LONDON - Arsenal terus dihantui nasib malang ekoran kekalahan mengejut 3-4 di tangan Blackburn Rovers dalam saingan Liga Perdana England kelmarin.
Pada aksi di Ewood Park itu, skuad The Gunners terlebih dahulu di depan hasil jaringan Gervinho pada minit ke-10 sebelum Yakubu Aiyegbeni menyamakan kedudukan buat Blackburn pada minit ke-25.
Begitupun, Arsenal kembali menguasai perlawanan apabila berjaya meledak gol kedua menerusi Mikel Arteta untuk mendahului perlawanan sehinggalah tamat babak pertama.
Sebaik babak kedua bersambung, kesilapan tonggak pertahanan veteran Arsenal, Alex Song yang tertampan bola masuk ke gawang sendiri pada minit ke-50 ternyata memberi suntikan semangat buat Blackburn berjaya meledak satu lagi gol menerusi Aiyegbeni sembilan minit kemudian.
Tatkala The Gunners dilihat cuba kembali bangkit untuk menyamakan kedudukan, Blackburn berjaya memperoleh gol keempat dan kali ini, Laurent Koscielny pula tertampan bola masuk ke gawang sendiri.
Meskipun Maroune Chamakh berjaya meledak gol ketiga buat Arsenal, namun jaringan tersebut sudah dianggap terlambat apabila keputusan 3-4 kekal sehingga tamat perlawanan.
Kekalahan tersebut sekali gus menyaksikan Arsenal setakat ini hanya mampu mengumpul empat mata daripada lima perlawanan.
Mengulas kekalahan terbaharu yang dialami anak-anak buahnya itu, pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, mereka masih lagi belum mampu melupakan kekecewaan tewas 2-8 kepada Manchester United di Old Trafford bulan lalu.
"Kami memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol, namun dalam pada masa yang sama, kami juga menjaringkan gol ke gawang sendiri. Situasi tersebut ternyata suatu yang sukar untuk difahami.
"Buat masa ini, barisan pertahanan kami sememangnya lemah kerana tahap keyakinan kami semakin luntur ekoran ekoran kekalahan di tangan United sebelum ini," kata Wenger.
Sementara itu, kemenangan yang dicipta ke atas Arsenal sememangnya suatu yang bermakna buat pengurus Blackburn, Steve Kean yang sebelum ini didesak untuk meletakkan jawatannya ekoran prestasi tidak menentu yang dipamerkan skuad kendaliannya.
Bagi Kean, kemenangan tersebut pastinya akan menutup mulut para pengkritik.
"Saya merasakan keputusan yang kami catatkan hari ini (kelmarin) telah menjawab segala persoalan dilemparkan ke atas kami dan saya harap segala-galanya akan berubah selepas ini," jelas Kean. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan