31 Disember 2012

Bas diserang, 20 jemaah Syiah Pakistan maut

Bas diserang, 20 jemaah Syiah Pakistan maut17 Safar 1433H. [MOD] -


Bas yang musnah sama sekali dalam serangan ke atas jemaah Syiah di Balochistan. - Foto ihsan CNN
 
ISLAMABAD - Seramai 20 jemaah Syiah terbunuh manakala 25 yang lain cedera apabila bas mereka naiki diserang dan diletupkan ketika melalui wilayah barat daya Pakistan, Balochistan, semalam.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya daerah Mastung, Tufail Baloch, militan menyasarkan tiga bas dinaiki jemaah Syiah di kawasan Dringarh.

Sebuah bas musnah dalam serangan manakala dua yang lain mengalami kerosakan.

Bas berkenaan membawa jemaah dari Quetta ke Iran.

Pihak berkuasa mendakwa yang letupan telah dikawal dari jauh.

Puak Syiah merupakan puak minoriti dan anggota masyarakat itu sering mengalami penganiayaan dari pelampau.

Pada 24 November lalu, Taliban Pakistan mendakwa bertanggungjawab ke atas letupan yang mengorbankan tujuh orang termasuk tiga kanak-kanak semasa perarakan agama Syiah.

sinar/-

Tembakan ketika berbual

17 Safar 1433H. [MOD] -

GEORGETOWN: Seorang lelaki maut apabila ditembak dari jarak dekat ketika berbual dengan rakannya di hadapan sebuah rumah di Jalan Lembah Permai, Taman Brown, Gelugor, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam itu, S Kalimuthu, 29, dari Jalan Yeap Chor Ee, di sini, mati ketika dalam perjalanan ke hospital selepas terkena tembakan di bahu kanan.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa bersama seorang rakan baru pulang dari sebuah pusat beli-belah sebelum tiba di rumah berkenaan dan berbual bersama dua lagi rakan lain.

“Ketika sedang berbual, dua kereta menghampiri mereka dan seorang lelaki keluar dari sebuah kereta terbabit lalu melepaskan tembakan dari dekat.

“Tembakan itu terkena bahu kanan mangsa hingga dia rebah sebelum kumpulan penjenayah terbabit melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, melihatkan keadaan itu, rakan mangsa membawanya ke sebuah hospital swasta sebelum disahkan meninggal dunia sejurus tiba.

“Siasatan awal mendapati, kumpulan penjenayah terbabit menaiki kereta Toyota Vios serta Perodua Kenari dan suspek yang menembak mangsa bertubuh tinggi dan agak kurus.

“Selain itu, hasil semakan awal juga mendapati mangsa pernah menganggotai sebuah kumpulan kongsi gelap dan kemungkinan penjenayah menembaknya kerana dendam lama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian terbabit diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.

sinar/-

Top 5: Menteri paling tak buat kerja tahun 2012

17 Safar 1433H. [MOD] -

Macam tak percaya pun ada. Sebegini cepat masa berlalu. Aku rasa macam baru semalam je masuk tahun baru 2012. Tahu2 jek hari neh dah nak masuk 2013. Cepat gile. Orang kata semakin mendekati kiamat, semakin cepat masa berlalu. Yeke? Aku pun tak sure benda neh betul ke tak. Hehe.

Tahu kah anda sebagai rakyat, ini la masa untuk kita memberikan penilaian mengenai menteri2 kita? Kita ada hak itu kerana kita rakyat yang mereka jaga. Bila kita dapati mereka gagal menjaga dan mentadbir negara dengan betul, kita layak mengadili mereka. Tanpa larangan. Of course.

harakahdaily/-

Jadi 'tokan' rokok, ganja hidup mewah tapi tak bahagia

17 Safar 1433H. [MOD] -


Jadi 'tokan' rokok, ganja

Contoh ‘dapur’ buatan sendiri yang digunakan untuk mengambil ganja.
 
Bijak berniaga tapi digunakan pada jalan salah – itulah yang dapat disimpulkan daripada kisah dikongsi Deen (bukan nama sebenar) pada penulis. Di sebalik kejayaannya bergelar usahawan pada hari ini, rupa-rupanya dia mempunyai kisah silam yang menarik untuk dikongsikan.

“Dari kecil saya memang minat berniaga. Waktu darjah satu lagi saya selalu ambil alat tulis kakak lalu jual di kelas.

“Otak saya sentiasa ligat berfikir macam mana nak beranakkan duit. Mungkin sebab terbiasa tengok mak buat kira-kira perbelanjaan keluarga depan mata kot,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini. 

Dari satu segi sifat suka berniaga ini memang patut dipuji. Cuma yang tak baiknya, Deen sanggup berniaga apa saja yang dirasakan boleh jadi duit.

Bagaimanapun, Deen memiliki otak yang cerdik. Keputusan UPSR yang baik membuatkan dia dapat melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berasrama.

“Masa inilah saya belajar merokok. Sifat ingin tahu buat saya mencubanya tapi tak kerap sebab rasa membazir.

“Tapi bila tengok kawan gilakan rokok, saya dapat idea untuk tambah pendapatan dengan menjualnya,” ujar Deen.

Prestasi pelajaran yang bagus di samping raut wajah baik membuatkan tiada sesiapa termasuk guru disiplin mengesyaki Deen membekalkan rokok kepada pelajar lain. Paling utama, dia mempunyai tempat simpanan terbaik.

“Saya beli rokok setiap kali keluar bandar. Nak bawa masuk rokok dalam asrama tak ada masalah tapi nak menyimpannya susah. Tapi sebagai ketua pustakawan saya mempunyai kunci stor pusat sumber jadi di situlah saya simpan tanpa dicurigai sesiapa,” kata Deen.

Perniagaan rokok yang dijalankan Deen menghasilkan pulangan lumayan buat budak sekolah sepertinya. Jenama rokok yang mendapat permintaan tinggi adalah Dunhill, Marlboro dan Pall Mall. Dibeli pada harga RM5.90 untuk 20 batang pada masa itu namun menjualnya semula 50 sen sebatang, mudah-mudah saja Deen mendapat untung.

'Paipon' atau ‘dapur’

Di sebalik kesibukan dengan ‘perniagaan’, kecemerlangan keputusan PMR melayakkan Deen memasuki sebuah sekolah berasrama penuh lain ketika tingkatan 4.

“Di tempat baru, saya diperkenalkan pula dengan ganja yang biasa dipanggil 'dam'. Dalam hati terus berbisik, ‘wah ini peluang bisnes baru ni!’.

“Bila difikirkan semula, pelik juga mengapa saya langsung tak rasa gentar masa tu padahal tahu ia menyalahi undang-undang. Apa yang saya bayangkan cuma peluang buat duit,” getus Deen.

Oleh sebab karakternya yang peramah dan pandai bergaul, Deen dengan mudah berkawan rapat dengan seorang pengawal keselamatan sekolah yang dapat membekalkannya ganja. Setelah beberapa kali berurusan, dia akhirnya turut diperkenalkan terus kepada pembekal utama.

“Bila dah rapat saya dibenarkan ambil 'dam' secara consignment sebelum dijual pada harga RM30,” ujar Deen.

Meskipun agak mahal untuk kategori pelajar, sepaket ganja masih mampu dimiliki kerana mereka akan berkongsi membelinya. Satu plastik cukup untuk ‘dinikmati’ antara empat hingga lima orang.
Cara pengambilannya pula, biasanya dihisap seperti rokok biasa selepas ganja digulung dalam rokok daun atau disedut daripada alat buatan sendiri dipanggil 'paipon' atau ‘dapur’ yang diperbuat daripada botol, silinder pen dan kertas aluminium.

“Permintaan lebih tinggi setiap kali menjelang cuti sekolah sebab mereka nak bawa balik stok ke rumah. Pernah sebab nak cepat, saya datang ke tempat pembekal dan bantu dia bungkus sendiri ganja ke dalam plastik,” ujar Deen.


Kena tahan di Siam

Keputusan SPM Deen tidak terlalu teruk tapi tidak juga cemerlang. Begitu pun dia masih mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke sebuah IPT.

“Saya ambil keputusan tak nak sambung belajar sebab rasa dah nampak jalan macam mana nak dapat duit lebih.

"Caranya tak lain tak bukan, jual ganja. Selama dua tahun buat kerja tu saya dah ada ‘networking’ yang baik dan pelanggan tetap,” ujar Deen.

Justeru sebaik sahaja tamat belajar dan tinggal di rumah sewa, langkahnya lebih panjang. Deen juga bertindak lebih berani apabila melakukan sendiri kerja pembungkusan ganja. Justeru untungnya lebih besar dan lumayan.

“Kali ini saya tak turun padang lagi. Saya upah budak-budak yang buat kerja. Duit pada masa itu memang tak luak dan saya hidup mewah,” cerita Deen.

Dia amat berhati-hati menjalankan kegiatannya. Pelanggan tidak dibenarkan melakukan urus niaga terus dengannya kecuali yang sudah lama dikenali. Deen menyerahkan urusan mengambil wang dan menghantar barang kepada budak-budaknya.

Sebagai langkah berjaga-jaga agar tidak diperangkap, paket ganja biasanya diletakkan dalam sampul surat sebelum diserahkan pada pembeli di tempat awam seperti pasar malam dan kedai malam. Duit pula perlu diserahkan terlebih dahulu kepada individu lain sebelum barang diberikan.

Hinggalah satu hari, Deen melepasi sempadan Thailand seperti biasa untuk mengambil stok ganja. Entah bagaimana dia ditangkap oleh pihak berkuasa sana kerana disyaki melakukan perkara menyalahi undang-undang.

“Mujur waktu itu saya belum sempat ambil barang. Mati-mati saya tak mengaku tapi seminggu jugalah rasa azab dalam penjara di sana,” kata Deen.

Katanya, dia terpaksa bersesak bersama sembilan yang lain dalam sel kecil yang sepatutnya muat untuk 3 orang sahaja. Namun akhirnya, dia dibebaskan kerana tak cukup bukti.

“Balik saja sini, saya dapat tahu tiga budak saya kena tahan. Yang bagusnya mereka ditangkap bukan di tempat saya tapi waktu sekatan jalan. Rupa-rupanya mereka mencuri ganja milik saya bila dengar khabar saya kena tahan di Siam,” ujar Deen.

Dengan ganja seberat lebih 2000 gram, masing-masing didakwa di bawah Seksyen yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. 

“Sedih juga dengan nasib mereka tapi saya anggap itu satu wake-up call untuk sedar bahawa Tuhan mahu bagi peluang kedua. Sejak itu saya tinggalkan terus kegiatan yang salah dan memulakan perniagaan lain secara sah.

"Hasilnya tidak selumayan jual ganja tapi hati rasa lebih tenang dan bahagia,” ujar Deen sebelum mengakhiri perbualan.

harakahdaily/-

PAS arah jentera bantu mangsa banjir

17 Safar 1433H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: PAS menyeru semua jenteranya dan orang ramai memberikan bantuan kepada mangsa banjir kerana masalah mereka belum selesai dengan surutnya air banjir ini.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP), Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata,   walaupun ramai yang telah dapat pulang ke rumah masing-masing, cabaran  yang bakal dihadapi  pasca banjir seperti memperbaikii kerosakan rumah dan menggantikan barangan serta peralatan rumah yang rosak sudah tentu menuntut perbelanjaan yang banyak.

Tambahan pula bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, semua persediaan peralatan dan buku sekolah juga mungkin sudah tidak dapat dipakai langsung.

Mengikut anggaran yang diberi oleh pihak kerajaan dan media jumlah mangsa yang terpaksa dipindahkan sudah melebihi daripada 6,000 orang dan mungkin akan mencecah 7,000 orang.

Walaupun ada pelbagai pihak telah memberi sumbangan melalui NGO dan sebagainya, Dr Siti Mariah meminta ahli PAS khasnya untuk menyumbang melalui Dana Kami Prihatin, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat supaya bantuan  dapat disalurkan dan diagihkan kepada mangsa melalui petugas-petugas parti dinegeri-negeri yang terlibat.

Ini juga dapat memastikan pengagihan yang lebih merata dapat dilakukan oleh PAS kawasan atau DUN dan tidak tertumpu kepada tempat-tempat tertentu sahaja.

Dengan cara ini juga ahli-ahli dapat menyumbang kepada amal jamaie yang dipelopori PAS.
Laporan yang diterima beliau memberitahu, ada kampung atau tempat yang tidak mencukupi dana untuk turut membantu mangsa banjir.

(Presiden PAS turut turun padang bagi membantu mangsa banjir)

Sumbangan wang tunai / cash diperlukan untuk memberi bantuan anak-anak  memulakan persekolahan, untuk membaiki rumah dan juga membayar pendahuluan pembelian bahan-bahan makanan  yang telah dibekalkan kepada mangsa semasa banjir melanda.

LKKPP menyarankan setiap keluarga ahli PAS menyumbang untuk membantu pembelian peralatan atau pakaian sekolah untuk satu orang anak mangsa yang dianggarkan dalam RM100 seorang.

Sumbangan-sumbangan lain berbentuk beras, gula dan lain-lain juga diterima dan dihantarkan ke pusat pengumpulan sementara LKKPP  di Pusat Khidmat Masyarakat (DUN Lembah Jaya) di No 47, Jalan Dagang, Taman Dagang Jaya, Ampang atau hubungi Pn Hjh Rohainah (013 3407441).
Sumbangan kewangan boleh dimasukkan terus ke DANA KAMI PRIHATIN, BANK ISLAM 1211 3010 0261 50.

Dr Siti Mariah memohon kerjasama semua LKKPP Kawasan untuk menggerakkan kutipan sumbangan ahli dan penyokong PAS dan sumbangan tersebut dimasukkan terus ke akaun Dana Kami Prihatin dan seterusnya menghantar mesej kepada nombor 019 2361889 (Pengerusi) atau 0193575857 (Bendahari) untuk memaklumkan kemasukan deposit dan seterusnya untuk pengeluaran resit resmi dari LKKPP.

"Kepada yang telah menghulurkan sumbangan LKKPP, bagi pihak PAS  mengucapkan jazakallah hukhairan kathira," katanya.

harakahdaily/-

Operasi roboh banglo mewah Bukit Setiawangsa mula pagi ini

17 Safar 1433H. [MOD] -


Operasi roboh banglo mewah Bukit Setiawangsa mula pagi ini
Othman (tengah) ketika sidang media di lokasi.
KUALA LUMPUR - Kerja-kerja meroboh sebuah banglo mewah yang terjejas akibat runtuhan benteng konkrit di Puncak Setiawangsa di sini dimulakan oleh kontraktor dilantik pihak pemaju sejak jam 10 pagi tadi menggunakan kren.

Bagaimanapun, kerja-kerja yang dijangka mengambil masa beberapa hari itu perlu dilakukan dengan berhati-hati berikutan masih terdapat pergerakan tanah.

Kerja-kerja meroboh bermula dari bahagian bumbung sedikit demi sedikit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Suprt Othman Abu Bakar berkata, baki banglo masih dalam zon tidak selamat.

Bagaimanapun menurutnya, mana-mana penghuni di banglo lain selain tujuh itu, kini dibenarkan memasuki kembali kediaman masing-masing.

"Namun, 58 rumah teres dan 17 rumah kedai yang terletak di bahagian bawah cerun masih diklasifikasikan sebagai kawasan tidak selamat yang mana kini semua telah dikosongkan.

"Setakat ini, seramai 283 penghuni direkodkan terlibat dan berpindah, kita jangka akan dapat mengetahui jumlah sebenar dalam sehari dua lagi selepas cuti berakhir kerana mungkin ada yang tiada di rumah," katanya pada sidang media sebentar tadi.

Beliau berkata, laluan alternatif masih dipantau pihak berkuasa yang mana hanya membenarkan penghuni dan pekerja terlibat melaluinya.

Katanya pihak polis akan terus memantau rumah-rumah yang dikosongkan.

"Kita juga akan membuat kenyataan kepada media setiap hari pada jam 11 pagi dan tiga petang, dan juga melibat agensi teknikal lain sekiranya diperlukan," katanya.

sinar/-


Program Jom Ke Sekolah Mendapat Sambutan Hangat Dari Penduduk Kpg Jagus

17 Safar 1433H. [MOD] -

LAMBIR - Kpg Jagus terletak dalam DUN Lambir dan penduduknya terdiri dari berbagai kaum. Majoriti penduduknya dari kaum Iban, Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera Sarawak.

Baru-baru ini Dewan Muslimat PAS Miri mengadakan aktiviti hujung tahun dengan programs ‘Jom Ke Sekolah’ di Kpg Jagus dengan menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada anak murid yang akan memasuki sesi persekolahan pada tahun 2013. Seramai 50 anak murid dari berbagai kaum telah menerima sumbangan beg sekolah serta alat tulis di Kpg Jagus.

Turut hadir dalam program yang serba ringkas itu, terdiri daripada Ketua Dewan Muslimat PAS Miri, YDP PAS Miri, serta ahli PAS kawasan Miri.  

Sambutan dari penduduk kampung sangat mengalakkan. Ramai ibu bapa hadir bersama dengan anak-anak mereka untuk menyambut kedatangan rombongan PAS Miri. Dengan sedikit sumbangan tersebut sekurang-kurangnya dapat meringankan bebanan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

Aktiviti Jom Ke Sekolah menasihatkan pelajar yang akan memasuki alam persekolahan supaya belajarlah rajin-rajin dan berazam menjadi pelajar yang terbaik dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

Sempena menyambut tahun baru 2013, PAS Miri ingin mengambil kesempatan ini agar tahun baru adalah tahun untuk kita bersatu menuju kearah negara yang berkebajikan dan adil untuk semua.

Semoga tahun 2013, rakyat Malaysia akan menyaksikan lebih banyak pembaharuan akan berlaku setelah sekian lama dikongkong oleh minda penjajahan yang selama ini dikawal oleh mereka yang mempunyai kepentingan.

