mengukuhkan struktur organisasi KPP untuk transformasi sebagai salah satu sayap parti.

Konsep Prinsip Pendekatan Hikmah dan Bertahap (tadarruj) yang dinyatakan oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali (Seminar Pemerkasaan Belia Islam Serantau pada 2 Disember 2004) adalah antara konsep yang jarang sekali dikupas oleh pejuang PAS. Ahli PAS perli diberi pendidikan yang komprehensif berkaitan WAJIBnya mendekati kaum bukan Islam. Disiplin yang tinggi untuk bersabar membina generasi baru penguat PAS dari kalangan kaum bukan Islam. Generasi yang berhikmah perlu subur disemai di mana mereka perlu sedar antara perkara fiqh yang bersifat konseptual dengan fiqh harakiy/dakwah yang kontekstual serta tawazun(seimbang) dalam pelbagai aspek. Ahli PAS perlu memiliki keazaman yang kental serta optimis berkaitan masadepan KPP sebagai punca ahli PAS mencapai dasar PAS sebenarnya iaitu menyebar Islam dan menyemai nilai Islam di segenap lapisan masyarakat.

Tujuan perjuangan PAS diperincikan dalam Fasal 6 Perlembagaan PAS, antara lainnya:

1. Menyeru umat manusia kepada syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan.

2. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilai-nilai ke Islaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan.

3. Memupuk dan memperkuatkan ukhuwah Islamiyah dan menyuburkan rasa perpaduan dikalangan rakyat bagi memelihara kehidupan politik dam masyarakat yang sihat dan berkebajikan.

4. Mengajak dan menggalakkan badan-badan, pertubuhan-pertubuhan dan orang-orang perseorangan bagi mengenali dan memahami serta memperjuangkan konsep dan pandangan hidup Islam.

5. Menyediakan rencana-rencana dan bertindak bagi memperbaiki susunan serta institusi-institusi masyarakat, bentuk politik, keadilan ekonomi dan negara, untuk membela kepentingan umat Islam dan rakyat seluruhnya.

6. Menyertai dan bekerjasama dengan badan-badan, persatuan-persatuan atau pertubuhan-pertubuhan yang tidak berlawanan tujuannya dengan PAS bilamana dan selama ianya mustahak dan sesuai serta tidak bercanggah dengan undang-undang negara.

7. Mempertahankan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara yang tunggal dalam amalannya di samping berusaha mengembangkan bahasa al-Quran.

8. Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam.

9. Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini.

Tanpa KPP, adakah benar dakwah kita, sikap kita, hasrat kita sampai ke dada dan sanubari kaum bukan Islam?

Sebenarnya Fasal 6 inilah yang menjadi titik tolak kepada konsistennya anggota Lajnah Perpaduan Nasional bergelut dan bersusah untuk menubuhkan Kelab Penyokong di serata Malaysia dengan satu tujuan, iaitu menekuni dan menginssafi DAKWAH sebenar Rasulullah SAW.

Muhammad Nuruddin Bashah
SETIAUSAHA LAJNAH PERPADUAN NASIONAL NEGERI PERAK
Hadapan 360 MKJ Kampung Terang
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang

BUBAR DUN PERAK, BANGUNKAN EKONOMI RAKYAT

25 Muharram 1431H
Email : mohd hafez sabri

IPOH, 11 Dis: Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain menegaskan bahawa jalan terbaik bagi menyelesaikan krisis perundangan di Perak adalah dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun)."

Beliau membidas kenyataan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang berharap semua pihak yang terbabit dalam krisis perlembagaan di negeriitu memberi fokus untuk membangunkan pertumbuhan ekonomi negeri, akan tetapi Umno BN dalang sebenarnya yang mencipta krisis di Perak dengan agenda rampasan kuasa secara haram yang dilakukan mereka

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu, Pakatan Rakyat Perak sudah lama mahu menyelesaikan krisis di negeri itu supaya negeri terus membangun dan menarik pelabur asing dengan mencadangkan pembubaran Dun .

