19 September 2011

Messi tunjuk taring sebenar

21 Syawal 1432H. [MOD] -




MESSI (kanan) bersama Fabregas meraikan kemenangan Barcelona awal pagi semalam.


BARCELONA - Lionel Messi membuktikan statusnya selaku penyerang terbaik dunia apabila meledak hatrik bagi membantu Barcelona membenam Osasuna 8-0 dalam saingan Liga Sepanyol awal pagi semalam.
Ia merupakan kemenangan pertama skuad The Catalan itu musim ini selepas mereka sekadar seri dalam dua perlawanan terdahulu.
Pada aksi yang berlangsung di Nou Camp semalam, Messi tidak perlu menunggu lama untuk membuktikan ketajaman penyudahnya apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelima sebelum bekas kapten Arsenal, Cecs Fabregas menyumbat gol kedua lapan minit kemudian.
Penyerang antarabangsa Sepanyol, David Villa menjaringkan gol ketiga Barcelona pada minit ke-34 disusuli jaringan sendiri pemain Osasuna, Roversio pada minit ke-40.
Seminit kemudian, Messi yang juga penyerang antarabangsa Argentina terus mengganas apabila merekodkan gol kedua peribadi, diikuti ledakan Xavi pada minit ke-57 dan Villa (76).
Messi melengkapkan hari gemilang buat Barcelona apabila mencipta hatrik dengan jaringan ketiganya pada minit ke-79.
"Saya rasa, kami beraksi dengan baik sekali. Ia bukan merupakan perlawanan yang sempurna, tetapi apa yang lebih penting adalah kami berjaya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.
"Kemenangan ini adalah penting buat kami selepas sekadar mencatatkan keputusan seri dalam dua perlawanan sebelum ini," kata tonggak pertahanan Barcelona, Sergio Ramos.
Sementara itu, jurulatih Barcelona, Pep Guardiola ternyata gembira dengan kemenangan tersebut, apatah lagi strateginya untuk mengatur serangan daripada bahagian tengah dilihat benar-benar membuahkan hasil.
"Saya gembira dengan kemenangan ini kerana kami sememangnya mahu lebih ramai pemain boleh beraksi di bahagian tengah dan mencipta peluang untuk menjaringkan gol.
"Masih ada beberapa kelemahan yang kami perlu baiki dan matlamat utama kami adalah untuk memperbaiki corak serangan kami," kata Guardiola. - AP

Tiada ulasan: