21 Syawal 1432H. [MOD] -
Sementara pelbagai pihak pada zahirnya mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memansuhkan beberapa akta dan peraturan yang selama ini dianggap membelenggu kehidupan rakyat, berita mengembirakan itu sewajarnya disambut dengan lebih berhati-hati dan berpada.
Dalam perutusan khasnya sempena Hari Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi kaca tv pada malam 15 September, Najib antara lain mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).
Beliau memberi jaminan dua undang-undang baru yang bakal digubal menggantikannya bagi maksud mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan mana-mana individu semata-mata kerana ideologi politik.
Turut diumumkannya ialah pemansuhan Akta Buang Negeri 1956, selain kajian semula secara komprehensif Akta Kediaman Terhad 1933 (AKT) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP). Manakala kajian semula terhadap Seksyen 27 Akta Polis 1967 akan mengambil kira peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai kebebasan berhimpun.
Di sebalik keghairahan merayakan keputusan kerajaan itu yang dianggap bukti kejayaan agenda diperjuangkan rakyat selama ini, ada beberapa perkara atau perincian berkisar pemansuhan akta-akta zalim itu yang tidak sayugia dipandang ringan.
Pertama, wajar diingatkan bahawa kesemua undang-undang dimaksudkan itu telah menjadi agenda bantahan parti-parti pembangkang, khususnya PAS sejak sekian lama. Suara menuntut pemansuhan mereka bukan berkumandang sedekad dua atau hanya setahun dua kebelakangan ini.
Perjuangan PAS membantah dan menuntut pemansuhan ISA bersama beberapa undang-undang lain yang disifatkan ‘draconian’ boleh dikatakan bermula sebaik tergubalnya undang-undang itu, sama ada pada era 50-an, 60-an atau sebagainya. Lebih jelas lagi, bantahan terhadap peraturan-peraturan zalim itu bersemarak tatkala yang menjadi mangsa kebanyakan peruntukan akta-akta tersebut ialah parti-parti pembangkang, khsusunya PAS.
Sebagai contoh, ISA yang walau pun pada zahir dan maksud asalnya digubal bagi mencegah dan mengekang akvtiviti subversif, khususnya gerakan komunis, tidak pernah terlepas daripada turut memangsakan para pemimpin PAS. Sebilangan pemimpin PAS, termasuk para alim ulama dan tok gurunya sudah pun tersenarai sebagai tahanan ISA seawal 60-an lagi. Apakah perbuatan mengajar agama dan menghuraikan hukum-hakam Islam dianggap ‘keganasan terancang’ di sisi kerajaan Umno?
Apakah pemimpin sebuah pertubuhan berdaftar dan diakui ‘halal’ di sisi peraturan negara melakukan aktiviti subversif dan mengancam keselamatan negara? Perkara itu tidak pernah pula dibuktikan di mahkamah terbuka, kerana peruntukan di bawah ISA membolehkan mereka ditahan tanpa bicara untuk tempoh selama mana dikehendaki kerajaan.
Kezaliman itu telah berlaku sejak lebih enam dekad lalu. Selama itu jugalah PAS yang kerap dimangsakannya lantang menyuarakan bantahan. Parti Islam itu secara aktif dan konsisten menuntut akta itu dihapuskan.
Lalu adalah tidak tepat dari perspektif masanya jika dikaitkan perjuangan membantah akta-akta zalim itu dengan perjuangan Pakatan Rakyat yang baru berusia tiga tahun. Walau pun hasrat para pendukung Pakatan menjulang dan menonjolkan agenda perjuangan gabungan parti-parti pembangkang itu suatu yang murni dan wajar didukung, kita jangan tersasul sehingga mengelirukan fakta sebenar.
Jangan sampai keghairahan kita mengutamakan Pakatan akhirnya mendorong kita mengemukakan fakta yang silap, terutama berkaitan fakta masa. Akuilah perjuangan para pendukung pembangkang, khususnya PAS dan DAP, untuk menolak kezaliman BN menerusi penguatkuasaan akta-akta zalim dan menindas itu bermula jauh lebih lama berbanding usia Pakatan.