Harapan rakyat untuk melihat refomasi dan perubahan yang total hanya akan berlaku sekiranya rakyat sendiri sanggup dan bersedia untuk berubah.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka” (Surah Ar-Rad: 11)

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

5 negara paling bahaya untuk wanita

17 Safar 1433H. [MOD] -

LIMA NEGARA PALING BERBAHAYA UNTUK WANITA
LIMA NEGARA PALING BERBAHAYA UNTUK WANITA
Afghanistan

Sahar Gul, gadis diseksa suami

Pembuka tahun 2012, dunia digemparkan dengan insiden seorang remaja berusia 15 tahun, Sahar Gul, dipukul dan dikurung dalam tandas oleh suami dan keluarga mertuanya selama lima bulan selepas enggan bekerja sebagai pelacur.

Sewaktu diselamatkan sekumpulan aktivis di kediaman mertuanya di utara Baghlan, Sahar ditemui dalam keadaan cedera parah di seluruh badan.

Menurut polis, selain dipukul, rambutnya direntap, kukunya dicabut dan dikurung di dalam tandas di bawah tanah tanpa makanan dan minuman untuk hidup.

"Suami dan keluarga mertuanya turut mencederakannya dengan puntung rokok dan  lidahnya dikerat dengan playar," kata jurucakap polis Baghlan.

Kes berkenaan turut mendapat perhatian pemimpin Afghanistan, Presiden Hamid Karzai yang menggesa hukuman dikenakan ke atas di pelakunya.

Ketua hal ehwal wanita Baghlan, Rahima Zarifi berkata kepada Reuters, Sahar yang berasal dari wilayah Badakhshan telah dikahwin dengan suspek pertengah Mei 2011 dan telah dipaksa menjadi pelacur bagi mendapatkan wang untuk keluarga mertuanya.

Sementara itu, polis kanan Baghlan, Mohammad Zia, mengesahkan ibu mertua dan kakak ipar Sahar telah ditahan, tetapi membebaskan suami dan bapa mertuanya.

Pakistan

Malala Yuosafzai, gadis ditembak Taliban

Gadis dan pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun, Malala Yousafzai yang memperjuangkan pendidikan kepada golongan wanita ditembak oleh Taliban sewaktu dalam perjalanan pulang dari sekolah di Pakistan pada 9 Oktober lalu.

Serangan mengejut terhadap Malala yang juga aktivis paling dikehendaki Taliban itu mendapat liputan penuh media dunia sekali gus mencetuskan bantahan besar-besaran seluruh negara.

Beberapa pemimpin berpengaruh dunia termasuk Britain menghulurkan bantuan ke atas Malala dengan memberikan rawatan membuang peluru di kepalanya.

Kini, Malala yang juga simbol keberanian dan beribu-ribu pembaca yang mengikuti kisahnya itu menandatangani petisyen meminta remaja itu dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel.

Bercakap bagi pihak gadis itu, bapanya, Ziauddin Yousafzai berkata, anaknya yang mesra dipanggil Malala mahu berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya kerana membantu dia untuk terus kuat.

Kejadian tersebut menarik perhatian dunia dan Taliban menerusi laman webnya berikrar akan melancarkan serangan lagi sekiranya Malala masih hidup.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Yayasan Amanah NHS, Hospital Universiti Birmingham, Yousafzai berkata, Malala mahu memberitahu kepada semua bagaimana dirinya sangat bertuah kerana seluruh dunia mendoakan penyembuhannya.

India
Pelajar perubatan mati dirogol kumpulan lelaki

Seorang pelajar perubatan sebuah kolej di India, yang cedera parah selepas diperkosa beramai-ramai di New Delhi dan diterbangkan ke Singapura untuk rawatan, meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Wanita berusia 23 tahun itu, yang mana serangannya dalam sebuah bas menimbulkan bantahan di seluruh India, meninggal dunia 4.45 pagi (waktu tempatan) di Hospital Mount Elizabeth di mana beliau dimasukkan untuk rawatan pada Khamis lalu.

Pelajar itu dipindahkan dari Hospital Safdarjung di tengah Delhi ke Hospital Medanta di Gurgaon, berdekatan dengan lapangan terbang bandar itu, sebelum diterbangkan ke Singapura.

Menurut sumber, sewaktu kejadian mangsa bersama teman lelaki yang pulang dari menonton wayang dengan menaiki bas, diserang enam lelaki. Suspek memukul mangsa dan teman lelakinya dengan batang besi dan merogolnya secara bergilir-gilir.

Laporan perubatan mendedahkan, mangsa mengalami kecederaan teruk pada bahagian dalaman badan dan suspek dipercayai menggunakan batang besi sebagai alat memperkosa mangsa.

Selepas merogol mangsa selama sejam, dia dan teman lelakinya dicampak keluar.


Tahukah anda?
Sesetengah ahli sejarah percaya asal usul keganasan terhadap wanita berkait rapat dengan tanggapan bahawa golongan itu sebagai aset dan jantinanya yang memaksa mereka tunduk kepada kaum lelaki dan wanita atasan lain.

Dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Penyingkiran Keganasan terhadap Wanita (1993), menyatakan bahawa keganasan terhadap wanita adalah satu manifestasi perhubungan kuasa yang dari segi sejarah tiada persamaan antara lelaki dan wanita di mana membawa kepada dominasi serta diskriminasi oleh golongan lelaki yang menyekat kemajuan wanita.

Keganasan terhadap wanita adalah satu daripada mekanisme sosial utama yang memaksa mereka berada pada kedudukan bawah golongan lelaki.

Pada tahun 1980, sebuah mahkamah di Amerika Syarikat telah mengharamkan hak si suami melaksanakan hukuman fizikal terhadap isterinya.

Sementara itu, adat menghukum isteri yang diamalkan masyarakat Britain dengan penderaan sederhana agar si isteri rajin melakukan kerja telah disekat pada tahun 1891.

sinar/-

Mayat Mangsa Rogol Beramai-Ramai Dibakar

17 Safar 1433H. [MOD] -

NEW DELHI: Mayat wanita muda yang dirogol beramai-ramai dan dibelasah dalam sebuah bas di sini sudah dibakar dalam satu majlis tertutup pada Ahad.

Polis India pada Sabtu mendakwa enam lelaki atas tuduhan membunuh dalam serangan 16 Disember lalu.
Insiden itu mengejutkan rakyat di negara itu dan mencetuskan tunjuk perasaan yang menuntut perlindungan terhadap wanita daripada keganasan seksual ditingkatkan.

Dakwaan itu dibuat beberapa jam selepas wanita berkenaan meninggal dunia di hospital Singapura.
Mangsa dibawa ke Singapura untuk menerima rawatan.

Mayat mangsa terbabit dibakar dalam majlis tertutup di sini selepas tiba dari Singapura dengan menaiki pesawat khas Air India.

Perdana Menteri, Manmohan Singh dan Ketua Parti Kongres, Sonia Gandhi hadir di lapangan terbang untuk menyambut mayat dan bertemu ahli keluarga mangsa yang turut tiba dengan pesawat terbabit.

mstar/-

PAS sedia runding semula kerusi di Sabah

17 Safar 1433H. [MOD] -


(Lajim dan Aminudin Aling dalam sidang media semalam)

KOTA KINABALU: PAS Sabah bersedia berunding semula dalam pembahagian kerusi bagi menghadapi piliharaya umum ke 13 nanti demi kebaikan rakyat di Sabah.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminudin Aling memberitahu, PAS sebelum ini telah mengadakan perbincangan dengan PKR dan DAP serta telah mendapat keputusan kedudukan kerusi bagi parti masing-masing.

Namun tambah beliau lagi, apabila terdapat pengumuman baru mengenai kemasukan Pertubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS) dan Angkatan Perpaduan Sabah (APS) dalam Pakatan Rakyat di Sabah, maka sekretariat Pakatan peringkat negeri akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan kedudukan kerusi.

"Kita dari awal lagi sudah mengadakan perbincangan dengan parti utama dalam Pakatan Rakyat dan persetujuan telah diperolehi bagi kedudukan kerusi di negeri ini.

"Bila ada pengumuman terbaru mengenai kemasukan PPPS dan APS dalam Pakatan Rakyat maka kita akan mengadakan pertemuan dengan segera bagi memdapat keputusan tentang kedudukan kerusi," jelasnya pada sidang media selepas masjis Pelancaran PPPS di Kota Kinabalu semalam.

Tambah beliau lagi, perkara tersebut telah pun dimaklumkan kepada Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini bagi mencari waktu yang sesuai untuk perbincangan.

"Keputusan berapa kerusi yang kita bertanding itu biarlah diputuskan oleh pucuk pimpinan utama PAS dan Pakatan Rakyat.

"Kita (PAS) bersedia mengurangkan kerusi bagi memberi laluan kepada dua parti baru, niat kita bukan sekadar untuk bertanding tetapi kita mahu Pakatan memenangi pilihanraya nanti sekaligus dapat membentuk kerajaan di Sabah mahupun di Putrajaya," tambah beliau lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Lajim Ukin menjadi calon pertama Pakatan yang diumumkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Parlimen Beaufort.

Anwar turut menyatakan jumlah kedudukan kerusi hanya akan diumumkan apabila keputusan diperolehi melalui perbincangan di peringkat tertinggi parti.

Malah katanya lagi, kesemua parti di dalam Pakatan Rakyat mempunyai kesefahaman dan sentiasa bertolak ansur dalam rundingan tersebut.

"Saya tidak ada apa-apa masalah dengan APS, PAS mahupun DAP. Kita hanya bertanding di kawasan majoriti Islam dan perbincangan dilakukan bersama PAS.

"Manakala bagi kawasan yang bukan majoriti Islam perkara itu antara PKR dan APS, itu persetujuan yang telah kita capai sebelum ini," kata beliau.

Lajim menambah, Pakatan Rakyat Sabah telah mendapat keputusan yang positif dan jelasnya lagi matlamat utama hanya untuk pembentukan kerajaan baru dan juga kebaikan seluruh rakyat Sabah.

harakah/-

Ikat, tetak hingga mati

DIBUNUH...anggota polis membawa masuk mayat mangsa  ke dalam trak untuk dibawa ke HSB.17 Safar 1433H. [MOD] -

DIBUNUH...anggota polis membawa masuk mayat mangsa ke dalam trak untuk dibawa ke HSB.
KUALA NERANG: Tiga lelaki ditemui mati dalam keadaan diikat dan badan dipenuhi kesan tetakan senjata tajam dalam sebuah kebun getah berhampiran Kampung Cebar, Tanjung Piring, dekat sini.

Mereka dikatakan diikat sekumpulan 13 lelaki kira-kira jam 11 malam Sabtu lalu, namun seorang rakan mangsa berjaya meloloskan diri dan membuat laporan polis kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Sumber berkata, mangsa yang terselamat itu dikatakan lewat membuat laporan polis kerana bersembunyi selama satu hari dipercayai bimbang anggota kumpulan terbabit berjaya mengesan jejaknya.

Menurutnya, lelaki itu kini dirawat di Hospital Kuala Nerang akibat kecederaan dialaminya.

“Siasatan awal mendapati tiga lelaki yang ditemui mati berusia antara 18 dan 30 tahun. Semua mangsa dan rakan mereka yang membuat laporan polis dipercayai berasal dari Arakan, Myanmar,” katanya.

metro/-

Syarat Rebat Telefon Pintar Untungkan Pengedar Lariskan Stok Lama

17 Safar 1433H. [MOD] -

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan pemberian rebet telefon mudah alih pintar 3G hanya kepada model RM500 ke bawah kerana dipercayai syarat itu cuba menguntungkan pihak tertentu dengan melariskan stok lama.

Katanya, lebih malang lagi apabila pelaksanaan skim itu dilihat berat sebelah apabila belia yang layak perlu membuat pembelian tersebut daripada pengedar telefon bimbit yang dilantik sahaja.

"Hanya pengedar dilantik sahaja diberikan rebat ini, maka model yang lama dalam simpanan mereka akan dikeluarkan semula dan ini akan menguntungkan mereka.