Menurut beliau Zambry sendiri tidak menunjukkan keikhlasan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda, yang berpunca Dari Umno BN sendiri.

"Saya menggesa Datuk Seri Zambry kalau beliau benar-benar ikhlas mahu melihat Perak kembali cemerlang dalam urusan pentadbirannya dan rakyatnya hidup dalam keadaan harmorni serta menarik pelabur asing datang tanpa ragu-ragu datang ke Perak maka jalan terbaik adalah DUN Perak perlu dibubarkan” tegas dalam ucapan beliau.

"Kami Pakatan Rakyat sudah tentu kami menyambut baik sebarang tindakan untuk selesaikan krisis Perak dengan dibubarkan DUN kerana itulah yang paling adil dan memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan.Kalau tak dibubarkan DUN,krisis tidak akan selesai," katanya.

Pesuruhjaya PAS Perak itu turut menyifatkan harapan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir untuk melihat krisis di Perak selesai hanyalah kenyataan retorik semata-mata dan ianya hanya lakonan pembohongan semata-mata..

Sebenarnya, kenyataan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir Perak itu mempamerkan kebimbangannya kerana menyedari sebenarnya rakyat dan undang-undang tidak menyebelahinya, dan sepatutnya Umno/BN perlu buat persiapan untuk pembubaran DUN Perak yang dijangka tidak lama lagi akan berlaku.

"Beliau juga menegaskan supaya Umno/BN jangan cuba lari dari kenyataan bahawa rakyat mengetahui kezaliman yang dilakukan mereka serta undang-undang tidak menybelahi mereka dalam krisis perundangan negeri Perak ini” katanya

Menurut Pesuruhjaya PAS Perak itu lagi, para pelabursemestinya mahukan satu keyakinan dan kestabilan politik dan ekonomi di Perak ini. Selagi perkara ini tak terjamin mereka tidak akan datang., dan hakikatnya apa yang sedang berlaku di Perak ini sebenarnya tidak memberikan ruang untuk percambahan aktiviti ekonomi ini kerana pelabur tidak yakin untuk melabur dengan keadaan yang tidak stabil di Negeri Perak ini.

KENYATAAN AKHBAR JAMAIY PERAK 11/01/2010

25 Muharram 1431H
Email : mohd hafez sabri

Jaringan muafakat NGO-NGO Islam Perak (Jamaiy) mengambil sikap yang sangat prihatin terhadap perkembangan yang berlaku akibat isu penggunaan nama Allah yang dibuat keputusan oleh mahkamah tinggi baru-baru ini. Sikap emosi pihak-pihak tertentu yang bersikap melampau mengapi-apikan sentimen perkauman dan sentimen keagamaan yang melulu adalah tidak sihat dan merbahaya kepada keselamatan Negara dan kelangsungan hidup beragama di Negara ini.

Jamaiy ingin memberikan pandangan tulus dalam isu-isu ini dan kenyataan-kenyataan ini adalah berdasarkan pemahaman yang berlatarkan syariah.

i) Kehidupan rakyat yang pelbagai bangsa dan agama adalah satu realiti yang mesti diterima dengan baik. Umat Islam mesti tampil menunjukkan kehebatan mereka melalui dakwah yang tersusun dan berilmu.

ii) Keputusan-keputusan Majlis Fatwa di Negeri-Negeri termasuk Perak yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah kepada orang-orang yang bukan Islam dan pencetakan bahan-bahan agama lain dalam bahasa Melayu perlulah dihormati. Majlis-majlis Fatwa Negeri adalah institusi-institusi yang berwibawa dan dinaungi oleh Sultan-Sultan sebagai ketua agama Negeri-Negeri. Lebih penting adalah penguatkuasaan
undang-undang sedia ada melarang aktiviti menyebarkan agama lain kepada muslim mesti dilaksanakan dengan tegas.

iii) Perbuatan membakar gereja adalah tindakan tidak waras, merugikan dan bertentangan dengan prinsip Islam. Kalau semasa perang Islam menegah pemusnahan rumah-rumah ibadat agama lain tentulah semasa aman lebih lagi.

