31 Disember 2012

'Kassim Baba' kantoi

'Kassim Baba' kantoi17 Safar 1433H. [MOD] -

Abdul Aziz (dua kanan) memegang beberapa peralatan curi yang ditemui semula daripada lelaki terbabit.
TEMERLOH – Seorang lelaki penagih dadah layak digelar ‘Kassim Baba Moden’ apabila mengutip apa sahaja barangan yang boleh menghasilkan duit kepadanya ketika melakukan kegiatan pecah rumah.

Lelaki terbabit yang berusia 30 tahun dipercayai aktif melakukan pecah rumah siang dan malam di sekitar Jalan Maran di sini sejak awal tahun lalu.

Antara barangan yang menjadi sasarannya ialah mesin pengisar, mesin rumput, pam racun, gergaji mesin dan alat pemanas air yang akan dijual kepada pembeli tetap warganegara Indonesia.

Ketua Polis Daerah Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kegiatan lelaki itu telah dihidu polis sebelum satu serbuan dilakukan pada 11 Disember lalu.

Menurutnya, dalam serbuan di rumah lelaki itu dekat Kampung Paya Ladang, Seberang Chenor, Maran, polis berjaya menemui beberapa barangan curi termasuk sebuah motosikal yang dibeli dengan hasil wang curi.

“Hasil siasatan, polis kemudian menyerbu sebuah rumah kongsi di pekan Awah dan menemui beberapa barangan curi namun dua lelaki Indonesia yang dipercayai menjadi pembeli hasil curi lelaki terbabit telah melarikan diri,” katanya semalam.

Abdul Aziz berkata, hasil ujian air kencing terhadap lelaki tersebut mendapati dia positif dadah jenis morfin dan turut mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, lelaki terbabit kini berada dalam tahanan lokap polis Temerloh dan akan dituduh di mahkamah Majistret Temerloh setelah siasatan selesai di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun bagi setiap kes dan juga boleh dikenakan sebatan.

“Bagi menyelesaikan kes ini, polis menggesa orang ramai yang pernah menjadi mangsa pecah rumah dan kehilangan barangan supaya tampil membuat pengecaman barang kes.

“Polis juga sedang memburu dua lelaki Indonesia dikenali sebagai Ardiyanto dan Rudy dan orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kedua-duanya dapat menghubungi pihak polis di talian 09-2964999,” katanya.

sinar/-

Tiada ulasan: