13 Februari 2011

Kumpulan Terakhir 602 Warga M'sia di Jeddah Tiba Esok

Sebahagian daripada para pelajar Malaysia di Mesir tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Jeddah dengan menaiki pesawat penerbangan Malaysia MH 0151 di sini hari ini. Foto BERNAMA

10 Rabiul Awal 1432H.

SEPANG: Kumpulan terakhir 602 warga Malaysia yang masih lagi berada di Jeddah, Arab Saudi dijangka dibawa pulang ke tanahair esok.

Kumpulan itu akan dibawa pulang menaiki dua pesawat masing-masing Malaysia Airlines (MAS) dan Saudi Air yang akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar tengah hari.

Bercakap kepada Bernama di sini, pegawai Wisma Putra berkata pada hari ini terdapat empat penerbangan membawa pulang 1,010 warga Malaysia, dengan salah satu pesawat mendarat di Jakarta, Indonesia.

"Seramai 170 rakyat Malaysia yang terlibat akan dibawa pulang menaiki pesawat Hercules C-130 dari Jakarta dan dijangka tiba di Lapangan Tentera Udara Malaysia, Subang kira-kira pukul 6 petang," katanya.

Hadir di KLIA menyambut kepulangan pesawat pertama MAS yang tiba pada pukul 5.20 pagi dengan membawa 450 warga Malaysia hari ini ialah Timbalan Menteri Luar Senator A.Kohilan Pillay.

Dua lagi pesawat MAS dan Saudi Air akan tiba di KLIA kira-kira pukul 11 pagi dan 1 petang ini, masing-masing membawa 150 orang dan 240 orang lagi rakyat Malaysia yang rata-rata merupakan pelajar. - BERNAMA

Orang Asli parah diserang harimau

10 Rabiul Awal 1432H.

IPOH 13 Feb. - Seorang penduduk Orang Asli cedera parah selepas diserang seekor harimau ketika dia sedang menyumpit di kawasan hutan berhampiran rumahnya di Perkampung Orang Asli Sungai Tiang, Hutan Belum, Gerik, 200 kilometer dari sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Supritendan Wan Jamil Wan Chik berkata, Tambun Gering, berusia 50-an, mengalami kecederaan parah di kepala, badan dan kaki kiri dalam kejadian pukul 9 pagi semalam.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan dan dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk mendapatkan rawatan lanjut, katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Jamil berkata semasa kejadian, Tambun dikatakan pergi menyumpit tupai kira-kira 10 meter dari rumahnya.

"Tanpa disedari harimau berkenaan tiba-tiba menyerang mangsa dari arah belakang menyebabkan kedua-duanya bergelut,” katanya.

Isteri Tambun yang mendengar jeritan suaminya itu kemudian datang membantu dengan mengetuk kepala harimau itu beberapa kali dengan kayu sebelum haiwan liar itu meninggalkan mereka. - Bernama

Kekosongan kerusi DUN Kerdau akan dimaklum kepada SPR esok

10 Rabiul Awal 1432H.

TEMERLOH: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Wan Mohamed Razali Wan Mahussin akan memaklumkan secara rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN Kerdau kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.

Beliau berkata, surat pemakluman itu akan dihantar kepada SPR sejurus pihaknya menerima surat pengesahan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

Katanya, pemakluman secara tidak rasmi diberitahu beliau kepada pihak SPR semalam. Sementara itu, Pengarah SPR Pahang, Datuk Ismail Mohd Yusoff berkata, Wan Mohamed Razali akan menyerahkan notis mengisytiharkan kekosongan kerusi itu kepada SPR esok.

Beliau berkata, selepas itu SPR mempunyai masa sehingga dua minggu untuk membuat pengumuman mengenai pilihan raya kecil.

Zaharuddin, 64, dilaporkan terjatuh di dalam bilik air akibat serangan jantung di kediamannya dan dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah sebelum disahkan meninggal dunia di hospital itu pada jam 7.15 malam.

Allahyarham menjadi wakil rakyat kawasan DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008.
Pada pilihan raya umum itu, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Beliau memperoleh 4,135 undi manakala Hassanuddin pula meraih 2,520 undi. - BERNAMA

8 cedera lori pikap berisi bom meletup di selatan Thailand

ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran akibat letupan bom lori pikap di luar bank daerah Yala, selatan Thailand menyebabkan lapan orang awam termasuk empat anggota polis cedera. - Foto AFP

10 Rabiul Awal 1432H.

YALA: Sebuah lori pikap berisi bom meletup di luar sebuah bank selatan Thailand menyebabkan lapan orang awam tercedera, kata polis.

Letupan itu berlaku kira-kira jam 9.30 pagi waktu di Yala, satu daripada tiga wilayah berdekatan sempadan Malaysia yang diletakkan dalam keadaan darurat sejak 2005.

"TAda sebutir bom dalam alat pemadam kebakaran dalam sebuah lori pikap yang diletakkan di hadapan kedai runcit dekat Siam City Bank," kata polis tempatan. "Letupan it menyebabkan kebakaran di kedai berdekatan dan menyebabkan lapan orang cedera," katanya.

Pada Khamis lalu tiga orang termasuk seorang guru, ditembak mati dan mayat mereka dibakar di wilayah Pattan iaitu salah satu serangan bersenjata pada minggu lalu. - AF

Lebih 600 banduan lari dari penjara Kaherah

10 Rabiul Awal 1432H.


KAHERAH 13 Feb. - Lebih kurang 600 orang banduan melepaskan diri dari penjara di Kaherah selepas rusuhan berlaku, hari ini.

Menurut pegawai keselamatan, beberapa orang terbunuh dan cedera ketika banduan-banduan tersebut membuat rusuhan dan orang yang tidak dikenali di luar Penjara Marg menembak kearah pengawal.

Ia merupakan kali kedua banduan melarikan diri secara beramai-ramai sejak 28 januari lalu di Penjara Abu Zaabal ketika demonstrasi besar-besaran yang mahu Hosni Mubarak meletakkan jawatan sebagai Presiden.

Antara mereka yang berjaya melarikan diri ketika itu termasuk militan Pakistan dan sekurang-kurangnya 14 orang terkorban. - AFP

Di sebalik pengunduran Hosni Mubarak

10 Rabiul Awal 1432H.
Ahmad Baei Jaafar

Memang wajar Umat Islam seluruh dunia mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir yang telah berjaya meruntuhkan tembok besi yang melindungi Hosni Mubarak. Mereka dilihat tidak berganjak mengadakan bantahan selama 18 hari walaupun dihalang oleh tentera Presiden Mesir itu.

Lautan manusia melahirkan kegembiraan

Kebangkitan rakyat Mesir tentu berpunca daripada detik-detik pemerintahan Hosni yang banyak mempenjarakan fikiran mereka. Ya, berapa lama manusia yang normal boleh dikongkong kebebasan mereka? Apabila sampai masanya, mereka boleh hilang sabar.

Sepanjang pemerintahan Hosni Mubarak selama 30 tahun, bukan sahaja ulama tidak boleh bersuara dalam membetulkan pemerintahannya, universiti Al-Azhar berjalan tidak mengikut cita rasa ulama berwawasan Rasulullah. Akhirnya mahasiswa al-Azhar yang pulang berkhidmat di negara masing-masing berfikiran sempit. Tiada kreatif untuk membangunkan negara dan rakyat ke arah yang islami.

Saya tidak pasti apakah kebangkitan rakyat ini ada kaitan dengan kesusahan rakyat akibat kos sara hidup yang semakin melonjak dan kadar pengangguran yang tinggi, tetapi yang saya pasti rakyat sudah mual dengan keganasan pihak keselamatan. Apa sahaja yang diperintahkan oleh presiden, tentera pasti bertindak.

Antara keganasan tentera Mesir yang kita boleh lihat secara jelas ialah usaha bantuan kemanusian ke Gaza melalui Mesir dihalang. Mengapa? Tentu kerana tidak mendapat lampu hijau daripada Presiden. Dan yang terbaru, tentera bertindak tidak berperikemanusian terhadap penunjuk perasaan di Madinatul Tahrir. Ini tidak termasuk beberapa orang ulama yang hilang tanpa diketahui kuburnya.

Tetapi tahukah anda tentera yang ganas itu sebenar manusia yang hidup mereka seperti robot apabila di suruh itu, maka dibuatlah yang itu. Sebaliknya kalau mereka tidak diperintahkan itu dan ini oleh pihak yang berwajib, mereka mampu kembali kepada perikamanusian. Mereka juga tahu erti baik dan kebaikan.

Bukti yang jelas boleh anda lihat pada sikap tentera Mesir itu, setelah Mubarak meninggalkan pemerintahan, jiwa mereka kembali normal. Walaupun rakyat masih berkumpul di dataran tahrir, melakukan acara bagi menyambut kegembiraan menggulingkan presiden Mesir, tentera hanya melihat sahaja tanpa sebarang tindakan.

Tentera itu bukan sahaja tidak marah dengan sikap rakyat yang telah menjatuhkan majikannya, tetapi ada yang turut bersama mereka bergembira. Ertinya apa? Tentera juga tidak suka kepada keganasan, tidak suka juga kepada Mubarak. Mereka juga suka kepada kebaikan. Tetapi mereka telah dibisukan dan ditulikan pemerintah.

Itulah fitrah manusia apabila mereka kembali kepada normal. Manusia di manapun mereka adalah sama, mahukan kebaikan. Tetapi kalau mereka jahil malah apabila dikuasai nafu, syaitan sama ada syaitan manusia atau jin, fikiran mereka akan berubah. Jadi, berhati-hatilah agar anda tidak dikuasai semua makhluk itu.

Berbalik kepada peristiwa di atas, suka saya hendak ingatkan kepada orang-orang politik terutama mereka yang memegang tampuk pemerintahan negara mahupun negeri, peristiwa yang sama boleh berlaku di sini. Maksud saya, kalau kebencian rakyat sudah tidak dapat dibendung lagi, pelbagai usaha boleh mereka lakukan.

Jangan ingat, orang Melayu baik semua dan tidak suka berperang. Lihat sejarah orang Melayu masa silam. Mereka boleh bertindak apabila terdesak dan mendesak. Ketika itu boleh jadi, tentera yang selama ini bersikap “samikna waatakna” kami dengar dan taat, akan bertindak secara tidak ikhlas lagi. Boleh jadi mereka juga akan belot.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan negara kita tidak sama dengan Mesir, riak-riak kebencian rakyat sudah ada. Oleh sebab itu berpadalah dalam pemerintahan. Kalau sudah ada isyarat bahawa mereka tidak suka kepada anda, tukarlah kepada yang lebih baik. Tanyalah kepada yang pakar, ulama dan sebagainya. Jika anda masih rasa ego dengan cara anda, tunggulah kehancurananya.

BN mirip Rejim Hosni, Ada potensi digulingkan ?

10 Rabiul Awal 1432H.
Hafizi Pauzi.

PARIT BUNTAR, 13 Feb : Suara rakyat Mesir akhirnya telah berhasil menggulingkan sebuah rejim setelah 18 hari berdemonstrasi di jalan raya dengan kehilangan ratusan nyawa warga marhein disebabkan keangkuhan seorang diktator menggunakan polis sebagai perisai.

Di Malaysia khususnya, terdapat satu parti yang mirip rejim Hosni, mereka sedang memerintah, serta sedang membelakangi suara rakyat, mereka ialah BN,” kata ADUN Titi serong, YB Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Menurutnya, semasa rejim itu berkuasa, Hosni telah menolak penggunaan dakwat dalam PRU, dalam masa sama menggunakan undi pos dan hanya NDP boleh ada laporan media selain hanya NDP sahaja yang boleh membuat iklan di media.

Selain itu, Hosni juga memperalatkan Suruhanjaya Pilihanraya, Polis, SB dan juga tentera untuk menipu, mengancam dan menekan pengundi agar memilih NDP dalam setiap kali pilihanraya di Mesir.

Selain itu beliu juga berpandangan bahawa beberapa ulasan dari pimpinan BN bahawa Malaysia tidak sama dengan Mesir merupakan bukti bahawa pemimpin BN bimbang mereka akan digulingkan oleh rakyat.

“Di Malaysia BN juga sedang melakukan perkara yang sama seperti Hosni Mubarak, rakyat Malaysia khususnya digesa menilai perbuatan jahat BN di Negara ini” jelasnya yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Khalil yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak mengulas revolusi yang telah berlaku di Mesir tidak mengambil masa yang lama seperti kerana kepesatan teknologi maklumat dalam era ICT.

“BN dinasihati jangan bertingkahlaku seperti Hosni dalam hal memerintah, rakyat tidak boleh ditipu, maklumat terkini negara mudah dicapai dengan kemudahan internet.” Ujarnya.

Dalam pada itu Khalil menyatakan, Berdasarkan rekod BN tidak pernah adil kepada rakyat dalam banyak hal serta isu, Khalil mengingatkan bahawa PRK di Merlimau dan yang terbaru akan berlaku di Kerdau merupakan suara rakyat yang wajib didengari oleh kerajaan.

Beliau menggesa rakyat perlu menyatakan suara protes terhadap BN dengan mengundi Pakatan Rakyat bagi memastikan gelombang Malaysia baru yang lebih selamat dapat diteruskan hingga menjelang PRU 13.