iv) Dalam menangani ketegangan rakyat yang pelbagai agama, pihak Kerajaan mestilah bertindak cepat dan cekap mengambil inisiatif menjemput semua pihak yang terbabit ‘stake holders’ – pimpinan parti-parti politik, pimpinan agama dan badan-badan NGO bagi mencari kesepakatan dan titik kebersamaan bagi menyelesaikan persoalan ini.
Semua pihak mesti mengelakkan diri dari mempolitikkan isu sensitif tersebut.

v) Kami berpandangan mahkamah bukanlah platform terbaik bagi menyelesaikan kes ini. Bukan semua pertikaian lebih-lebih lagi yang berkaitan agama boleh dirujuk ke mahkamah. Pendekatan musyawarah perlulah diutamakan.

6. Dalam pada itu Jamaiy menyeru umat Islam yang bangun secara aktif mempertahankan kalimah Allah juga mesti bangkit untuk mempertahankan hak-hak Allah khususnya dalam kuasa mutlak hukumiyah Allah (hak Allah menentukan dan mensyariatkan hukum) yang sangat terabai di Malaysia. Jangan kita ‘double-standard’ – hanya nama Zat
Allah saja yang dipertahankan sedangkan hukum-hakamnya dan perintah-perintah serta serta larangannya tidak dipedulikan.

7. Keperihatinan kita tentang murtad mestilah dipastikan selari dengan tindakan-tindakan menegur pemerintah supaya aktiviti-aktiviti kemungkaran dibanteras dari merebak menjejaskan aqidah anak-anak muda.

viii) Dalam masa kegawatan ekonomi yang melanda Negara dan rakyat sekarang, tindakan-tindakan melampau baik dipihak orang Islam atau orang-orang bukan Islam adalah ‘counter produktif’ kepada keyakinan dunia luar kepada iklim pelaburan di Malaysia. Jangan Bakar kelambu kerana nyamuk seekor !

Kenyataan oleh :

Dr. Hj. Khairudddin Bin Dato’ Abd. Malik

Pengerusi Jamaiy Perak

Correct timing to take water

25 Muharram 1431H
Email : mohamad alias idris

Correct timing to take water, will maximize its effectiveness to Human body.

Two (02) glass of water - After waking up - Helps activate internal organs

One (01) glasses of water - 30 minutes before meal - Help digestion

One (01) glass of water - Before taking a bath - Helps lower blood pressure

One (01) glass of water - Before sleep - To avoid stroke or heart attack


Jangan ikut tabiat buruk ayah

25 Muharram 1431H
Wan Sanusi Wan Ali

‘Jangan ikut tabiat buruk ayah’ itulah antara kata-kata terakhir seorang banduan yang menjalani hukuman gantung sampai mati kepada anak-anaknya. Kisah tali gantung yang diceritakan oleh En Samuel, sebagai renungan kita bersama.

Tali gantung yang diimport ini diperbuat dari jenis jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung.
Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000. Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekalnya akan diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama 72 jam.

Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia diklasifikasikan sebagai senjata dan disimpan di dalam peti besi.

‘Setiap tali gantung kita terima ada perkiraannya. Kita tak boleh poie terus dan pasang, ada cara-cara yang kita kena ikut. Kita ada empat jenis tali dan kita pilih mengikut berat banduan,’ jelas Samuel.
Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkok banduan.

APABILA RAYUAN DITOLAK

Di Penjara Kajang umpamanya banduan yang dijatuhi hukuman gantung dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga hukuman dilaksanakan.
Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.

Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.

Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman di mana di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga 6.30 pagi.

‘Kita diberi satu jam untuk laksanakan hukuman. Untuk banduan beragama Islam biasanya kita akan jalankan hukuman gantung ini pada hari Jumaat, selepas solat subuh. Bagi yang bukan Islam, waktunya lebih kurang sama, cuma harinya boleh berbeza,’ kata Samuel.

Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.

‘Biasanya banduan akhir ini akan tahu apabila dia dibawa keluar dengan tangan bergari dan ada kawalan ketat, dia tahu keesokan harinya sesuatu yang buruk akan berlaku (dia akan digantung),’ kata Samuel.

Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di luar penjara untuk ‘perjumpaan terakhir.’

Lazimnya suasana dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir ini.
Banduan juga diberi pilihan untuk ‘hidangan terakhir’ bernilai RM7.50.

HARI PENGGANTUNGAN

Menurut Samuel, kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung ‘poie dengan rela’ setelah menunggu begitu lamo untuk hukuman dilaksanakan.
‘Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir.

‘ Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka lebih baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi menunggu,’ katanya.

Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan meminta pena dan kertas untuk nota terakhir.

‘Jangan ikut tabiat buruk ayah’ antara kata-kata terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.

Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari hukuman.
‘ Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T dan seluar sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM300. Mati penuh gaya . Banduan itu kata dengan jenaka,’ cerita Samuel.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan.

BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG

Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan secara automatik renggang sepenuhnya bila ‘gear’ ditarik.

Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter.
Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara.
Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik ‘gear’ yang akan antaranya membuka pintu perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.

Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar tergantung.

‘Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tak ada masalah.
‘Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh bos- bos saya dulu,’ kata Samuel.
Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah..

‘Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal,lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih, satu keluarga akan terjejas,’ katanya sambil menjelaskan bahawa kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.

Kembalikan Fitrah Dakwah sejati PAS

25 Muharram 1431H
Nuruddin Muhammad

Lajnah Perpaduan Nasional adalah satu jawatankuasa yang diamanahkan untuk menerbitkan semula dakwah dan hubungan harmonis antara PAS selaku sebuah Gerakan Islam dengan kaum bukan Islam. Walaupun pada dasarnya ia lebih menonjol sebagai satu identiti hubungan berasaskan politik, namun disebaliknya ia sarat dengan agenda memahamkan kaum bukan Islam berkenaan kondisi Islam, mengeratkan hubungan antara rakyat majmuk sekaligus merealisasikan dakwah rasul yang mengutamakan keadilan dan keamanan luar dan dalam negara.

Malah PAS lebih maju dalam aspek perpaduan dan toleransi kaum kerana tidak memerlukan entiti lain untuk ‘berkawan’ dengan kaum bukan Islam. Sebaliknya UMNO terpaksa menggunakan BN untuk menjadi wadah penyatuan dan perhubungan UMNO dengan kaum bukan Melayu. UMNO bukan parti agama, ia hanya untuk melayu dan bumiputera. Hubungan UMNO dengan kaum bukan melayu melalui BN barulah boleh disebut hubungan berasaskan niat politik semata-mata. Jelas retorik 1Malaysia adalah agenda bermotifkan politik dan bukan perpaduan jangka panjang seperti yang kita harapkan.

Jelas rasulullah adalah pelopor utama pembinaan perlembagaan dunia berasaskan kepelbagaian kaum walaupun kaum-kaum di Madinah berbahasa dengan bahasa yang hampir sama iaitu keluarga bahasa arab-semitik. Lihat sahaja Fasal ke-2 hingga fasal ke-10 Piagam Madinah yang membahaskan tanggungjawab/obligasi ketua kaum dalam menjalankan peranan mereka menjaga keamanan dan keadilan sepanjang bernaung di bawah negara Madinah. Ini membuktikan bahawa Islam amat meraikan kepelbagaian kaum, adat dan agama, malah Islam memberi hak perundangan kepada mereka secara sunnah Piagam Madinah ini (pada 622M bersamaan tahun pertama Hijrah).

Bagaimana pula sikap yang perlu ada dalam jiwa petugas PAS? Sewajarnya setiap ahli mengambil inisiatif untuk proaktif mengembalikan semula tugasan dakwah terhadap kaum bukan Islam melalui pemupukan kefahaman Islam sebenar kepada mereka. Sekian lama mereka menerima maklumat dari sumber yang salah malah manipulasi UMNO terhadap agama begitu bejat dan merosakkan paradigma kaum bukan Islam di Malaysia selama ini.

Sekian lamanya PAS berjuang mendaulatkan Islam dari seawal-awal organisasi, kewujudan Dewan Ulama’ (Persatuan Ulama’), penubuhan Unit Amal dan sebagainya sebagai agen dakwah PAS. Namun begitu sedar atau tidak konsentrasi dakwah ini hampir 90% menumpu kepada domain kaum Melayu. Malah seolah-olahnya PAS adalah parti dielektik UMNO sahaja tanpa sedar ia bukan bertugas untuk menyaingi UMNO semata-mata, tetapi juga untuk memahamkan seluruh rakyat Malaysia apa itu Islam, apa itu pentadbiran dan keadilan Islam.

Sejarah PAS yang bermula sejak pra merdeka dan bertitik tolak daripada penolakan ulama’ terhadap dasar sekular UMNO mengheret PAS untuk terus bergelumang dengan politik yang hampir kesemuanya menjawab isu kemelesetan UMNO ataupun menyiarkan hasrat PAS untuk memerintah.

Kebanyakan pertubuhan Islam/NGO pasca merdeka adalah menjurus kepada penjagaan dakwah syiar Islam negeri Melayu, menjaga adat istiadat melayu serta warisan keilmuan Islam di Tanah Melayu. Gelombang NGO seterusnya pula menerbitkan gerakan Islam yang mulai inklusif terhadap dakwah kaum bukan Islam dan inilah aspek yang PAS giatkan melalui KPP.

Kaum bukan Islam? Semasa itu pemisahan sosial antara kaum cukup besar, malah gelombang kedua pembawaan kaum Cina dan India oleh British ke Malaya adalah untuk mengisi kerja ekonomi penjajah. Mereka terasing dan terpencil dek kerana budaya bahasa dan agama. Mereka datang untuk bekerja dan mereka memiliki kaum kerabat di Cina, belajar juga berasaskan sistem vernakular China. Mereka bukan berebut politik bersama kaum Melayu. Hal ini menyisihkan kegiatan dakwah PAS terhadap kaum bukan Islam akibat faktor sosiopolitik dan budaya dan ia berbeza pada hari ini.

Trend PAS kini kian terbuka. Jika dahulu semasa PRU 1999, sebarang isu dan hal yang melibatkan kaum bukan Islam, PAS akan serahkan kepada DAP atau PKN. Namun begitu keterbukaan minda berlaku akibat kematangan dan asakan maklumat yang luas. Kaum bukan Islam mula mengenali PAS dan berhasrat bersama PAS. Kini PAS proaktif untuk mengambil niche yang terbuka luas dengan menubuhkan Kelab Penyokong PAS (KPP).

Kerja buat Rasulullah bukan sekadar menjaga kebajikan dan beraktiviti bersama sesama penganut Islam sahaja. Bayangkan di zaman Rasulullah, daripada hanya seorang muslim (Rasulullah sendiri) boleh menerbitkan lebih 400 muslim selepas 10 tahun berdakwah. Adakah ini berjaya jika rasul berpuas hati dengan 10 sahaja sahabat akrab Baginda?

Kerja Lajnah Perpaduan adalah kerja ‘sawwabit’ (tetap), pillar atau asas dalam PAS bagi sesiapa yang memahami. Kerja ini mentransformasikan kegiatan PAS kepada kefahaman kaum-kaum lain. Memang kerja di dalam PAS cukup sarat dengan kegiatan dan takwim tahunan. Namun begitu, wujudnya lajnah ini serta Kelab Penyokong PAS adalah petanda KEMBALINYA dakwah Islam sejati (Rasulullah) kepada PAS. Kerja ini bukan kerja samblan yang boleh diambil mudah.

Rasul tidak pernah memaksa sesiapa menganut Islam. Yang berlaku adalah contoh, sunnah, ajakan, perbahasan berhikmah, politik serta hubungan ekonomi yang adil oleh Rasulullaah terhadap kaum bukan Islam.

Obligasi bertugas dalam Lajnah Perpaduan bukan tugasan yang mudah. Mengurus Kelab Penyokong PAS sehingga mereka mampu bergerak secara konsisten dan mandiri adalah tugasan serius ahli PAS dan memerlukan komitmen dan kesabaran ahli. Hubungan yang erat antara Lajnah Perpaduan dengan anggota Kelab perlu baik serta mencanai satu hubungan antogonistik yang bernilai.

Cuba renungkan, dengan komposisi melayu 53.4%, Bumiputera 11.7%, Cina 26.0%, dan India 7.7%, di Malaysia, cukup untuk PAS bertindak menghargai kaum bukan Melayu serta meraih undi/sokongan mereka terhadap PAS. Adakah ia hanya berjaya jika komunikasi dan interaksi hanya berlaku 4 tahun sekali? Sebaliknya selepas pilihanraya ahli akan kembali bekerja seolah mereka hanya berjuang untuk kaum melayu dan akhirnya kembali mendekati kaum bukan melayu pada pilihanraya seterusnya? Bukankah ini jauh dari sikap dai’ ?

Muhammad Nuruddin Bashah
SETIAUSAHA LAJNAH PERPADUAN NASIONAL NEGERI PERAK
Hadapan 360 MKJ Kampung Terang
11000 Balik Pulau
Pulau Pinang

Pegawai gereja terharu terima kunjungan Nik Aziz

25 Muharram 1431H
Ismail Hashim

PETALING JAYA, 10 Jan: Kesediaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tiga gereja petang tadi menimbulkan rasa terharu pihak gereja.

Perasaan terharu itu dinyatakan oleh Pegawai Penyambut Tamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dekat sini, Calvin Jacob yang juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan itu kerana sudi mengunjungi mereka.

Menurut Calvin, Datuk Nik Abdul Aziz telah meluahkan rasa simpati di atas apa yang telah berlaku ke atas gereja itu yang dibaling dengan bom buatan sendiri pada minggu lalu.

“Saya telah mempelawa beliau masuk ke dalam gereja untuk melawat namun kerana ketika itu pengunjung gereja sedang melakukan kegiatan mingguan mereka, beliau menolak dengan baik.

“Jika cuaca tidak hujan saya bercadang untuk membawa beliau meninjau di sekeliling gereja, tetapi saya sempat maklumkan kepadanya tentang keadaan gereja yang tidak mengalami apa-apa kerosakan lantaran bom yang dilontar itu tidak meletup,” jelas Calvin lagi.

Sebelum itu, Tuan Guru telah mengunjungi Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing juga dekat sini untuk meninjau dan menyampaikan rasa simpatinya terhadap kejadian tidak bermoral pihak tertentu yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

Gambar: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang berkata sesuatu kepada dua Penyambut Tetamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta, Petaling Jaya ketika lawatannya petang tadi. Calvin Jacob (dua dari kanan).

Terdahulu, sebelum ke Petaling Jaya, Nik Aziz telah ke Gereja Metro Tabernacle di Taman Melawati yang dibakar. Di situ, beliau telah memberikan sumbangan peribadi beliau kepada wakil gereja.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa mengunjungi gereja yang sama bagi melahirkan rasa simpati PAS kepada tindakan membakar gereja itu.

Sehingga kini sudah tujuh kes gereja cuba dibakar selepas Mahkamah Tinggi memutuskan akhbar Kristian The Herald boleh menggunakan perkataan Allah dalam laporannya.

PAS mengambil sikap, Kristian berhak menggunakan perkataan Allah itu kerana semua agama samawi sememangnya menggunakan Allah sebagai tuhan namun Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pro kepadanya membantah dan mula membuat kenyataan dan perhimpunan panas membantahnya.

Beberapa NGO pro Umno pula semacam mengambil sikap mengapi-apikan orang Islam dalam isu ini.

Harakahdaily.net/-



Bakar gereja lahir hasil dari didikan UMNO

25 Muharram 1431

Sehingga hari ini sebanyak tujuh buah gereja termasuk yang terbaru di Miri, Sarawak, menjadi sasaran cubaan membakar dan vandalisme , kes terbaru turut membabitkan gereja All Saints dan pos pengawal SM Convent di Taiping, Perak. Saya telah mengeluarkan kenyataan mengenai serangan tersebut dan menganggap sebagai tindakan yang menganggu keharmonian antara kaum.

Memang tidak ada pihak yang tanpil untuk mengatakan dia bertanggung jawab dalan siri serangan gila itu. Serangan tersebut saya sifatkan sebagai menangguk di air keruh dan baling batu sebunyi tangan. malah serangan ini adalah dari kumpulan yang penakut dan bacul. Lebih jelas dan saya tegaskan mereka yang melakukan kerja yang tidak bertamaddun ini adalah mereka yang cetek didikan agama dan ini adalah lahir hasil dari UMNO yang mengabaikan agama setelah memerintah sejak 52 tahun yang lepas.

UMNO adalah juara kepada kehancuran Islam di Malaysia. Dia adalah penghianat kepada orang melayu dan agamanya sendiri. Walaupun kita tidak dapat nafikan rumah Ibadah Islam seperti mesjid dan Surau sentiasa bertambah dan lengkap dengan segala fasiliti namun pengisian kepada rumah Ibadah kepada program yang boleh mendekatkan umat Islam kepada Islam dan pemahaman Islam yang lebih syumul adalah jauh ketinggalan.

Usaha UMNO sekian lama dan terbaru di Perak ialah dengan menyusun AJK Mesjid dengan kalangan mereka yang tidak kenal Islam malah akhlaknya jauh sekalai menetapi kehendak Islam. Mereka yang cetek Ilmu Islam dan malah bencikan kuliah dan program yang boleh meningkatkan ilmu Islam adalah mereka yang dilantik sebagai AJK Mesjid di negeri yang dikuasai BN dan UMNO.

Sebab itu UMNO amat bimbang sekiranya rakyat Malaysia dipelbagai peringkat umur faham dan mengenali Islam dengan lebih syumul. Kalau diperingkat dewasa mesjid akan melarang ustaz yang bercakap Islam secara luas dan terperinci . Hanya Ustaz yang mengajar berulang kali mengenai solat, puasa, zakat , nikah khawin, haid dan nifaz, solat jenazah dan beberapa fardu kifayah lain dibenarkan. Lebih dari itu dikatakan ada kaitan dengan politik dan dihalang.

Sebab itulah diperingkat pendidikan formal UMNO sanggup membunuh Sekolah Agama Rakyat (SAR). Perkara yang malang yang belaku semasa Dr. Mahadhir menjadi PM Malaysia adalah tragedi yang sangat malang bagi institusi pendidikan yang telah melahirkan banyak mufti, ustaz, imam-imam dan mereka yang faham dengan Islam yang telah mampu membibing ummah sekian lama.

Namun disebabkan institusi ini tidak memberi kesan yang positif kepada sokongan rakyat terhadap UMNO dan BN dia telah dibunuh dengan penarikan bantuan perkapita.

Bila rakyat pelbagai lapisan faham dengan islam saya yakin mereka akan meninggal UMNO dan mencari alternatif yang lain dan sudah tentu mereka akan memilih selain dari UMN0. Kerana itu UMNO amat bimbang dengan keadaan ini dan melakukan apa saja untuk menarik remaja Islam kepada perkara yang lebih libral dan menyeronokkan .

Program yang menyebabkan remaja tidak cintakan ke Mesjid di meriahkan sebaik mungkin. Hiburan diperbanyakkan malah ketahap yang saya anggap telah berjaya memesongkan akidah umat Islam bila artis dipuja sedemikan rupa.

Contohnya malam tadi dalam perjalanan balik dari Kuala kangsar saya singgah di Perhentian R&R Bukit Gantang saya dapati tempat duduk yang hampir penuh di gerai makan semuanya sedang menumpukan perhatian kepada siaran langsung pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) di Stadium Putra Bukit Jalil, Sebahagiannya remaja semacam kenyang tanpa makan dengan mata terbeliak melihat nyanyian demi nyanyian di TV.

Dalam hati kecil saya berkata ini lah hasil didikan UMNO setelah 52 tahun dan kesan itu juga ramai yang tidak faham islam sehingga sanggup menyerang rumah Ibasah agama lain.

Itulah UMNo, biarah anak bangasa tidak faham dengan iIlam, meeka semakin jauh dengan Islam malah kejadian murtad semakin menjadi-jadi. yang lebih penting mereka menyokong Bn dan UMNO.

Tidak hairan kalau ada rakyat Malaysia yang masih mengaku beragama Islam tetapi mereka sudah tidak kenal dengan apa itu Islam yang sebenarnya. Paling malang mereka mengenali Islam dan kebobokran akhlak pemimpin UMNO yang juga tidak mengenali Islam. Mereka menjadikan pemanis dibibir bila menyampaikan ucapan tanpa ada pelaksanaan.

Apa yang nyata setelah 52 tahun UMNO mendominasi kerajaan Malaysia perkara yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam semakin terhakis dan dipinggiran.

Bakar gereja: Menteri gagal bertindak awal jadi punca

25 Muharram 1431H
Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 10 Jan: Kegagalan kerajaan membendung dari awal kemarahan rakyat ekoran mahkamah membenarkan penggunaan perkataan Allah bagi penerbitan Herald, akhirnya mengundang padah.

Media pula seperti dibiarkan mengapi-api isu tersebut dengan memaparkan bantahan orang ramai, tanpa mengambil kira sentimen penganut agama lain.

Kegagalan menteri yang bertanggungjawab ke atas Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut mempercepatkan maraknya perasaan tidak senang hati antara kaum.

Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, kerajaan dilihat hanya bertindak selepas berlaku peristiwa di luar kawalan sehingga gereja dibakar.

“Isu yang berlaku sekarang berjaya menutup kemarahan sebenar rakyat ekoran kenaikan harga barangan dan kos hidup.

“Mungkin juga sebagai satu pelan bagi mengelakkan rakyat terus bercakap kehilangan enjin jet pejuang yang begitu mengaibkan sekali kerajaan,” katanya di sini.

Beberapa gereja menjadi sasaran serangan pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga merosakkan sebahagian prasarananya, antaranya Gereja Metro Tarbenacle, Gereja Assumption dan Gereja Chapel kesemua di Kuala Lumpur dan Selangor.

Sebelum itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Lau Bee Lan membenarkan penerbitan mingguan milik Katholik menggunakan perkataan Allah sebagai ganti ‘god’ dalam bahasa Inggeris.

Siti Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan berkata, isu berasaskan sentimen perkauman itu telah diperbesarkan begitu rupa sehingga mencetuskan suasana tidak senang.

Oleh itu, beliau berharap mereka yang bertanggungjawab ke atas insiden terbabit dihadap ke muka pengadilan.

Kerajaan diingatkan tidak melindungi mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Menurutnya juga, isu perkauman di negara ini seperti sukar berakhir kerana ia sudah menjadi teras kepada perjuangan Umno yang hanya mengutamakan bangsa.

“Apabila rakyat tidak lagi menghormati hak asasi manusia dan kebebasan beribadat di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, maka tidak hairanlah berlaku perbuatan khianat terhadap rumah-rumah ibadat.

“Sedangkan Islam melarang keras tindakan sedemikian, bahkan Rasulullah saw pernah mengingatkan masyarakat di zaman junjungan besar itu menghormati golongan bukan Islam termasuk tempat ibadat mereka.

“Ini menggambarkan betapa suci dan murninya Islam yang mementingkan keharmonian kehidupan masyarakat,” ujarnya.

Harakahdaily.Net/-