"Sudah tentu model lama itu nanti tidak mampu membantu golongan muda mendapat capaian 3G dan internet yang dikehendaki pada masa ini," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Mengulas lanjut, pelaksanaan rebat RM200 disifatkan sebagai tidak relevan kerana harga telefon bimbit lebih rendah berbanding kos perkhidmatan 3G dan internet yang terpaksa ditanggung pengguna, lebih-lebih lagi menggunakan prabayar.

"Bukan telefon pintar yang penting tetapi perkhidmatan 3G internet itu lebih mustahak, walaupun harganya murah namun anak muda yang guna prabayar terpaksa membayar lebih untuk guna perkhidmatan itu.

"Sebab itu, kita Pakatan Rakyat berpandangan peruntukan rebat itu lebih wajar dibelanjakan dalam penyediaan internet tanpa talian di seluruh negara khusus kawasan tumpuan orang muda," tegasnya.

Dalam pada itu, Rafizi juga mempersoalkan permohonan rebat ini terhad kepada 1.5 juta anak muda walhal tegasnya jumlahnya di seluruh negara mengatasi angka tersebut.

"Saya kira jumlah itu tak masuk akal malah mengapa perlu dihadkan kalau benar-benar ikhlas nak bantu golongan muda menggunakan perkhidmatan internet dan 3G.

"Saya anggarakan jumlah mahasiswa saja sudah lebih 500,000 orang, ini tidak termasuk anak muda yang bekerja dan mereka yang tidak bekerja," jelasnya.

Pemberian rebat telefon pintar RM200 telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2013 pada September lalu. -SH


Laporan setiap hari

SITU...Muhyiddin menunjukkan tanah runtuh ketika membuat lawatan 
ke Bukit Setiawangsa, semalam.17 Safar 1433H. [MOD] -


SITU...Muhyiddin menunjukkan tanah runtuh ketika membuat lawatan ke Bukit Setiawangsa, semalam.
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu laporan kejadian tanah runtuh di Bukit Setiawangsa, Jumaat lalu, diserahkan kepadanya setiap hari.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat khas Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pemaju, INP Sdn Bhd, berhubung kejadian, di sini, semalam.

“Berdasarkan taklimat hari ini (semalam), Ikram, DBKL dan pemaju sudah mengambil langkah awal menangani masalah tanah runtuh yang berlaku pada 28 Disember lalu.
“Tindakan ini dapat mengurangkan kesan kejadian tanah runtuh membabitkan aspek keselamatan penduduk.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana kejadian ini tidak menyebabkan kehilangan nyawa,” katanya.

Beliau yang turut ditemani isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman meluangkan masa lebih satu jam di kawasan kejadian untuk meninjau dan berjumpa dengan penduduk.

Kata Muhyiddin, DBKL, Ikram dan pemaju akan melakukan pemantauan berterusan di kawasan itu tanpa henti bagi mengesan sebarang pergerakan tanah di situ.

“Penghuni di 90 rumah sudah dipindahkan ke tempat terpilih dan pemaju turut membantu menanggung kos perpindahan itu.

“Dalam masa sama, satu laluan alternatif dibina memandangkan laluan utama (asal) berisiko dan berbahaya kepada pengguna,” katanya.

Sementara itu, menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, pembinaan tebing dan pembangunan di situ diluluskan mengikut garis panduan perancangan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi yang lama.

“Setakat ini pembinaan tebing itu mengikut spesifikasi garis panduan yang lama memandangkan projek ini berusia 22 tahun.

“Tetapi, jika mengambil kira garis panduan baru khusus untuk Kuala Lumpur, DBKL tidak meluluskan pembinaannya.

“Kelmarin, Ikram memaklumkan terdapat tiga rumah yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh ini.

“Bagaimanapun, selepas pemantauan serta kajian terperinci, struktur dua buah rumah milik Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique dan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis didapati stabil.

“Oleh itu sebuah rumah saja dirobohkan kerana bimbang berat bangunan itu menjadi beban kepada tanah,” katanya.

metro/-

Wajarkah kita beli buku Rosmah? Ini saranan Dr Asri..

17 Safar 1433H. [MOD] -



Awal Disember lalu, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan menyempurnakan majlis memperkenal dan melancarkan buku biografi Datin Seri Rosmah Mansor di Hotel Grand Hyatt.

Buku setebal 164 muka surat itu dan berharga RM150 senaskhah ditulis oleh Siti Rohayah Attan dan Noraini Abdul Razak. Ia akan dilancarkan dan diedar untuk jualan bulan depan.

Dan menurut Tun Mahathir buku biografi Rosmah Mansor yang bakal berada di pasaran dalam waktu terdekat, merupakan wadah yang betul untuk beliau menangkis tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.

"Beliau (Rosmah) bukannya berprofil tinggi. Hanya orang-orang tertentu menjadikan beliau seorang individu berprofil tinggi dengan melemparkan pelbagai tuduhan dan beliau berhak untuk menjawab.

"Walaupun beliau adalah isteri perdana menteri, ini tidak bermakna yang beliau perlu berdiam diri terhadap pelbagai tuduhan," kata Dr Mahathir.

Itu kata Mahathir yang perlu membodek Rosmah untuk memastikan nama anaknya kekal sebagai calon dalam PRU13 nanti..

Dan ini pula adalah pendapat atau saranan Dr. Maza yang dipetik dari laman Twitter miliknya..

harakah/-

'Kassim Baba' kantoi

'Kassim Baba' kantoi17 Safar 1433H. [MOD] -

Abdul Aziz (dua kanan) memegang beberapa peralatan curi yang ditemui semula daripada lelaki terbabit.
TEMERLOH – Seorang lelaki penagih dadah layak digelar ‘Kassim Baba Moden’ apabila mengutip apa sahaja barangan yang boleh menghasilkan duit kepadanya ketika melakukan kegiatan pecah rumah.

Lelaki terbabit yang berusia 30 tahun dipercayai aktif melakukan pecah rumah siang dan malam di sekitar Jalan Maran di sini sejak awal tahun lalu.

