02 November 2010

ISLAMIC FASHION FESTIVAL (IFF) MENGHINA ISLAM!

24 Zulkaedah 1431 H
www.mykhilafah.com

Jika selama ini kita hanya mendengar dan menyaksikan puak kuffar menghina Islam tetapi kali ini kita dikejutkan dengan peristiwa penghinaan ke atas Islam yang terjadi di Islamic Fashion Festival (IFF) yang dinaungi oleh Datin Seri Rosmah Mansor, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia.

Rosmah yang memberi ucaptama di dalam Festival Fesyen Islam yang berlangsung di Sporting Club, Monte Carlo pada 9 Ogos 2010 beberapa kali mengalu-alukan kedatangan tetamu kehormat ke majlis itu. Antara yang turut hadir di majlis tersebut adalah Perdana Menteri Malaysia sendiri.

Walaupun festival tersebut telah lebih dua bulan berlalu, namun gambar-gambar dan video mengenainya agak baru sahaja tersiar di internet yang menunjukkan betapa majlis tersebut telah menghina Islam.

Agak pelik kenapa media arus perdana yang selama ini senantiasa melaporkan ucapan Najib mahupun Rosmah di majlis yang dihadiri mereka sebagai berita utama, namun kali ini majlis ini tidak mendapat liputan meluas seolah-olah ada sesuatu yang hendak disembunyikan.

Dewan Pemuda PAS telah membantah keras tindakan Rosmah yang dianggap menghina Islam di mana beberapa demonstrasi di adakan di masjid-masjid utama di beberapa buah negeri pada Jumaat lepas.

Fathul Bari yang juga anak kepada bekas Mufti Perlis, Datuk Mat Jahya Hussin yang menjadi wakil UMNO Perlis yang pertama kali berbahas dalam Perhimpuan Agung UMNO 2010yang lalu cuba membela isteri ketuanya ini dengan menegaskan bahawa “pihak pembangkang sepatutnya menyiasat terlebih dahulu hal itu dan meneliti adakah Rosmah melakukan kesalahan itu secara sengaja atau tidak. Adakah Rosmah mengetahui perkara tersebut atau tidak.

Adakah Rosmah terpaksa atau tidak,” katanya. “Mengapa tidak kita menarik tangannya, bersendirian dengannya bertanya kepadanya terlebih dahulu apa yang berlaku? Adakah dia mengetahui majlis seperti ini dilangsungkan atau tiba-tiba dia terkejut dikaitkan fesyen itu dengan Islam”, ujarnya [BH 23/10/10].

Terlalu terburu-buru nampaknya wakil Perlis ini ‘menghentam’ pembangkang dengan merujuk kepada IFF yang dihadiri Rosmah di Jakarta walhal apa yang dimuhasabah oleh pembangkang adalah merujuk kepada IFF yang dihadiri Rosmah di Monte Carlo.

Fathul Bari yang diiktiraf oleh UMNO sebagai ulama muda nampaknya sudah menjadi pengampu yang baik walaupun baru muncul di pentas politik sekular tanahair dan nampaknya bakal menjadi alat UMNO yang berkesan dalam menangkis serangan pembangkang, sebagaimana tokoh agama lainnya yang telah menjual akhirat mereka demi sedikit habuan dunia yang diberi oleh UMNO.

Di dalam ucapan Rosmah yang boleh dilayari di laman web peribadinya [http://www.pmo.gov.my/datinrosmah/_view_speech.php?submission_id=223], isteri Perdana Menteri Malaysia itu telah menyatakan dengan bangga bahawa “This Malaysian-inspired festival has made the journey of a thousand miles here to Monaco.

As Patron of the IFF, I am most honoured and privileged to be here in Monaco, an international capital of luxury fashion that has inspired the creations of many fashion designers around the world” (Festival yang diinspirasikan oleh Malaysia ini telah menempuh perjalanan beribu batu hinggalah sampai ke sini, Monaco.

Sebagai penaung IFF, saya merasa amat terhormat dan istimewa untuk berada di Monaco, pusat fesyen antarabangsa yang terhebat yang telah memberikan inspirasi kepada lahirnya pencipta-pencipta fesyen seluruh dunia).

Berdasarkan sedikit sedutan ucapan ini dan teks penuh ucapan Rosmah yang boleh dilayari di alamat di atas, sesungguhnya setiap orang yang ada keimanan dan ikhlas hatinya boleh menilai apa yang dilakukan oleh Rosmah (dan Najib) yang dalam keadaan sedar dan ‘sengaja’ hadir dalam majlis tersebut serta boleh ‘menilai’ pula ucapan dan sikap mengampu Fathul Bari sebagai seorang ulama baru yang cuba menonjol dan naik di dalam UMNO.

Apa yang jelas, dari ucapan Rosmah sendiri menunjukkan bahawa dia telah terlibat di dalam penganjuran IFF, malah di dalam ucapannya, dia mengakui yang dia telah menjemput Putera Monaco, Prince Albert II ke majlis tersebut dan berterima kasih kepada putera tersebut kerana sudi hadir. Rosmah juga tanpa berselindung memberitahu dan mengucapkan terima kasih kepada sponsor majlis tersebut iaitu Tourism Board of Sarawak (Lembaga Pelancongan Sarawak).

Entah berapa banyak duit rakyat Sarawak yang telah disapu dan apakah faedahnya kepada rakyat Sarawak dengan penganjuran majlis di Monte Carlo itu tidaklah kita ketahui. Namun apa yang jelas dari festival fesyen tersebut adalah telah berlakunya penghinaan ke atas Islam dengan mereka menamakannya sebagai “Islamic fashion” walhal pakaian-pakaian yang diperagakan oleh model-model yang terlibat, bertentangan sama sekali dengan Islam.

Banyak fesyen yang mendedahkan aurat secara langsung baik bahagian atas mahupun bahagian bawah tubuh para model wanita itu. Ada yang berpakaian tipis sehingga menampakkan warna kulitnya. Malah salah seorang model memakai baju yang berlogokan perkataan Arab “Muhammad” yang menutupi bahagian dada dan kemaluan, yang dieja dalam keadaan tonggang terbalik.

Kesemua fesyen tersebut, selain tidak menutup aurat dengan sempurna, adalah bersifat “tabarruj” dan bertentangan dengan Islam. Sebagai Muslim, kita perlu faham bahawa bukan sahaja ‘fesyen’ yang diperagakan itu haram, malah ‘majlis’ itu sendiri adalah haram. Festival fesyen tersebut sebenarnya adalah sebuah festival maksiat tetapi telah dikatakan sebagai festival fesyen Islam. Sungguh, hal ini amat-amat memalukan dan menghina Islam! Baik penaung, penganjur mahupun mereka yang hadir dalam festival tersebut telah berada dalam satu majlis yang memaksiati Allah dan RasulNya.

Aurat Wanita Di Khalayak Ramai & Tabarruj

Sejak diutusnya Rasulullah SAW, kedudukan wanita telah dimuliakan oleh Islam yang selama ini terhina di bawah sistem Jahiliyyah. Islam memandang bahawa wanita adalah aurat yang perlu dijaga dan Islam telah merincikan hukum berhubung hal ini. Islam telah membezakan perbincangan aurat wanita di dalam dua keadaan:-

(i) di dalam hayatul khasas (kehidupan khas yakni di rumah)

(ii) di dalam hayatul am (kehidupan umum yakni di luar rumah atau di khalayak ramai).

Untuk tujuan penulisan ini, kami hanya akan menyentuh kedudukan aurat wanita di dalam hayatul am. Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya.

Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT,

“Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa tampak daripadanya” [TMQ an-Nur (24):31].

Ibn Abbas menafsirkan kalimat “yang biasa tampak daripadanya” sebagai wajah dan kedua telapak tangan. Menurut Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani di dalam kitabnya Nizam al-Ijtima’ei Fi al-Islam, yang dimaksud dengan “yang biasa tampak daripadanya” adalah ‘wajah dan kedua telapak tangan’,

kerana kedua anggota tubuh wanita inilah yang biasa tampak dari para Muslimah di hadapan Nabi SAW dan baginda membiarkannya. Kedua anggota tubuh wanita ini pula yang biasa tampak dalam pelaksanaan ibadah-ibadah tertentu seperti haji dan solat.

Di samping itu, dalil lain yang menunjukkan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan kedua telapak tangannya adalah sabda Rasulullah SAW

“Sesungguhnya seorang anak perempuan jika telah haid (baligh), tidak boleh terlihat dari dirinya kecuali wajah dan kedua tangannya hingga pergelangan tangan” [HR Abu Daud].

Dalil-dalil ini dengan jelas menunjukkan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya. Juga dengan jelas menunjukkan bahawa wanita wajib menutupi auratnya, yakni ia wajib menutupi seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya.