Ia malah mendahului kewujudan Barisan Alternatif (BA) lebih sedekad lalu. Bahkan, dalam konteks perjuangan menuntut pemansuhan ISA, ia bukannya bermula hanya dengan penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) pada 2001.
Sebab itu lebih tidak sayugia dan amat tidak kena apabila ada pendukung Pakatan yang ‘tersasul’ mendakwa tindakan Najib memansuhkan ISA dan beberapa peraturan lain itu sebagai tunduk kepada tuntutan ‘Buku Jingga’. Hujah itu sebenarnya menjerat diri sendiri. Ia sekali gus memberikan modal percuma kepada para pemimpin BN.
‘Buku Jingga’ hanya berusia setahun jagung. Mudah saja bagi pemimpin BN menafikan peranan buku yang menjadi pernyataan agenda pemerintahan Pakatan itu. Bahkan sudah ada pemimpin BN membidas bahawa hasrat memansuhkan ISA telah disuarakan Najib sebaik beliau mengambilalih teraju pemerintahan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009, iaitu setahun lebih awal daripada tertonjolnya ‘Buku Jingga’. Justeru, apa rasional mana-mana pihak mendakwa ia ekoran tuntutan terkandung dalam buku itu?
Perkara kedua yang seharusnya diperhalusi ialah hakikat bahawa yang dibantah pada ISA dan akta-akta disebutkan tadi adalah prinsip dan dasarnya yang zalim serta menindas rakyat. Ertinya perjuangan rakyat membantah dan menuntut agar dimansuhkan itu bukan butiran lahiriah ISA, Akta Polis, AMCP atau AKT itu sahaja.
Sebab itu pendirian PAS dan rakan-rakan Pakatan untuk mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ perkembangan selepas ini adalah lebih tepat. Apakah apa yang diumumkan Najib itu benar-benar terlaksana sepertimana semangat mentransformasi politik dan pentadbiran serta menjulang demokrasi dan kepentingan rakyat atau tidak, masih terlalu awal untuk diberikan pemarkahan.
Pemansuhan ISA contohnya telah diumum akan disusuli penggubalan dua undang-undang baru sebagai ganti. Apakah ia nantinya akan menjadi suatu yang dialu-alukan sekiranya prinsip dan dasar zalim di bawah ISA, terutama peruntukan tahanan tanpa bicara dengan budi bicara kelangsungannya tertakluk secara mutlak di atas menteri atau polis, turut dimuatkan di dalam undang-undang baru itu?
Tepat sepertimana ditegaskan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dalam wawancaranya dengan sebuah tabloid mingguan, Ahad, “kritikan pembangkang atau NGO terhadap ISA bukan sebab undang-undang itu saja, tetapi prinsip dan kandungannya juga, iaitu prinsip utamanya menahan tanpa bicara. Jika prinsip itu kekal dalam undang-undang lain (baru), saya rasa ia akan mendapat perhatian (bantahan) sebab ia bercanggah dengan prinsip keadilan”.
Langkah beringat-ingat itu agak tepat mengambilkira penegasan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein mengenai kemungkinan dibimbangi itu. Selaku menteri bertanggungjawab ke atas penguaktkuasaan hampir kesemua akta disebutkan Najib di atas, Hishammuddin sedari awal telah membayangkan bahawa pemansuhan ISA bukan bermaksud segala tindakan pencegahan dan penindasan di bawahnya juga terhapus, terutama mengambilkira peruntukan yang akan diwujudkan di bawah undang-undang baru nanti.
“Ramai ingat ISA dimansuhkan, tetapi sebenarnya dua akta baru bakal digubal juga berkaitan dengan keselamatan dan anti keganasan,” katanya, yang mengundang penafsiran amat membimbangkan.
harakahdaily/-