Antara barangan yang menjadi sasarannya ialah mesin pengisar, mesin rumput, pam racun, gergaji mesin dan alat pemanas air yang akan dijual kepada pembeli tetap warganegara Indonesia.

Ketua Polis Daerah Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kegiatan lelaki itu telah dihidu polis sebelum satu serbuan dilakukan pada 11 Disember lalu.

Menurutnya, dalam serbuan di rumah lelaki itu dekat Kampung Paya Ladang, Seberang Chenor, Maran, polis berjaya menemui beberapa barangan curi termasuk sebuah motosikal yang dibeli dengan hasil wang curi.

“Hasil siasatan, polis kemudian menyerbu sebuah rumah kongsi di pekan Awah dan menemui beberapa barangan curi namun dua lelaki Indonesia yang dipercayai menjadi pembeli hasil curi lelaki terbabit telah melarikan diri,” katanya semalam.

Abdul Aziz berkata, hasil ujian air kencing terhadap lelaki tersebut mendapati dia positif dadah jenis morfin dan turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, lelaki terbabit kini berada dalam tahanan lokap polis Temerloh dan akan dituduh di mahkamah Majistret Temerloh setelah siasatan selesai di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun bagi setiap kes dan juga boleh dikenakan sebatan.

“Bagi menyelesaikan kes ini, polis menggesa orang ramai yang pernah menjadi mangsa pecah rumah dan kehilangan barangan supaya tampil membuat pengecaman barang kes.

“Polis juga sedang memburu dua lelaki Indonesia dikenali sebagai Ardiyanto dan Rudy dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kedua-duanya dapat menghubungi pihak polis di talian 09-2964999,” katanya.

sinar/-

Bayi mangsa bapa ayam

17 Safar 1433H. [MOD] -

LAPOR...Ran menunjukkan laporan polis dibuatnya. Gambar kecil, mangsa.

LAPOR...Ran menunjukkan laporan polis dibuatnya. Gambar kecil, mangsa. 
 
KUALA LUMPUR: Tangan kanannya patah manakala seluruh tubuh kecilnya dipenuhi kesan lebam dan berbirat. Itu penderitaan seorang bayi perempuan berusia setahun dipercayai akibat didera seorang bapa ayam di Lorong Haji Taib, di sini, sejak dua minggu lalu.

Mangsa dikatakan dipukul menggunakan penyangkut baju selain dipijak lelaki berusia lewat 30-an itu kerana kegagalan ibunya berusia 34 tahun untuk melacur seperti diarahkan. Malah, ibunya turut dipercayai dipukul lelaki berkenaan.

Kejadian menimpa bayi itu disedari bekas pengasuhnya selepas melawat mangsa di rumah berkenaan, jam 9 malam kelmarin.

Pengasuh itu yang mahu dikenali sebagai Ran, 35, berkata, selepas melihat kecederaan bayi itu, dia meminta supaya mangsa diserahkan kepadanya untuk dihantar ke hospital, namun bapa ayam itu tidak membenarkan sebaliknya menghalaunya.

Menurut Ran, dia merakamkan beberapa gambar menunjukkan kecederaan mangsa sebelum membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

sinar


Guna peluang RTM sebaik mungkin, Zahid nasihat Hadi

17 Safar 1433H. [MOD] -

ABDUL HADI AWANG
ABDUL HADI AWANG
 
TUMPAT - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang digesa menggunakan sebaik-baiknya peluang ke udara di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) bagi memperjelas amanatnya pada 1981 yang dikatakan mengkafirkan Umno.

Menggesa demikian, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu (amanat) itu telah mengakibatkan perpecahan di kalangan masyarakat Islam di negara ini.
Beliau menyifatkan amanat itu sebagai 'fatwa politik'.

"Ia pendapat politik yang harus dibayar harganya dengan mahal kerana apa yang berlaku dengan masyarakat Islam di beberapa kawasan seperti perpecahan dalam keluarga dan masalah dalam komuniti.
"Perkara ini perlu diperbetulkan," kata Ahmad Zahid mengulas keputusan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim memberi peluang kepada Abdul Hadi untuk membuat penjelasan menerusi RTM.

Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Kubor 2 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berada dalam keadaan siap siaga sepanjang musim tengkujuh bagi membantu mangsa banjir di Pantai Timur.

"ATM turut menempatkan pasukan perubatan di kawasan memerlukan sebagai bantuan tambahan kepada Kementerian Kesihatan," katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata ATM juga sedia mencurah tenaga untuk membaiki rumah mangsa banjir yang rosak akibat bencana alam itu.

"Kami tidak mempunyai peruntukan untuk membeli bahan-bahan bagi kerja membaik pulih tetapi kita akan bantu daripada segi tenaga kerja," tambahnya. - Bernama

Mayat gelandangan berulat

17 Safar 1433H. [MOD] -

Mayat gelandangan berulat
Polis memeriksa mayat lelaki gelandangan yang ditemui dalam keadaan berulat di flat Jalan Sinar, malam kelmarin.
 
TEMERLOH - Seorang lelaki gelandangan ditemui mati dalam keadaan berulat di stor flat Jalan Sinar di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, mayat lelaki berbadan gempal itu dipercayai mati tiga hari lalu akibat ulser dalam perut berdasarkan laporan bedah siasat.

Menurutnya, mayat lelaki Melayu tanpa pengenalan diri itu dijumpai orang awam kira-kira jam 8.25 malam kelmarin sebelum melaporkannya kepada polis.

“Berdasarkan siasatan ke atas seorang rakan si mati, lelaki terbabit dikenali sebagai ‘Emi’ berumur 26 tahun tidak mempunyai musuh dan anak yatim piatu.

“Emi ada mengadu kepada rakannya lima hari lalu mengenai keadaan kesihatannya yang teruk. Dia kerap sakit perut dan pinggang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, semalam.

Abdul Aziz berkata, tiada unsur jenayah ditemui di tempat kejadian sekali gus mengklasifikasikannya sebagai mati mengejut.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat ulser dalam perut,” katanya.

Menurutnya, polis akan mendapatkan kerjasama jabatan pendaftaran bagi mengenal pasti identiti si mati.

Polis menggesa orang ramai atau waris si mati yang mempunyai maklumat tampil menuntut jenazah.

sinar/-

Bertam: Apakah rakyat Terengganu terlalu naif?

17 Safar 1433H. [MOD] -


Isu  kawasan medan minyak yang baru di temui di Blok PM 307 Bertam kini sedang menjadi pertikaian hebat antara kerajaan negeri Terengganu dan kerajaan Pahang.

Setakat ini, belum ada apa-apa kenyataan resmi yang dikeluarkan oleh pihak Petronas bagi menjelaskan kedudukan sebenar kawasan telaga minyak Bertam itu, samaada ia benar-benar berada didalam perairan negeri Pahang atau Terengganu.

Sementara itu, Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dalam titahnya berhubung kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, mengenai status kawasan minyak itu, baginda telah meminta semua pihak supaya menghormati keputusan kerajaan berkaitan hak milik kawasan minyak Bertam.

Baginda tidak mahu perkara itu diperbesarkan kerana kawasan telaga minyak itu sudahpun diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi milik Pahang;

“Tak apalah, semuanya sudah diputuskan oleh Perdana Menteri sendiri dan beta juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu pada Hari Keputeraan beta baru-baru ini. Apa pun, rakyat Pahang perlu bersyukur kepada Allah SWT dengan kurniaan itu”.

Namun kini timbul persoalan besar, apabila syarikat Lundin Oil yang merupakan syarikat carigali bagi melaksanakan kerja-kerja carigali di kawasan Bertam dengan kerjasama Petronas Carigali membuat 'pengesahan'.

Syarikat  yang berpangkalan di Sweden itu telah mengesahkan ‘secara bertulis’ kepada kerajaan Terengganu bahawa penemuan telaga minyak baru itu adalah terletak di kawasan perairan Terengganu.

Negeri Terengganu juga dijangka akan memperoleh royalti tambahan sebanyak RM100 juta setahun atau pertambahan sebanyak lima peratus.

Di sini timbul persoalan besar, soal perlembagaan negara dan kedaulatan sesebuah negeri yang berada dibawah sistem Federalisma sepertimana yang wujud dinegara kita.

Hak dan kepentingan negeri Terengganu yang berdaulat semestinya tidak boleh dinafikan dengan sewenang-wenangnya kerana ia mempunyai implikasi yang amat besar terhadap perlembagaan negara.

Sebarang tindakan yang bertentangan dengan perlembagaan sudah pasti akan menghilangkan keyakinan rakyat Terengganu terhadap sistem pemerintahan serta kredibiliti pemimpin negara.

Ini ditambah lagi dengan kedudukan Terengganu sekarang ini ‚terumbang-ambing‘ dan dinafikan hak “royalti minyak“ oleh Kerajaan Persekutuan sejak lebih dua-belas tahun yang lalu.

Sumber hasil minyak dan gas yang terdapat di perairan Terengganu hanya di salurkan melalui ‘Dana Khas‘  dengan ‘mengehsankan’ royalti minyak Terengganu di bawah Dana Khas Persekutuan.

Tindakan ini jelas bertentangan dengan semangat Federalisma serta menzalimi rakyat Terengganu yang majoritinya Melayu dan beragama Islam.

Jika  dilihat dari sudut perlembagaan negara dan semangat Federalisma, timbul pula persoalan perjanjian asal ‘Perjanjian Petroleum 1974’  diantara kerajaan-kerajaan negeri dengan Petronas yang ditandatangani pada tahun 1975.

Perjanjian ini jelas menjamin hak royalti sebanyak 5 peratus kepada negeri-negeri yang ditemui hasil minyak dan gas di perairan sempadan negeri masing-masing.

Apakah segala perjanjian yang termeterai ini kini boleh dicabul dengan begitu mudah oleh kerajaan Persekutuan tanpa menghormati mana-mana kerajaan negeri yang berpegang kepada semangat Federalisma?

Apakah kedudukan negeri Terengganu sekarang ini boleh dianggap sebagai sebuah negeri yang ‘tidak berdaulat’ kerana setiap perjanjian antara negeri dan Persekutuan dengan begitu mudah boleh di cabuli?

Dan apakah Perdana Menteri sekarang ini mempunyai ‘Kuasa Mutlak’ sehinggakan tidak perlu lagi menghormati semangat Federalisma yang menjadi tunjang bagi mengikat setiap negeri termasuk Terengganu di bawah sistem Persekutuan?

Sudah cukup dengan ‘royalti minyak’ Terengganu yang ‘diehsankan’. Lihat sahajalah bagaimana rakusnya dan tidak beramanahnya ia dibelanjakan dengan semewah-mewahnya oleh ‘penyangak-penyangak politik’ yang berkepentingan.

Berapa banyak wang rakyat yang di bazirkan dengan projek Monsoon Cup, projek Stadium yang runtuh, pojek bebas cukai di Kenyir, projek lebuhraya LPT 2 yang kesemuanya menelan belanja berbilion ringgit hasil dari royalti minyak’ Terengganu yang ‘diehsankan’?

Apakah rakyat Terengganu yang terkenal dengan sifat kesantunannya yang tinggi kini dilihat terlalu lemah sehingga tidak mampu lagi mempertahankan maruah mereka sendiri walaupun jelas hak rakyat dan kedaulatan negeri Terengganu kini sedang tercabar hebat?

Dan dimanakan pula maruah dan harga diri kepimpinan Menteri Besar dan kepimpinan kerajaan negeri sekarang ini yang dilihat oleh kalangan rakyat sebagai ‘boneka‘ dan ‘kuda tunggangan‘ yang tidak berani mempertahankan hak dan kedaulatan negeri Terengganu?

Ya, maruah dan hak negeri ‘Darul Iman’ ini mesti dipertahankan oleh setiap rakyat tanpa mengira fahaman politik dan agama; negeri Terengganu adalah negeri yang berdaulat, negeri yang berpayung dibawah Tuanku Al-Sultan, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud.

Justeru itu, hak Bertam dan royalti minyak mesti dipertahankan..

* Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS yang juga Adun Batu Burok, Terengganu. Email: syedazmans@yahoo.co.uk, Twitter; @syedazman