Larangan atas kaum wanita untuk menampakkan perhiasannya adalah larangan untuk menampakkan auratnya. Adanya larangan untuk menampakkan aurat, secara dalalatul iltizam menunjukkan atas larangan (terhadap lelaki) melihat bahagian tubuh wanita yang dilarang untuk ditampakkan.

Seperkara lagi, Asy-Syari’ telah mewajibkan penutup aurat itu harus berupa sesuatu (pakaian) yang boleh menutupi warna kulit, ertinya kain penutup (pakaian) wanita itu wajib menutupi kulit sehingga tidak boleh diketahui (dibezakan) bahagian yang berwarna putih dari yang merah atau coklat.

Jika tidak demikian, maka pakaian tersebut tidak dinilai sebagai menutup aurat. Oleh kerana itu, jika kain penutup (pakaian) itu adalah tipis (transparan) yang tetap menampakkan warna kulit yang ada di baliknya, maka kain penutup seperti itu tidak boleh dijadikan penutup aurat. Sabda Nabi SAW,

“Tidak boleh terlihat dari dirinya” merupakan dalil yang jelas bahawa Asy-Syari’ telah mensyaratkan di dalam sesuatu yang digunakan menutupi aurat agar tidak terlihat aurat yang ada di baliknya. Ertinya, harus menutupi kulit, tidak menampakkan apa yang ada di baliknya.

Inilah hukum tentang menutup aurat. Hukum ini perlu dibezakan dengan hukum pakaian wanita dalam hayatul am dan juga hukum tabarruj (dibincangkan di bawah). Menutup aurat sahaja tidak mencukupi apabila seseorang wanita itu berjalan di jalan umum, sebab As-Syari’ telah menetapkan pakaian tertentu bagi wanita apabila ia berada di dalam hayatul am dan ia juga tidak boleh ber-tabarruj. Pakaian wanita dalam hayatul am terdiri dari dua jenis iaitu:-

(i) libas asfal (baju bawah) yang disebut dengan jilbab, dan

(ii) libas ‘ala (baju atas) iaitu khimar (tudung).

Mengenai kewajipan pakaian bawah (libas asfal), Allah SWT berfirman,

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, ‘Hendaklah mereka mengulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka” [TMQ al-Ahzab (33):59].

Dalam kitab Al-Mu’jam Al-Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai ats-tsaubul musytamil ala al-jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats-tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah seperti milhafah (semacam jubah), atau al-mula’ah asy-tamilu biha al-mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).

Berdasarkan pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah mengenakan pakaian yang satu (sekeping) umpama jubah yang lurus dari atas hinggalah ke bawah. Maksud milhafah/mula’ah adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar [di dalamnya masih ada pakaian dalam (pakaian rumah) atau pakaian sehari-hari] lalu diulurkan ke bawah hingga menutupi kedua mata kakinya.

Jika ia tidak memiliki mula’ah atau milhafah, hendaklah ia meminjamnya dari saudaranya, jirannya atau kerabatnya. Jika ia tidak dapat meminjamnya atau tidak ada yang mahu memberinya pinjam, maka ia tidak boleh keluar rumah tanpa mengenakan pakaian tersebut. Diriwayatkan dari Ummu ‘Athiyah yang berkata,

“Rasulullah SAW memerintahkan agar kami mengeluarkan para wanita yakni hamba-hamba sahaya perempuan, wanita-wanita yang sedang haid, dan para gadis pingitan, pada hari Raya Idul Fitri dan Idul Adha.

Wanita-wanita yang sedang haid, mereka memisahkan diri tidak ikut menunaikan solat, tetapi tetap ikut menyaksikan kebaikan dan (mendengarkan) seruan kepada kaum Muslimin. Aku lantas berkata, ‘Ya Rasulullah, salah seorang di antara kami tidak memiliki jilbab’. Rasulullah lalu menjawab, ‘Hendaklah saudaranya memakaikan (meminjamkan) jilbabnya kepada wanita itu” [HR Muslim].

Dalil-dalil di atas menunjukkan dengan jelas tentang pakaian wanita di kehidupan umum. Allah SWT di dalam kedua ayat di atas, telah mendeskripsikan pakaian tersebut yang telah diwajibkan kepada wanita untuk dikenakan dalam kehidupan umum, dengan deskripsi rinci, lengkap dan menyeluruh.

Untuk pakaian atas (libas ‘ala), wanita disyariatkan/diwajibkan memakai khimar iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan lubang leher baju di dada. Allah SWT berfirman,

“Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya” [TMQ an-Nur (24):31].

Maksudnya, hendaklah para wanita mengulurkan kain penutup kepalanya ke leher dan dadanya, untuk menyembunyikan apa yang tampak dari belahan baju dan belahan pakaian, berupa leher dan dada. Dan hendaknya tudung itu telah siap atau tersedia untuk dikenakan apabila wanita keluar ke pasar-pasar atau berjalan di jalanan atau berada di khalayak ramai. Maka jika seorang wanita telah mengenakan libas asfal dan libas ‘ala ini, barulah boleh ia keluar dari rumahnya menuju kehidupan umum. Jika ia tidak mengenakan kedua jenis pakaian ini, maka haram baginya berada dalam hayatul am.

Mengenai tabarruj, Islam mengharamkan kaum wanita untuk ber-tabarruj. Allah SWT berfirman,

“Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid) yang tiada ingin kahwin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan” [TMQ an-Nur (24):60].

Ayat ini melarang wanita yang sudah tua untuk ber-tabarruj iaitu tatkala ayat ini meletakkan syarat terhadap wanita tua itu dalam menanggalkan atau melepaskan pakaian yang boleh untuk ditanggalkan, hendaklah ia tidak ber-tabarruj. Mafhumnya, ayat ini merupakan larangan tabarruj.

Mafhum muwafaqah dari ayat ini adalah, jika kaum wanita yang sudah tua dilarang melakukan tabarruj, maka apatah lagi wanita selain mereka (wanita yang lebih muda). Firman Allah yang lain,

“Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah”[TMQ Al-Ahzab (33):33].

Allah SWT juga berfirman,

“Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan” [TMQ an-Nur (24):31].

Apa jua perbuatan lain yang menyerupai apa yang disebutkan di dalam ayat ini dinilai sebagai tabarruj. Tabarruj maknanya adalah, ‘menampakkan perhiasan dan kecantikan kepada lelaki asing (bukan mahram)’.

Dikatakan di dalam bahasa Arab, tabarrajat al-mar’ah (seorang wanita bertabarruj) ertinya az-harat zinataha wa mahasinaha li al-ajanib (wanita itu telah menampakkan perhiasan dan kecantikannya kepada lelaki ajnabi -bukan mahramnya-).

Terdapat sejumlah hadis tentang larangan atas setiap perbuatan yang dinilai sebagai tabarruj. Abu Musa al-Asy‘ari menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda,

“Wanita mana sahaja yang memakai wangian kemudian melewati suatu kaum agar mereka mencium aromanya, maka ia (seperti) wanita yang berzina (pelacur)” [HR Ibn Hibban & al-Hakim].

Maksudnya, seperti wanita yang berzina dalam hal dosanya. Rasulullah SAW juga bersabda,

“Ada dua golongan di antara penghuni neraka yang belum pernah aku lihat keduanya, suatu kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang dan perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang cenderung dan mencenderungkan orang lain (kepadanya),

(hiasan) kepala mereka seperti ponok unta yang miring. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium aroma syurga. Walhal sesungguhnya aroma syurga itu boleh tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian” [HR Muslim].

Kesemua dalil di atas secara jelas menunjukkan larangan (keharaman) tabarruj. Oleh itu, apa jua perhiasan atau make-up yang dapat menarik pandangan lelaki dan dapat menampakkan kecantikan wanita, maka ia termasuk tindakan tabarruj jika seorang wanita muncul di dalam kehidupan umum dengan perhiasan seperti itu dan ia telah berdosa.

Khatimah

Sesungguhnya Islam telah memuliakan wanita dan meletakkan beberapa hukum khusus untuk kaum hawa ini agar ia tidak menjadi bahan atau objek yang boleh dipergunakan sewenang-wenangnya. Tidak sebagaimana sistem Kapitalis hari ini yang telah menjadikan wanita sebagai bahan komoditi,

alat dan objek seks semata-mata, Islam telah memberikan satu kehidupan yang unik dan tenteram untuk kaum wanita. Islam telah melarang wanita untuk melakukan segala bentuk perbuatan yang mengandungi bahaya terhadap akhlak atau yang dapat merosakkan masyarakat. Kerana itu, seorang wanita dilarang untuk bekerja dengan pekerjaan yang dimaksudkan untuk memanfaatkan ‘aspek kewanitaan’ mereka. Diriwayatkan dari Rafi’ ibn Rifa’ah, ia menuturkan bahawa,

“Nabi SAW telah melarang kami (mendapat hasil) dari pekerjaan seorang pelayan wanita kecuali yang dikerjakan dengan kedua tangannya. Beliau bersabda (sambil menunjukkan), ‘begini’ dengan jari-jemarinya seperti membuat roti, memintal, atau menenun” [HR Ahmad].

Maksudnya, seorang wanita dilarang untuk bekerja sebagai pelayan di tempat-tempat penjualan untuk menarik pelanggan. Juga, wanita di larang bekerja di pejabat-pejabat atau di kaunter-kaunter apa sekalipun dengan maksud untuk memanfaatkan unsur kewanitaannya dalam rangka mencapai tujuan-tujuan tertentu.

Wanita dilarang sama sekali (haram) bekerja sebagai pelayan bagi lelaki, sebagai model, pramugari dan pekerjaan-pekerjaan lainnya yang bertujuan ‘memanfatkan’ unsur kewanitaannya. Di sinilah Islam telah meletakkan satu kemuliaan kepada kaum hawa sebagai seorang yang bergelar wanita,

isteri dan ibu di mana Islam telah menetapkan bahawa wanita adalah aurat yang perlu dijaga, bukan dieksploitasi. Namun sayangnya di sebalik semua kemuliaan yang diberikan oleh Islam, terdapat segelintir wanita yang sengaja memilih jalan untuk menjerumuskan diri mereka ke jurang neraka. Na’uzubillah min zalik.

Penjelasan tentang Adat Menghidangkan Teh kepada Tetamu

24 Zulkaedah 1431 H

Ketika berkumpul dengan keluarga atau kawan-kawan, orang Cina akan minum teh untuk menghayati keharmonian dan hormat-menghormati. Ini bermakna, jika semua orang saling berbudi bahasa ketika bergaul, masyarakat dapat hidup dengan aman dan sentosa, konflik dan peperangan pula dapat dielakkan.

Pada pandangan orang Cina, teh perlu dihidangkan kepada tetamu dengan segera apabila mereka tiba. Tuan rumah perlu memastikan jenis teh yang digemari oleh tetamu tersebut terlebih dulu dan boleh juga menyediakan kuih-muih sebelum menghidangkan teh kepada mereka.

Untuk menunjukkan kesopanan dan kesantunan, teh tidak boleh dituang terlalu penuh dalam cawan, kira-kira tiga perempat cawan sudah memadai. Air teh yang dihidangkan juga tidak boleh terlalu panas untuk mengelakkan tetamu daripada terlecur. Jika tetamu yang datang itu lebih daripada seorang, air teh dalam semua cawan yang dihidangkan hendaklah sama kepekatannya.

Kuih-muih diletakkan di depan tetamu di sebelah kanan, dan cawan pula diletakkan di kanan kuih-muih itu. Yang perlu diberikan perhatian ialah teh itu diangkat dengan tangan kanan dan dihidangkan kepada tetamu dari sebelah kanannya. Jika cawan itu mempunyai tangkai, ia perlu dihalakan ke kanan untuk memudahkan tetamu memegangnya.
Selain tuan rumah, tetamu juga patut bersopan santun.

Tetamu hendaklah menerima cawan teh yang dihidangkan oleh tuan rumah dengan dua belah tangan sambil mengucapkan terima kasih. Baik tuan rumah mahupun tetamu, tidak boleh minum teh dengan cepat dan dengan banyak sekali teguk. Sebaliknya, teh hendaklah dinikmati dengan perlahan-lahan dan sedikit demi sedikit. Jika terdapat daun teh yang terapung di atas air teh, daun teh itu perlu diketepikan dengan tutup cawan atau ditiup dengan mulut.

Jangan mengeluarkan daun teh itu dengan tangan dan membuangnya ke lantai. Daun teh itu juga tidak boleh dimakan.   

Selain dihidangkan teh tetamu, teh juga dihidangkan secara percuma kepada orang-orang yang lalu di tempat awam sebagai aktiviti amal. Misalnya di bandar Quanzhou, provinsi Fujian, terdapat dua orang warga emas, seorang bernama Xu Shuizhi yang berusia 68 tahun dan seorang lagi bernama Su Hanmin yang berusia 65 tahun, yang menyediakan teh secara percuma kepada orang-orang yang lalu di persimpangan jalan berhampiran dengan tempat tinggal mereka pada musim panas setiap tahun.

Mereka menyediakan teh secara percuma selama kira-kira 4 bulan, iaitu dari Pesta Ketupat hingga musim gugur sejak tahun 1997 lagi. Menurut Su Hanmin, mereka menghidangkan teh kepada orang lain bukan sahaja untuk berbuat amal kebajikan, malah juga untuk latihan badan

CRI/-


PIALA MALAYSIA - KIBARAN `BULAN PURNAMA' MENGUBAT HATIKU

24 Zulkaedah 1431 H
Oleh : WFAUZDIN NS

TAHNIAH kepada pasukan Kelantan yang baru mencipta sejarah malam tadi menggondol Piala Malaysia setelah berjaya menewaskan Juara Bertahan Pasukan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kelantan berjaya membuktikan bahawa pasukan yang `tidak kaya' mampu untuk bergelar juara asalkan mempunyai semangat berjuang yang kental.

Kemenangan 2 - 1 ke atas Negeri Sembilan disaksikan oleh jutaan peminat bola sepak dalam negara dengan diiringi kibaran `bulan purnama' serta terlihat juga kibaran `keris tanpa sarung' di tengah lautan penonton.

Memang tepat jangkaan di dalam Poll yang saya adakan sebelum ini bahawa pilihan pengunjung blog telah memilih Kelantan muncul sebagai juara dengan mendapat undian 83 %.

Saya sebagai anak jati Negeri Sembilan turut kecewa dengan kekalahan Negeri Sembilan malam tadi, namun kekecewaan saya tidaklah sampai sukar untuk melelapkan mata sejurus perlawanan tamat. Hati terubat seketika apabila melihat kibaran `Bulan Purnama' dikibarkan dikaca TV sepanjang perlawanan. Bukan mudah untuk menyaksikan suasana seperti ini.

Skuad Kelantan yang dipimpin oleh bekas orang kuat Umno Kelantan, Anuar Musa telah mengharumkan nama Kelantan di bawah kerajaan Tuan Guru Nik Aziz. Bayangkan sekiranya MB Kelantan dapat hadir di stadium malam tadi, tentulah gegak gempita seluruh stadium.

Adalah diharapkan Kerajaan Negeri Kelantan selepas ini sudi menambah peruntukan atau bantuan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sebagai penyuntik semangat untuk musim depan. Tahniah juga kepada Anuar Musa yang tidak berpolitik di dalam mengendalikan skuad Kelantan.

Kemenangan di Bukit Jalik telah tercapai. Kini kita menanti apakah kemenangan bakal tercipta di PRK Dun Galas? Sekiranya PAS menang di Dun Galas, rakyat Kelantan pastinya bertuah menikmati kemenangan berganda ini. Tahniah Kelantan, Syabas Negeri Sembilan yang berjaya ke Final.

Taridra "Hua'er" Etnik Hui Berjaya Tunjukkan Budaya Etnik di Ningxia

24 Zulkaedah 1431 H

Etnik Hui merupakan salah satu daripada 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Mereka bermastaudin di merata-rata tempat seluruh China, namun Ningxia merupakan tempat di mana jumlah penduduk etnik Hui yang paling ramai berbanding tempat yang lain. Oleh itu, kebudayaan etnik di Ningxia mempunyai ciri etnik Hui yang berkait rapat dengan budaya Islam.

Hua'er ialah sejenis cara nyanyian yang digemari oleh etnik Hui sama ada di Ningxia, Gansu dan Qinghai, mahupun di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang. Hua'er boleh dinyanyikan secara solo atau berduet seperti berdialog. Sekiranya menyanyi secara berduet, lelaki memanggil wanita sebagai "Hua'er", manakala wanita memanggil lelaki itu sebagai "Shaonian".

Terdapat banyak jenis Hua'er seperti Shanhua'er dan Ganhua'er kerana cara nyanyiannya berbeza. Kesenian Shanhua'er etnik Hui di Ningxia telah dimasukkan ke dalam senarai warisan budaya bukan benda peringkat negara China. Taridra "Hua'er" merupakan percubaan yang berjaya dalam proses memelihara, mewariskan dan mengembangkan kesenian lagu Hua'er di kalangan rakyat.

Taridra "Hua'er" direka, diubahsuai dan diusahakan oleh Kumpulan Nyanyian dan Tarian Ningxia yang memakan masa selama lebih empat tahun. Taridra tersebut telah dipersembahkan di Panggung Poly, Beijing pada awal tahun ini dan taridra ini dijemput untuk mengadakan persembahan dalam Ekspo Dunia Shanghai dan Pesta Kesenian China ke-9 di Guangzhou.

Taridra "Hua'er" menceritakan cinta kasih yang romantik antara dua pemuda etnik Hui dan memperlihatkan serta memuji semangat orang etnik Hui dalam mengatasi kesusahan untuk mengejar kebahagiaan.

Banyak unsur etnik Hui yang istimewa seperti tarian kendi air, tarian kambing, tarian tap dan lagu Hua'er terkandung dalam taridra tersebut yang disembahkan lagi dengan teknologi elektrik dan cahaya.

Antaranya, tiga tarian pasangan yang menonjolkan rasa kecintaan yang memberikan kesan yang mendalam kepada para penonton. Selepas taridra "Hua'er" buat pertama kali dipersembahkan di Yinchuan, ibu kota Wilayah Autonomi Hui Ningxia, ia telah mendapat sambutan hangat penduduk bandar. Seorang penduduk bandar Yinchuan, Encik Ma berkata,

"Taridra ini sungguh menarik. Hua'er berasal dari kalangan rakyat, walaupun sudah diubahsuai, namun ciri asalnya masih dikekalkan. Saya rasa persembahaan taridra Hua'er ini berjaya menonjolkan keistimewaan Ningxia. "

Zhang Jigang, pengarah terkemuka China yang ditugaskan sebagai naib pengarah upacara perasmian Sukan Olimpik Beijing pada 2008 telah dilantik sebagai pengarah perdana taridra itu.

Selain itu, ramai seniman terkenal masing-masing menjalankan tugas mengarang lagu, mengarang cerita, mereka tarian dan mereka bentuk pakaian pelakon untuk Taridra "Hua'er". Boleh dikatakan taridra tersebut merupakan gabungan kecerdasan ramai orang yang berbakat. Ketua Kumpulan Nyanyian dan Tarian Ningxia, Fan Jinguo berkata,

"Matlamat kami adalah untuk membentuk jenama Hua'er Ningxia melalui beberapa karya taridra klasik. Ningxia mempunyai kebudayaan yang cemerlang, namun kurang tindakan untuk memperkenalkan dan mempromosikannya."

Ma Qian, seorang wanita etnik Hui yang manis rupanya, berumur 25 tahun telah dipilih menjadi watak wanita utama taridra itu. Beliau dan pasangannya semasa menari selalu berlatih selama lebih 10 jam setiap hari. Kata beliau,

"Ini merupakan peluang keemasan bagi saya untuk meningkatkan taraf tarian saya. Walaupun susah, namun berbaloi."

Gu Liangliang, merupakan penari muda yang pernah memenangi hadiah emas tarian moden dalam Pertandingan Tarian Antarabangsa Nagoya Jepun Ke-5 pada tahun 2005. Selepas membaca skrip taridra Hua'er, beliau begitu teruja menerima watak lelaki utama dalam taridra tersebut. Kata beliau,

"Ada dua aspek yang menarik perhatian saya. Salah satu ialah Zhang Jigang menjadi pengarah taridra ini; satu lagi ialah taridra ini melibatkan kebudayaan Ningxia yang amat istimewa. "

Setelah Taridra Hua'er memperoleh pencapaian yang cukup memuaskan, banyak persembahan yang melibatkan kesenian dan kebudayaan tempatan Ningxia telah dicipta dan dibawa keluar dari Ningxia ke seluruh negara. Lebih-lebih lagi, kesenian Hua'er Ningxia dapat dinikmati oleh para pengunjung asing sempena Ekspo Dunia 2010 di Shanghai.

CRI/-

Kewarganegaraan jadi modal kempen Umno BN

24 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Rusli Yasmin

SANDAKAN, 31 Okt: Dewan Pemuda PAS Sabah kesal dengan tindakan menjadikan taraf kewarganegaraan dan sijil kelahiran sebagai gula-gula kempen politik Umno dan Barisan Nasional.

Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan dan Penyerahan Sijil Kelahiran Kepada Penduduk tersebut bakal diadakan pada 3 November jam 8.00 pagi di Kawasan Flat MPS Karamunting, Sandakan oleh Datuk Lee Chee Leong, Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Program tersebut disenaraikan di dalam kalendar aktiviti web rasmi penerangan kerajaan http://media.penerangan.gov.my/prkbatusapi.

"Pemberian taraf kewarganegaraan merupakan hak dan kedaulatan negeri ini dan tidak boleh dijadikan bahan kempen politik semata-mata terutamanya untuk meraih undi.

"Persoalannya mengapa pemberian tersebut baru sekarang diadakan ketika kempen pilihan raya, sedangkan banyak lagi waktu yang sesuai untuk mengurniakan taraf warganegara kepada masyarakat Batu Sapi yang terlibat," kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Salman.

Salman memberitahu, BN sebenarnya telah menyalahgunakan hak dan kedaulatan negara ini sesuka hati mereka.

Menurut beliau, BN yang menerajui kerajaan pada hari ini sepatutnya mengambil langkah menyelesaikan isu kad pengenalan yang menghimpit sebahagian masyarakat di Sabah ini sejak dulu lagi.

"Banyak lagi kes-kes kad pengenalan yang belum selesai akibat kegagalan BN sebelum ini mengurus dan mentadbir dengan baik isu kerakyatan ini.

"Penyalahgunaan kuasa ini telah mengakibatkan wujudnya sentimen berunsur negatif di kalangan masyarakat tempatan sedangkan isu ini berpunca daripada mereka (BN) sendiri,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau lagi, isu kad pengenalan tidak akan selesai selagi kerajaan BN terus menjadikan kedaulatan negara dan rakyat negeri ini mangsa bagi mencapai cita-cita dan politik sempit mereka.

Beliau menyeru agar masyarakat di Batu Sapi bijak memilih pemimpin mereka yang amanah dan bertanggungjawab dan tidak terpengaruh dengan janji manis Barisan Nasional.

"Apa juga bentuk barang yang cuba diberikan kepada masyarakat Batu Sapi oleh BN tidak perlu di tolak tetapi undi mesti diberikan kepada Pakatan Rakyat," tambahnya.

Harakahdaily/-

Kenangan 4 malam terperangkap dalam hutan

24 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Li Fook Gao

MARI KITA SEMBANG BERSAMA…

Datuk Tuan Ibrahim (TITM), Salahuddin Ayub (SA) dan Datuk Mahfuz Omar (MO)

Soalan 1:

Berikan satu cadangan pertukaran kepada Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

TITM: Pembentangan belanjawan baru-baru ini dilihat wujud kecelaruan dalam pengurusan harta awam oleh kerajaan BN. Terdapat pelbagai isu yg dibangkitkan oleh pelbagai pihak. Pembinaan Menara Warisan Merdeka yang menelan kos RM 5 billion dilihat sebagai satu projek membazir dan hilang fokus dalam usaha merakyatkan ekonomi.

Alangkah baiknya, sekiranya wang tersebut dapat disalurkan kepada perkara yang boleh mendatangkan manfaat secara langsung kepada rakyat seperti pembinaan rumah rakyat, sekolah dan kemudahan asas rakyat.

Dalam keadaan rakyat masih tidak mendapat keperluan asas seperti air bersih, bekalan eletrik, rumah rakyat termiskin, dan sebagainya... namun terasa kesalnya ada pemimpin melihat perlunya namanya terpahat di dada bangunan persis era Firaun yang bangga dengan bangunan piramid walaupun terpaksa mengorbankan ribuan nyawa.

SA: Saya berpandangan kalau saya diberikan kesempatan untuk menamakan bajet, saya akan namakannya ‘Bajet Untuk Rakyat’ yang akan lebih menumpukan perhatian kepada golongan fokus yang perlu diselesaikan.

Keutamaan mesti diberikan kepada pembinaan infrastruktur yang masih tidak sempurna, dan yang keduanya, saya akan menumpukan kepada bagaimana kita dapat membantu industri kecil dan sederhana – kumpulan SME yang perlu diberikan tumpuan sebagaimana yang saya pelajari dari Korea dan Jepun, di mana mereka memang bermula daripada ‘cottage industry’ – yang kita boleh sifatkan sebagai SME juga yang akhirnya membantu Jepun dan Korea menjadi negara maju.

Kemudian, pengagihan hasil daripada kekayaan negara itu, kita perlulah fokus kepada golongan sebegini dan tidaklah kita habiskan begitu banyak pada projek-projek mega sebagaimana yang diumumkan.

MO: Pertama sekali, mesti dibatalkan projek Warisan Merdeka dan peruntukan RM 5 billion itu seharusnya diperuntukan untuk menyediakan tanah berjumlah 1.2 juta ekar, dan kita boleh kepada 125, 000 orang. Ini bermakna kita dapat membantu dalam menyelesaikan masalah rakyat yang tidak bertanah di negara ini.

Ini suatu yang lebih baik bagi kita memanfaatkan peruntukan itu secara betul.

Soalan 2:

Apakah usaha yang tengah dilakukan PAS untuk menyediakan bajet alternatif yang penuh dengan ciri ekonomi Islam untuk tatapan rakyat sebelum PRU-13?

TITM: Perbentangan belanjawan yang dibentang oleh Pakatan Rakyat bertujuan menjelaskan kepada rakyat bagaimana sepatutnya khazanah negara diuruskan.

Pakatan Rakyat bukan sahaja berjaya membuktikan kesediaan PR untuk mengambil alih teraju pemerintahan, tetapi turut mendedahkan pelbagai keutamaan dalam perancangan ekonomi negara.

PR juga telah berjaya membuktikan pengurusan ekonomi negeri PR yang nyata lebih baik berbanding negeri di bawah BN sebagaimana yang dilaporkan audit negara.

PAS mengemukakan asas-asas pengurusan ekonomi Islam dengan menekankan soal pengagihan kekayaan negara secara adil, persoalan aulawiyat dalam pengagihan kekayaan negara, membasmi miskin tegar dan menjauhi amalan riba dalam urusan ekonomi.

SA: Saya rasa satu diskusi secara inklusif perlu diadakan, dan saya rasa sudah sampai masanya untuk PAS mengambil serius beberapa pandangan tentang apakah perkara-perkara yang perlu dijadikan keutamaan dan menjadi satu kerangka yang jelas dan dasar-dasar umum yang boleh kita aplikasikan sekiranya kita diberikan kesempatan memerintah.

Jadi saya rasa ke arah itu PAS kena memulakan perbincangan-perbincangan intelektual ini dan semua pakar-pakar dari pelbagai bidang perlu dijemput supaya bajet yang bakal kita bentangkan mungkin atas nama Pakatan Rakyat besok akan lebih mengambil kira aspek-aspek dari segi fokus, keutamaan dan juga elemen-elemen syariah yang saya rasa boleh diaplikasikan di dalam ruang perlembagaan yang diizinkan.

Ini peluang terbaik untuk PAS menempatkan dirinya dalam mengemukan bajet untuk kepentingan rakyat Malaysia.

MO: Memang sepatutnya kita menyediakan bajet alternatif – tetapi bukan bermakna bajet alternatif itu mesti disediakan bersekali dengan bajet yang dikemukakan oleh pihak kerajaan.

Akan tetapi, yang pentingnya ialah untuk kita memberikan satu keyakinan kepada rakyat bagaimana sumber pendapatan negara kita ini dapat digunakan sebaik mungkin untuk tujuan bagi pembangunan negara dan kebajikan rakyat.

Kerajaan Pakatan Rakyat terutamanya PAS akan berusaha menambahkan sumber pendapatan iaitu kita berazam untuk mencari pendapatan baru yang gagal dilihat oleh kerajaan yang ada sekarang ini… dan kita mesti menghasilkan produk baru dan pasaran baru di dunia ini.

Ini tiga perkara yang sangat penting untuk memastikan bahawa kita dapat satu perolehan pendapatan yang lumayan tanpa membebankan masyarakat dan kita boleh manfaatkan pula kepada kehidupan rakyat dalam negara kita.

Walaupun tahun ini kita tidak buat bajet alternatif, tapi mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan dalam perbahasan kita di Parlimen ini – itupun sudah menggambarkan bagaimana keprihatinan kita terhadap soal pengurusan dan perbelanjaan negara kita ini.

Soalan 3:

Apakah hobi Naib Presiden sekalian, dan boleh tak berkongsi pengalaman dengan pembaca dalam memenuhi hobi masing-masing. Pengalaman ngeri ke, manis ke, pahit ke ke tak ada sebarang hobi?

TITM: Hobi tu macam-macam... tapi saya lebih berminat untuk masuk ke hutan berburu dan mencari kelah. Seronok apabila dapat masuk hutan berkhemah di tepi sungai yang jernih, nyaman dengan ketenangan hutan belantara. Biasanya sungai yang belum tercemar dihuni oleh pelbagai spesis ikan yang mahal seperti kelah, jelawat dan lain-lain.

Pengalaman menarik banyak, antara yang boleh dikongsi ialah pengalaman masuk ke Hutan Cerul pada hujung tahun 08...

Kebetulan, apabila masuk sahaja hutan jauh ke ulu sungai, perjalanan lebih kurang 3 jam setiba sahaja kongsi balak lama, hari dah petang dan hujan malam tu sangat lebat.

Kawasan laluan ditenggelami air dan ada jalan yang terputus dibawa arus. Kami terpaksa bermalam 4 malam di dalam hutan. Dengan hujan lebat sepanjang hari dan terpaksa menebang pokok untuk buat jambatan laluan pacuan 4 roda, dan lebih teruk pula makanan yg tidak banyak... kami terpaksa makan bubur saja.

Kenangan terperangkap di dalam hutan sehingga selama 4 malam menyebabkan ada di kalangan geng masuk hutan 'sukar untuk dapat permit' lepas tu... Kesian.

SA: Dari segi hobi, takat ini saya lebih banyak habiskan masa untuk membaca. Peluang terbaik saya lebih suka melancong domestik dengan keluarga jika ada kesempatan. Pengalaman ngeri setakat ini tidak ada lagi.

MO: Hobi saya sangat special – saya suka masak untuk keluarga. Tapi masalahnya sekarang, saya tiada masa untuk masak bagi keluarga. Tapi memang saya suka masak, dan anak-anak saya pun suka makan masakan saya. Saya rasa sungguh puas apabila anak-anak saya makan dengan penuh kesungguhan masakan saya itu. Itulah kegembiraan dan kepuasan saya.

Harakahdaily/-

4 hari menjelang undi, calon PKR semakin diterima

24 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Warta Rakyat

SANDAKAN, 31 Okt: Menjelang empat hari terakhir kempen di Batu Sapi, calon Pakatan Rakyat menunjukkan perkembangan yang semakin baik apabila hampir kesemua pimpinan utamanya turun ke sini.

Selesai sahaja sessi perbicaraannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun mengetuai kempen di sini bersama degan pemimpin kanan PAS dan DAP.

Petang tadi, lebih 1500 hadir dalam sessi Pidato Perdana Pakatan Rakyat yang diadakan di sebuah hotel dengan Calon PKR
memberikan penerangan manefesto dan hala tuju serta hasrat kenapa beliau sanggup menjadi calon dalam pilihan raya kecil ini.

Beliau mendapat tepukan gemuruh setiap patah ucapan, mood rakyat makin memperlihat bahawa Ansari adalah calon terbaik buat batu sapi.

Menteri Besar Selangor, Tan sri Khalid Ibrahim yang turut berucap percaya Selangor contoh terbaik buat pengundi Batu Sapi untuk membuat perubahan pada 4 November nanti.

Jentera Selangor, katanya, akan memastikan Batu Sapi milik Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil ini. Ketika pemimpin PKR lain sibuk berkempen untuk jawatan tertinggi Khalid berkempen untuk memastikan kemenangan calon Pakatan itu.

Lim kit siang yang turut berucap berkata, inilah masanya rakyat Batu Sapi berubah kerana kaum Cina sendiri sudah menolak BN dan SAPP.

"Bumiputra Sabah perlu bangkit menolak kerajaan yg zalim untuk bersama Pakatan Rakyat," katanya.

Bagi Kit Siang, adalah amat memalukan kerana kerajaan BN yang kononnya kaya-raya tak
mampu untuk membina jambatan yang lebih baik sehingga calon PKR dan petugas pilihan raya dan media jatuh apabila jambatan ke ke Pulau Api runtuh.

"Kalau begini, cita-cita untuk membina bangunan 100 tingkat hanya untuk menjadi lambang kemewahan Rosmah Mansor saja," kata beliau.

Datuk Mahfuz Omar dalam ucapan memaklumkan walaupun dia dari Pokok Sena iaitu satu kawsan yang agak terkebelakang di Kedah namun rakyat disana tidak ada yang duduk atas pokok.

"Tetapi di Batu Sapi..rakyatnya lebih 50 peratus masih duduk dalam rumah papan yang usang,
rumah batu hanya kepada pengampu BN," kata anggota Pasrlimen Pokok Sena itu.

Menurut Mahfuz, rakyat Batu Sapi perlu memberikan sokongan kukuh kepada Pakatan Rakyat bagi memastikan nasib mereka dibela sebagai rakyat yang bermaruah. Masa perubahan telah tiba kini, kata beliau.

Datuk Seri Anwar ketika berucap menyeru seluruh penyokong dan petugas menjadi agen dan perayu dalam memastikan Batu Sapi menghantar Ansari Abdullah untuk mengangkat sumpah di Parlimen minggu depan.

Rakyat Batu Sapi perlu jelaskan hasrat mereka bahawa Pakatan Rakyat adalah wakil mereka di Parlimen.

"Kini UMNO amat terdesak kerana rakyat Batu Sapi bangkit menentang kepimpinan mereka. Mereka tak mahu digula-gulakan lagi setelah lebih 40 tahun mereka berada dalam
Malaysia," katanya.

Akhirnya Anwar mahukan suara Batu Sapi bergema dalam Dewan Rakyat melalui wakilnya iaitu Ansari Abullah.

Harakahdaily/-

RM2.3 bilion wang judi dalam akaun Kerajaan Pusat?

24 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Sabri Said

PULAU PINANG, 31 Okt: Para pemimpin Umno perlu menjelaskan hasil judi bernilai RM2.3 bilion yang terdapat dalam akaun hasil yang disatukan di Kementerian Kewangan pada tahun 2009.

Hasil inilah yang telah digunakan oleh kerajaan Pusat untuk membayar gaji kepada seramai 1.2 juta penjawat awam dan semua projek pembangunan termasuk untuk manfaat masyarakat Islam.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mendesak perkara ini ekoran tuduhan bahawa kerajaan negeri menggunakan wang dari hasil judi untuk diberikan kepada warga emas di negeri ini.

Lim menegaskan sekali lagi, kerajaan negeri Pulau Pinang tidak menggunakan wang judi untuk diberikan kepada warga emas di negeri ini sebagaimana dakwaan Umno.

"Sebenarnya ia dari hasil penjimatan yang kita lakukan. Sudah dua kali kerajaan negeri mendapat pengiktirafan dari Ketua Audit Negara tentang pengurusan kewangan yang terbaik dalam negara ini disamping mendapat pujian dari badan anti-rasuah antarabangsa iaitu Transparency International," tegasnya lagi.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya tidak akan terpengaruh dengan tekanan dan kempen Umno kononnya kerajaan negeri menggunakan wang judi untuk membantu rakyatnya.

"Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak yang cuba menakut-nakutkan Kerajaan Negeri melalui apa jua cara yang mereka persembahkan. Sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab kita akan terus membela dan memberi penghargaan kepada warga emas sebagai mengenang jasa mereka yang berusia lebih dari 60 tahun," katanya.

Lim Guan Eng berkata demikian ketika berucap semasa majlis penyampaian sumbangan kepada 153 waris warga emas yang telah meninggal dunia dalam daerah Seberang Perai Utara di Sungei Dua pagi tadi.

Dalam majlis tersebut sumbangan sebanyak RM153,000 telah diberikan kepada waris sebagai membantu meringankan kos pengurusan jenazah yang telah digunakan oleh mereka selepas kematian keluarga mereka.

"Walaupun terdapat ugutan dan usaha bagi menakutkan kepimpinan kerajaan negeri dengan pelbagai fitnah dan dakyah, kita tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak.

"Bagi warga emas yang beragama Islam, janganlah terpedaya dengan tohmahan parti pembangkang di Pulau Pinang iaitu Barisan Nasional (BN) yang cuba mempengaruhi warga emas dengan menuduh ianya dari sumber yang haram," katanya.

Tambahnya lagi selagi Kerajaan Negeri diterajui oleh Pakatan Rakyat (PR) maka usaha murni yang dilaksanakan seperti penghargaan kepada warga emas dengan sumbangan sebanyak RM100 seorang serta sumbangan sebanyak RM1000 kepada waris warga emas yang meninggal dunia akan tetap diteruskan.

"Yang jelas di sini pembangkang seperti Umno dan BN di Pulau Pinang telah mulai merasa gerun dengan kebangkitan rakyat di Pulau Pinang apabila melihat kejayaan yang berjaya dicapai dalam sasaran kita memberi pembelaan kepada mereka yang memerlukan.

"Ekoran itulah Umno-BN akan terus membuat pelbagai fintah dan tohmahan bagi mengaitkan Kerajaan Negeri supaya dipandang serong oleh masyarakat khususnya orang Islam dan sekaligus memberi kredit dan sokongan kepada mereka, " ujarnya lagi.

Turut hadir dalam majlis penyampaian sumbangan tersebut ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain dan kepimpinan Pakatan Rakyat tempatan.

Harakahdaily/-

Balik mengundi sekalipun merangkak

24 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Pengundi Dun Galas di perantauan digesa pulang mengundi pada 4 November ini sekalipun terpaksa merangkak, kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Kelantan, adalah menjadi satu kewajipan untuk menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin sama ada di peringkat negara, negeri mahupun Dun, di kalangan orang yang beragama.

"Saya mintak tuan-tuan balik, kalau tak dapat balik dengan kapal terbang, balik dengan kereta, kalau tak boleh dengan kereta, balik berjalan kaki, meranggakak sekali pun kena balik.

"Dosa besar kita biar orang kafir, orang munafik 'ghanya' (merosakkan) ekonomi kita, akidah kita," katanya yang juga Mursyidul Am PAS.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada lebih 100 anak-anak Dun Galas di perantaun pada Majlis Minum Teh bersama Menteri Besar Kelantan di sebuah hotel di ibu negara petang tadi.

Hadir sama pada majlis itu, exco kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa, Datuk Takiyuddin Hassan, Abdul Fatah Mahmood, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Halim Abdul Rahman serta pimpinan PAS kawasan Galas.

Calon PAS bagi PRK Galas, Dr Zulkefli Mohamad bagaimanapun tidak dapat hadir kerana jadual kempen di kawasan yang padat dan hanya menghantar wakil calon.

Tambah Tuan Guru Nik Aziz lagi, perebutan menjaga negeri antara hak dan batil sudah berlaku sejak zaman Nabi lagi, dan apa yang berlaku hari ini bukan rekaan PAS tetapi tuntutan agama.

Beliau juga menggesa agar orang Islam khasnya di Galas tidak percaya dengan dakwaan Umno bahawa urusan pentadbiran negara adalah urusan politik bukan urusan agama.

"Bukan PAS dengan Umno sahaja yang berebut, Nabi Muhammad SAW dulu berebut jaga negeri dengan adik beradik dia Abu Lahab, Abu Jahal dan Abu Sufian.

"Patutnya yang lawan kita MCA, MIC bukan Umno. Tapi nasib kita nak buat macam mana," katanya lagi.

Sementara itu, pada majlis sama, Tuan Guru turut menyerahkan bendera PAS kepada wakil anak-anak Galas di perantauan.
Beliau menyeru mereka agar memasang bendera tersebut pada kenderaan masing masing waktu pulang mengundi nanti.

Harakahdaily/-

Tangkapan terhadap Malaysian4BengHock dikecam

24 Zulkaedah 1431 H

GUA MUSANG, 31 Okt: Tangkapan terhadap kakak Teoh Beng Hock di Galas ketika menyebarkan surat rayuan agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian adiknya mendapat kecaman pelbagai pihak.

Bahkan mereka bimbang kini ekoran tersebarnya maklumat bahawa pihak polis sedang mencari semua mereka yang terlibat dengan kempen Malaysian4BengHock bukan sekadar empat yang ditangkap kini sahaja.

Teoh Lee Lan (gambar), adik mendiang Teoh Beng Hock telah ditangkap hari ini ketika menyebarkan risalah memohon agar satu suruhanjaya dibentuk bagi menyiasat kematian adiknya itu.

Turut ditangkap adalah abang ipar Teoh Beng Hock, Soh Cher Hai dan dua lagi ahli Malaysians4BengHock, Ng Yap Hwa dan Toh Chin Hong.

Mereka dibawa ke Balai Polis Gua Musang dan diambil keterangan mereka.

"Sekarang polis bukan sahaja mahu mengambil keterangan dari ke empat-empat mereka tetapi juga kesemua ahli Malaysians4Beng Hock," kata Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua melalui twitternya.

"Polis telah memanggil empat lagi anggota Malaysians4BengHock untuk diambil keterangan. Mungkin semua yang ada di Galas akan diambil keterangan," kata Thomas Su dalam twitternya.

Semalam, abang ipar Beng Hock, Soh Cher Hai mendakwa dia telah dipukul oleh sekumpulan penyokong MCA ketika berusaha untuk bertemu dengan Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita dari MCA, Datuk Heng Seai Kie.

Bagaimanapun, timbalan menteri itu menafikannya. Namun begitu beliau meminta kes Teoh Beng Hock tidak di bawa ke Galas.

Harakahdaily/-

'Pengundi pandai tuntut duit dari 2 pihak'

24 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Salhan K Ahmad

PAS tetap mempertahankan tindakannya menawarkan bayaran sehingga RM250 kos perjalanan kepada pengundi DUN Galas yang berada di luar kawasan itu.

Penasihat PAS bagi pilihan raya kecil itu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata tindakan itu merupakan amalan biasa yang turut dilakukan Umno dan MCA.

"(Malah) kalau pengundi itu pandai, dia boleh ambil daripada kedua-dua pihak. Itu (amalan) biasa bagi orang Kelantan.

"Mungkin dia boleh minta daripada PAS, Umno dan mungkin daripada MCA pun ada disediakan. Jadi kalau RM200 kali tiga, RM600, banyak juga tu.

"Ini bukan satu perkara pelik, kita tidak ada halangan atau sekat mereka (daripada terima daripada pihak lawan)," katanya.

Bercakap dalam sidang media di markas PAS pagi ini beliau juga berkata perkara itu bukanlah satu bentuk sogokan tetapi untuk memudahkan perjalanan para pengundi yang berada di luar.

Beliau mengulas demikian ketika ditanya berkenaan janji PAS untuk menampung kos perjalanan pengundi berkenaan untuk keluar mengundi pada 4 November nanti.

Langkah berkenaan bertujuan menggalakkan peratusan keluar mengundi yang disasarkan sehingga 81 peratus bagi memastikan kemenangan kepada PAS, kata Wan Abdul Rahim lagi.

Malaysiakini/-

Batu Sapi serlahkan kepentingan ICT

24 Zulkaedah 1431 H

Pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi menampilkan perkembangan terkini dalam kegiatan kempen pilihan raya iaitu penggunaan teknologi komunikasi maklumat (ICT).

Kesemua tiga calon yang bertanding -- Datin Linda Tsen Thau Lin dari BN, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan ketua PKR Tuaran Ansari Abdullah -- serta barisan kepimpinan dan penyokong parti berkenaan kelihatan meningkatkan penggunaan ICT dalam usaha meraih sokongan daripada 25,582 pengundi di kawasan itu pada pilihan raya kecil 4 November ini.

Mereka menggunakan Facebook, laman blog, Twitter dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk berhubung dengan pengundi di kawasan Batu Sapi.

Penggunaan ICT untuk meraih sokongan dan berkomunikasi dengan rakyat kini menjadi tumpuan ahli politik dari pihak kerajaan dan pembangkang berikutan kemunculan apa yang dikenali sebagai media sosial dalam talian atau media baru pada pilihan raya umum 2008.

Di Batu Sapi, kawasan di pinggir bandar Sandakan, yang pernah menjadi ibu negeri Sabah, beribu-ribu pengundi begitu gembira apabila menerima SMS atau membaca komen dalam Facebook yang ditulis oleh ahli politik yang berkampung di sini untuk menyumbang khidmat masing-masing dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Sebagai contoh, seorang ahli politik BN menulis begini dalam laman Facebooknya: "Kepada rakan kami iaitu pengundi di Batu Sapi ... (Saya) harap anda mengundi Tsen Thau Lin BN, Calon No. 3 pada Kertas Undi. Berilah peluang kepada Puan kita ini untuk berkhidmat kepada masyarakat dan Malaysia".

Tsen adalah balu kepada Anggota Parlimen Batu Sapi Datuk Edmund Chong Ket Wah yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktpber, yang menyebabkan pilihan raya kecil ini diadakan. Chong memenangi kerusi berkenaan pada pilihan raya umum 2008 dengan mendapat 9,479 undi dalam perlawanan satu lawan satu dengan calon Bebas Dr Chung Kong Wing, yang mendapat 5,771 undi.

Kawasan Parlimen Batu Sapi, yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri Karamunting dan kawasan Dewan Undangan Negeri Sekong, mempunyai 25,582 pengundi, 15,099 atau 59.02 peratus daripada mereka adalah bumiputera Islam, 689 atau 2.69 peratus bumiputera bukan Islam, 9,737 atau 38.06 peratus Cina dan 57 atau 0.22 peratus kaum lain.

Ahli politik daripada SAPP dan PKR juga menggunakan media baru itu untuk menyampaikan mesej mereka kepada pengundi. Kedua-dua pihak menyediakan laman sesawang masing-masing untuk membolehkan penyokong kuat mereka di Batu Sapi dan pembaca lain mengikuti perkara yang ingin disampaikan oleh pemimpin parti.

"Ini menunjukkan Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara atau kebebasan akhbar, sejajar dengan prinsip demokrasi. Setiap orang berpeluang menyampaikan perkara yang terdapat dalam mindanya untuk rakyat Sabah, terutama untuk pengundi di Batu Sapi," kata seorang pemerhati politik.

Pemerhati itu berkata bercanggah dengan anggapan sesetengah ahli politik bahawa kebebasan akhbar tidak wujud di negara ini, pihak yang bertanding - BN, SAPP dan PKR -- mempunyai peluang sama rata untuk menggunakan media, khususnya media alternatif, untuk menguar-uarkan agenda politik masing-masing.

"Pada pilihan raya kecil ini, saya dapati parti politik menyebarkan maklumat kepada penyokong masing-masing melalui telefon bimbit, e-mel dan laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter untuk memikat hati pengundi, terutama golongan muda yang menggunakan perkhidmatan itu.

"Malah, laman rangkaian sosial seperti Facebook, menjadi kegilaan golongan belia yang berpendidikan serta orang dewasa berusia antara 21 dan 49 tahun di kawasan bandar seperti Karamunting.

"Saya rasa, jumlah mereka mungkin melebihi 35 peratus daripada keseluruhan pengundi di Batu Sapi. Anda dapat melihat betapa pentingnya media baru ini. Paling ketara ialah setiap orang berpeluang mendapat capaian kepada perkhidmatan ini, tanpa mengira kecenderungan politik," kata pemerhati berkenaan.

Ahli politik, terutama dari semenanjung, juga memuji dan mengagumi kebebasan akhbar yang begitu tinggi tahap amalannya dalam kalangan media cetak di Sabah.

Seorang daripada mereka berkata beliau mendapati akhbar di Sabah, seperti Daily Express, New Sabah Times, Borneo Post, Utusan Borneo dan akhbar Cina tempatan, memberi liputan secara adil kepada ketiga-tiga calon yang bertanding pada pilihan raya kecil berkenaan serta para pemimpin parti politik terbabit, termasuk menyiarkan gambar dan kenyataan mereka saban hari dan kadang-kadang turut menyiarkannya di muka depan masing-masing.

"Kebebasan akhbar begitu subur di Sabah. Malah, Pembangkang pun tidak bersungut. Tidak hairanlah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) menyifatkan Sabah sebagai model peranan bagi 1Malaysia. Sebenarnya, terserahlah kepada kebijaksanaan orang ramai untuk memilih MP yang mereka mahu," kata ahli politik berkenaan sambil menambah bahawa portal berita popular seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider juga menyediakan ruang untuk ahli politik berkempen.

Selepas enam hari kegiatan berkempen berlangsung di Batu Sapi, BN kelihatan memiliki kelebihan untuk mengekalkan kerusi itu, walaupun menghadapi tentangan hebat daripada SAPP untuk mendapatkan undi kaum Cina dan daripada PKR untuk meraih undi daripada bumiputera Islam.

Malaysiakini/-

Raja Melayu pandang berat trend politik

24 Zulkaedah 1431 H

Raja-Raja Melayu menitahkan seluruh rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati sejarah pembentukan negara dan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan kepada kontrak sosial iaitu semangat permuafakatan dan persefahaman antara kaum dan persetujuan Raja-Raja Melayu.

"Raja-Raja Melayu berpegang bahawa kontrak sosial yang telah dipersetujui ini merupakan watikah yang menjadi asas kepada keadilan sosial di negara ini yang merangkumi cita-cita bagi mencapai hasrat pembahagian ekonomi secara adil.

"Sikap tolak ansur antara kaum menunjukkan kematangan rakyat pelbagai kaum di negara ini," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-222 yang berlangsung di Istana Negara pada 13 dan 14 Okt lepas memandang berat mengenai trend politik semasa yang dilihat sedang meniup angin perkauman dan mencabar kedaulatan Perlembagaan negara.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum akan perkembangan semasa serta kebimbangan yang disuarakan oleh individu-individu dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan berhubung perkara-perkara menyentuh agama Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, orang Melayu dan bahasa Melayu.

Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan itu memandang serius kewujudan jumlah jenayah yang dikategorikan sebagai jenayah berat, yang boleh mengancam keselamatan, ketenteraman dan imej negara.

Raja-Raja Melayu bersama Yang Dipertua-Yang Dipertua negeri memahami serta menghargai usaha-usaha Kerajaan Persekutuan menyatupadukan rakyat berlandaskan semangat yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan itu, Raja-Raja Melayu menitahkan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama supaya terus bersatu serta setia kepada negara demi memelihara kedaulatan dan kemakmuran negara kerana setiap rakyat mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

Setiap rakyat hendaklah terus menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang dan mengelakkan tindak-tanduk yang membawa pertelingkahan, perselisihan faham dan syak wasangka antara kaum yang menjejaskan kemakmuran dan keharmonian negara, titah Raja-raja Melayu.

"Demi kedaulatan dan keharmonian negara yang kita kasihi ini, Raja-Raja Melayu berharap rakyat tidak akan memberi peluang untuk penglibatan dan campur tangan pihak luar dalam urusan negara," menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu turut menyeru orang Melayu supaya bersatu padu dan tidak bertelingkah sesama sendiri berlandaskan semangat persaudaraan Islam, agar kedudukan orang Melayu tidak terpinggir dan terhakis dalam arus pembangunan negara.

"Pemimpin-pemimpin pertubuhan Melayu wajib mencari persamaan, bermuafakat menggunakan hikmah dan kebijaksanaan, melindungi dan membela nasib orang Melayu," menurut kenyataan itu.

Raja-Raja Melayu menegaskan bahawa keutuhan bangsa Melayu serta nasib orang Melayu tidak akan terpelihara jika para pemimpin pertubuhan Melayu lebih cenderung untuk bertelagah dan memilih untuk berselisih faham.

"Raja-Raja Melayu berdoa agar Malaysia yang dikasihi ini sentiasa berada dalam keadaan aman damai dan rakyatnya yang berbilang kaum terus bersatu serta kekal makmur dan sejahtera.

"Semoga Malaysia terus mendapat perlindungan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala," menurut kenyataan itu.

Malaysiakini/-

Saman JPJ boleh dibayar di pejabat pos mulai esok

24 Zulkaedah 1431 H

Mulai esok, pemilik saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar Lembah Klang boleh membayar saman mereka di lima buah pejabat pos di Selangor dan ibu negara.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan berkata sebagai percubaan, lima buah kaunter yang dibuka untuk pembayar saman adalah Pejabat Pos Shah Alam, Pejabat Pos Daya Bumi, Pejabat Pos Wangsa Maju, Pejabat Pos Jalan Sultan Salahuddin dan dan Pejabat Pos Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Beliau berkata bagi pengguna di tempat lain pula, mereka boleh berbuat demikian di 688 pejabat pos di seluruh negara selewat-lewatnya pada akhir bulan depan.

"Usaha ini boleh menggalakkan orang ramai terutamanya penduduk luar bandar untuk membayar saman kerana sebelum ini mungkin mereka sukar membayarnya sebab ia hanya boleh dibayar melalui kaunter JPJ yang kesemuanya terletak di tengah bandar selain saluran e-Khidmat," katanya kepada pemberita selepas menutup program Satu Komuniti Satu JPJ di Felda Lepar Utara di Jerantut hari ini.

Sehubungan itu katanya JPJ telah mengadakan perbincangan dengan Pos Malaysia untuk merealisasikan langkah ketiga itu selepas cukai jalan dan lesen memandu diperbaharui di situ.

Dalam perkembangan berkaitan, Solah berkata orang ramai juga boleh membayar saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) di semua kaunter JPJ di seluruh negara dan saman JPJ itu juga boleh dibayar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) menjelang akhir tahun ini.

"Jika sebelum ini saman polis hanya boleh dibayar di IPD atau IPPK manakala saman JPJ hanya boleh dibayar di kaunter JPJ tapi selepas ini kedua-dua saman itu boleh dibayar di mana-mana saja kaunter JPJ atau polis," katanya.

Menurutnya dengan pelaksanaan kedua-dua kaedah berkenaan, ia dilihat tidak lagi menyusahkan orang ramai malah ia lebih cekap.

Malaysiakini/-

Adik Teoh Beng Hock ditahan polis di Galas

24 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Lee Wayloon

Seorang adik kepada mendiang Teoh Beng Hock bersama tiga yang lain ditahan polis di bandar Gua Musang hari ini.

Lee Lan dan anggota "Malaysians for Beng Hock" itu dibawa sekumpulan anggota polis diketuai Supt Maszely Minhad ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Gua Musang pada kira-kira jam 2.20 petang ini.

Maszely memberitahu wartawan bahawa polis menerima aduan bahawa kumpulan berkenaan telah menjalankan aktiviti kempen.

Kumpulan itu, yang tiba semalam bagi "mencari keadilan" untuk mendiang Teoh, ditahan di tepi jalan ketika sedang berjalan menuju ke kereta sambil membawa risalah tentang kes kematian dalam tahanan, kata penyelarasnya Chong Kok Siong.

"Lapan daripada kami diminta menyerahkan kad pengenalan kepada kumpulan 10 anggota polis, empat daripada kami membawa risalah sambil berjalan menuju ke kereta di Kampung Baru," katanya.

"Polis berpakaian biasa menyekat kami; dia kata, isu (kematian dalam) tahanan akan menjejaskan keselamatan, tidak boleh disuarakan secara terbuka.

"Tetapi, saya beritahu, angka (kematian) ini daripada Hisham (Menteri Dalam Negeri Hishammmuddin Hussein) di Parlimen, malah akhbar melaporkannya.

"Saya cabar dia, 'kalau kami betul, tangkaplah kami'," kata aktivis sosial itu.

Malaysiakini/-

Keputusan pemilihan PKR hari ketiga

24 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Abdul Rahim Sabri

Sebanyak 27 cabang PKR di lima buah negeri pada hari ke-3 mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti termasuk memilih pemimpin di peringkat sayap - Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR.

Cabang-cabang tersebut adalah enam di Pulau Pinang, Perak (8) Pahang (7), Melaka (4) dan dua cabang di Negeri Sembilan.

Keputusan untuk hari ini - setakat 10.54 malam - Naib Presiden Azmin Ali mendepani dua lagi pencabarnya dengan memperolehi 1,208 undi.

Penyelaras Pakatan Datuk Zaid Ibrahim mendapat 979 undi, manakala ketua PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub meraih 332 undi.

Bagaimanapun, keputusan untuk empat lagi cabang - Bera, Batu Gajah, Kuala Kangsar dan Parit - belum diperoleh setakat ini.

Berikut keputusan yang diperolehi untuk jawatan timbalan presiden di peringkat cabang-cabang:

Batu Kawan: Azmin (59), Zaid (94), Mustaffa (9)

Ipoh Timor: Azmin (50), Zaid (14), Mustaffa (2)

Bukit Katil: Azmin (97), Zaid (41), Mustaffa (8)

Tampin: Azmin (6), Zaid (115), Mustaffa (2)

Masjid Tanah: Azmin (16), Zaid (38), Mustaffa (8)

Bukit Katil: Azmin (97), Zaid (41), Mustaffa (8)

Rembau: Azmin (7), Zaid (49), Mustaffa (4)

Tangga Batu: Azmin (80), Zaid (85), Mustaffa (22)

Permatang Pauh: Azmin (211), Zaid (58), Mustaffa (11)

Bukit Mertajam: Azmin (100), Zaid (15), Mustaffa (6)

Bagan: Azmin (19), Zaid (6), Mustaffa (4)

Alor Gajah: Azmin (95), Zaid (104), Mustaffa (12)

Temerloh: Azmin (24), Zaid (25), Mustaffa (0)

Maran: Azmin (4), Zaid (24), Mustaffa (1)

Kuala Krau: Azmin (104), Zaid (19), Mustaffa (7)

Bentong: Azmin (99), Zaid (30), Mustaffa (1)

Paya Besar: Azmin (11), Zaid (32), Mustaffa (3)

Rompin: Azmin (19), Zaid (55), Mustaffa (2)

Kepala Batas: Azmin (39), Zaid (55), Mustaffa (2)

Tasek Gelugor: Azmin (8), Zaid (40), Mustaffa (41)

Ipoh Barat: Azmin (9), Zaid (13), Mustaffa (45)

Kampar: Azmin (21), Zaid (16), Mustaffa (22)

Tambun: Azmin (33), Zaid (10), Mustaffa (112)

Malaysiakini/-